Yehezkiel 6:1-14
6 Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi,
2 “Anak manusia, pandanglah ke arah gunung-gunung Israel, dan bernubuatlah kepada gunung-gunung itu.
3 Engkau haruslah berkata, ‘Wahai gunung-gunung Israel, dengarlah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, kepada gunung, bukit, sungai, dan lembah: “Lihatlah! Aku akan membawa pedang untuk melawan kamu, dan Aku akan memusnahkan tempat-tempat ibadat* kamu.
4 Mazbah-mazbah kamu akan dirobohkan, dan tempat membakar kemenyan kamu juga akan dibinasakan.+ Orang yang mati dalam kalangan kamu akan Aku lemparkan di depan patung-patung berhala kamu yang menjijikkan.*+
5 Aku akan membuang mayat-mayat orang Israel di depan patung-patung berhala mereka yang menjijikkan, dan Aku akan menyelerakkan tulang kamu di sekeliling mazbah kamu.+
6 Di mana sahaja kamu tinggal, kota-kota di situ akan dihancurkan.+ Tempat-tempat ibadat kamu akan dirobohkan dan dibiarkan gersang.+ Mazbah-mazbah kamu akan dirobohkan sehingga berkecai. Patung-patung berhala kamu yang menjijikkan akan dilenyapkan, tempat membakar kemenyan kamu akan dirobohkan, dan semua yang telah kamu bina akan dimusnahkan.
7 Orang yang terbunuh akan rebah di tengah-tengah kamu,+ dan kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.+
8 “‘“Tetapi apabila kamu berada dalam kalangan bangsa-bangsa dan tercerai-berai di negeri-negeri lain, Aku akan membiarkan sebilangan daripada kamu terselamat daripada pedang.+
9 Mereka yang terselamat akan ingat tentang Aku apabila mereka menjadi tawanan dalam kalangan bangsa-bangsa.+ Mereka akan sedar bahawa Aku patah hati kerana mereka tidak setia* terhadap-Ku.+ Mereka telah memandang patung berhala mereka yang menjijikkan dengan nafsu berahi lalu mereka meninggalkan Aku.+ Mereka akan berasa malu dan membenci semua perbuatan jahat dan jijik yang telah dilakukan oleh mereka.+
10 Barulah mereka akan tahu bahawa Akulah Yehuwa dan amaran-Ku untuk mendatangkan malapetaka atas mereka bukan sekadar ancaman kosong.”’+
11 “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Tepuklah tanganmu, hentakkanlah kakimu, dan ratapilah semua perbuatan jahat dan jijik yang telah dilakukan oleh bangsa Israel, kerana mereka akan mati disebabkan pedang, kebuluran, dan wabak.+
12 Mereka yang jauh akan mati kerana wabak. Mereka yang dekat akan mati kerana pedang. Sesiapa yang masih hidup dan terselamat daripada semua ini akan mati kebuluran. Demikianlah Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku terhadap mereka.+
13 Kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa,+ apabila mayat mereka yang terbunuh dicampak berdekatan patung-patung berhala mereka yang menjijikkan, di sekitar mazbah mereka,+ di atas setiap bukit yang tinggi, di atas semua puncak gunung, di bawah setiap pokok yang subur, dan di bawah dahan setiap pokok yang besar. Di situlah mereka mempersembahkan korban yang berbau harum untuk menyenangkan hati patung-patung berhala mereka yang menjijikkan.+
14 Aku akan menghulurkan tangan-Ku untuk melawan mereka dan membuat negeri mereka menjadi tandus. Semua tempat tinggal mereka akan menjadi lebih tandus daripada padang belantara dekat Dibla. Barulah mereka akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’”
Nota Kaki
^ Istilah ini dalam bahasa Ibrani mungkin berkaitan dengan istilah yang bermaksud “tahi” dan digunakan untuk menunjukkan perasaan meluat yang sangat mendalam.
^ Atau “kerana mereka curang.”