Kisah Para Rasul 20:1-38
20 Setelah keadaan yang huru-hara di situ reda, Paulus memanggil murid-murid Yesus. Dia menggalakkan mereka dan mengucapkan selamat tinggal. Kemudian, dia memulakan perjalanannya ke Makedonia.
2 Dia mengunjungi kawasan-kawasan di situ dan mengucapkan kata-kata galakan kepada murid-murid Yesus. Kemudian dia tiba di Yunani
3 dan tinggal di situ selama tiga bulan. Tetapi semasa dia hendak belayar ke Siria, orang Yahudi berkomplot untuk membunuhnya.+ Jadi, dia membuat keputusan untuk kembali melalui Makedonia.
4 Sopater anak Pirus dari Berea pergi bersamanya, begitu juga dengan Aristarkhus+ dan Sekundus dari Tesalonika, Gayus dari Derbe, Tikhikus+ dan Trofimus+ dari daerah Asia, serta Timotius.+
5 Mereka pergi terlebih dahulu dan menunggu kami di Troas.
6 Selepas Perayaan Roti Tidak Beragi,+ kami belayar dari Filipi. Dalam masa lima hari kami sampai ke Troas dan bertemu dengan mereka. Kami tinggal di situ selama tujuh hari.
7 Semasa kami berkumpul untuk makan pada hari Ahad,* Paulus mula berucap, kerana dia akan berangkat pada keesokan harinya. Dia terus berucap sehingga tengah malam.
8 Oleh itu, ada banyak pelita di tempat kami berkumpul, iaitu di dalam bilik di tingkat atas.
9 Seorang pemuda yang bernama Eutikhus duduk di tingkap. Semasa Paulus sedang berucap, pemuda itu terlelap lalu terjatuh dari tingkat ketiga. Apabila dia diangkat, dia sudah mati.
10 Paulus turun ke bawah lalu merebahkan diri ke atas pemuda itu dan memeluknya+ sambil berkata, “Janganlah bersedih lagi. Dia sudah hidup semula.”+
11 Kemudian Paulus naik ke atas lalu memecahkan roti dan mula makan. Dia terus berbual dengan mereka sehingga matahari terbit, kemudian dia berangkat.
12 Mereka membawa pemuda yang hidup itu pulang dan mereka berasa sangat lega.
13 Paulus mahu berjalan kaki ke Asos. Maka seperti yang telah disuruhnya, kami menaiki kapal lalu belayar ke situ terlebih dahulu dan bercadang untuk menyambutnya naik ke atas kapal.
14 Apabila Paulus tiba di Asos, kami membawanya naik ke kapal lalu pergi ke Metilene.
15 Keesokan harinya, kami belayar dari sana dan tiba berhampiran Khios. Pada hari yang berikutnya, kami singgah di Samos, dan sehari kemudian kami tiba di Miletus.
16 Paulus tidak mahu menghabiskan masa di daerah Asia kerana dia bergegas hendak sampai di Yerusalem+ pada hari Perayaan Pentakosta. Jadi, dia membuat keputusan untuk terus belayar tanpa singgah di Efesus.+
17 Namun, dari Miletus, dia menghantar pesanan ke Efesus untuk memanggil para penatua sidang di sana.
18 Apabila mereka tiba, Paulus berkata, “Kamu semua tahu cara hidupku selama aku bersama kamu. Sejak hari pertama aku menjejakkan kaki ke daerah Asia,+
19 aku sentiasa mengabdikan diri kepada Tuan dengan rendah hati.+ Aku mencucurkan air mata dan mengalami cubaan disebabkan rancangan jahat orang Yahudi.
20 Aku tidak teragak-agak untuk memberitahu kamu tentang semua perkara yang bermanfaat untuk kamu. Aku selalu mengajar kamu di depan umum+ dan dari rumah ke rumah.+
21 Aku memberikan kesaksian yang menyeluruh, baik kepada orang Yahudi mahupun orang Yunani, bahawa mereka harus bertaubat,+ berpaling kepada Tuhan, dan beriman kepada Tuan kita, Yesus.+
22 Sekarang, lihatlah! Walaupun aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku di Yerusalem, aku akan pergi ke situ kerana didorong oleh kuasa suci Tuhan.
23 Aku hanya tahu bahawa di setiap kota, kuasa suci Tuhan berulang kali memberi aku amaran bahawa aku bakal dipenjarakan dan mengalami kesengsaraan.+
24 Namun begitu, aku tidak menganggap nyawaku penting, asalkan aku dapat berlari dalam perlumbaan ini sampai ke akhir+ dan menyelesaikan kerja suci yang aku terima daripada Tuan Yesus, iaitu untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang berita baik mengenai kebaikan hati Tuhan yang unggul.
25 “Aku telah menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan kepada kamu. Namun, sekarang aku tahu bahawa tiada seorang pun antara kamu akan melihat aku lagi.
26 Oleh itu, aku memanggil kamu hari ini untuk menjadi saksi bahawa aku bersih daripada darah semua orang.+
27 Aku tidak pernah teragak-agak untuk memberitahu kamu tentang segala tujuan Tuhan.+
28 Berikanlah perhatian kepada diri kamu+ dan seluruh kawanan, kerana kuasa suci Tuhan telah melantik kamu sebagai penyelia+ untuk menggembala sidang Tuhan,+ yang telah dibeli oleh-Nya dengan darah Anak-Nya sendiri.+
29 Aku tahu bahawa selepas aku pergi, serigala buas* akan datang ke tengah-tengah kamu+ dan berlaku kejam terhadap kawanan.
30 Ada orang dalam kalangan kamu yang akan bangkit dan memutarbelitkan kebenaran untuk menyesatkan murid-murid Yesus agar mengikut mereka.+
31 “Oleh itu, teruslah berjaga-jaga. Ingatlah bahawa selama tiga tahun,+ siang malam, aku tidak berhenti menasihati setiap orang daripada kamu sambil mencucurkan air mata.
32 Semoga Tuhan dan firman tentang kebaikan hati-Nya yang unggul melindungi kamu. Firman ini boleh menguatkan kamu dan membuka jalan agar kamu menerima apa yang diberikan oleh Tuhan kepada umat suci-Nya.+
33 Aku tidak menginginkan perak, emas, atau pakaian sesiapa pun.+
34 Kamu tahu bahawa aku telah bekerja dengan tanganku sendiri untuk menjaga keperluanku+ dan keperluan orang yang menyertai aku.
35 Dalam segala perkara, aku sudah menunjukkan kepada kamu semua bahawa kamu juga mesti bekerja keras seperti ini+ untuk membantu mereka yang lemah. Kamu mesti ingat bahawa Tuan Yesus sendiri berkata, ‘Lebih berbahagia memberi+ daripada menerima.’”
36 Selepas Paulus mengucapkan kata-kata ini, dia berlutut bersama mereka dan berdoa.
37 Mereka menangis tersedu-sedu lalu memeluk dan mencium Paulus.
38 Hati mereka sangat pedih kerana Paulus berkata bahawa mereka tidak akan melihatnya lagi.+ Kemudian, mereka menemaninya sampai ke kapal.
Nota Kaki
^ Harfiah, “hari pertama dalam seminggu.” Bagi orang Yahudi, hari Ahad ialah hari pertama dalam seminggu.
^ Atau “serigala yang menindas.”