Yehezkiel 44:1-31

  • Pintu gerbang di timur akan sentiasa ditutup (1-3)

  • Peraturan berkenaan orang asing (4-9)

  • Peraturan berkenaan orang Lewi dan imam (10-31)

44  Dia membawa aku kembali ke pintu gerbang luar di tempat suci yang menghadap ke arah timur,+ tetapi pintu itu tertutup.+ 2  Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, “Pintu gerbang ini harus sentiasa ditutup dan tidak boleh dibuka. Tiada seorang pun yang boleh masuk melaluinya, kerana Aku, Yehuwa, Tuhan orang Israel, telah melaluinya.+ Oleh itu, pintu gerbang ini haruslah sentiasa ditutup. 3  Tetapi seorang pemimpin akan duduk di situ dan makan roti di hadapan Yehuwa+ kerana dia ialah seorang pemimpin. Dia akan masuk melalui anjung pintu itu, dan dia akan keluar melaluinya juga.”+ 4  Selepas itu, dia membawa aku masuk ke hadapan Rumah Tuhan melalui pintu gerbang utara. Apabila aku nampak bahawa cahaya kemuliaan Yehuwa telah memenuhi Rumah Yehuwa,+ aku bersujud ke tanah.+ 5  Yehuwa berfirman kepadaku, “Anak manusia, perhatikanlah segala-galanya dengan teliti. Lihatlah dan dengarlah baik-baik kerana Aku akan memberitahu engkau tentang hukum dan perintah Rumah Yehuwa. Perhatikanlah dengan teliti jalan masuk ke rumah itu dan semua jalan keluar tempat suci itu.+ 6  Katakanlah kepada bangsa Israel yang suka memberontak itu, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Hai bangsa Israel, berhentilah melakukan perbuatan kamu yang menjijikkan itu! 7  Kamu membawa bangsa asing yang tidak bersunat dan yang hatinya jahat ke dalam tempat suci-Ku, dan mereka menajiskan Rumah-Ku. Kamu mempersembahkan roti dan mempersembahkan lemak dan darah kepada-Ku, tetapi pada masa yang sama, kamu masih melakukan perbuatan jijik yang melanggar perjanjian-Ku. 8  Kamu tidak menjaga barang-barang suci-Ku.+ Sebaliknya, kamu menyuruh orang lain untuk berkhidmat di tempat suci-Ku.”’ 9  “‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Orang asing di Israel, yang tidak bersunat dan yang hatinya jahat, tidak dibenarkan untuk masuk ke tempat suci-Ku.”’ 10  “‘Apabila orang Israel menyimpang dan meninggalkan Aku+ untuk menyembah patung-patung berhala mereka yang menjijikkan,* orang Lewi juga meninggalkan Aku. Maka orang Lewi akan menanggung akibat kesalahan mereka. 11  Tetapi selepas itu, mereka akan bekerja di tempat suci-Ku sebagai penjaga pintu-pintu gerbang Rumah-Ku.+ Mereka akan berkhidmat di Rumah-Ku dengan menyembelih korban bakar dan korban yang lain bagi pihak rakyat. Mereka akan berdiri di hadapan rakyat untuk berkhidmat kepada mereka. 12  Orang Lewi telah berkhidmat kepada rakyat di hadapan patung-patung berhala mereka yang menjijikkan. Mereka juga menjadi batu sandungan yang menyebabkan bangsa Israel berdosa.+ Oleh itu, Aku telah mengangkat tangan-Ku dan bersumpah,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, ‘bahawa mereka akan menanggung akibat kesalahan mereka itu. 13  Mereka tidak akan menghampiri-Ku untuk berkhidmat sebagai imam-Ku, atau menghampiri benda-benda-Ku yang suci dan yang sangat suci. Mereka akan menanggung malu kerana mereka telah melakukan hal-hal yang jijik. 14  Tetapi Aku akan menjadikan mereka penjaga di Rumah-Ku, dan mereka akan berkhidmat di situ dan bertanggungjawab atas segala tugas yang wajib dilaksanakan di situ.’+ 15  “‘Apabila orang Israel menyimpang daripada-Ku,+ imam-imam Lewi daripada keturunan Zadok+ telah memikul tanggungjawab mereka di tempat suci-Ku. Oleh itu, mereka akan menghampiri-Ku untuk berkhidmat kepada-Ku. Mereka akan berdiri di hadapan-Ku untuk mempersembahkan lemak+ dan darah korban,’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. 16  ‘Merekalah yang akan masuk ke dalam tempat suci-Ku, dan menghampiri mazbah-Ku* untuk berkhidmat kepada-Ku.+ Mereka akan menjalankan tanggungjawab yang telah Aku amanahkan kepada mereka.+ 17  “‘Apabila mereka masuk melalui pintu-pintu gerbang di halaman dalam, mereka haruslah memakai kain linen.+ Mereka tidak boleh memakai kain bulu apabila mereka berkhidmat di pintu-pintu gerbang di halaman dalam atau di dalam tempat suci. 18  Mereka patut memakai serban dan seluar pendek yang diperbuat daripada kain linen.+ Mereka tidak boleh memakai apa-apa pun yang membuat mereka berpeluh. 19  Sebelum mereka keluar ke halaman luar, iaitu tempat rakyat berkumpul, mereka haruslah menanggalkan pakaian yang dipakai oleh mereka semasa berkhidmat+ dan meletakkannya di dalam bilik-bilik makan yang suci.*+ Kemudian mereka akan mengenakan pakaian yang lain agar mereka tidak menyucikan rakyat melalui pakaian mereka. 20  Mereka harus memotong rambut mereka.+ Mereka tidak patut mencukur kepala mereka atau membiarkan rambut mereka menjadi panjang. 21  Para imam tidak boleh minum wain apabila mereka hendak masuk ke halaman dalam.+ 22  Mereka tidak boleh berkahwin dengan balu atau wanita yang telah bercerai,+ tetapi mereka boleh berkahwin dengan anak dara daripada keturunan Israel atau balu imam.’+ 23  “‘Mereka patut mengajar umat-Ku perbezaan antara apa yang suci dengan apa yang tidak suci, dan perbezaan antara apa yang bersih dengan apa yang tidak bersih.+ 24  Mereka akan bertugas sebagai hakim dalam hal-hal perundangan,+ dan menjalankan penghakiman menurut ketetapan-Ku.+ Mereka patut menyucikan hari-hari Sabat-Ku dan mematuhi hukum dan perintah-Ku berkenaan semua perayaan-Ku.+ 25  Mereka tidak boleh menajiskan diri dengan menghampiri orang yang sudah mati, kecuali jika orang itu ialah bapa, ibu, anak, saudara lelaki, atau saudara perempuan mereka yang belum berkahwin.+ 26  Selepas seseorang imam disucikan, dia mesti menunggu tujuh hari lagi. 27  Pada hari dia masuk ke tempat suci, ke halaman dalam, untuk berkhidmat di situ, dia haruslah mempersembahkan korban bagi pengampunan dosanya,’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. 28  “‘Mereka akan memiliki Aku sebagai warisan mereka.+ Ya, Akulah warisan mereka. Kamu tidak boleh memberikan apa-apa warisan di Israel kepada mereka kerana Akulah milik mereka. 29  Merekalah yang akan makan korban bijirin,+ korban dosa, dan korban ganti rugi.+ Semua benda di Israel yang dikhaskan untuk Tuhan akan menjadi milik mereka.+ 30  Hasil pertama yang terbaik dan semua sumbangan daripada kamu akan menjadi milik para imam.+ Kamu haruslah memberikan bijirin yang telah dikisar daripada hasil tuaian pertama kepada mereka.+ Hal ini akan membawa berkat kepada seisi keluarga kamu.+ 31  Para imam tidak boleh makan burung atau mana-mana binatang yang sudah menjadi bangkai atau yang mati diterkam oleh binatang lain.’+

Nota Kaki

Lihat nota kaki bagi Yeh 6:4.
Atau “meja-Ku.”
Atau “bilik-bilik suci.”