Zakharia 5:1-11

  • Penglihatan 6: Gulungan yang terbang di udara (1-4)

  • Penglihatan 7: Bekas untuk menyukat biji-bijian (5-11)

    • Wanita di dalam bekas yang bernama Kejahatan (8)

    • Bekas itu dibawa ke Shinar (9-11)

5  Kemudian, aku nampak senaskhah gulungan yang terbang di udara. 2  Malaikat itu bertanya kepadaku, “Apa yang kamu nampak?” Aku menjawab, “Aku nampak senaskhah gulungan yang terbang di udara. Panjangnya kira-kira sembilan meter dan lebarnya kira-kira empat meter setengah.”* 3  Lalu dia berkata kepadaku, “Inilah kutukan yang akan menimpa seluruh bumi. Kutukan yang tertulis pada satu muka gulungan itu adalah untuk semua pencuri,+ kerana mereka tidak dihukum. Kutukan yang tertulis pada muka sebelah gulungan itu adalah untuk semua orang yang mengangkat sumpah palsu,+ kerana mereka tidak dihukum. 4  Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Aku telah mendatangkan kutukan tersebut, dan kutukan itu akan masuk ke dalam rumah pencuri serta rumah orang yang mengangkat sumpah palsu demi nama-Ku. Kutukan itu akan tinggal di rumah mereka dan menghanguskannya, termasuk kayu-kayu dan batu-batunya.’” 5  Lalu malaikat yang bercakap kepadaku menghampiriku dan berkata, “Lihatlah apa yang muncul lagi.” 6  Maka aku bertanya, “Apa itu?” Dia menjawab, “Itu merupakan bekas untuk menyukat biji-bijian.”* Dia berkata lagi, “Inilah rupa semua orang jahat yang tinggal di bumi.” 7  Bekas itu mempunyai penutup berbentuk bulat yang diperbuat daripada timah hitam. Aku nampak penutup itu dibuka dan ada seorang wanita sedang duduk di dalam bekas itu. 8  Malaikat itu berkata, “Wanita ini ialah Kejahatan.” Kemudian, dia menolak wanita itu kembali ke dalam bekas lalu menutupnya dengan penutup timah hitam. 9  Aku memandang ke langit dan nampak dua orang wanita terbang dengan laju ke arahku. Sayap mereka seperti sayap burung bangau. Mereka datang lalu mengangkat bekas itu ke langit. 10  Aku pun bertanya kepada malaikat yang bercakap kepada aku tadi, “Ke manakah mereka hendak membawa bekas itu?” 11  Dia menjawab, “Mereka akan membawanya ke Shinar*+ dan membina sebuah rumah bagi wanita itu. Apabila rumah itu sudah siap, dia akan ditempatkan di situ, di tempat yang sesuai untuknya.”

Nota Kaki

Harfiah, “20 hasta panjang dan 10 hasta lebar.” Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “Itu merupakan efa.” 1 efa = 22 L.
Iaitu, Babilonia.