Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

Saya Berjaya biarpun Gagal Berulang Kali

Saya Berjaya biarpun Gagal Berulang Kali
  • TAHUN LAHIR: 1953

  • NEGARA ASAL: AUSTRALIA

  • LATAR BELAKANG: KETAGIH PORNOGRAFI

KISAH SILAM SAYA:

Pada 1949, bapa saya pindah dari Jerman ke Australia untuk mencari kerja di industri perlombongan dan penjanaan tenaga elektrik. Bapa tinggal di kawasan pedalaman Victoria dan kemudian berkahwin dengan ibu saya. Saya lahir pada tahun 1953.

Beberapa tahun kemudian, ibu mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Jadi sejak kecil, saya diajar tentang Bible. Tetapi bapa sangat benci agama, dan dia menjadi ganas kerana ibu sedang belajar Bible. Biarpun ibu sangat takut, dia teruskan pembelajarannya tanpa pengetahuan bapa. Apabila bapa tiada di rumah, ibu akan mengajar saya dan adik perempuan saya tentang harapan Firdaus dan bagaimana ajaran Bible dapat membantu kami hidup bahagia.—Mazmur 37:10, 29; Yesaya 48:17.

Semasa berumur 18 tahun, saya meninggalkan rumah sebab tidak tahan dengan sikap bapa yang ganas. Walaupun saya percaya apa yang ibu ajar tentang Bible, saya tidak menerapkannya. Ketika itu, saya sudah mula bekerja sebagai juruelektrik di lombong arang. Saya berkahwin semasa berumur 20 tahun, dan anak perempuan saya dilahirkan tiga tahun kemudian. Ini buat saya fikir tentang keutamaan hidup saya. Saya tahu Bible dapat membantu keluarga saya, jadi saya mula belajar dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Tapi, isteri saya sangat menentang. Selepas saya menghadiri perjumpaan Saksi, isteri saya memaksa saya untuk memilih antara keluarga atau pembelajaran Bible saya. Saya tidak mahu kehilangan keluarga saya, jadi saya memutuskan hubungan dengan para Saksi. Bila saya fikir kembali keputusan itu, saya sangat menyesal kerana saya tidak berani melakukan apa yang benar.

Pada suatu hari, rakan kerja menunjukkan bahan lucah (pornografi) kepada saya. Mula-mula, saya rasa itu menjijikkan tetapi pada masa yang sama, saya tertarik dan tergoda untuk melihatnya. Saya rasa bersalah kerana saya sedar Tuhan tidak suka hal itu, dan saya percaya Dia akan menghukum saya. Sedihnya, saya tidak melawan keinginan yang salah. Sebaliknya saya terus melihat pornografi dan akhirnya saya menjadi ketagih.

Sepanjang 20 tahun yang berikutnya, hidup saya menjadi semakin teruk. Saya telah menyimpang jauh daripada apa yang ibu ajarkan. Pornografi telah mempengaruhi sikap dan percakapan saya. Saya suka jenaka yang lucah dan mempunyai pandangan yang salah terhadap seks. Walaupun saya masih tinggal bersama isteri, saya curang terhadapnya. Pada suatu hari, saya melihat diri dalam cermin dan saya kata, “Saya benci kamu.” Harga diri saya hilang dan saya rasa jijik terhadap diri sendiri.

Rumah tangga dan kehidupan saya hancur berkecai. Ketika itu, saya berdoa dengan sepenuh hati kepada Yehuwa. Akhirnya, saya mula belajar Bible lagi dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Pada masa itu, bapa saya sudah meninggal dan ibu sudah menjadi seorang Saksi.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Saya sedar cara hidup saya sangat jauh daripada ajaran Bible. Tetapi saya bertekad untuk mengubah hidup saya. Saya mahu mendapat ketenangan yang dijanjikan dalam Bible. Jadi saya berusaha mengubah percakapan dan sikap panas baran saya. Saya juga hentikan tabiat buruk saya seperti kelakuan yang tidak bermoral, berjudi, kemabukan, dan mencuri.

Malangnya, rakan kerja saya tidak faham kenapa saya mahu mengubah hidup saya. Selama tiga tahun, mereka asyik cuba menggoda saya supaya kembali ke cara hidup yang lama. Apabila saya gagal mengawal diri atau tercakap kata-kata kesat, mereka akan kata dengan sinis, “Ah! Ini barulah Joe yang kami kenal!” Sindiran mereka buat saya sangat sakit hati dan rasa tidak berguna.

Selain itu, tempat kerja saya sarat dengan bahan lucah, tidak kira dalam bentuk elektronik atau bercetak. Rakan kerja selalu menghantar gambar lucah melalui komputer. Saya sedang bergelut untuk mengatasi ketagihan saya, tetapi saya rasa mereka sengaja mahu saya gagal. Untuk mendapatkan galakan dan sokongan, saya mencari guru Bible saya dan meluahkan isi hati saya. Dia mendengar dengan sabar dan menggunakan ayat Bible untuk membantu saya mengatasi ketagihan saya. Dia juga menggalakkan saya untuk berdoa dengan tekun untuk meminta bantuan Yehuwa.​—Mazmur 119:37.

Pada suatu hari, saya panggil rakan kerja saya. Antara mereka terdapat dua orang yang ketagihan alkohol. Saya suruh rakan kerja yang lain untuk memberi bir kepada dua pekerja itu, tetapi mereka semua naik marah dan kata, “Mana boleh! Mereka ketagih dan sedang berusaha berhenti minum!” Kemudian saya kata, “Saya pun sedang melawan ketagihan pornografi!” Sejak hari itu, mereka sedar saya sedang bergelut untuk mengatasi ketagihan saya. Akhirnya, mereka tidak lagi menekan atau cuba memancing saya untuk melihat bahan lucah.

Dengan bantuan Yehuwa, saya dapat mengatasi ketagihan saya. Pada 1999, saya dibaptis sebagai seorang Saksi. Saya bersyukur kerana diberi peluang kedua, dan saya dapat menikmati kehidupan yang bahagia.

Sekarang, saya betul-betul memahami mengapa Yehuwa membenci hal-hal jahat yang dulu saya gemari. Dia mahu melindungi saya daripada kesan buruk pornografi. Saya sangat bersetuju dengan kata-kata di Amsal 3:5, 6: “Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu, dan janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan Dia dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan meluruskan jalan hidupmu.” Ajaran Bible bukan hanya dapat melindungi kita tetapi dapat membantu kita berjaya dalam hidup.—Mazmur 1:1-3.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Dulu, saya sangat benci diri sendiri. Tetapi sekarang, harga diri saya pulih dan saya mendapat ketenangan. Hidup saya bersih. Saya dapat rasai sokongan Tuhan dan mendapat pengampunan-Nya. Pada tahun 2000, saya berkahwin dengan Karolin, seorang saudari jelita yang mengasihi Yehuwa dan kami hidup bahagia. Kami sangat bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian daripada keluarga rohani yang murni dan pengasih.