Berita Baik yang Disampaikan oleh Markus 11:1-33
11 Semasa mereka hampir tiba di Yerusalem, mereka pergi ke Betfagi dan Betania+ yang terletak di Gunung Zaitun. Yesus mengutus dua orang muridnya+
2 dan berkata kepada mereka, “Pergilah ke pekan yang ada di hadapan itu, dan sebaik sahaja kamu memasukinya, kamu akan menjumpai seekor anak keldai yang terikat, yang belum pernah ditunggangi orang. Lepaskanlah dan bawalah anak keldai itu kepadaku.
3 Jika ada sesiapa yang berkata kepada kamu, ‘Mengapakah kamu melepaskan keldai ini?’ katakan kepadanya, ‘Tuan memerlukan keldai ini dan akan memulangkannya dengan segera.’”
4 Jadi murid-murid Yesus pergi dan menjumpai seekor anak keldai terikat di depan pintu sebuah rumah yang terletak di pinggir jalan. Semasa mereka melepaskannya,+
5 beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu melepaskan anak keldai ini?”
6 Mereka menjawab seperti yang disuruh oleh Yesus, lalu orang di situ pun membiarkan mereka pergi.
7 Mereka membawa anak keldai itu+ kepada Yesus, dan meletakkan jubah luar mereka di atas anak keldai itu.+ Yesus pun duduk di atasnya.
8 Ramai orang membentangkan jubah luar mereka di atas jalan, yang lain pula memotong pelepah-pelepah pokok dari tepi jalan.+
9 Mereka yang berjalan di hadapan dan belakangnya berseru-seru, “Moga Tuhan menyelamatkan dia!+ Diberkatilah dia yang datang atas nama Yehuwa!*+
10 Diberkatilah Kerajaan yang akan datang, Kerajaan Daud,+ bapa kami! Moga Tuhan yang di syurga menyelamatkan dia!”*
11 Yesus masuk ke Yerusalem lalu pergi ke Rumah Tuhan. Di situ, dia memandang segala sesuatu yang ada di sekelilingnya. Tetapi hari sudah senja, jadi dia pergi ke Betania bersama 12 orang rasulnya.+
12 Pada keesokan harinya, semasa mereka bertolak dari Betania, Yesus berasa lapar.+
13 Dari jauh dia nampak sepohon pokok ara yang sudah berdaun, dan dia pergi melihat sama ada pokok itu mempunyai buah atau tidak. Tetapi apabila dia menghampiri pokok itu, dia tidak menjumpai sebiji buah pun. Yang ada cuma daun-daun kerana masa itu bukan musim buah ara.
14 Maka Yesus berkata kepada pokok itu, “Mulai sekarang, tiada orang akan makan buah daripadamu lagi.”+ Murid-muridnya mendengar kata-kata ini.
15 Selepas mereka tiba di Yerusalem, Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan dan mula mengusir semua orang yang berjual beli di sana. Dia menterbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati.+
16 Dia tidak membenarkan sesiapa pun membawa apa-apa melalui Rumah Tuhan.
17 Dia juga mengajar orang dengan berkata, “Bukankah ada tertulis, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa bagi semua bangsa’?+ Tetapi kamu telah menjadikannya sarang perompak.”+
18 Ketua-ketua imam dan para jurutulis hukum mendengar hal ini dan mula mencari jalan untuk membunuhnya.+ Namun, mereka takut kepadanya kerana orang ramai kagum dengan ajarannya.+
19 Apabila matahari terbenam, mereka meninggalkan kota itu.
20 Awal pagi keesokan harinya, semasa dalam perjalanan, mereka nampak pokok ara itu sudah layu sampai ke akar-akarnya.+
21 Petrus teringat apa yang berlaku lalu berkata, “Lihatlah! Pokok ara yang Rabbi kutuk itu sudah pun layu.”+
22 Lalu Yesus berkata, “Berimanlah kepada Tuhan.
23 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Jika seseorang berkata kepada gunung ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut,’ hal itu memang akan terjadi sekiranya dia beriman dan tidak ragu-ragu bahawa apa yang dikatakannya akan terjadi.+
24 Itulah sebabnya aku berkata kepada kamu: Apa sahaja yang kamu mohon dalam doa, berimanlah bahawa kamu telah menerimanya. Maka kamu pun akan menerimanya.+
25 Apabila kamu berdiri untuk berdoa, ampunkanlah apa sahaja kesalahan orang lain terhadap kamu, supaya Bapa kamu yang di syurga juga mengampunkan kesalahan kamu.”+
26 * ——
27 Sekali lagi mereka datang ke Yerusalem. Semasa Yesus berjalan di dalam Rumah Tuhan, para ketua imam, jurutulis hukum, dan pemimpin orang Yahudi, datang kepadanya
28 dan bertanya, “Dari manakah datangnya kuasamu? Siapakah yang memberi kamu kuasa untuk melakukan semua ini?”+
29 Yesus menjawab, “Aku juga akan tanya kamu satu soalan. Jika kamu menjawabnya, aku akan memberitahu kamu siapa yang memberi aku kuasa untuk melakukan semua ini.
30 Siapakah yang memberi Yohanes+ kuasa untuk membaptis orang? Tuhan* atau manusia? Jawablah soalanku.”+
31 Mereka mula berbincang sesama sendiri dan berkata, “Jika kita kata, ‘Tuhan,’ dia akan bertanya, ‘Jadi, mengapakah kamu tidak percaya kepadanya?’
32 Atau patutkah kita berkata, ‘Manusia’?” Namun, mereka takut berkata demikian kerana orang ramai menganggap Yohanes sebagai seorang nabi.+
33 Oleh itu, mereka menjawab, “Kami tidak tahu.” Maka Yesus berkata, “Kalau begitu, aku pun tidak akan memberitahu kamu siapa yang memberi aku kuasa untuk melakukan semua ini.”