Apakah Tujuan Tuhan bagi Bumi?
Pelajaran 5
Apakah Tujuan Tuhan bagi Bumi?
Mengapakah Yehuwa menciptakan bumi? (1, 2)
Mengapakah bumi bukan sebuah firdaus sekarang? (3)
Apakah yang akan berlaku kepada orang yang fasiq? (4)
Pada masa hadapan, apakah yang akan dilakukan oleh Yesus untuk orang yang sakit? yang tua? yang telah mati? (5, 6)
Apakah yang perlu anda lakukan untuk menikmati berkat-berkat pada masa hadapan? (7)
1. Yehuwa menciptakan bumi ini supaya manusia boleh menikmati kehidupan di bumi untuk selama-lamanya. Dia mahu bumi sentiasa didiami oleh orang yang adil benar dan gembira. (Mazmur 115:16; Yesaya 45:18) Tuhan tidak akan membenarkan bumi dibinasakan. Bumi ini akan wujud untuk selama-lamanya.—Mazmur 104:5; Pengkhutbah 1:4.
2. Sebelum Tuhan menciptakan manusia, Dia memilih sebahagian kecil daripada bumi ini lalu menjadikan tempat itu sebuah firdaus yang indah. Dia memanggil tempat itu taman Eden. Di situlah Dia menempatkan Adam dan Hawa, lelaki dan perempuan yang pertama. Tujuan Tuhan bagi mereka adalah supaya mereka beranak cucu lalu memenuhi seluruh bumi. Secara beransur-ansur, mereka akan menjadikan seluruh bumi ini sebuah firdaus.—Kejadian 1:28; 2:8, 15.
3. Adam dan Hawa telah berdosa apabila mereka sengaja melanggar hukum Tuhan. Jadi, Yehuwa telah mengusir mereka dari taman Eden. Dengan ini, umat manusia kehilangan firdaus. (Kejadian 3:1-6, 23) Namun begitu, Yehuwa masih belum melupakan tujuan-Nya bagi bumi ini. Dia berjanji bahawa Dia akan menjadikan bumi ini sebuah firdaus untuk didiami oleh manusia untuk selama-lamanya. Bagaimanakah Dia akan melaksanakan tujuan-Nya?—Mazmur 37:29.
4. Sebelum bumi ini menjadi sebuah firdaus, orang fasiq mesti dihapuskan. (Mazmur 37:38) Perkara ini akan berlaku semasa Armagedon, iaitu perang Tuhan untuk mengakhiri kefasiqan. Kemudian, Syaitan akan dikurung selama 1,000 tahun. Hal ini bermakna bahawa orang fasiq tidak akan ada lagi untuk merosakkan bumi. Hanya umat Tuhan akan diselamatkan daripada pembinasaan ini.—Penyingkapan 16:14, 16; 20:1-3.
5. Selepas itu, Yesus Kristus akan memerintah bumi sebagai Raja selama 1,000 tahun. (Penyingkapan 20:6) Secara beransur-ansur, dia akan menyingkirkan dosa daripada fikiran dan tubuh badan kita. Kita akan menjadi manusia yang sempurna seperti Adam dan Hawa sebelum mereka berdosa. Pada masa itu, penyakit, usia tua, dan kematian tidak akan wujud lagi. Orang sakit akan disembuhkan dan orang tua akan menjadi muda semula.—Ayub 33:25; Yesaya 33:24; Penyingkapan 21:3, 4.
6. Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Yesus, manusia yang setia akan bekerja untuk mengubahkan seluruh bumi menjadi sebuah firdaus. (Yesaya 65:21-25) Jutaan orang yang mati akan dihidupkan kembali ke bumi. (Kisah 24:15) Jika mereka melakukan apa yang dikehendaki oleh Tuhan, mereka akan terus hidup di bumi untuk selama-lamanya. Jika tidak, mereka akan dibinasakan untuk selama-lamanya.—Yohanes 5:28, 29; Penyingkapan 20:11-15.
7. Dengan ini, tujuan asal Tuhan bagi bumi akan dilaksanakan dengan jayanya. Adakah anda ingin menikmati berkat-berkat ini pada masa hadapan? Jika ya, anda perlu terus belajar tentang Yehuwa dan melakukan kehendak-Nya. Anda akan dibantu untuk berbuat demikian dengan menghadiri perjumpaan-perjumpaan di Dewan Perjumpaan tempatan Saksi-Saksi Yehuwa.—Yesaya 11:9; Ibrani 10:24, 25.
[Gambar pada muka surat 10]
Umat manusia kehilangan firdaus
[Gambar pada muka surat 11]
Selepas Armagedon, bumi akan ditukar menjadi sebuah firdaus