Zakharia 1:1-21

  • Seruan untuk kembali kepada Yehuwa (1-6)

    • “Kembalilah kepada Aku, maka Aku akan kembali kepada kamu” (3)

  • Penglihatan 1: Penunggang-penunggang kuda di antara pokok-pokok mirtel (7-17)

    • ‘Yehuwa akan melegakan hati Sion lagi’ (17)

  • Penglihatan 2: Empat tanduk dan empat tukang (18-21)

1  Pada bulan kelapan tahun kedua pemerintahan Raja Darius,+ Yehuwa berfirman kepada Nabi Zakharia*+ anak Berekia, cucu Ido, 2  “Aku, Yehuwa, sangat murka terhadap nenek moyang kamu.+ 3  “Beritahulah umat ini bahawa demikianlah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga: ‘Akulah Yehuwa, ketua angkatan syurga. Kembalilah kepada Aku, maka Aku akan kembali kepada kamu.’+ Itulah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga. 4  “Dahulu para nabi berkata kepada nenek moyang kamu, ‘Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, “Berpalinglah daripada haluan kamu yang jahat dan tinggalkanlah perbuatan kamu yang jahat.”’+ “‘Tetapi mereka tidak ambil peduli, dan mereka tidak mengendahkan Aku. Janganlah bersikap seperti mereka,’+ firman Yehuwa. 5  “‘Di manakah nenek moyang kamu sekarang? Dapatkah nabi-nabi itu hidup selama-lamanya? Mereka semua sudah tiada. 6  Namun, segala perintah dan peraturan-Ku yang disampaikan melalui para nabi, iaitu hamba-hamba-Ku, ternyata benar. Aku telah mengingatkan nenek moyang kamu apa yang akan berlaku jika mereka ingkar, dan tidakkah semua perkara itu benar-benar terjadi?’+ Kemudian, nenek moyang kamu bertaubat dan berkata, ‘Yehuwa, ketua angkatan syurga, telah melaksanakan apa yang ditentukan-Nya. Dia membalas kami setimpal dengan segala perbuatan kami.’”+ 7  Pada hari ke-24 bulan Syebat,* iaitu bulan ke-11 dalam tahun kedua pemerintahan Darius,+ Nabi Zakharia anak Berekia, cucu Ido, menerima perkhabaran berikut daripada Yehuwa: 8  “Aku nampak suatu penglihatan pada waktu malam. Ada seorang lelaki menunggang seekor kuda merah. Dia berhenti di sebuah lembah, di antara pokok-pokok mirtel. Di belakangnya terdapat beberapa orang lagi yang menunggang kuda berwarna merah, perang, dan putih.” 9  Lalu aku bertanya, “Siapakah mereka tuan?” Malaikat yang bercakap dengan aku itu menjawab, “Aku akan menunjukkan kepada kamu siapa mereka ini.” 10  Lelaki yang berada di antara pokok-pokok mirtel itu berkata, “Merekalah yang diutus oleh Yehuwa untuk menjelajahi seluruh bumi.” 11  Lalu para penunggang kuda itu berkata kepada malaikat Yehuwa yang berdiri di antara pokok-pokok mirtel, “Kami telah menjelajahi seluruh bumi dan mendapati bahawa seluruh bumi tenang dan tenteram.”+ 12  Malaikat Yehuwa berkata, “Ya Yehuwa, ketua angkatan syurga, Engkau sudah murka terhadap Yerusalem dan kota-kota Yehuda+ selama 70 tahun. Sampai bilakah mereka harus menunggu belas kasihan-Mu?”+ 13  Dengan kata-kata yang ramah, Yehuwa melegakan hati malaikat yang bercakap kepada aku itu. 14  Kemudian malaikat tersebut berkata kepadaku, “Isytiharkanlah: ‘Demikianlah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: “Aku mengambil berat dan sangat mengasihi Yerusalem dan Sion.+ 15  Tetapi Aku sangat murka terhadap bangsa-bangsa yang berasa aman dan tenteram.+ Kemurkaan-Ku terhadap umat-Ku hanyalah sedikit,+ tetapi bangsa-bangsa itu membuat penderitaan umat-Ku bertambah parah lagi.”’+ 16  “Oleh itu, demikianlah firman Yehuwa: ‘Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, mengisytiharkan, “Aku akan kembali ke Yerusalem dan menunjukkan belas kasihan terhadap penduduknya.+ Rumah-Ku akan dibina semula di situ,+ dan tali penyukat akan direntangkan supaya Yerusalem dibina semula.”’+ 17  “Isytiharkanlah hal ini juga: ‘Demikianlah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: “Sekali lagi kota-kota-Ku akan dipenuhi dengan segala yang baik. Aku, Yehuwa, akan melegakan hati Sion lagi,+ dan Yerusalem akan menjadi tempat pilihan-Ku sekali lagi.”’”+ 18  Kemudian aku nampak empat buah tanduk.+ 19  Lalu aku bertanya kepada malaikat yang bercakap kepadaku, “Apakah makna tanduk-tanduk itu?” Dia menjawab, “Tanduk-tanduk itu melambangkan kuasa yang mencerai-beraikan penduduk Yehuda,+ Israel,+ dan Yerusalem.”+ 20  Selanjutnya, Yehuwa menunjukkan kepadaku empat orang tukang yang mahir. 21  Aku bertanya, “Apakah tujuan mereka datang?” Dia menjawab, “Empat orang tukang itu datang untuk menakutkan bangsa-bangsa dan menjatuhkan tanduk mereka, yang telah mencerai-beraikan penduduk Yehuda. Dengan tanduk-tanduk itu, mereka telah menyerang negeri Yehuda dan mencerai-beraikan penduduknya sehingga tiada seorang pun yang dapat mengangkat kepalanya.”

Nota Kaki

Maksudnya “Yehuwa Telah Mengingati.”