Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mendekati Tuhan Melalui Doa

Mendekati Tuhan Melalui Doa

Pelajaran 7

Mendekati Tuhan Melalui Doa

Mengapakah penting untuk berdoa secara tetap? (1)

Kepada siapakah harus kita berdoa, dan bagaimana? (2, 3)

Apakah perkara-perkara yang sesuai didoakan? (4)

Bilakah anda harus berdoa? (5, 6)

Adakah Tuhan mendengarkan semua doa? (7)

1. Berdoa bererti bercakap kepada Tuhan dengan rendah hati. Anda harus berdoa kepada Tuhan secara tetap. Dengan demikian anda dapat berasa rapat dengan-Nya bagai seorang kawan karib. Walaupun Yehuwa sungguh agung dan berkuasa, Dia masih mendengarkan doa-doa kita! Adakah anda berdoa kepada Tuhan secara tetap?—Mazmur 65:3; 1 Tesalonika 5:17.

2. Doa ialah sebahagian daripada penyembahan kita. Jadi, kita patut berdoa kepada Tuhan Yehuwa sahaja. Semasa Yesus berada di bumi, dia selalu berdoa kepada Bapanya, bukan kepada orang lain. Kita juga harus berbuat demikian. (Matius 4:10; 6:9) Namun, semua doa kita harus disampaikan melalui nama Yesus. Hal ini menunjukkan bahawa kita menghormati kedudukan Yesus dan menaruh kepercayaan terhadap korban tebusannya.—Yohanes 14:6; 1 Yohanes 2:1, 2.

3. Apabila berdoa, kita harus bercakap kepada Tuhan dari hati kita. Kita tidak patut menghafal atau membaca doa daripada sebuah buku doa. (Matius 6:7, 8) Kita boleh berdoa pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja, dan dalam apa jua postur badan yang menunjukkan hormat. Malah, Tuhan dapat mendengar doa-doa yang diucapkan dalam hati kita. (1 Samuel 1:12, 13) Adalah baik untuk mencari tempat yang sunyi dan jauh daripada orang lain untuk mengucapkan doa-doa peribadi kita.—Markus 1:35.

4. Apakah perkara-perkara yang boleh anda doakan? Apa-apa sahaja yang mungkin mempengaruhi persahabatan anda dengan-Nya. (Filipi 4:6, 7) Contoh doa yang diberikan oleh Yesus menunjukkan bahawa kita harus berdoa tentang nama dan tujuan Yehuwa. Kita boleh memohon agar keperluan-keperluan fizikal kita dipenuhi dan dosa-dosa kita diampuni. Kita juga boleh memohon bantuan untuk menolak godaan. (Matius 6:9-13) Kita tidak patut mementingkan diri sendiri semasa berdoa. Kita harus berdoa tentang perkara-perkara yang selaras dengan kehendak Tuhan sahaja.—1 Yohanes 5:14.

5. Anda boleh berdoa setiap kali hati anda menggerakkan anda untuk mengucapkan terima kasih kepada Tuhan atau memuji-Nya. (1 Tawarikh 29:10-13) Anda harus berdoa apabila anda menghadapi masalah dan apabila kepercayaan anda diuji. (Mazmur 55:23; 120:1) Adalah wajar untuk berdoa sebelum makan. (Matius 14:19) Yehuwa mengajak kita untuk berdoa pada setiap kesempatan.—Efesus 6:18.

6. Kita perlu berdoa terutamanya jika kita telah melakukan dosa yang serius. Pada masa-masa sedemikian, kita harus memohon ampun dan belas kasihan daripada Yehuwa. Jika kita mengakui dosa-dosa kita lalu berusaha dengan sedaya upaya untuk tidak mengulangi dosa-dosa itu lagi, Tuhan bersedia untuk mengampuni kita.—Mazmur 86:5; Amsal 28:13.

7. Yehuwa mendengarkan doa-doa orang yang adil benar sahaja. Anda mesti berikhtiar untuk hidup berpandukan hukum-hukum Tuhan agar doa anda didengar oleh-Nya. (Amsal 15:29; 28:9) Anda mesti bersikap rendah hati apabila berdoa. (Lukas 18:9-14) Anda perlu berusaha selaras dengan apa yang didoakan. Dengan berbuat demikian, anda membuktikan bahawa anda menaruh kepercayaan terhadap Tuhan dan ikhlas dengan apa yang didoakan. Dengan berbuat begitu, barulah Yehuwa akan mengabulkan doa-doa anda.—Ibrani 11:6.