Yehezkiel 21:1-32
21 Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi,
2 “Anak manusia, pandanglah ke arah Yerusalem, buatlah pengumuman tentang tempat-tempat suci, dan bernubuatlah tentang negeri Israel.
3 Katakanlah kepada negeri Israel, ‘Inilah firman Yehuwa: “Aku akan melawan engkau. Aku akan mengeluarkan pedang-Ku daripada sarungnya+ dan membunuh semua orang dalam kalanganmu, baik orang yang jahat mahupun orang yang baik.
4 Oleh sebab Aku akan membunuh orang yang baik dan yang jahat, Aku akan mengeluarkan pedang-Ku dan menyerang semua orang dari selatan sampai ke utara.
5 Semua orang akan tahu bahawa Aku, Yehuwa, telah menghunus pedang-Ku, dan Aku tidak akan menyarungkannya lagi.”’+
6 “Anak manusia, mengeluhlah sambil menggigil ketakutan. Ya, mengeluhlah dengan sedih di hadapan mereka.+
7 Jika mereka bertanya, ‘Mengapakah engkau mengeluh?’ engkau akan menjawab, ‘Kerana aku mendapat suatu berita.’ Berita itu akan membuat hati setiap orang menjadi takut dan tangan semua orang menjadi lemah. Mereka akan hilang semangat, dan air akan menitis dari lutut mereka.*+ ‘Lihatlah! Berita itu akan menjadi kenyataan, dan semua hal itu akan berlaku,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.”
8 Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi,
9 “Anak manusia, bernubuatlah dan katakanlah, ‘Inilah firman Yehuwa: “Katakanlah, ‘Ada sebilah pedang. Pedang+ itu diasah dan digilap.
10 Pedang itu diasah untuk menumpahkan banyak darah. Pedang itu digilap supaya bersinar seperti pancaran kilat.’”’”
Mereka berkata, “Bukankah kita patut bersukacita?”
Tetapi Tuhan menjawab, “‘Pedang itu* akan menolak tongkat pemerintahan anak-Ku,+ seperti yang dilakukannya terhadap semua pokok yang lain.
11 “‘Pedang itu haruslah digilap lalu diserahkan ke dalam tangan seseorang. Ya, pedang itu haruslah diasah dan digilap lalu diserahkan ke dalam tangan orang yang akan melaksanakan hukuman.+
12 “‘Anak manusia, merataplah dan meraunglah+ kerana pedang itu menyerang umat-Ku. Pedang itu akan menyerang semua pemimpin Israel.+ Mereka akan menjadi mangsa pedang itu bersama umat-Ku. Oleh itu, pukullah pahamu sebagai tanda berkabung.
13 Pedang itu sudah diperiksa,+ dan apakah yang akan berlaku jika pedang itu menolak tongkat pemerintahan itu? Tongkat itu akan dilenyapkan,’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.
14 “Anak manusia, bernubuatlah, tepuklah tanganmu, dan katakanlah ‘Pedang!’ sebanyak tiga kali. Pedang itu akan membunuh orang dan menumpahkan banyak darah. Ya, pedang itu akan mengelilingi mereka.+
15 Hati mereka akan menjadi takut+ dan ramai akan tumpas di pintu gerbang mereka. Aku akan menggunakan pedang itu untuk membunuh banyak orang. Pedang itu berkilau seperti pancaran kilat, ya, pedang itu digilap untuk membunuh orang!
16 Hai pedang tajam, tikamlah ke kanan! Tikamlah ke kiri! Pergilah ke mana sahaja mata pedangmu diarahkan!
17 Kemudian Aku akan bertepuk tangan dan kemarahan-Ku akan reda.+ Aku, Yehuwa, telah berfirman.”
18 Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi,
19 “Anak manusia, tandakanlah jalan yang akan dilalui pedang raja Babilon. Jalan itu akan bermula dari sebuah negeri dan bercabang lalu menuju ke arah dua buah kota. Pasanglah papan tanda di tempat jalan itu mula bercabang.
20 Tandakanlah jalan mana yang harus dilalui oleh pedang itu untuk menyerang Raba,+ iaitu kota orang Ammon. Kemudian tandakanlah jalan mana yang harus dilalui oleh pedang itu untuk menyerang Yerusalem,+ iaitu kota berkubu di Yehuda.
21 Hal ini demikian kerana raja Babilon akan berhenti di tempat jalan itu mula bercabang, dan menentukan jalan mana yang akan dilaluinya dengan menggunakan ilmu ramal. Dia akan menggoncang anak-anak panahnya, bertanya kepada patung-patung berhalanya,* dan memeriksa hati binatang.
22 Di tangan kanannya, terdapat ramalan yang menunjukkan bahawa dia patut pergi ke Yerusalem, meletakkan kayu-kayu pelantak di kota itu, mengisytiharkan perang, meneriakkan seruan perang, menyerang pintu-pintu gerbang dengan kayu pelantak, membuat timbunan tanah, dan mendirikan benteng untuk mengepung kota itu.+
23 Tetapi bangsa* yang telah membuat perjanjian dengan mereka* enggan mempercayai ramalan itu.+ Namun raja ingat akan kesalahan mereka dan raja akan menawan mereka.+
24 “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Semua perbuatanmu telah menyingkapkan dosa-dosamu dan mendedahkan kesilapanmu. Memandangkan kamu telah mengingatkan orang tentang kesalahan kamu, kamu akan diingati dan ditawan oleh musuh.’
25 “Wahai pemimpin Israel yang cedera parah, harimu sudah tiba.+ Engkau jahat, dan saat engkau dijatuhi hukuman yang terakhir sudah tiba.
26 Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Tanggalkanlah mahkota dan serban raja.+ Keadaan akan berubah.+ Yang rendah akan ditinggikan,+ dan yang tinggi akan direndahkan.+
27 Musnah! Musnah! Ya, Aku akan memusnahkan mahkota itu! Mahkota itu tidak akan menjadi milik sesiapa pun sehingga orang yang berhak memilikinya muncul.+ Kemudian Aku akan menyerahkan mahkota itu kepadanya.’+
28 “Anak manusia, bernubuatlah dan katakanlah, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, tentang orang Ammon dan hinaan yang telah dilemparkan oleh mereka.’ Katakanlah, ‘Pedang! Ya, pedang telah dihunus untuk menumpahkan darah! Pedang itu digilap sampai bersinar seperti kilat untuk membunuh orang.
29 Penglihatan dan ramalan yang engkau* terima tentang dirimu itu palsu belaka, dan mayatmu akan dilonggokkan bersama orang yang terbunuh. Kesudahan orang jahat telah tiba, ya, saat mereka dijatuhi hukuman yang terakhir sudah tiba.
30 Kembalikanlah pedang itu ke dalam sarungnya. Aku akan menghakimi engkau di negeri tempat engkau dilahirkan,* iaitu negeri asalmu.
31 Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku terhadapmu, dan engkau akan merasai bahang kemurkaan-Ku. Aku akan menyerahkan engkau kepada orang kejam yang terlatih untuk membawa kemusnahan.+
32 Engkau akan menjadi bahan bakar untuk api.+ Darahmu akan ditumpahkan di negeri itu, dan tiada sesiapa pun yang akan mengingati engkau lagi, kerana Aku, Yehuwa, telah berfirman.’”
Nota Kaki
^ Iaitu, terkencing kerana takut.
^ Iaitu, pedang Yehuwa.
^ Harfiah, “terafim.”
^ Iaitu, penduduk Yerusalem.
^ Nampaknya merujuk kepada orang Babilon.
^ Nampaknya merujuk kepada Raba, kota orang Ammon.
^ Harfiah, “diciptakan.”