Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Cara Saksi-Saksi Yehuwa Diorganisasikan

Cara Saksi-Saksi Yehuwa Diorganisasikan

Pelajaran 14

Cara Saksi-Saksi Yehuwa Diorganisasikan

Bilakah sejarah moden Saksi-Saksi Yehuwa bermula? (1)

Bagaimanakah perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa diadakan? (2)

Bagaimanakah kos perbelanjaan dibiayai? (3)

Siapakah yang memimpin di setiap sidang? (4)

Apakah perjumpaan-perjumpaan lebih besar yang diadakan pada setiap tahun? (5)

Apakah kerja yang dilakukan di ibu pejabat dan pejabat-pejabat cawangan mereka? (6)

1. Sejarah moden Saksi-Saksi Yehuwa bermula sekitar tahun 1870-an. Pada mulanya, mereka dipanggil Pelajar-Pelajar Bible. Namun begitu, pada tahun 1931 mereka mula menggunakan nama yang berdasarkan Bible, iaitu Saksi-Saksi Yehuwa. (Yesaya 43:10) Daripada permulaan yang kecil, organisasi ini telah berkembang dan kini mempunyai jutaan Saksi yang sibuk menyebarkan berita baik di lebih daripada 230 negara.

2. Kebanyakan sidang Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan perjumpaan tiga kali seminggu. Anda dijemput untuk menghadiri mana-mana perjumpaan ini. (Ibrani 10:24, 25) Bible merupakan asas segala yang diajarkan. Perjumpaan-perjumpaan dimulakan dan diakhiri dengan doa. “Lagu rohani” dengan seni kata yang menyentuh hati juga dinyanyikan dalam kebanyakan perjumpaan. (Efesus 5:18, 19) Bayaran masuk tidak dikenakan dan sumbangan tidak diwajibkan.—Matius 10:8.

3. Kebanyakan sidang mengadakan perjumpaan di Dewan Perjumpaan. Biasanya dewan-dewan ini merupakan bangunan yang ringkas yang didirikan oleh para sukarelawan Saksi. Anda tidak akan melihat patung, salib, atau benda-benda sebegini di Dewan Perjumpaan. Segala kos perbelanjaan dibiayai melalui derma yang diberikan secara sukarela. Peti sumbangan disediakan bagi sesiapa yang ingin menderma.—2 Korintus 9:7.

4. Dalam setiap sidang terdapat penatua-penatua atau penyelia-penyelia. Mereka mengambil pimpinan dalam aktiviti mengajar di sidang. (1 Timotius 3:1-7) Mereka dibantu oleh para pembantu sidang. (1 Timotius 3:8-10, 12, 13) Semua lelaki ini tidak dianggap berkedudukan lebih tinggi daripada orang lain dalam sidang. (2 Korintus 1:24) Mereka tidak diberi gelaran-gelaran khas. (Matius 23:8-10) Mereka tidak memakai pakaian yang berbeza daripada orang lain. Mereka juga tidak dibayar gaji untuk kerja yang dilakukan untuk sidang. Penatua-penatua rela menjaga keperluan rohani sidang. Semasa anda menghadapi kesusahan, mereka boleh membawa kelegaan hati dan memberi bimbingan kepada anda.—Yakobus 5:14-16; 1 Petrus 5:2, 3.

5. Setiap tahun, Saksi-Saksi Yehuwa juga mengadakan perhimpunan atau konvensyen yang besar. Pada masa itu, banyak sidang berkumpul untuk menikmati program khas yang berunsur pengajaran Bible. Pembaptisan murid-murid baru merupakan sebahagian penting daripada program setiap perhimpunan atau konvensyen.—Matius 3:13-17; 28:19, 20.

6. Ibu pejabat sedunia Saksi-Saksi Yehuwa terletak di New York. Badan Pimpinan, iaitu satu kumpulan penatua-penatua berpengalaman yang bertugas menyelia sidang di seluruh dunia berpusat di sana. Selain itu, terdapat juga lebih daripada 100 buah pejabat cawangan di serata dunia. Di cawangan-cawangan tersebut, para sukarelawan membantu dalam percetakan dan penghantaran bahan-bahan bacaan Bible. Arahan juga diberi untuk mengatur kerja penyebaran. Anda mungkin boleh membuat perancangan untuk melawat pejabat cawangan yang paling dekat dengan anda.