Rut 3:1-18
3 Naomi berkata kepada Rut, “Anakku, aku harus mencari seorang suami untukmu+ agar kamu dapat hidup bahagia.
2 Boaz, yang telah membenarkan kamu bekerja bersama para pekerja wanitanya itu, merupakan saudara kita.+ Pada petang ini, dia akan menampi* barli di tempat mengirik tuaian.
3 Maka pergilah mandi dan sapulah minyak wangi pada dirimu. Kemudian pakailah bajumu yang terbaik dan pergilah ke tempat mengirik tuaian. Tetapi jangan tunjukkan dirimu kepada Boaz sehingga dia habis makan dan minum.
4 Perhatikanlah tempat dia berbaring. Setelah dia tidur, pergilah dan bukalah selimut pada kakinya lalu baringlah di situ. Kemudian, dia akan memberitahu kamu apa yang harus kamu lakukan.”
5 Rut menjawab, “Saya akan melakukan segala yang mak pesan.”
6 Kemudian Rut pergi ke tempat mengirik tuaian dan melakukan semuanya seperti yang disuruh oleh ibu mentuanya.
7 Sementara itu, Boaz habis makan dan minum. Dia berasa senang hati lalu pergi berbaring di tepi timbunan barli. Selepas itu, Rut datang dengan diam-diam dan membuka selimut yang menutupi kaki Boaz lalu berbaring di situ.
8 Pada tengah malam, Boaz terjaga daripada tidur. Dia bangun dan ternampak seorang wanita sedang berbaring dekat kakinya.
9 Dia bertanya, “Siapakah kamu?” Rut menjawab, “Saya Rut, hamba tuan. Bentangkanlah jubah tuan ke atas saya kerana tuanlah yang berhak untuk menebus saya.”+
10 Maka Boaz berkata, “Anakku, semoga Yehuwa memberkatimu. Kamu tidak mencari seorang pemuda, baik yang kaya mahupun yang miskin. Dengan perbuatanmu ini, kamu menunjukkan kasih setia yang lebih besar daripada apa yang telah kamu lakukan sebelum ini.+
11 Janganlah khuatir, anakku. Aku akan memenuhi segala permintaanmu.+ Semua orang di kota ini tahu bahawa kamu memang wanita yang sangat baik.
12 Memang benar aku berhak menebusmu,+ tetapi ada seorang lagi saudaramu yang lebih dekat daripada aku. Dia lebih berhak menebus kamu.+
13 Oleh itu, bermalamlah di sini. Esok pagi, jika saudara itu mahu menebusmu, biarlah dia berbuat demikian.+ Namun jika dia enggan menebusmu, aku bersumpah demi Yehuwa, Tuhan yang hidup, bahawa aku sendiri akan menebusmu. Sekarang tidurlah di sini sehingga esok pagi.”
14 Maka Rut berbaring dekat kakinya sehingga pagi. Kemudian dia bangun ketika hari masih gelap supaya tidak dilihat orang. Dia berbuat demikian kerana Boaz tidak mahu orang tahu bahawa seorang wanita telah datang ke tempat mengirik tuaian itu.
15 Boaz berkata kepada Rut, “Bawalah dan bentangkanlah kain labuh yang ada padamu.” Maka Rut membentangkan kain labuh itu lalu Boaz menuangkan enam bakul* barli ke atas kain itu. Kemudian dia memberikannya kepada Rut untuk dibawa pulang. Selepas itu, Boaz pergi ke kota.
16 Rut kembali kepada ibu mentuanya lalu ibu mentuanya bertanya, “Apa yang telah berlaku, anakku?” Rut memberitahu ibu mentuanya semua yang telah dilakukan oleh Boaz.
17 Dia menambah, “Boaz juga berkata, ‘Jangan kembali kepada ibu mentuamu dengan tangan kosong.’ Maka dia memberi saya enam bakul barli.”
18 Kemudian Naomi berkata, “Tunggu sahaja anakku. Kamu akan menyaksikan kesudahan perkara ini. Boaz tidak akan berhenti selagi dia tidak menyelesaikan perkara ini pada hari ini juga.”