Yeremia 33:1-26

  • Pemulihan dijanjikan (1-13)

  • Hidup aman di bawah pemerintahan “tunas yang baik” (14-16)

  • Perjanjian dengan Daud dan para imam (17-26)

    • Perjanjian dengan siang dan malam (20)

33  Semasa Yeremia masih ditahan di Halaman Pengawal,+ Yehuwa menyampaikan perkhabaran kepadanya buat kali kedua: 2  “Inilah firman Yehuwa yang telah menciptakan bumi dan mengukuhkannya. Ya, Dialah Pencipta bumi, dan nama-Nya ialah Yehuwa. Inilah firman Yehuwa: 3  ‘Berserulah kepada-Ku, dan Aku akan menjawabmu. Aku pasti akan memberitahu engkau perkara-perkara yang tidak engkau ketahui. Aku akan memberitahu engkau banyak perkara yang hebat dan susah difahami.’”+ 4  “Aku, Yehuwa, Tuhan orang Israel, berfirman tentang rumah-rumah di kota ini dan istana-istana raja Yehuda yang telah dirobohkan akibat pengepungan dan serangan pedang.+ 5  Aku juga berfirman tentang orang yang datang untuk melawan orang Kasdim, dan yang memenuhi tempat-tempat ini dengan mayat-mayat orang yang telah Aku bunuh, ketika Aku marah dan berang. Kejahatan mereka telah membuat Aku memalingkan muka-Ku daripada kota ini. Inilah firman-Ku: 6  ‘Aku akan memulihkan dan menyembuhkan kota ini.+ Aku akan mengubati mereka, dan memberikan kedamaian dan keamanan yang berlimpah-limpah kepada mereka.+ 7  Aku akan membawa pulang orang Yehuda dan Israel yang telah ditawan,+ dan Aku akan membangun mereka supaya keadaan mereka kembali seperti dahulukala.+ 8  Aku akan menyucikan mereka daripada semua dosa dan kesilapan yang dilakukan oleh mereka terhadap-Ku.+ Aku akan mengampunkan semua kesalahan, kesilapan, dan dosa yang telah dilakukan oleh mereka terhadap-Ku.+ 9  Aku akan bersukacita apabila mendengar nama kota ini disebut. Kota ini akan menjadi pujian dan keindahan-Ku di hadapan semua bangsa di bumi. Mereka akan mendengar tentang hal-hal baik yang telah Aku lakukan untuk kota ini.+ Ya, mereka akan berasa takut dan gentar+ kerana semua kebaikan dan kedamaian yang akan Aku curahkan ke atasnya.’”+ 10  “Inilah firman Yehuwa: ‘Kamu mengatakan bahawa tempat ini ialah tanah tandus yang tidak didiami manusia atau ternakan. Kamu juga mengatakan bahawa kota-kota Yehuda dan jalan-jalan Yerusalem sunyi, dan tiada orang, penduduk, atau ternakan di situ. Tetapi di tempat-tempat ini akan kedengaran lagi 11  suara kegembiraan, suara sukacita,+ suara pengantin lelaki, suara pengantin perempuan, dan suara orang yang berkata, “Bersyukurlah kepada Yehuwa, ketua angkatan syurga, kerana Yehuwa baik.+ Kasih setia-Nya kekal abadi!”’+ “‘Mereka akan membawa korban kesyukuran ke Rumah Yehuwa,+ kerana Aku akan membawa balik penduduk negeri ini yang telah ditawan, dan keadaan mereka akan kembali seperti dahulukala,’ firman Yehuwa.” 12  “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: ‘Di tanah tandus ini, yang tidak didiami manusia atau ternakan, dan di semua kota di tanah ini, akan ada lagi padang rumput, tempat gembala membawa kawanan mereka untuk berehat.’+ 13  “‘Di kota-kota yang terletak di kawasan pergunungan, di kota-kota yang terletak di kawasan dataran rendah, di kota-kota yang terletak di sebelah selatan, di negeri Benyamin, di kawasan sekitar Yerusalem,+ dan di kota-kota Yehuda,+ akan ada lagi para gembala yang mengira biri-biri mereka,’ firman Yehuwa.” 14  “‘Lihatlah! Masanya akan tiba,’ firman Yehuwa, ‘apabila Aku akan menunaikan janji yang telah Aku buat berkenaan keturunan Israel dan keturunan Yehuda.+ 15  Pada waktu itu, Aku akan membuat tunas yang baik bertumbuh bagi* Daud,+ dan dia akan menegakkan keadilan dan kebenaran di negeri ini.+ 16  Pada waktu itu, Yehuda akan diselamatkan+ dan Yerusalem akan hidup dengan aman.+ Kota ini akan dinamakan Yehuwa ialah Keadilan Kita.’”+ 17  “Inilah firman Yehuwa: ‘Salah seorang daripada keturunan Daud akan sentiasa duduk di atas takhta Israel.+ 18  Selain itu, salah seorang imam daripada keturunan Lewi akan sentiasa berdiri di hadapan-Ku untuk membakar korban bijirin dan mempersembahkan korban bakar dan korban-korban lain.’” 19  Yehuwa berfirman lagi kepada Yeremia, 20  “Inilah firman Yehuwa: ‘Aku telah membuat perjanjian dengan siang dan malam supaya siang dan malam selalu datang tepat pada waktunya. Tetapi andai kata kamu dapat membatalkan perjanjian ini,+ 21  maka perjanjian yang Aku buat dengan hamba-Ku Daud juga dapat dibatalkan.+ Jika begitu, keturunan Daud tidak akan menjadi raja dan duduk di atas takhtanya,+ dan perjanjian-Ku dengan hamba-hamba-Ku, iaitu para imam daripada keturunan Lewi, juga akan dibatalkan.+ 22  Aku akan melipatgandakan bilangan keturunan hamba-Ku Daud dan orang Lewi yang berkhidmat kepada-Ku sehingga jumlah mereka tidak dapat dihitung, seperti pasir di pantai dan segala sesuatu yang ada di langit.’” 23  Yehuwa berfirman lagi kepada Yeremia, 24  “Adakah engkau tahu bahawa umat ini sedang berkata, ‘Yehuwa akan menolak kedua-dua keluarga yang telah dipilih-Nya’? Mereka tidak menghormati umat-Ku dan tidak lagi menganggap mereka sebagai sebuah bangsa. 25  “Inilah firman Yehuwa: ‘Sebagaimana perjanjian-Ku dengan siang dan malam+ dan hukum-Ku bagi langit dan bumi tidak dapat dibatalkan,+ 26  demikian juga Aku tidak akan menolak keturunan Yakub dan keturunan hamba-Ku Daud. Aku akan memastikan bahawa keturunannya akan sentiasa memerintah keturunan Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan mengumpulkan semula mereka yang telah ditawan+ dan menunjukkan belas kasihan kepada mereka.’”+

Nota Kaki

Atau “Aku akan memberikan waris yang baik kepada.”