Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apakah Kerajaan Tuhan?

Apakah Kerajaan Tuhan?

Pelajaran 6

Apakah Kerajaan Tuhan?

Di manakah letaknya Kerajaan Tuhan? (1)

Siapakah Raja kerajaan tersebut? (2)

Adakah orang lain akan turut memerintah bersama Raja itu? Jika ada, berapakah jumlahnya? (3)

Apakah yang menunjukkan bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir? (4)

Pada masa hadapan, apakah yang akan dilakukan oleh Kerajaan Tuhan bagi manusia? (5-7)

1. Semasa di bumi, Yesus mengajar pengikut-pengikutnya untuk berdoa tentang Kerajaan Tuhan. Kerajaan ialah pemerintahan yang diketuai oleh seorang raja. Kerajaan Tuhan merupakan pemerintahan istimewa yang didirikan di syurga dan bakal memerintah bumi. Kerajaan ini akan menyucikan atau menguduskan nama Tuhan. Kerajaan ini akan melaksanakan kehendak Tuhan di bumi sepertimana kehendak-Nya dilaksanakan di syurga.—Matius 6:9, 10.

2. Tuhan berjanji bahawa Yesus akan menjadi Raja Kerajaan-Nya. (Lukas 1:30-33) Semasa di bumi, Yesus membuktikan bahawa dia akan menjadi seorang Pemerintah yang baik hati, adil, dan sempurna. Apabila dia pulang ke syurga, dia tidak ditabalkan sebagai Raja Kerajaan Tuhan dengan serta-merta. (Ibrani 10:12, 13) Pada tahun 1914, Yehuwa memberi Yesus kuasa seperti yang telah dijanjikan-Nya. Sejak itu, Yesus telah memerintah di syurga sebagai Raja yang dilantik oleh Yehuwa.—Daniel 7:13, 14.

3. Yehuwa juga telah memilih beberapa orang lelaki dan perempuan yang setia dari bumi untuk pergi ke syurga. Bersama-sama Yesus, mereka akan memerintah umat manusia sebagai raja, hakim, dan penghentar. (Lukas 22:28-30; Penyingkapan 5:9, 10) Yesus memanggil mereka “kawanan kecil” kerana bilangan mereka kecil. Mereka berjumlah 144,000 orang.—Lukas 12:32; Penyingkapan 14:1-3.

4. Sebaik sahaja Yesus menjadi Raja, dia melemparkan Syaitan dan malaikat-malaikatnya yang fasiq dari syurga ke bumi. Itulah sebabnya keadaan di bumi sudah menjadi begitu teruk sejak tahun 1914. (Penyingkapan 12:9, 12) Peperangan, kebuluran, wabak, dan pelanggaran undang-undang yang semakin berleluasa merupakan sebahagian daripada “tanda” yang menunjukkan bahawa Yesus sedang memerintah dan sistem ini berada di ambang maut.—Matius 24:3, 7, 8, 12; Lukas 21:10, 11; 2 Timotius 3:1-5.

5. Tidak lama lagi, Yesus akan menghakimi orang dengan memisahkan mereka sepertimana seorang gembala memisahkan biri-biri daripada kambing. “Biri-biri” merujuk kepada mereka yang telah membuktikan diri mereka sebagai rakyatnya yang taat setia. Mereka bakal menerima kehidupan kekal di bumi. “Kambing” merujuk kepada mereka yang menolak Kerajaan Tuhan. (Matius 25:31-34, 46) Tidak lama lagi, Yesus akan membinasakan semua orang yang bersifat seperti kambing. Jika anda ingin menjadi salah seorang daripada “biri-biri” Yesus, anda mesti mendengarkan mesej Kerajaan Tuhan dan bertindak selaras dengan apa yang dipelajari.—Matius 24:14.

6. Kini, bumi kita dibahagikan kepada banyak negara. Setiap negara mempunyai kerajaan sendiri. Negara-negara ini sering berperang antara satu sama lain. Akan tetapi, Kerajaan Tuhan akan menggantikan semua kerajaan manusia. Hanya Kerajaan Tuhan akan memerintah seluruh bumi ini. (Daniel 2:44) Pada masa itu, peperangan, jenayah, dan keganasan tidak akan wujud lagi. Semua orang akan hidup secara aman dan bersatu padu.—Mikha 4:3, 4.

7. Sepanjang Pemerintahan Seribu Tahun Yesus, manusia yang setia akan menjadi sempurna dan seluruh bumi akan menjadi sebuah firdaus. Pada akhir seribu tahun itu, Yesus akan melaksanakan segala yang disuruh oleh Tuhan. Kemudian, dia akan menyerahkan Kerajaan ini kepada Bapanya. (1 Korintus 15:24) Beritahulah kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga anda tentang apa yang akan dilakukan oleh Kerajaan Tuhan.

[Gambar pada muka surat 13]

Di bawah pemerintahan Yesus, kebencian dan prasangka tidak akan wujud lagi