Yeremia 43:1-13

  • Rakyat ingkar dan pergi ke Mesir (1-7)

  • Yehuwa berfirman kepada Yeremia di Mesir (8-13)

43  Tuhan Yehuwa telah mengutus Yeremia untuk menyampaikan firman-Nya kepada semua rakyat. Selepas Yeremia selesai menyampaikan semua yang telah diperintahkan oleh Yehuwa, Tuhan mereka, 2  Azarya anak Hoshaiah, Yohanan+ anak Kareah, dan semua orang yang sombong berkata kepada Yeremia, “Kamu berbohong! Yehuwa, Tuhan kami, tidak mengutus kamu kepada kami untuk berkata, ‘Jangan pergi ke Mesir dan tinggal di sana.’ 3  Tetapi Barukh+ anak Neria menghasut kamu supaya kamu menyerahkan kami kepada orang Kasdim untuk dibunuh atau dibawa sebagai tawanan ke Babilon.”+ 4  Maka Yohanan anak Kareah, semua ketua tentera, dan seluruh rakyat mengingkari perintah Yehuwa. Mereka tidak mahu tinggal di negeri Yehuda. 5  Sebaliknya, Yohanan anak Kareah dan semua ketua tentera membawa setiap orang yang masih tinggal di Yehuda, termasuk semua orang yang telah pulang dari bangsa-bangsa lain, iaitu tempat mereka dicerai-beraikan.+ 6  Mereka membawa lelaki, wanita, kanak-kanak, anak-anak perempuan raja, dan semua orang yang telah diserahkan oleh Nebuzaradan,+ ketua pengawal istana itu, ke bawah jagaan Gedalia+ anak Ahikam,+ cucu Safan.+ Selain itu, mereka juga membawa Nabi Yeremia dan Barukh anak Neria bersama mereka. 7  Mereka tidak mematuhi firman Yehuwa. Oleh itu, mereka pergi ke Mesir dan tiba di Tahpanes.+ 8  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Yeremia di Tahpanes, 9  “Ambillah beberapa buah batu yang besar. Kemudian sembunyikanlah semua batu itu di laluan berbatu dekat pintu masuk rumah Firaun di Tahpanes, lalu tutuplah semua batu itu dengan simen. Biarlah orang Yahudi nampak engkau berbuat demikian. 10  Katakanlah kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: “Aku akan memanggil hamba-Ku, iaitu Raja Nebukadnezar dari Babilon.+ Aku akan meletakkan takhtanya di atas batu-batu yang telah Aku sembunyikan itu, dan raja itu akan membentangkan khemah diraja ke atasnya.+ 11  Raja itu akan datang ke Mesir dan menyerangnya.+ Sesiapa yang akan mati kerana penyakit, biarlah dia mati kerana penyakit. Sesiapa yang akan menjadi tawanan, biarlah dia dijadikan tawanan. Sesiapa yang akan mati kerana pedang, biarlah dia mati kerana pedang.+ 12  Aku akan membakar kuil-kuil tuhan orang Mesir,+ dan raja itu pasti akan membakar kuil-kuil itu dan menjadikan tuhan-tuhan itu tawanan. Sebagaimana seorang gembala memakai jubahnya dengan mudah, demikian juga raja itu akan menawan seluruh negeri Mesir dengan mudah.* Ya, dia akan berangkat dari sana tanpa gangguan.* 13  Dia akan merobohkan tugu-tugu* Bet-semes* di negeri Mesir, dan membakar kuil-kuil tuhan orang Mesir dengan api.”’”

Nota Kaki

Harfiah, “Sebagaimana seorang gembala menyelimuti dirinya dengan jubahnya, demikian juga raja itu akan menutupi dirinya dengan negeri Mesir.”
Atau “dengan aman.”
Atau “batu obelisk.”
Atau “Kuil Matahari,” iaitu Heliopolis.