Surat kepada Sidang di Roma 8:1-39
8 Oleh itu, mereka yang bersatu dengan Kristus Yesus tidak akan dijatuhi hukuman mati.
2 Hal itu demikian kerana hukum kuasa suci Tuhan yang menyebabkan orang bersatu dengan Kristus Yesus telah membebaskan kamu+ daripada hukum dosa dan kematian.
3 Perkara yang tidak dapat dilakukan oleh Hukum+ kerana ketidaksempurnaan manusia+ sudah dilakukan oleh Tuhan. Dia telah mengutus Anak-Nya ke bumi+ dalam rupa manusia*+ untuk memansuhkan dosa. Dengan demikian Dia menjatuhkan hukuman atas dosa manusia.
4 Maka, jika kita menurut bimbingan kuasa suci Tuhan+ dan bukannya menurut keinginan tubuh, kita dapat melakukan perkara yang benar seperti yang tertulis dalam Hukum.+
5 Bagi orang yang hidup menurut keinginan tubuh, fikiran mereka tertumpu kepada keinginan tubuh,+ tetapi bagi orang yang hidup menurut bimbingan kuasa suci Tuhan, fikiran mereka tertumpu kepada hal-hal yang selaras dengan kuasa suci Tuhan.+
6 Jika seseorang menumpukan fikirannya kepada keinginan tubuh, hal itu membawa kematian.+ Sebaliknya jika seseorang menumpukan fikirannya kepada hal-hal yang selaras dengan kuasa suci Tuhan, hal itu membawa kehidupan dan kedamaian.+
7 Seseorang yang menumpukan fikirannya kepada keinginan tubuh menjadi musuh Tuhan+ kerana dia tidak mentaati hukum Tuhan. Sebenarnya dia tidak dapat mentaati hukum Tuhan.
8 Maka orang yang hidup menurut keinginan tubuh tidak dapat menyenangkan hati Tuhan.
9 Tetapi jika kuasa suci Tuhan benar-benar ada dalam diri kamu, kamu akan hidup menurut bimbingan kuasa suci Tuhan+ dan bukannya menurut keinginan tubuh. Sesiapa yang tidak mempunyai fikiran Kristus, orang itu bukan milik Kristus.
10 Tubuh kamu mati kerana dosa, tetapi jika kamu bersatu dengan Kristus,+ kuasa suci Tuhan akan memberi kamu kehidupan kerana kamu melakukan apa yang benar.
11 Tuhan telah menggunakan kuasa suci-Nya untuk membangkitkan Yesus daripada kematian. Jika kuasa suci-Nya ada dalam diri kamu, Tuhan yang membangkitkan Kristus Yesus daripada kematian+ juga akan menghidupkan tubuh kamu+ yang boleh mati melalui kuasa suci-Nya.
12 Saudara-saudara, kita mempunyai kewajipan, tetapi kewajipan kita bukanlah untuk menurut keinginan tubuh kita.+
13 Hal itu demikian kerana jika kamu hidup menurut keinginan yang berdosa, kamu pasti akan mati;+ tetapi jika kamu bergantung pada kuasa suci Tuhan dan mematikan amalan yang berdosa, kamu akan hidup.+
14 Semua orang yang dibimbing oleh kuasa suci Tuhan sememangnya ialah anak-anak Tuhan.+
15 Kuasa suci Tuhan tidak menjadikan kita hamba atau menyebabkan kita berasa takut sekali lagi. Tetapi melalui kuasa suci-Nya, kita dijadikan anak-anak* Tuhan. Lalu kuasa suci Tuhan menggerakkan kita untuk berseru, “Abba,* Bapa!”+
16 Kuasa suci+ Tuhan dan hati kita bersama-sama memberikan kesaksian bahawa kita ialah anak-anak Tuhan.+
17 Memandangkan kita ialah anak-anak Tuhan, kita akan menerima warisan daripada Tuhan, dan Dia akan memberi kita warisan yang sama seperti yang diberikan kepada Kristus.+ Tetapi kita haruslah menderita seperti Kristus,+ supaya kita dimuliakan bersamanya.+
18 Aku berpendapat bahawa segala penderitaan yang kita alami sekarang tidak dapat dibandingkan dengan kemuliaan yang akan disingkapkan menerusi kita.+
19 Semua ciptaan sangat menanti-nantikan masanya anak-anak Tuhan disingkapkan.+
20 Semua ciptaan perlu menjalani kehidupan yang sia-sia,+ bukan menurut kehendak sendiri tetapi menurut kehendak Tuhan. Namun demikian, Tuhan telah menyediakan dasar bagi harapan mereka.
21 Maka, ciptaan dapat dibebaskan+ daripada menjadi hamba tubuh yang boleh musnah lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan.
22 Kita tahu bahawa sehingga sekarang, semua ciptaan sama-sama mengerang dan menderita kesakitan.
23 Malah, kita yang sudah menerima hasil yang pertama, iaitu kuasa suci Tuhan, juga mengerang dalam batin.+ Kita sangat menanti-nantikan masanya Tuhan menjadikan kita anak angkat-Nya+ dan membebaskan kita daripada tubuh yang berdosa melalui tebusan Kristus.
24 Hal ini demikian kerana dengan berharap, kita diselamatkan. Tetapi harapan yang kelihatan bukanlah harapan, kerana siapakah yang mengharapkan sesuatu yang sudah dilihatnya?
25 Tetapi jika kita mengharapkan+ sesuatu yang tidak kelihatan,+ kita akan terus menanti-nantikan hal itu dengan tabah.+
26 Dalam cara yang sama, kuasa suci Tuhan datang menolong kita semasa kita lemah.+ Ada kalanya, kita tidak tahu apa yang patut didoakan. Pada saat-saat sebegitu, walaupun kita tidak dapat meluahkan perasaan kita menerusi kata-kata, kuasa suci Tuhan akan merayu bagi pihak kita.
27 Tuhan yang menyelidiki hati+ semua manusia mengerti apa yang dimaksudkan oleh kuasa suci-Nya, kerana kuasa suci itu menurut kehendak-Nya dan merayu bagi pihak umat-Nya yang suci.
28 Kita tahu bahawa Tuhan memastikan semua perbuatan-Nya terlaksana dengan teratur demi kebaikan mereka yang mengasihi Tuhan, iaitu orang yang dipanggil menurut kehendak-Nya.+
29 Tuhan telah menentukan terlebih dahulu bahawa sebagai golongan pertama yang mendapat perhatian-Nya yang khusus, mereka akan menjadi seperti Anak-Nya.+ Dengan demikian Anak itu akan menjadi Anak sulung+ antara banyak saudara.+
30 Lagipun, mereka yang telah ditentukan terlebih dahulu+ itu juga merupakan orang yang telah dipanggil oleh-Nya,+ dan mereka yang dipanggil oleh-Nya telah mendapat perkenan-Nya.+ Akhirnya, mereka yang mendapat perkenan-Nya telah dimuliakan oleh-Nya.+
31 Oleh itu, apakah yang boleh kita katakan tentang semua perkara itu? Jika Tuhan berpihak kepada kita, siapakah yang dapat melawan kita?+
32 Tuhan tidak menghalang Anak-Nya daripada mengalami penderitaan, tetapi menyerahkannya untuk kita semua.+ Jika begitu, selain memberi kita Anak-Nya, sudah pasti Tuhan akan memberi kita segala sesuatu yang lain dengan senang hati, bukan?
33 Siapakah yang dapat melontarkan tuduhan terhadap umat pilihan Tuhan?+ Tuhan sendiri yang berkenan kepada mereka.+
34 Siapakah yang dapat menghukum mereka? Tiada sesiapa pun yang dapat berbuat demikian kerana Kristus Yesus telah mati, dibangkitkan daripada kematian, dan kini berada di sebelah kanan Tuhan.+ Dialah yang akan merayu bagi pihak kita.+
35 Apakah yang dapat memisahkan kita daripada kasih Kristus?+ Adakah kesengsaraan atau penderitaan atau penganiayaan atau kelaparan atau keadaan telanjang atau bahaya atau pedang?+
36 Seperti yang tertulis, “Demi-Mu, kami diancam maut sepanjang hari, dan kami dilayan seperti biri-biri yang akan disembelih.”+
37 Tetapi dalam semua hal ini, kita akan mendapat kemenangan+ yang mutlak melalui dia yang mengasihi kita.
38 Aku yakin bahawa baik kematian atau kehidupan atau malaikat-malaikat atau kerajaan atau perkara yang ada sekarang atau perkara yang akan datang atau kuasa-kuasa+
39 atau ketinggian atau kedalaman atau mana-mana ciptaan lain, tidak dapat memisahkan kita daripada kasih Tuhan yang ditunjukkan melalui Kristus Yesus, Tuan kita.
Nota Kaki
^ Atau “manusia yang berdosa.”
^ Atau “anak-anak angkat.”
^ Perkataan bahasa Ibrani atau Aram yang bermaksud “Ya Bapa!”