Kisah Para Rasul 4:1-37
4 Petrus dan Yohanes sedang bercakap kepada orang ramai ketika para imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan orang Saduki,+ datang kepada mereka.
2 Mereka marah kerana dua orang rasul itu mengajar orang ramai dan memberitahu orang secara terbuka bahawa Yesus telah dibangkitkan daripada kematian.+
3 Oleh itu, mereka menangkap Petrus dan Yohanes dan menahan mereka+ sehingga keesokan harinya, kerana hari sudah petang.
4 Walau bagaimanapun, ramai orang percaya setelah mendengar ajaran mereka, dan bilangan orang yang percaya bertambah menjadi kira-kira 5,000 orang.+
5 Pada hari berikutnya, para pemimpin orang Yahudi dan jurutulis hukum berkumpul di Yerusalem.
6 Hanas,+ iaitu ketua imam, Kayafas,+ Yohanes, Aleksander, dan saudara-mara ketua imam, juga berada di situ.
7 Mereka menyuruh Petrus dan Yohanes berdiri di hadapan mereka lalu bertanya, “Dengan kuasa apa atau atas nama siapa kamu melakukan hal ini?”
8 Maka Petrus, yang dipenuhi kuasa suci Tuhan,+ berkata kepada mereka,
“Para pemimpin,
9 jika hari ini tuan-tuan menyoal kami tentang perbuatan baik yang kami lakukan terhadap lelaki lumpuh ini+ dan bagaimana dia disembuhkan,
10 hendaklah tuan-tuan dan seluruh umat Israel tahu bahawa lelaki ini disembuhkan dengan nama Yesus Kristus, orang Nasaret itu.+ Tuan-tuan menghukum bunuhnya pada tiang,+ tetapi Tuhan sudah membangkitkannya daripada kematian.+ Melalui Yesuslah lelaki ini berdiri di hadapan tuan dalam keadaan yang sihat.
11 Yesuslah yang dimaksudkan oleh ayat ini: ‘Hai para pembina bangunan, batu yang tidak kamu pedulikan telah menjadi batu penjuru yang utama.’+
12 Selain itu, hanya melalui Yesus orang dapat diselamatkan, kerana tiada nama lain+ di bawah langit dan dalam kalangan manusia yang telah dipilih oleh Tuhan untuk menyelamatkan kita.”+
13 Mereka berasa hairan apabila melihat keberanian Petrus dan Yohanes, kerana mereka tahu bahawa kedua-dua rasul itu orang biasa yang tidak berpendidikan,*+ lalu mereka sedar bahawa kedua-dua rasul itu dahulunya bersama Yesus.+
14 Tetapi mereka tidak dapat mengucapkan sepatah kata pun+ ketika melihat lelaki yang telah disembuhkan itu berdiri bersama Petrus dan Yohanes.+
15 Maka mereka mengarahkan ketiga-tiga orang itu keluar dari dewan Majlis Orang Yahudi. Kemudian, mereka berkata kepada satu sama lain,
16 “Apakah yang harus kita lakukan terhadap mereka?+ Semua orang yang tinggal di Yerusalem tahu bahawa mereka telah melakukan mukjizat yang luar biasa.+ Kita tidak dapat menafikannya.
17 Tetapi agar perkara ini tidak tersebar dengan lebih luas dalam kalangan orang ramai, marilah kita mengancam mereka dan menyuruh mereka supaya tidak bercakap lagi kepada sesiapa pun atas nama orang itu.”+
18 Lalu mereka memanggil Petrus dan Yohanes dan mengarahkan mereka supaya tidak lagi mengatakan apa-apa atau mengajar orang atas nama Yesus.
19 Namun Petrus dan Yohanes menjawab, “Dalam pandangan Tuhan, wajarkah kami mendengar cakap tuan dan bukannya Tuhan? Pertimbangkanlah sendiri hal itu.
20 Namun bagi kami, kami tidak dapat berhenti bercakap tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.”+
21 Mereka tidak dapat mencari alasan untuk menghukum Petrus dan Yohanes. Tambahan lagi, mereka takut akan orang ramai yang memuji-muji Tuhan atas peristiwa itu.+ Maka, mereka mengancam kedua-dua rasul itu sekali lagi lalu membebaskan mereka.
22 Orang yang disembuhkan melalui mukjizat itu berumur lebih daripada 40 tahun.
23 Selepas Petrus dan Yohanes dibebaskan, mereka pergi kepada murid-murid yang lain dan menceritakan segala yang dikatakan oleh ketua-ketua imam dan para pemimpin orang Yahudi.
24 Apabila mereka yang berada di situ mendengar hal itu, mereka berseru kepada Tuhan. Dengan sehati mereka berkata,
“Tuhan Yang Berdaulat, Engkaulah yang menjadikan langit, bumi, laut, dan segala yang ada di dalamnya.+
25 Dengan kuasa suci-Mu, Engkau pernah berfirman melalui mulut nenek moyang kami, iaitu Daud,+ hamba-Mu, ‘Mengapakah bangsa-bangsa menjadi resah? Mengapakah penduduk di tempat lain merenungkan perkara yang sia-sia?
26 Raja-raja di bumi bersiap sedia untuk berperang, dan para penguasa bersatu untuk melawan Yehuwa* dan orang yang diurapi-Nya.’+
27 Demikianlah, Herodes dan Pontius Pilatus+ berkumpul di kota ini bersama dengan orang daripada bangsa lain dan orang Israel untuk melawan Yesus, hamba suci-Mu yang telah Engkau urapi.+
28 Mereka semua berkumpul untuk melakukan apa yang telah Engkau tentukan terlebih dahulu. Perkara ini berlaku kerana Engkau mempunyai kuasa dan kerana hal itu selaras dengan kehendak-Mu.+
29 Tetapi sekarang, ya Yehuwa,* dengarlah ancaman mereka, dan bantulah hamba-Mu supaya terus memberitakan firman-Mu dengan penuh keberanian.
30 Teruslah menghulurkan tangan-Mu untuk menyembuhkan pelbagai penyakit, dan lakukanlah mukjizat dan keajaiban+ melalui nama Yesus, hamba-Mu yang suci.”+
31 Setelah mereka berdoa dengan bersungguh-sungguh, tempat mereka berkumpul itu bergoncang. Mereka semua dipenuhi kuasa suci Tuhan+ dan mula memberitakan firman Tuhan dengan berani.+
32 Semua yang telah percaya hidup sehati sejiwa. Tidak ada seorang pun yang menganggap apa yang dimilikinya kepunyaan sendiri. Mereka saling mengongsi segala milik mereka.+
33 Tambahan lagi, para rasul terus memberikan kesaksian tentang pembangkitan Tuan Yesus+ dengan cara yang sangat berkesan. Oleh itu, mereka semua menerima kebaikan hati yang unggul secara berlimpah-limpah.
34 Tiada seorang pun antara mereka yang berkekurangan.+ Semua yang memiliki ladang atau rumah menjual harta mereka dan mengambil wang yang diperoleh,
35 lalu memberikannya kepada para rasul.+ Kemudian, wang itu dibahagi-bahagikan kepada setiap orang menurut keperluan masing-masing.+
36 Ada seorang lelaki yang bernama Yusuf. Dia seorang keturunan Lewi yang lahir di Siprus. Para rasul juga memanggilnya Barnabas,+ yang bermaksud “Orang yang Membawa Kelegaan Hati.”
37 Dia menjual sebidang tanah yang dimilikinya, lalu membawa wangnya kepada para rasul.+
Nota Kaki
^ Iaitu, tidak dididik di sekolah agama Yahudi. Tidak bermaksud buta huruf.
^ Lihat Lampiran A5.
^ Lihat Lampiran A5.