Ulangan 28:1-68
28 “Jika kamu mentaati Yehuwa, Tuhan kamu, dengan bersungguh-sungguh, dan jika kamu mematuhi semua perintah-Nya yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini, Yehuwa, Tuhan kamu, pasti akan menjadikan kamu lebih agung daripada bangsa-bangsa lain.+
2 Jika kamu mentaati Yehuwa, Tuhan kamu, Dia akan mencurahkan berkat yang berlimpah-limpah ini ke atas kamu:+
3 “Diberkatilah kamu semasa kamu berada di kota dan semasa kamu berada di ladang kamu.+
4 “Diberkatilah kamu sehingga mendapat anak yang banyak+ dan hasil tanaman yang melimpah serta ternakan yang banyak, termasuk lembu dan bebiri.+
5 “Diberkatilah bakul tuaian+ kamu dan bekas adunan roti+ kamu.
6 “Diberkatilah segala usaha kamu tidak kira di mana kamu berada.
7 “Yehuwa akan mengalahkan musuh-musuh yang bangkit untuk menentang kamu.+ Mereka bersekutu untuk menyerang kamu, tetapi kemudian mereka akan lari bertempiaran.+
8 Yehuwa akan memberkati gudang-gudang+ kamu dan segala usaha kamu. Ya, Yehuwa, Tuhan kamu, pasti akan memberkati kamu di tanah yang dijanjikan-Nya untuk diberikan kepada kamu.
9 Seperti yang dijanjikan oleh Yehuwa kepada kamu,+ Dia akan menjadikan kamu umat-Nya yang suci,+ kerana kamu tetap mematuhi perintah Yehuwa dan hidup menurut kehendak-Nya.
10 Semua bangsa di bumi akan tahu bahawa kamu ialah umat yang menyandang nama Yehuwa,+ dan mereka akan menjadi takut terhadap kamu.+
11 “Yehuwa akan memberkati kamu dengan anak yang banyak dan hasil tanaman yang melimpah serta ternakan yang banyak+ di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, menurut janji yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu.+
12 Sepertimana seorang lelaki membuka gudangnya yang dipenuhi barang, Yehuwa akan membuka langit lalu menurunkan hujan pada musimnya+ dan memberkati segala yang kamu lakukan. Kamu akan memberikan pinjaman kepada banyak bangsa, tetapi kamu sendiri tidak perlu meminjam daripada sesiapa pun.+
13 Jika kamu tetap mematuhi perintah Yehuwa yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini, Yehuwa akan memuliakan kamu dan kamu tidak akan dikuasai oleh bangsa-bangsa lain. Kamu akan menjadi lebih agung daripada orang lain+ dan kamu tidak akan direndahkan.
14 Jangan menyimpang daripada segala yang aku perintahkan kepada kamu pada hari ini, baik ke kiri mahupun ke kanan,+ dan jangan pergi menyembah tuhan-tuhan lain.+
15 “Tetapi jika kamu enggan mentaati Yehuwa, Tuhan kamu, dan enggan mematuhi semua hukum dan perintah-Nya yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini, Dia akan menimpakan semua kutukan yang dahsyat ini kepada kamu:+
16 “Terkutuklah kamu semasa kamu berada di kota dan semasa kamu berada di ladang kamu.+
17 Terkutuklah bakul tuaian+ kamu dan bekas adunan roti+ kamu.
18 “Terkutuklah kamu sehingga anak+ kamu, hasil tanaman kamu, dan ternakan+ kamu, menjadi sedikit sahaja.
19 “Terkutuklah segala usaha kamu tidak kira di mana kamu berada.
20 “Yehuwa akan mendatangkan kutukan, hukuman, dan kekacauan, kepada segala yang kamu usahakan, sehingga kamu binasa dan lenyap dalam waktu yang singkat sahaja. Hal ini demikian kerana kamu meninggalkan-Nya dan mengamalkan perbuatan yang jahat.+
21 Yehuwa akan menimpakan penyakit yang teruk kepada kamu sehingga kamu dihapuskan dari tanah yang akan kamu duduki itu.+
22 Yehuwa akan menghukum kamu dengan pelbagai penyakit, seperti batuk kering, demam panas,+ radang, dan panas tinggi. Dia akan menyebabkan musuh menyerang kamu,+ dan Dia juga akan mendatangkan angin panas dan kulapuk kepada tanaman kamu.+ Semua kutukan ini akan menimpa kamu sehingga kamu binasa.
23 Dia akan menyebabkan langit kamu menjadi seperti tembaga dan tanah kamu menjadi seperti besi.*+
24 Yehuwa akan mendatangkan ribut pasir dan debu kepada kamu sehingga kamu lenyap.
25 Yehuwa akan membiarkan kamu dikalahkan musuh.+ Kamu akan menyerang mereka, tetapi kemudian kamu akan lari bertempiaran. Bangsa-bangsa lain akan melihat keadaan kamu dan menjadi takut.+
26 Mayat kamu akan menjadi makanan bagi setiap burung di langit dan setiap binatang di darat. Tiada sesiapa pun yang akan mengusir burung dan binatang itu.+
27 “Yehuwa akan menghukum kamu dengan bisul,* buasir, kudis, dan ruam. Kamu tidak akan sembuh daripada penyakit-penyakit ini.
28 Yehuwa akan menyebabkan kamu hilang akal, dan menjadikan kamu buta+ dan bingung.
29 Kamu akan meraba-raba pada siang hari, seperti orang buta meraba-raba dalam kegelapan.+ Kamu tidak akan berjaya dalam apa pun yang kamu lakukan. Kamu juga akan sentiasa ditipu dan dirompak, dan tiada sesiapa pun yang akan menolong kamu.+
30 Kamu akan bertunang dengan seorang gadis, tetapi lelaki lain akan merogolnya. Kamu akan membina rumah, tetapi kamu tidak akan mendiaminya.+ Kamu juga akan menanam anggur, tetapi kamu tidak akan menikmati hasilnya.+
31 Lembu kamu akan disembelih di depan mata kamu, tetapi kamu tidak akan makan sedikit pun daripada dagingnya. Keldai kamu akan dirampas di depan mata kamu, dan keldai itu tidak akan dikembalikan kepada kamu. Bebiri kamu juga akan diambil oleh musuh kamu, tetapi tiada sesiapa pun yang akan menolong kamu.
32 Anak-anak kamu akan diserahkan kepada bangsa lain+ di depan mata kamu. Kamu akan selalu merindui mereka, tetapi kamu tidak dapat melakukan apa-apa pun.
33 Segala yang kamu usahakan dan segala hasil tanaman kamu akan diambil oleh orang asing.+ Kamu juga akan sentiasa diperdaya dan ditindas.
34 Semua yang kamu alami ini akan menyebabkan kamu menjadi gila.
35 “Yehuwa akan menghukum kamu dengan bisul yang sangat menyakitkan dan yang tidak dapat diubati pada lutut dan kaki kamu. Ya, seluruh badan kamu akan diliputi bisul, dari telapak kaki sampai kepala kamu.
36 Yehuwa akan mengusir kamu dan raja yang kamu lantik ke negeri asing, iaitu ke negeri yang tidak kamu atau nenek moyang kamu ketahui.+ Di situ kamu terpaksa menyembah tuhan-tuhan lain yang dibuat daripada kayu dan batu.+
37 Apabila Yehuwa mengusir kamu ke situ, semua penduduk di situ akan menjadi takut kerana melihat keadaan kamu. Namun, mereka akan menghina dan mentertawakan kamu.+
38 “Kamu akan menabur banyak benih, tetapi kamu akan mendapat tuaian yang sedikit sahaja,+ kerana belalang juta akan melahap hasil tanaman kamu.
39 Kamu akan menanam anggur dan mengusahakan ladang, tetapi kamu tidak akan meminum wain atau mendapat apa-apa hasil,+ kerana ulat akan memakan pokok-pokok anggur kamu.
40 Kamu akan mempunyai banyak pokok zaitun di seluruh negeri kamu, tetapi kamu tidak akan mendapat minyaknya untuk disapu pada tubuh kamu, kerana semua buah zaitun kamu akan gugur.
41 Kamu akan mempunyai anak lelaki dan perempuan, tetapi mereka tidak akan tetap bersama kamu, kerana mereka semua akan dibawa pergi sebagai tawanan.+
42 Semua pokok dan tanaman kamu akan dimakan oleh kawanan serangga.
43 Orang asing dalam kalangan kamu akan menjadi semakin berkuasa, tetapi kamu pula akan menjadi semakin lemah.
44 Mereka akan memberikan pinjaman kepada kamu, tetapi kamu tidak mampu meminjamkan apa-apa kepada mereka.+ Mereka akan menjadi pemerintah kamu dan kamu terpaksa tunduk kepada mereka.+
45 “Semua kutukan itu+ akan menimpa kamu sehingga kamu binasa dan kamu tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.+ Hal ini demikian kerana kamu tidak mentaati Yehuwa, Tuhan kamu, dan kerana kamu tidak mematuhi hukum dan perintah-Nya.+
46 Semua kutukan itu akan menimpa kamu serta keturunan kamu, dan semua itu akan menjadi suatu tanda amaran kepada semua orang.+
47 Hal ini demikian kerana meskipun kamu diberkati dengan melimpah, kamu tidak menyembah Yehuwa dengan gembira dan senang hati.+
48 Yehuwa akan menyebabkan musuh-musuh kamu menyerang dan menawan kamu. Kamu akan diperhamba+ dalam keadaan lapar,+ dahaga, telanjang,* dan serba kekurangan. Kamu akan ditindas dengan kejam* sehingga kamu binasa sama sekali.
49 “Yehuwa akan mendatangkan suatu bangsa dari hujung bumi untuk menyerang kamu,+ iaitu sebuah bangsa yang bahasanya tidak kamu fahami.+ Mereka akan menyerang kamu seperti burung helang menyambar mangsanya.+
50 Mereka merupakan sebuah bangsa yang ganas dan kejam. Mereka tidak berbelas kasihan terhadap sesiapa pun, baik orang tua mahupun kanak-kanak.+
51 Mereka akan memakan ternakan kamu dan hasil tanaman kamu sehingga kamu dilenyapkan. Mereka tidak akan meninggalkan bijirin, minyak, wain baharu, anak lembu, atau anak bebiri, untuk kamu sehingga kamu dimusnahkan.+
52 Mereka akan mengepung kota-kota kamu di negeri yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, sehingga tembok kota kamu yang tinggi dan kukuh runtuh sama sekali. Kamu akan terperangkap di dalam kota-kota kamu itu,+
53 dan kamu terpaksa memakan anak-anak kamu sendiri,+ iaitu anak-anak yang dikurniakan oleh Yehuwa kepada kamu. Hal ini demikian kerana penderitaan dan penindasan yang diakibatkan oleh serangan musuh kamu itu terlalu dahsyat.
54 “Lelaki yang biasa hidup dalam kemewahan dan yang bersikap lemah lembut pun tidak akan berbelas kasihan terhadap saudaranya, isteri yang dikasihinya, atau anak-anaknya yang masih hidup.
55 Dia akan memakan anaknya sendiri dan tidak akan membahagikannya dengan sesiapa pun kerana dia tidak mempunyai makanan lain, dan kerana dia sangat menderita akibat serangan musuh terhadap kota-kota kamu.+
56 Wanita yang bersikap lemah lembut dan yang biasa hidup dalam kemewahan, sehingga tidak pernah menjejakkan kaki ke tanah,+ tidak akan berbelas kasihan terhadap suami yang dikasihinya atau anak-anaknya.
57 Secara sembunyi-sembunyi, dia akan memakan anaknya sendiri dan bahkan uri bayinya,* kerana dia sangat menderita akibat serangan musuh terhadap kota-kota kamu.
58 “Jika kamu tidak mematuhi segala yang dinyatakan dalam Hukum* yang tertulis dalam kitab ini,+ dan jika kamu tidak menghormati nama Tuhan yang mulia dan menakjubkan,+ iaitu Yehuwa,+
59 maka Yehuwa akan mendatangkan tulah-tulah yang dahsyat kepada kamu dan keturunan kamu.+ Dia juga akan menimpakan penyakit yang teruk dan yang tidak dapat diubati kepada kamu dan keturunan kamu.
60 Dia akan mendatangkan semua penyakit yang kamu takuti di Mesir dahulu. Kamu tidak akan sembuh daripada penyakit-penyakit itu.
61 Tambahan lagi, Yehuwa akan mendatangkan segala macam penyakit dan tulah yang tidak tertulis dalam kitab Hukum ini kepada kamu sehingga kamu dihapuskan.
62 Walaupun bilangan kamu telah menjadi banyak seperti bintang-bintang di langit,+ hanya sedikit orang yang akan tertinggal dalam kalangan kamu+ kerana kamu tidak mentaati Yehuwa, Tuhan kamu.
63 “Sebagaimana Yehuwa berasa senang hati untuk menjadikan kamu makmur dan menambahkan bilangan kamu, demikian juga Yehuwa akan berasa senang hati untuk membinasakan dan memusnahkan kamu. Kamu akan diusir dari tanah yang akan kamu duduki.
64 “Yehuwa akan mencerai-beraikan kamu dalam kalangan bangsa-bangsa lain, dari satu hujung bumi ke hujung yang lain.+ Di sana, kamu terpaksa menyembah tuhan-tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu, iaitu tuhan-tuhan yang tidak kamu atau nenek moyang kamu kenali.+
65 Dalam kalangan bangsa-bangsa itu, kamu tidak akan mendapat ketenteraman+ atau tempat untuk beristirahat. Sebaliknya, Yehuwa akan menyebabkan kamu putus harapan dan membuat hati kamu gelisah serta menjadikan penglihatan kamu kabur.+
66 Kamu akan ketakutan siang dan malam. Hidup kamu akan sentiasa terancam, dan kamu akan berasa seolah-olah maut sedang menunggu kamu.
67 Pada waktu siang, kamu akan berkata, ‘Alangkah baiknya jika sekarang waktu malam!’ dan pada waktu malam, kamu akan berkata pula, ‘Alangkah baiknya jika sekarang waktu siang!’ Kamu akan diselubungi rasa gentar kerana melihat segala yang menimpa kamu.
68 Yehuwa pasti akan membawa kamu kembali ke Mesir dengan kapal, meskipun aku pernah berkata, ‘Kamu tidak akan melihat negeri itu lagi.’ Di sana, kamu terpaksa menjual diri kamu sebagai hamba kepada musuh-musuh kamu, namun tiada sesiapa pun yang akan membeli kamu.”
Nota Kaki
^ Iaitu, langit tidak akan menurunkan hujan dan tanah akan menjadi kering.
^ Atau “bisul yang pernah dialami oleh orang Mesir.”
^ Atau “dengan memakai jubah dalam sahaja.”
^ Atau “Mereka akan memasang kuk besi pada tengkuk kamu.”
^ Atau “bahkan apa-apa yang keluar dari rahimnya sewaktu dia melahirkan anak.”