Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kehidupan Keluarga yang Menyenangkan Hati Tuhan

Kehidupan Keluarga yang Menyenangkan Hati Tuhan

Pelajaran 8

Kehidupan Keluarga yang Menyenangkan Hati Tuhan

Apakah kedudukan suami dalam keluarga? (1)

Bagaimanakah seorang suami harus melayan isterinya? (2)

Apakah tanggungjawab seorang bapa? (3)

Apakah peranan isteri dalam keluarga? (4)

Apakah yang dikehendaki oleh Tuhan daripada ibu bapa dan anak-anak? (5)

Apakah pandangan Bible berkenaan pemisahan dan perceraian? (6, 7)

1. Bible menyatakan bahawa seorang suami ialah kepala keluarganya. (1 Korintus 11:3) Seorang suami mesti mempunyai seorang isteri sahaja. Mereka patut berkahwin secara sah di sisi undang-undang.—1 Timotius 3:2; Titus 3:1.

2. Seorang suami harus mengasihi isterinya seperti dirinya sendiri. Dia harus melayan isterinya sebagaimana Yesus melayan pengikut-pengikutnya. (Efesus 5:25, 28, 29) Dia tidak boleh memukul atau melayan isterinya dengan buruk. Sebaliknya, dia patut menghormati isterinya.—Kolose 3:19; 1 Petrus 3:7.

3. Seorang bapa harus bekerja keras untuk menjaga keluarganya. Dia mesti membekalkan makanan, pakaian, dan tempat tinggal untuk isteri dan anak-anaknya. Seorang bapa juga mesti memenuhi keperluan-keperluan rohani keluarganya. (1 Timotius 5:8) Dia memainkan peranan utama dalam usaha membimbing keluarganya untuk mempelajari tentang Tuhan dan tujuan-tujuan-Nya.—Ulangan 6:4-9; Efesus 6:4.

4. Seorang isteri harus menjadi pembantu yang baik kepada suaminya. (Kejadian 2:18) Dia harus membantu suaminya untuk mendidik dan mengasuh anak-anak mereka. (Amsal 1:8) Yehuwa menghendaki isteri menjaga keluarganya dengan penuh kasih sayang. (Amsal 31:10, 15, 26, 27; Titus 2:4, 5) Dia harus mempunyai hormat yang mendalam terhadap suaminya.—Efesus 5:22, 23, 33.

5. Tuhan menghendaki anak-anak mematuhi kata-kata ibu bapa mereka. (Efesus 6:1-3) Dia menghendaki ibu bapa mengajar dan mendisiplinkan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memenuhi keperluan emosi dan rohani mereka dengan meluangkan masa dan mempelajari Bible bersama-sama mereka. (Ulangan 11:18, 19; Amsal 22:6, 15) Ibu bapa tidak patut mendisiplinkan anak-anak mereka dengan zalim atau kejam.—Kolose 3:21.

6. Apabila hubungan suami isteri menjadi tegang, mereka harus mencuba mengikut nasihat Bible. Bible menggalakkan kita untuk menunjukkan kasih dan bersifat pemaaf. (Kolose 3:12-14) Firman Tuhan tidak menggalakkan pemisahan sebagai cara untuk menyelesaikan masalah-masalah kecil. Namun begitu, seorang isteri boleh mengambil keputusan untuk meninggalkan suaminya jika (1) suaminya berdegil atau enggan menyara keluarganya, (2) suaminya begitu ganas sehingga kesihatan dan nyawanya terancam, atau (3) dia menghadapi tentangan yang melampau daripada suaminya sehingga dia langsung tidak dapat menyembah Yehuwa.—1 Korintus 7:12, 13.

7. Suami isteri mesti setia kepada pasangan hidup mereka. Perzinaan merupakan dosa terhadap Tuhan dan juga teman hidup. (Ibrani 13:4) Hubungan seks luar nikah merupakan satu-satunya dasar dalam Bible yang membenarkan perceraian dan perkahwinan semula. (Matius 19:6-9; Roma 7:2, 3) Yehuwa membenci tindakan orang yang bercerai tanpa berlandaskan dasar yang dibenarkan dalam Bible dan kemudiannya berkahwin semula dengan orang lain.—Maleakhi 2:14-16.

[Gambar pada muka surat 16, 17]

Tuhan menghendaki ibu bapa mendidik dan mendisiplin anak-anak mereka

[Gambar pada muka surat 17]

Seorang bapa yang pengasih menjaga keperluan fizikal dan rohani keluarganya