Hamba-hamba Tuhan Mestilah Bersih
Pelajaran 9
Hamba-hamba Tuhan Mestilah Bersih
Mengapakah kita mesti bersih dari semua segi? (1)
Apakah ertinya bersih dari segi rohani? (2) moral? (3) mental? (4) fizikal? (5)
Apakah jenis-jenis pertuturan cabul yang harus kita hindari? (6)
1. Yehuwa ialah Tuhan yang bersih dan suci. Dia menghendaki para penyembah-Nya sentiasa bersih dari segi rohani, moral, mental, dan fizikal. (1 Petrus 1:16) Kita perlu berusaha dengan gigih jika kita hendak sentiasa bersih di mata Tuhan. Kita hidup dalam dunia yang cemar. Kita juga terpaksa melawan kecenderungan yang ada dalam diri kita untuk melakukan kesalahan. Walau bagaimanapun, kita tidak akan berputus asa.
2. Kebersihan Rohani: Jika kita ingin menyembah Yehuwa, kita tidak boleh berpegang pada mana-mana ajaran atau adat resam yang berasal daripada agama palsu. Kita mesti keluar daripada dan tidak menyokong agama palsu dalam apa cara pun. (2 Korintus 6:14-18; Penyingkapan 18:4) Setelah mempelajari kebenaran tentang Tuhan, kita mesti berhati-hati supaya tidak disesatkan oleh orang yang mengajar penipuan.—2 Yohanes 10, 11.
3. Kebersihan Moral: Yehuwa menghendaki para penyembah-Nya berkelakuan seperti orang Kristian yang sejati pada setiap masa. (1 Petrus 2:12) Dia melihat segala perbuatan kita, termasuklah perbuatan kita yang dilakukan secara berahsia. (Ibrani 4:13) Kita harus menghindari kelakuan seksual yang tidak bermoral dan amalan-amalan najis yang lain di dunia ini.—1 Korintus 6:9-11.
4. Kebersihan Mental: Jika kita mengisi minda kita dengan fikiran yang bersih dan murni, kelakuan kita juga akan bersih. (Filipi 4:8) Sebaliknya, jika kita asyik memikirkan perkara-perkara yang tidak bersih, akibatnya kita akan melakukan perkara yang fasiq. (Matius 15:18-20) Kita harus mengelakkan bentuk-bentuk hiburan yang dapat mencemari fikiran kita. Kita boleh mengisi minda kita dengan fikiran yang bersih melalui pembelajaran Firman Tuhan.
5. Kebersihan Fizikal: Oleh sebab orang Kristian mewakili Tuhan, mereka harus menjaga kebersihan tubuh badan dan pakaian mereka. Basuhlah tangan selepas menggunakan tandas, sebelum makan, dan sebelum menyediakan makanan. Jika tempat tingggal anda tidak mempunyai sistem pembetungan najis, bahan-bahan kumuhan patut ditanam. (Ulangan 23:12, 13) Kebersihan fizikal akan menyumbang kepada kesihatan yang baik. Rumah seseorang Kristian, baik di dalam mahupun di luar, harus kemas dan bersih. Tempat tinggal mereka patut menjadi contoh yang baik dalam kalangan jiran mereka.
6. Pertuturan yang Bersih: Hamba-hamba Tuhan mesti sentiasa bercakap benar. Pembohong tidak akan memasuki Kerajaan Tuhan. (Efesus 4:25; Penyingkapan 21:8) Orang Kristian tidak menggunakan kata-kata carutan yang kasar. Mereka tidak mendengarkan atau menceritakan jenaka atau cerita yang berunsur lucah. Orang Kristian sejati menunjukkan bahawa mereka jelas berbeza daripada rakan sekerja, rakan sekolah, atau jiran mereka melalui pertuturan mereka yang bersih.—Efesus 4:29, 31; 5:3.
[Gambar pada muka surat 18, 19]
Hamba-hamba Tuhan mestilah bersih dari semua segi