Yosua 22:1-34
22 Kemudian Yosua mengumpulkan orang daripada suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye.
2 Dia berkata kepada mereka, “Kamu telah melakukan segala yang diperintahkan oleh Musa,+ hamba Yehuwa itu, dan kamu telah mematuhi segala perintahku kepada kamu.+
3 Selama ini kamu tidak meninggalkan saudara-saudaramu yang lain.+ Kamu juga telah mematuhi perintah Yehuwa, Tuhan kamu.+
4 Sekarang, Yehuwa, Tuhan kamu, telah memberikan kedamaian kepada saudara-saudara kamu seperti yang telah dijanjikan-Nya.+ Oleh itu, kembalilah ke khemah kamu, ke tanah milik kamu di sebelah timur Sungai Yordan, yang telah diberikan oleh Musa, hamba Yehuwa itu, kepada kamu.+
5 Tetapi pastikan kamu melaksanakan dengan teliti perintah dan hukum yang telah diberikan oleh Musa,+ hamba Yehuwa itu, kepada kamu. Pastikan kamu mengasihi Tuhanmu Yehuwa,+ hidup menurut segala kehendak-Nya,+ mematuhi perintah-Nya,+ berpaut erat pada-Nya,+ dan berkhidmat kepada-Nya+ dengan sepenuh hatimu dan dengan segenap jiwamu.”+
6 Kemudian Yosua memberkati mereka dan menyuruh mereka kembali ke khemah mereka.
7 Musa telah memberikan Basan sebagai tanah warisan kepada setengah daripada suku Manasye,+ dan Yosua memberikan tanah di sebelah barat Sungai Yordan+ kepada setengah suku Manasye yang lain, agar mereka dapat tinggal bersama dengan saudara-saudara mereka. Semasa Yosua menyuruh mereka kembali ke khemah, dia memberkati mereka
8 lalu berkata, “Pulanglah ke khemah kamu dengan kekayaan yang berlimpah-limpah, dengan ternakan yang banyak, bersama dengan perak dan emas, tembaga dan besi, serta pakaian yang sangat banyak.+ Bawalah barang-barang yang telah kamu rampas+ daripada musuh-musuhmu dan bahagikanlah semuanya dengan saudara-saudaramu.”
9 Selepas itu, suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye meninggalkan umat Israel yang lain di Silo, di tanah Kanaan. Mereka kembali ke tanah Gilead,+ dan menetap di tanah milik mereka itu seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa melalui Musa.+
10 Apabila suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye tiba di kawasan yang berdekatan Sungai Yordan, di tanah Kanaan, mereka membina sebuah mazbah yang besar dan mengagumkan di situ.
11 Kemudian umat Israel yang lain mendengar orang+ berkata, “Lihatlah! Suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye telah membina sebuah mazbah berdekatan Sungai Yordan, di sempadan tanah Kanaan di sebelah barat tanah milik umat Israel.”
12 Apabila umat Israel mendengar tentang hal itu, mereka semua berkumpul di Silo+ untuk berperang melawan suku-suku Israel dari sebelah timur Sungai Yordan.
13 Kemudian umat Israel mengutus Imam Pinehas+ anak Eleazar ke tanah Gilead untuk berjumpa dengan suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye.
14 Sepuluh orang pemimpin pergi bersamanya, seorang pemimpin daripada keluarga setiap suku Israel, dan mereka merupakan ketua keluarga dalam puak masing-masing.*+
15 Apabila mereka berjumpa dengan suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye di tanah Gilead, mereka berkata,
16 “Inilah yang dikatakan oleh seluruh umat Yehuwa, ‘Mengapakah kamu bertindak dengan tidak setia+ kepada Tuhan orang Israel? Sekarang, kamu telah memberontak terhadap Yehuwa dengan membina sebuah mazbah untuk dirimu sendiri. Kamu tidak lagi mengikut Yehuwa!+
17 Belum cukupkah dosa yang kita lakukan di Peor? Seluruh umat Yehuwa ditimpa tulah,+ dan sampai sekarang pun kita belum menyucikan diri daripada dosa itu.
18 Adakah kamu mahu meninggalkan Yehuwa sekarang? Jika hari ini kamu memberontak terhadap Yehuwa, esok Dia akan murka terhadap seluruh umat Israel.+
19 Oleh itu, jika tanah milik kamu itu najis, datanglah ke tanah milik Yehuwa,+ iaitu tempat letaknya khemah suci Yehuwa,+ dan tinggallah bersama kami. Janganlah memberontak terhadap Yehuwa, dan janganlah menyebabkan kami memberontak dengan membina sebuah mazbah selain mazbah Yehuwa, Tuhan kita.+
20 Pada masa dahulu, bukankah Akhan+ daripada keturunan Zerah bertindak dengan tidak setia semasa dia mengambil benda-benda yang mesti dimusnahkan? Tidakkah kemurkaan Tuhan juga menimpa seluruh umat Israel?+ Bukan Akhan seorang sahaja yang mati kerana dosanya, malahan orang lain juga mati.’”+
21 Maka suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye berkata kepada para ketua dalam puak Israel,+
22 “Yehuwa ialah Tuhan yang perkasa! Yehuwa ialah Tuhan yang perkasa!+ Dia tahu mengapa kami berbuat demikian, dan kamu juga akan tahu! Jika kami memberontak dan tidak setia kepada Yehuwa, janganlah selamatkan kami hari ini.
23 Jika kami membina sebuah mazbah untuk memberontak terhadap Yehuwa, dan untuk mempersembahkan korban bakar, korban bijirin, dan korban pendamaian di atas mazbah itu, biarlah Yehuwa menghukum kami.+
24 Sebenarnya, kami membina mazbah itu kerana kami berkata, ‘Pada kemudian hari keturunan kamu akan berkata kepada keturunan kami, “Kamu tiada kena-mengena dengan Yehuwa, Tuhan orang Israel!
25 Yehuwa telah menjadikan Sungai Yordan sebagai sempadan antara kami dengan kamu, iaitu suku Ruben dan suku Gad. Kamu tiada kena-mengena dengan Yehuwa.” Dengan demikian, keturunan kamu akan menghalang keturunan kami daripada menyembah* Yehuwa.’
26 “Oleh itu, kami berkata, ‘Marilah kita membina sebuah mazbah, bukan untuk mempersembahkan korban bakar atau korban-korban lain,
27 tetapi untuk menjadi saksi antara kamu dengan kami+ dan dengan keturunan kita,* bahawa kami akan berkhidmat kepada Yehuwa dengan mempersembahkan korban bakar, korban pendamaian, dan korban-korban lain+ di hadapan-Nya. Dengan demikian, pada masa depan, keturunan kamu tidak akan berkata kepada keturunan kami, “Kamu tiada kena-mengena dengan Yehuwa.”’
28 Maka kami berkata, ‘Pada masa depan, jika mereka mengatakan hal itu kepada kami dan kepada keturunan kami,* kami akan berkata, “Lihatlah mazbah yang dibina oleh nenek moyang kami yang mirip dengan mazbah Yehuwa. Mazbah ini bukan untuk mempersembahkan korban bakar atau korban-korban lain, tetapi untuk menjadi saksi antara kamu dengan kami.”’
29 Mustahil kami memberontak terhadap Yehuwa dan meninggalkan Yehuwa+ dengan membina mazbah lain untuk mempersembahkan korban. Kami hanya akan mempersembahkan korban bakar, korban bijirin, dan korban-korban lain di mazbah Yehuwa, Tuhan kita, yang terletak di hadapan khemah suci-Nya!”+
30 Semasa Imam Pinehas, para pemimpin, dan ketua dalam puak orang Israel yang menyertai Pinehas mendengar apa yang dikatakan oleh keturunan Ruben, Gad, dan Manasye, mereka pun berasa puas hati.+
31 Maka Imam Pinehas anak Eleazar berkata kepada keturunan Ruben, Gad, dan Manasye, “Hari ini kami tahu bahawa Yehuwa menyertai kita, kerana kamu tidak memberontak terhadap Yehuwa. Sekarang kamu telah menyelamatkan orang Israel daripada hukuman Yehuwa.”
32 Setelah itu, Imam Pinehas anak Eleazar dan para pemimpin meninggalkan suku Ruben dan suku Gad di tanah Gilead. Mereka kembali ke tanah Kanaan dan melaporkan perkara itu kepada umat Israel yang lain.
33 Umat Israel berasa puas hati mendengar laporan itu lalu memuji Tuhan. Mereka tidak lagi bercakap bahawa mereka hendak berperang melawan suku Ruben dan suku Gad ataupun memusnahkan tanah yang didiami oleh mereka.
34 Oleh itu suku Ruben dan suku Gad memilih nama bagi mazbah itu,* kerana “mazbah itu menjadi saksi antara kita bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang benar.”
Nota Kaki
^ Atau “ketua atas ribuan orang.”
^ Harfiah, “berasa takut akan.”
^ Atau “generasi kita yang akan datang.”
^ Atau “generasi kami yang akan datang.”
^ Daripada penjelasan yang diberikan, besar kemungkinan mazbah itu diberi nama Saksi.