Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kepercayaan dan Adat yang Tidak Menyenangkan Hati Tuhan

Kepercayaan dan Adat yang Tidak Menyenangkan Hati Tuhan

Pelajaran 11

Kepercayaan dan Adat yang Tidak Menyenangkan Hati Tuhan

Kepercayaan dan adat yang manakah salah? (1)

Patutkah orang Kristian percaya bahawa Tuhan ialah suatu Tritunggal? (2)

Mengapakah orang Kristian yang sejati tidak merayakan Krismas, Easter, atau hari jadi? (3, 4)

Dapatkah orang yang telah mati mencederakan orang yang masih hidup? (5)

Adakah Yesus mati pada salib? (6)

Kita patut menyenangkan hati Tuhan—Betapa pentingkah hal ini? (7)

1. Bukan semua kepercayaan dan adat adalah buruk. Walau bagaimanapun, Tuhan tidak berkenan dengan kepercayaan dan adat yang berasal daripada agama palsu atau yang bertentangan dengan ajaran-ajaran Bible.—Matius 15:6.

2. Tritunggal: Adakah Yehuwa suatu Tritunggal—tiga individu dalam satu Tuhan? Tidak! Yehuwa, iaitu Bapa, ialah “satu-satunya [Tuhan] yang benar.” (Yohanes 17:3; Markus 12:29) Yesus ialah Anak Tuhan yang sulung, dan dia taat kepada Tuhan. (1 Korintus 11:3) Bapa adalah lebih agung daripada Anak. (Yohanes 14:28) “Roh kudus,” “roh suci,” atau “roh Tuhan” yang biasa disebut oleh sesetengah orang sebenarnya merupakan daya aktif Tuhan. Daya ini bukanlah seorang individu; kekeliruan ini timbul kerana salah penterjemahan perkataan Ibrani dan Yunani yang asal.—Kejadian 1:2; Kisah 2:18.

3. Krismas dan Easter: Yesus tidak dilahirkan pada 25 Disember. Dia dilahirkan sekitar 1 Oktober, iaitu pada masa gembala-gembala menjaga kawanan biri-biri mereka di luar pada waktu malam. (Lukas 2:8-12) Yesus tidak pernah memerintahkan orang Kristian untuk merayakan hari lahirnya. Sebaliknya, dia menyuruh murid-muridnya memperingati atau mengenangkan kematiannya. (Lukas 22:19, 20) Krismas dan adat-adat yang berkaitan dengan Krismas berasal daripada agama palsu zaman dahulu. Adat-adat Easter, misalnya penggunaan telur dan arnab dalam perayaan tersebut juga berasal daripada agama palsu zaman dahulu. Penganut-penganut Kristian yang awal tidak merayakan Krismas atau Easter. Jadi, orang Kristian sejati pada masa sekarang juga tidak berbuat demikian.

4. Hari Jadi: Kedua-dua hari jadi yang disebut dalam Bible dirayakan oleh orang yang tidak menyembah Yehuwa. (Kejadian 40:20-22; Markus 6:21, 22, 24-27) Penganut-penganut Kristian yang awal tidak merayakan hari jadi. Adat merayakan hari jadi berasal daripada agama palsu zaman dahulu. Orang Kristian yang sejati memberi hadiah dan bersuka ria pada masa-masa yang lain sepanjang tahun.

5. Takut akan Orang yang Mati: Orang yang telah mati tidak dapat melakukan apa-apa atau merasa apa-apa. Kita tidak dapat menolong mereka dan mereka tidak dapat mencederakan kita. (Mazmur 146:4; Pengkhutbah 9:5, 10) Manusia ialah jiwa dan jiwa boleh mati. Tidak ada apa-apa dalam badan manusia yang akan terus hidup setelah seseorang telah mati. (Yehezkiel 18:4) Namun begitu, malaikat jahat, yang dipanggil roh-roh jahat kadangkala berpura-pura menjadi roh orang yang telah mati. Mana-mana adat yang ada kaitan dengan perasaan takut akan orang yang telah mati atau pemujaan orang yang telah mati adalah salah.—Yesaya 8:19-20.

6. Salib: Yesus tidak mati pada salib. Dia mati pada sebatang tiang atau tonggak. Perkataan Yunani yang diterjemahkan “salib” dalam kebanyakan Bible bermakna sebatang kayu sahaja. Simbol salib berasal daripada agama palsu zaman dahulu. Penganut-penganut Kristian yang awal tidak menggunakan atau menyembah salib. Oleh itu, adakah anda berasa bahawa penggunaan salib dalam penyembahan merupakan tindakan yang wajar?—Ulangan 7:26; 1 Korintus 10:14.

7. Mungkin tindakan untuk meninggalkan sesetengah kepercayaan dan adat adalah sesuatu yang amat susah bagi anda. Saudara-mara dan kawan-kawan anda mungkin akan mencuba meyakinkan anda supaya tidak mengubah kepercayaan anda. Namun, menyenangkan hati Tuhan adalah lebih penting daripada menyenangkan hati manusia.—Amsal 29:25; Matius 10:36, 37.

[Gambar pada muka surat 22]

Tuhan bukan suatu Tritunggal

[Gambar pada muka surat 23]

Krismas dan Easter berasal daripada agama-agama palsu zaman dahulu

[Gambar pada muka surat 23]

Tidak ada sebab untuk memuja atau berasa takut akan orang yang telah mati