Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Siapakah Si Iblis?

Siapakah Si Iblis?

Pelajaran 4

Siapakah Si Iblis?

Syaitan Si Iblis—apakah asal usulnya? (1, 2)

Bagaimanakah Syaitan menyesatkan orang? (3-7)

Mengapakah anda harus menentang Si Iblis? (7)

1. Perkataan “iblis” bererti seseorang yang memfitnah orang lain dengan kejam. “Syaitan” bererti musuh atau penentang. Panggilan-panggilan ini diberikan kepada musuh utama Tuhan. Pada mulanya, dia seorang malaikat sempurna yang berada di syurga bersama-sama Tuhan. Walau bagaimanapun, dia kemudiannya menjadi terlalu sombong dan menginginkan penyembahan yang sepatutnya diberikan kepada Tuhan sahaja.—Matius 4:8-10.

2. Malaikat ini, iaitu Syaitan, telah bercakap dengan Hawa menerusi seekor ular. Dengan membohongi Hawa, Syaitan berjaya memujuknya untuk mengingkari Tuhan. Maka, Syaitan telah menyerang “kedaulatan,” atau kedudukan Tuhan sebagai Yang Maha Tinggi. Syaitan mempersoalkan cara Tuhan memerintah; sama ada Tuhan memerintah demi kepentingan rakyat-Nya atau tidak. Syaitan juga mempersoalkan ketaatsetiaan manusia kepada Tuhan. Dengan berbuat demikian, Syaitan menjadikan dirinya musuh Tuhan. Oleh itu, dia dipanggil Syaitan Si Iblis.—Kejadian 3:1-5; Ayub 1:8-11; Penyingkapan 12:9.

3. Syaitan mencuba memperdaya orang supaya mereka menyembahnya. (2 Korintus 11:3, 14) Salah satu cara dia menyesatkan orang ialah melalui agama palsu. Agama yang mengajarkan ajaran-ajaran palsu tentang Tuhan sebenarnya sedang melakukan kehendak Syaitan. (Yohanes 8:44) Orang yang merupakan anggota agama palsu mungkin percaya dengan ikhlas bahawa mereka sedang menyembah Tuhan yang benar. Walau bagaimanapun, mereka sebenarnya sedang berkhidmat kepada Syaitan. Sebagai tuhan dunia ini, ‘Iblislah yang menguasai dunia.’—2 Korintus 4:4.

4. Spiritisme merupakan cara lain yang digunakan oleh Syaitan untuk memastikan orang berada dalam genggamannya. Mereka mungkin memanggil roh-roh untuk melindungi mereka, mencederakan orang lain, meramalkan masa hadapan, atau melakukan mukjizat-mukjizat. Syaitanlah kuasa jahat di sebalik amalan-amalan ini. Untuk menyenangkan hati Tuhan, kita tidak boleh melibatkan diri dalam apa jua bentuk spiritisme.—Ulangan 18:10-12; Kisah 19:18, 19.

5. Syaitan juga menyesatkan orang melalui kebanggaan perkauman yang keterlaluan dan pemujaan organisasi-organisasi politik. Ada yang berasa bahawa negara atau kaum mereka adalah lebih baik daripada orang lain. Hal sedemikian terbukti tidak berasas. (Kisah 10:34, 35) Ada pula yang mengharapkan organisasi-organisasi politik untuk menyelesaikan masalah-masalah manusia. Dengan berbuat demikian, mereka menunjukkan bahawa mereka menolak Kerajaan Tuhan. Sebenarnya, Kerajaan Tuhan merupakan satu-satunya penyelesaian bagi masalah-masalah kita.—Daniel 2:44.

6. Syaitan menggunakan satu lagi cara untuk menyesatkan orang, iaitu dengan menggoda mereka dengan keinginan-keinginan yang berdosa. Yehuwa menyuruh kita menghindari amalan-amalan yang berdosa kerana Dia tahu bahawa amalan sedemikian akan memudaratkan kita. (Galatia 6:7, 8) Sesetengah orang mungkin menginginkan anda menyertai mereka dalam amalan-amalan sedemikian. Walau bagaimanapun, anda harus ingat bahawa sebenarnya Syaitanlah yang inginkan anda melakukan perkara-perkara buruk ini.—1 Korintus 6:9, 10; 15:33.

7. Syaitan mungkin menggunakan penganiayaan atau tentangan supaya anda meninggalkan Yehuwa. Sesetengah orang yang anda kasihi mungkin menjadi sangat marah kerana anda sedang mengkaji Bible. Ada pula yang mungkin mengejek anda. Namun begitu, kepada siapakah anda berhutang nyawa? Syaitan ingin menakutkan anda supaya anda berhenti daripada mempelajari tentang Yehuwa. Jangan biarkan Syaitan menang! (Matius 10:34-39; 1 Petrus 5:8, 9) Dengan menentang Si Iblis, anda dapat menggembirakan hati Yehuwa dan menunjukkan bahawa anda mendukung kedaulatan-Nya.—Amsal 27:11.

[Gambar pada muka surat 9]

Agama palsu, spiritisme, dan nasionalisme menyesatkan orang

[Gambar pada muka surat 9]

Lawanlah Syaitan dengan terus mempelajari tentang Yehuwa