Yosua 14:1-15

  • Pembahagian tanah di barat Yordan (1-5)

  • Kaleb mewarisi Hebron (6-15)

14  Imam Eleazar, Yosua anak Nun, dan para ketua puak dalam suku-suku Israel telah memberikan tanah Kanaan kepada orang Israel sebagai warisan mereka.+ 2  Bahagian warisan mereka ditentukan dengan membuang undi,*+ seperti yang telah diperintahkan oleh Yehuwa melalui Musa kepada sembilan suku setengah bangsa Israel.+ 3  Musa telah memberikan tanah di sebelah timur Sungai Yordan+ kepada dua suku setengah bangsa Israel sebagai warisan mereka, tetapi dia tidak memberikan warisan kepada suku Lewi.+ 4  Keturunan Yusuf terbahagi kepada dua suku,+ iaitu Manasye dan Efraim.+ Suku Lewi tidak diberi tanah di negeri itu, tetapi mereka diberi kota-kota+ sebagai tempat tinggal, padang rumput untuk ternakan mereka, dan tempat untuk segala milik mereka.+ 5  Demikianlah umat Israel membahagi-bahagikan tanah itu sebagaimana yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa. 6  Kemudian, orang daripada suku Yehuda menghadap Yosua di Gilgal.+ Kaleb+ anak Yefune, orang Kenas itu, berkata kepada Yosua, “Kamu tentu tahu apa yang difirmankan oleh Yehuwa+ kepada Musa, hamba Tuhan,+ tentang kita berdua di Kades-barnea.+ 7  Musa, hamba Yehuwa, telah mengutus aku dari Kades-barnea untuk mengintip negeri ini+ sewaktu aku berumur 40 tahun. Aku telah kembali dengan membawa laporan yang benar.+ 8  Walaupun saudara-saudara lain yang pergi bersama-sama aku telah menyebabkan umat ini berasa takut, aku masih mentaati Yehuwa, Tuhanku, dengan sepenuh hati.+ 9  Pada hari itu, Musa bersumpah dan berkata, ‘Tanah yang telah dipijak kakimu akan sentiasa menjadi warisan kamu dan keturunanmu, kerana kamu telah mentaati Yehuwa, Tuhanku, dengan sepenuh hati.’+ 10  Sekarang, 45 tahun sudah berlalu sejak Yehuwa berjanji kepada Musa tentang hal itu. Pada masa itu umat Israel mengembara di padang belantara.+ Selama ini, Yehuwa telah menjagaku supaya aku tetap hidup,+ seperti yang dijanjikan-Nya.+ Hari ini, aku sudah berumur 85 tahun, 11  tetapi aku masih kuat seperti pada masa Musa mengutusku. Aku masih kuat untuk berperang dan melakukan hal-hal yang lain, seperti pada masa itu. 12  Oleh itu, berilah aku kawasan pergunungan yang telah dijanjikan oleh Yehuwa pada hari itu. Biarpun pada masa itu kamu mendengar bahawa orang Enak+ tinggal di dalam kota-kota besar yang bertembok+ di kawasan itu, sudah pasti Yehuwa akan menyertaiku,+ dan aku akan mengusir mereka, seperti yang telah dijanjikan oleh Yehuwa.”+ 13  Maka Yosua memberkati Kaleb anak Yefune dan memberinya kawasan Hebron sebagai warisan.+ 14  Sehingga hari ini, Hebron menjadi harta warisan Kaleb anak Yefune, orang Kenas itu, kerana dia mentaati Yehuwa, Tuhan orang Israel, dengan sepenuh hati.+ 15  Hebron sebelumnya dikenali sebagai Kiryat-arba+ (Arba ialah seorang lelaki yang terkemuka dalam kalangan orang Enak). Negeri orang Israel aman dan bebas daripada perang.+

Nota Kaki

Lihat Kamus.