Kisah Para Rasul 28:1-31

  • Tiba di Malta (1-6)

  • Bapa Publius disembuhkan (7-10)

  • Bertolak ke Roma (11-16)

  • Paulus bercakap dengan orang Yahudi di Roma (17-29)

  • Paulus menginjil dengan berani selama dua tahun (30, 31)

28  Setelah kami tiba di darat dengan selamat, kami mendapat tahu bahawa pulau itu dipanggil Malta.+ 2  Penduduk pulau itu* sangat baik hati terhadap kami. Mereka menyambut kami dengan ramah dan menyalakan api untuk kami sebab hujan mula turun dan cuaca pun sejuk. 3  Semasa Paulus mengumpulkan kayu dan meletakkan kayu itu di atas api, seekor ular berbisa keluar kerana bahang api itu. Ular itu memagut tangan Paulus 4  dan tergantung pada tangannya. Apabila penduduk Pulau Malta melihat ular tersebut, mereka mula berkata sesama sendiri, “Sudah tentu lelaki ini seorang pembunuh. Meskipun dia terselamat daripada bahaya di laut, Keadilan* tidak mengizinkannya untuk terus hidup.” 5  Tetapi Paulus mengibaskan ular itu daripada tangannya sehingga ular itu jatuh ke dalam api dan dia tidak tercedera. 6  Mereka menjangkakan bahawa tangannya akan bengkak atau dia akan rebah mati secara tiba-tiba. Tetapi setelah lama menunggu, mereka melihat bahawa tidak ada apa-apa perkara buruk yang berlaku kepadanya. Maka mereka berubah fikiran dan mula mengatakan bahawa Paulus ialah dewa. 7  Tidak jauh dari kawasan itu, terdapat ladang-ladang yang dimiliki oleh Publius, pemimpin pulau tersebut. Dia menyambut kami dengan ramah dan menerima kami sebagai tetamunya selama tiga hari. 8  Kebetulan pada masa itu bapa Publius sedang berbaring di katil kerana dia demam dan menderita penyakit perut yang parah. Maka Paulus masuk dan mendekatinya. Kemudian Paulus berdoa, meletakkan tangannya ke atas bapa Publius, lalu menyembuhkannya.+ 9  Selepas itu, penduduk lain yang sakit di pulau itu mula datang kepada Paulus untuk disembuhkan.+ 10  Mereka memberi kami banyak hadiah sebagai tanda penghormatan. Semasa kami hendak belayar, mereka membekalkan kami dengan banyak barang keperluan. 11  Tiga bulan kemudian, kami belayar dengan menaiki sebuah kapal yang datang dari Aleksandria. Kapal itu mempunyai lambang “Anak Kembar Zeus” dan telah berlabuh di Pulau Malta sepanjang musim sejuk. 12  Setelah kapal kami berlabuh di Sirakusa, kami tinggal di situ selama tiga hari. 13  Kemudian, dari sana kami belayar dan tiba di Regium. Keesokan harinya, angin selatan bertiup dan pada hari yang berikutnya, kami sampai di Putioli. 14  Di situ kami berjumpa dengan saudara-saudara kami dan mereka mendesak kami untuk tinggal dengan mereka selama tujuh hari. Selepas itu, kami bertolak ke Roma. 15  Apabila saudara-saudara di Roma mendengar bahawa kami dalam perjalanan ke sana, mereka datang menemui kami di Penginapan Tiga, dan ada juga yang datang sejauh Pasar Apius. Apabila Paulus melihat mereka, dia mengucapkan syukur kepada Tuhan dan menjadi lebih tabah.+ 16  Akhirnya kami tiba di Roma. Di situ, Paulus dibenarkan tinggal seorang diri di bawah kawalan seorang askar. 17  Tiga hari kemudian dia memanggil para pemimpin orang Yahudi. Setelah mereka berkumpul, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara, walaupun aku tidak bersalah terhadap bangsa kita dan tidak melakukan apa-apa yang bertentangan dengan adat istiadat nenek moyang kita,+ aku telah ditahan di Yerusalem dan diserahkan ke dalam tangan orang Roma.+ 18  Selepas aku disoal siasat,+ mereka mahu membebaskan aku kerana mereka mendapati bahawa aku tidak melakukan apa-apa yang menyebabkan aku harus dihukum bunuh.+ 19  Tetapi orang Yahudi membantah keputusan itu, maka aku terpaksa meminta agar diadili oleh Kaisar.+ Namun aku berbuat demikian bukanlah kerana aku mempunyai apa-apa tuduhan terhadap bangsaku. 20  Itulah sebabnya aku meminta supaya dapat berjumpa dan bercakap dengan kamu. Aku dibelenggu dengan rantai ini kerana dia yang diharapkan oleh orang Israel.”+ 21  Mereka berkata kepadanya, “Kami tidak pernah menerima surat dari Yudea mengenai kamu. Saudara-saudara yang datang dari sana juga tidak melaporkan atau mengatakan sesuatu yang buruk tentang kamu. 22  Tetapi kami berasa bahawa kami patut mendengar pendapat kamu, kerana kami tahu bahawa kumpulan agama ini+ dicela di mana-mana sahaja.”+ 23  Maka mereka menetapkan satu hari untuk berjumpa dengannya. Pada hari itu, lebih ramai orang datang ke tempat penginapannya. Dari pagi sampai malam, dia menggunakan Hukum Musa+ dan Ajaran Para Nabi+ untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan. Dia menjelaskan hal itu untuk meyakinkan mereka tentang Yesus.+ 24  Sesetengah orang mempercayai kata-kata Paulus, tetapi yang lain enggan percaya. 25  Oleh sebab pendapat mereka saling bercanggahan, mereka mula beredar dari sana. Ketika itu Paulus mengatakan hal ini kepada mereka: “Memang tepat apa yang dikatakan oleh kuasa suci Tuhan melalui Nabi Yesaya kepada nenek moyang kamu: 26  ‘Pergilah kepada bangsa ini dan katakanlah, “Kamu memang akan mendengar, tetapi tidak akan faham. Kamu memang akan melihat, tetapi tidak akan nampak.+ 27  Hati umat ini sudah menjadi tidak peka. Walaupun mereka mendengar, mereka berpura-pura tidak mendengar. Mereka memejamkan mata agar tidak melihat dan menutup telinga agar tidak mendengar. Jadi hati mereka tidak mempunyai pengertian dan mereka tidak kembali kepada Aku untuk disembuhkan.”’+ 28  Maka ketahuilah bahawa penyelamatan daripada Tuhan ini sudah diberitakan kepada bangsa-bangsa lain,+ dan mereka pasti akan mendengarkannya.”+ 29 * —— 30  Paulus tinggal di rumah yang disewanya selama dua tahun,+ dan dengan ramah dia menyambut semua orang yang datang kepadanya. 31  Dia menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan mengajar mereka tentang Tuan Yesus Kristus dengan berani*+ dan tanpa halangan.

Nota Kaki

Orang yang tidak bertutur dalam bahasa Yunani.
Yunani, Diʹke, mungkin merujuk kepada dewi yang menuntut keadilan atau personifikasi keadilan.
Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”