Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Siapakah Tuhan?

Siapakah Tuhan?

Pelajaran 2

Siapakah Tuhan?

Siapakah Tuhan yang benar, dan siapakah nama-Nya? (1, 2)

Adakah tubuh Tuhan sama dengan tubuh manusia? Jelaskan. (3)

Apakah sifat-sifat utama-Nya? (4)

Patutkah kita menggunakan patung dan lambang untuk menyembah-Nya? (5)

Nyatakan dua cara kita dapat mempelajari tentang Tuhan. (6)

1. Walaupun orang menyembah banyak benda, Bible mengajar kita bahawa Tuhan yang BENAR hanyalah satu. Dia telah menciptakan segala-gala yang ada di syurga dan di bumi. Oleh sebab Dialah yang memberi kita nyawa, kita harus menyembah-Nya sahaja.—Nehemia 9:6; Penyingkapan 4:11.

2. Tuhan mempunyai banyak gelaran tetapi hanya satu nama. Nama-Nya YEHUWA. Nama Tuhan telah dikeluarkan daripada kebanyakan Bible dan telah digantikan dengan gelaran-gelaran seperti TUAN atau TUHAN. Walau bagaimanapun, pada asalnya nama Yehuwa ditulis lebih daripada 7,000 kali di dalam Bible!—Kejadian 2:4, nota kaki; Keluaran 3:14, 15, nota kaki.

3. Yehuwa mempunyai tubuh, tetapi tubuh-Nya bukanlah seperti tubuh kita. Menurut Bible, “[Tuhan] itu Roh.” (Yohanes 4:24) Roh merupakan hidupan yang jauh lebih tinggi daripada kita. Tiada seorang manusia pun yang pernah melihat Tuhan. Yehuwa tinggal di syurga, tetapi Dia dapat melihat segala-galanya. (Mazmur 11:4, 5; Keluaran 33:20) Apakah “roh kudus,” “roh suci,” atau “roh Tuhan” yang biasa disebut oleh kebanyakan orang? “Roh kudus,” “roh suci,” atau “roh Tuhan” bukanlah seorang individu tetapi merupakan daya aktif Tuhan.—Kejadian 1:2.

4. Bible mengajar kita tentang keperibadian Yehuwa. Bible menjelaskan bahawa sifat-sifat-Nya yang utama ialah kasih, keadilan, kebijaksanaan (hikmat), dan kuasa. (Ulangan 32:4; Ayub 12:12, 13; Yesaya 40:26; 1 Yohanes 4:8) Bible memberitahu kita bahawa Dia juga merupakan Tuhan yang sabar, baik hati, pengampun, murah hati, dan penuh belas kasihan. Seperti anak-anak yang patuh kepada ibu bapa, kita harus berusaha untuk mencontohi sifat-sifat-Nya.—Efesus 5:1, 2.

5. Patutkah kita menyembah, bersujud, atau berdoa kepada patung, gambar, atau lambang? Tidak! (Keluaran 20:4, 5) Yehuwa berkata bahawa kita mesti menyembah-Nya sahaja. Dia tidak akan mengongsi kemuliaan-Nya dengan sesiapa atau apa-apa. Patung atau berhala tidak mempunyai kuasa untuk menolong kita.—Mazmur 115:4-8; Yesaya 42:8.

6. Bagaimanakah kita boleh mengenali Tuhan dengan lebih dekat lagi? Salah satu cara adalah dengan memerhatikan dan memikirkan ciptaan-ciptaan-Nya dengan mendalam. Ciptaan-ciptaan Tuhan menunjukkan bahawa Dia sangat berkuasa dan bijaksana. Kasih-Nya dapat dilihat daripada segala yang telah diciptakan oleh-Nya. (Mazmur 19:1-7; Roma 1:20) Cara lain kita dapat mempelajari tentang Tuhan adalah dengan mengkaji Bible. Dalam Bible, Tuhan memberitahu kita lebih banyak lagi tentang sifat-sifat-Nya. Dia juga memberitahu kita tentang tujuan-Nya dan apa yang Dia ingin kita lakukan.—Amos 3:7; 2 Timotius 3:16, 17.

[Gambar pada muka surat 5]

Kita mempelajari tentang Tuhan daripada ciptaan-Nya dan Bible