Rut 1:1-22
1 Pada zaman pemerintahan para hakim,+ kebuluran berlaku di Israel. Oleh itu, seorang lelaki meninggalkan kota Betlehem+ di daerah Yehuda bersama isterinya dan dua orang anak lelakinya. Mereka berpindah ke negeri Moab+ dan tinggal di situ sebagai orang asing.
2 Lelaki itu bernama Elimelekh,* dan isterinya bernama Naomi.* Anak-anak lelaki mereka bernama Mahlon dan Kilyon. Mereka berasal dari Efrata (atau Betlehem) di daerah Yehuda. Mereka tiba di negeri Moab lalu menetap di situ.
3 Selepas suatu jangka waktu, suami Naomi, iaitu Elimelekh, meninggal. Maka tinggallah Naomi bersama dua orang anak lelakinya.
4 Kemudian anak-anak lelakinya berkahwin dengan wanita Moab, seorang bernama Orpa dan seorang lagi bernama Rut.+ Mereka tinggal di Moab kira-kira 10 tahun.
5 Selepas itu, kedua-dua orang anak lelaki Naomi, iaitu Mahlon* dan Kilyon,* juga meninggal. Demikianlah Naomi kehilangan suami dan anak-anaknya.
6 Kemudian Naomi mendengar bahawa Yehuwa telah memberkati umat-Nya dengan memberikan makanan kepada mereka. Maka dia meninggalkan Moab untuk pulang ke daerah asalnya bersama dua orang menantunya.
7 Naomi meninggalkan tempat tinggalnya bersama dengan kedua-dua orang menantunya. Dalam perjalanan ke daerah Yehuda,
8 Naomi berkata kepada mereka, “Pulanglah ke rumah ibu kamu masing-masing. Semoga Yehuwa menunjukkan kasih setia kepada kamu,+ sebagaimana kamu telah menunjukkan kasih setia kepadaku dan kepada suami kamu yang telah meninggal.
9 Semoga Yehuwa memberkati kamu dengan seorang suami supaya kamu akan mendapat ketenangan di rumahnya.”+ Naomi mencium mereka dan mereka pun menangis dengan kuat.
10 Mereka berkata kepada Naomi berkali-kali, “Tidak! Kami akan ikut mak balik kepada bangsa mak.”
11 Tetapi Naomi menjawab, “Pulanglah anakku. Mengapa kamu hendak mengikut aku? Dapatkah aku melahirkan anak-anak lelaki lagi untuk menjadi suami kamu?*+
12 Pulanglah anakku. Aku sudah terlalu tua untuk berkahwin lagi. Sekiranya aku masih ada harapan untuk berkahwin lagi pada malam ini juga dan mendapat anak lelaki,
13 sanggupkah kamu menunggu sehingga mereka besar? Sanggupkah kamu hidup membujang demi mereka? Janganlah begitu, anakku. Aku sangat sedih apabila memikirkan keadaan kamu. Kamu terpaksa menderita kerana Yehuwa sedang menentang aku.”+
14 Rut dan Orpa menangis lagi dengan kuat. Kemudian Orpa mencium ibu mentuanya lalu beredar. Tetapi Rut enggan meninggalkan ibu mentuanya.
15 Maka Naomi berkata, “Lihatlah, birasmu sudah pulang kepada bangsanya dan dewa-dewanya. Pulanglah bersamanya juga.”
16 Tetapi Rut menjawab, “Janganlah suruh saya meninggalkan mak. Benarkanlah saya mengikut mak. Ke mana saja mak pergi, ke sanalah saya hendak pergi juga. Di mana saja mak tinggal, di situlah saya hendak tinggal juga. Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Tuhan yang mak sembah, akan saya sembah juga.+
17 Di mana saja mak meninggal, di situlah saya hendak meninggal dan dikebumikan. Biarlah Yehuwa menghukum saya dengan seberat-beratnya jika saya membiarkan apa-apa pun memisahkan kita kecuali kematian.”
18 Apabila Naomi melihat bahawa Rut berkeras hendak pergi bersamanya, dia tidak lagi memujuk Rut untuk pulang.
19 Kemudian mereka berdua meneruskan perjalanan sehingga mereka tiba di Betlehem.+ Sebaik sahaja mereka tiba di situ, seluruh penduduk kota menjadi heboh. Para wanita di situ bertanya, “Betulkah dia itu Naomi?”
20 Tetapi Naomi berkata kepada mereka, “Janganlah panggil saya Naomi. Panggillah saya Mara,* kerana Tuhan Yang Maha Kuasa telah membiarkan kehidupan saya menjadi sangat pahit.+
21 Ketika saya pergi, saya berkelimpahan. Tetapi Yehuwa telah membiarkan saya kembali dengan tangan kosong. Jadi mengapa kamu memanggil saya Naomi, sedangkan Yehuwa Yang Maha Kuasa telah menentang saya dan mendatangkan penderitaan kepada saya?”+
22 Demikianlah Naomi kembali dari negeri Moab+ bersama Rut, menantunya yang berbangsa Moab. Mereka tiba di Betlehem pada permulaan musim menuai barli.+
Nota Kaki
^ Maksudnya “Tuhanku ialah Raja.”
^ Maksudnya “Kesenangan.”
^ Mungkin berasal daripada perkataan Ibrani yang bermaksud “menjadi lemah; jatuh sakit.”
^ Maksudnya “Tidak Berdaya.”
^ Maksudnya “Pahit.”