Yeremia 32:1-44
32 Pada tahun ke-10 pemerintahan Raja Zedekia dari Yehuda, iaitu pada tahun ke-18 pemerintahan Nebukadnezar,+ Yeremia menerima perkhabaran daripada Yehuwa.
2 Pada waktu itu, tentera raja Babilon sedang mengepung Yerusalem, dan Nabi Yeremia ditahan di Halaman Pengawal+ di dalam istana raja Yehuda.
3 Raja Zedekia dari Yehuda telah mengurung nabi itu+ dan berkata kepadanya, “Mengapakah kamu menubuatkan hal-hal ini? Kamu berkata, ‘Inilah firman Yehuwa: “Aku akan menyerahkan kota ini ke dalam tangan raja Babilon, dan raja itu akan menawan kota ini.+
4 Zedekia, raja Yehuda, tidak akan dapat melarikan diri daripada orang Kasdim. Dia akan diserahkan ke dalam tangan raja Babilon. Dia akan bersemuka dengan raja itu dan bercakap dengannya.”’+
5 ‘Raja itu akan membawa Zedekia ke Babilon, dan Zedekia akan tinggal di sana sampai Aku menghalakan perhatian-Ku kepadanya,’ firman Yehuwa. ‘Meskipun kamu terus melawan orang Kasdim, kamu tidak akan berjaya.’”+
6 Yeremia berkata, “Yehuwa telah berfirman kepadaku,
7 ‘Hanamel, iaitu anak lelaki bapa saudaramu* Salum, akan datang kepadamu dan berkata, “Belilah tanahku di Anatot,+ kerana kamulah yang paling berhak untuk membelinya kembali.”’”+
8 Hanamel, iaitu anak lelaki bapa saudaraku, datang kepadaku, seperti yang telah difirmankan oleh Yehuwa. Dia berjumpa dengan aku di Halaman Pengawal dan berkata, “Tolonglah beli tanahku di Anatot yang terletak di negeri Benyamin, kerana kamulah yang berhak memiliki tanah itu dan membelinya kembali. Belilah tanah itu untuk dirimu.” Demikianlah aku tahu bahawa Yehuwa benar-benar telah berfirman kepadaku.
9 Oleh itu, aku membeli tanah itu daripada Hanamel. Aku menimbang wang+ sebanyak 7 syekel* dan 10 keping wang perak sebagai bayaran.
10 Aku mencatatkannya dalam surat pembelian,+ memeterai surat itu, memanggil beberapa orang saksi,+ dan menimbang wang itu dengan neraca.
11 Aku mengambil surat pembelian itu, yang telah dimeterai menurut hukum dan undang-undang, dan aku juga mengambil salinan surat yang tidak dimeterai.
12 Kemudian aku memberikan surat-surat itu kepada Barukh+ anak Neria,+ cucu Mahseya, di hadapan Hanamel, iaitu anak lelaki bapa saudaraku. Semua saksi yang telah menandatangani surat itu dan semua orang Yahudi yang sedang duduk di Halaman Pengawal juga melihat hal ini.+
13 Di hadapan mereka, aku memberikan perintah kepada Barukh dan berkata,
14 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Ambillah surat-surat itu, iaitu surat pembelian yang telah dimeterai dan salinan surat yang tidak dimeterai. Kemudian masukkanlah kedua-dua surat itu ke dalam sebuah bekas tanah liat supaya surat-surat itu dapat disimpan buat masa yang lama.’
15 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Rumah, ladang, dan kebun anggur akan dibeli lagi di negeri ini.’”+
16 Selepas aku menyerahkan surat pembelian itu kepada Barukh anak Neria, aku berdoa kepada Yehuwa,
17 “Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, Engkau telah menciptakan langit dan bumi dengan kekuatan-Mu dan kuasa-Mu yang menakjubkan.+ Tiada apa-apa yang terlalu sukar bagi-Mu.
18 Engkau menunjukkan kasih setia kepada ribuan orang, tetapi Engkau juga membiarkan anak-anak menderita kerana dosa bapa mereka.+ Engkau Tuhan yang benar, yang agung dan perkasa. Nama-Mu ialah Yehuwa, ketua angkatan syurga.
19 Engkau pandai memberikan nasihat* dan melakukan perbuatan yang hebat.+ Mata-Mu memerhatikan semua orang+ supaya Engkau dapat memperlakukan setiap orang menurut tingkah lakunya dan setimpal dengan perbuatannya.+
20 Engkau telah melakukan banyak mukjizat dan perkara yang menakjubkan di Mesir, dan sampai sekarang pun orang mengetahuinya. Demikianlah Engkau membuat nama-Mu masyhur dalam kalangan orang Israel dan semua bangsa yang lain,+ sehingga hari ini.
21 Engkau membawa umat-Mu keluar dari Mesir dengan tangan-Mu yang kuat dan perkasa. Engkau melakukan banyak mukjizat dan perkara yang menakjubkan serta perbuatan yang dahsyat.+
22 “Kemudian Engkau memberi mereka tanah ini yang telah Engkau janjikan kepada nenek moyang mereka,+ iaitu tanah yang melimpah dengan susu dan madu.+
23 Tetapi selepas mereka datang ke tanah ini dan mendudukinya, mereka tidak mendengar firman-Mu atau hidup menurut hukum-Mu. Mereka tidak melakukan satu pun daripada perintah-Mu. Oleh itu, Engkau menyebabkan semua bencana ini menimpa mereka.+
24 Lihatlah! Orang sudah membuat timbunan tanah untuk mengepung kota ini.+ Kerana serangan pedang,+ kebuluran, dan wabak penyakit,+ kota ini pasti akan jatuh ke dalam tangan orang Kasdim yang menyerangnya. Apa yang Engkau firmankan telah menjadi kenyataan, seperti yang Engkau lihat sekarang.
25 Tetapi ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, Engkau telah berfirman kepadaku, ‘Belilah tanah ini dengan wangmu dan panggillah beberapa orang saksi,’ meskipun kota ini akan diserahkan ke dalam tangan orang Kasdim.”
26 Selepas itu, Yehuwa berfirman kepada Yeremia,
27 “Akulah Yehuwa, Tuhan segenap manusia. Tiada apa-apa pun yang terlalu sukar bagi-Ku.
28 Maka inilah firman Aku, Yehuwa: ‘Aku akan menyerahkan kota ini kepada orang Kasdim dan kepada Nebukadnezar, raja Babilon. Raja itu akan menawan kota ini.+
29 Orang Kasdim yang menyerang kota ini akan masuk dan membakar kota ini sehingga semuanya hangus,+ termasuk rumah orang yang membangkitkan kemarahan-Ku dengan mempersembahkan korban kepada Baal dan mempersembahkan wain kepada tuhan-tuhan lain di atas bumbung rumah mereka.’+
30 “‘Hal ini demikian kerana orang Israel dan Yehuda telah melakukan apa yang jahat di mata-Ku sejak masa muda mereka.+ Orang Israel asyik membangkitkan kemarahan-Ku dengan perbuatan mereka,’ firman Yehuwa.
31 ‘Sejak kota ini didirikan sehingga hari ini, penduduknya sentiasa membuat Aku marah dan murka.+ Maka kota ini harus dilenyapkan dari hadapan-Ku.+
32 Orang Israel dan Yehuda, termasuk raja-raja,+ para pemimpin,+ para imam, dan nabi-nabi mereka+ serta semua penduduk Yehuda dan Yerusalem, telah melakukan apa yang jahat dan membuat Aku marah.
33 Mereka asyik berpaling daripada-Ku dan enggan menghadap-Ku.+ Meskipun Aku mencuba mengajar mereka berkali-kali, tiada seorang pun yang ingin mendengar dan menerima disiplin.+
34 Malah mereka menajiskan rumah yang dibina untuk nama-Ku dengan meletakkan patung-patung berhala yang menjijikkan di dalam rumah itu.+
35 Mereka telah membina tempat-tempat ibadat untuk Baal di Lembah Hinom*+ supaya mereka dapat membakar anak-anak mereka di dalam api sebagai korban kepada Molekh,+ padahal Aku tidak pernah menyuruh mereka berbuat demikian. Bahkan tidak pernah terlintas dalam fikiran-Ku* untuk menyuruh mereka melakukan perkara yang begitu menjijikkan itu,+ yang menyebabkan Yehuda berdosa.’
36 “Kamu telah berkata bahawa serangan pedang, kebuluran, dan wabak penyakit akan menyebabkan kota ini jatuh ke dalam tangan raja Babilon. Maka inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel, berkenaan kota ini:
37 ‘Aku akan mengumpulkan mereka dari negeri-negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka. Biarpun Aku marah, berang, dan sangat murka terhadap mereka,+ Aku masih akan membawa mereka pulang ke tempat ini dan membiarkan mereka hidup dengan aman.+
38 Mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku akan menjadi Tuhan mereka.+
39 Aku akan memberi mereka satu hati+ dan satu haluan, supaya mereka akan sentiasa takut dan hormat kepada-Ku, demi kebaikan mereka dan keturunan mereka.+
40 Aku akan membuat perjanjian yang kekal dengan mereka,+ dan Aku akan sentiasa melakukan hal-hal yang baik untuk mereka.+ Aku akan membuat mereka takut dan hormat kepada-Ku supaya mereka tidak akan berpaling daripada-Ku.+
41 Dengan penuh sukacita, Aku akan berbuat baik terhadap mereka.+ Dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwa, Aku akan membuat mereka menjadi penduduk tetap di tanah ini.’”+
42 “Inilah firman Yehuwa: ‘Sebagaimana Aku telah mendatangkan semua bencana yang dahsyat atas umat ini, demikian juga Aku akan mendatangkan hal-hal baik* yang Aku janjikan kepada mereka.+
43 Ladang akan dibeli lagi di negeri ini,+ walaupun kamu berkata, “Tanah ini tandus dan tidak didiami manusia dan haiwan. Tanah ini telah diserahkan kepada orang Kasdim.”’
44 “‘Ladang akan dibeli dengan duit, surat-surat pembelian akan dicatatkan dan dimeterai, dan saksi-saksi akan dipanggil. Hal ini akan berlaku di negeri Benyamin,+ di kawasan sekitar Yerusalem, di kota-kota Yehuda,+ di kota-kota yang terletak di kawasan pergunungan, di kota-kota yang terletak di kawasan dataran rendah,+ dan di kota-kota yang terletak di sebelah selatan, kerana Aku akan membawa pulang orang yang telah ditawan,’+ firman Yehuwa.”
Nota Kaki
^ Iaitu, bapa saudara sebelah bapa.
^ Lihat Lampiran B14.
^ Atau “pandai dalam hal yang berkenaan dengan kehendak-Mu.”
^ Atau “timbul dalam hati-Ku.”
^ Atau ”mendatangkan kebaikan.”