Surat kepada Sidang di Roma 6:1-23

  • Orang yang dibaptis dan bersatu dengan Kristus menempuh kehidupan baharu (1-11)

  • Jangan biarkan dosa berkuasa atas tubuh kamu (12-14)

  • Hamba dosa menjadi hamba Tuhan (15-23)

    • Upah dosa—kematian; kurniaan Tuhan—kehidupan (23)

6  Maka, apakah yang harus kita katakan? Haruskah kita terus berdosa agar kebaikan hati yang unggul bertambah? 2  Tentu tidak! Memandangkan kita sudah dibebaskan daripada dosa,+ bagaimanakah kita dapat terus hidup dalam dosa?+ 3  Atau tidakkah kamu tahu bahawa kita semua yang sudah dibaptis dan yang bersatu dengan Kristus Yesus,+ juga dibaptis dalam kematiannya?+ 4  Jadi, oleh sebab kita sudah dibaptis dalam kematiannya,+ kita sudah dikuburkan dengannya. Dengan demikian, sebagaimana Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian dan menempuh kehidupan yang baharu melalui kemuliaan Bapa, kita juga harus menempuh kehidupan yang baharu.+ 5  Jika kita sudah mati seperti dia, kita juga pasti akan dibangkitkan seperti dia,+ dan dalam cara-cara inilah kita bersatu dengan dia.+ 6  Kita tahu bahawa keperibadian lama kita sudah dipakukan pada tiang bersamanya.+ Dengan itu, tubuh kita yang berdosa tidak lagi berkuasa atas kita,+ dan kita tidak lagi menjadi hamba dosa.+ 7  Hal itu demikian kerana apabila seseorang mati, hutang dosanya sudah dilangsaikan.* 8  Jika kita sudah mati bersama Kristus, kita percaya bahawa kita juga akan hidup bersamanya. 9  Kita tahu bahawa Kristus, yang sekarang sudah dibangkitkan daripada kematian,+ tidak akan mati lagi.+ Kematian tidak lagi menjadi tuan yang berkuasa atas dirinya. 10  Dia mati sekali sahaja+ untuk menyingkirkan dosa. Tetapi dia hidup supaya dia dapat melakukan kehendak Tuhan. 11  Demikian juga dengan kamu. Kamu harus menganggap bahawa kamu sudah mati sehubungan dengan dosa, tetapi kamu hidup untuk melakukan kehendak Tuhan melalui Kristus Yesus.+ 12  Oleh itu, janganlah biarkan dosa terus memerintah sebagai raja atas tubuh kamu yang boleh mati,+ supaya kamu tidak menurut keinginan tubuh kamu. 13  Jangan terus menyerahkan tubuh kamu kepada dosa untuk melakukan apa yang salah. Sebaliknya, serahkanlah diri kamu kepada Tuhan sebagai orang yang dahulunya mati tetapi kini sudah hidup semula. Serahkanlah tubuh kamu kepada Tuhan untuk melakukan apa yang benar.+ 14  Jangan izinkan dosa menjadi tuan yang berkuasa atas kamu, kerana kamu tidak lagi berada di bawah hukum+ tetapi berada di bawah kebaikan hati Tuhan yang unggul.+ 15  Apakah kesimpulannya? Patutkah kita berbuat dosa kerana kita tidak lagi berada di bawah hukum tetapi berada di bawah kebaikan hati Tuhan yang unggul?+ Tentu tidak! 16  Tidakkah kamu tahu bahawa jika kamu menyerahkan diri kepada seseorang untuk mematuhinya, kamu menjadi hamba orang itu?+ Maka, jika kamu ialah hamba dosa,+ kamu akan mati.+ Tetapi jika kamu ialah hamba Tuhan dan mematuhi-Nya, kamu akan mendapat perkenan-Nya. 17  Namun, aku bersyukur kepada Tuhan kerana kamu dahulunya hamba dosa, tetapi sekarang dengan rela hati kamu mematuhi Tuhan dan menurut apa yang sudah diajarkan-Nya kepada kamu. 18  Ya, oleh sebab kamu sudah dibebaskan daripada dosa,+ kamu menjadi hamba kepada Tuhan dan melakukan apa yang benar.+ 19  Oleh sebab kamu lemah kerana dosa, aku menggunakan kata-kata yang mudah difahami orang. Dahulu kamu menyerahkan tubuh kamu sebagai hamba kepada kenajisan dan pelanggaran hukum untuk melakukan perbuatan yang melanggar hukum. Jadi, sekarang serahkanlah tubuh kamu sebagai hamba untuk melakukan apa yang benar dan suci.+ 20  Hal ini demikian kerana semasa kamu menjadi hamba dosa, kamu tidak diwajibkan untuk melakukan apa yang benar. 21  Apakah hasil perbuatan kamu semasa kamu menjadi hamba dosa? Perkara-perkara yang sekarang menyebabkan kamu berasa malu, dan yang akhirnya mengakibatkan kematian.+ 22  Namun, sekarang kamu sudah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba Tuhan. Hasilnya ialah kehidupan yang suci,+ yang membawa kehidupan kekal.+ 23  Upah dosa ialah kematian,+ tetapi kurniaan daripada Tuhan ialah kehidupan kekal+ melalui Kristus Yesus, Tuan kita.+

Nota Kaki

Atau “dibebaskan; diampunkan.”