Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Golongan Masoret menyalin Ayat-Ayat Suci dengan teliti

TOPIK UTAMA | BIBLE​—TERPELIHARA WALAUPUN DIANCAM

Bible Terpelihara walaupun Musuh Cuba Mengubah Kandungannya

Bible Terpelihara walaupun Musuh Cuba Mengubah Kandungannya

ANCAMANNYA: Biarpun salinan Bible mudah reput dan menghadapi tentangan daripada pihak-pihak tertentu, Bible tetap terpelihara. Namun sesetengah penyalin Bible dan penterjemah cuba mengubah kandungannya. Ada kalanya mereka mengubah teks Bible agar menjadi selaras dengan ajaran mereka, dan bukannya menyelaraskan ajaran mereka dengan kandungan Bible. Perhatikan contoh-contoh berikut:

  • Tempat ibadat: Antara abad keempat dan abad kedua SM, penulis Pentateuch orang Samaria telah memasukkan ayat ini selepas Keluaran 20:17 “di Aargaareezem. Dan di sana kamu akan membina sebuah mazbah.” Hal ini kerana orang Samaria mahu ajaran Bible menyokong rancangan mereka untuk membina rumah Tuhan di “Aargaareezem,” atau Gunung Gerizim.

  • Ajaran Tritunggal: Sekitar 300 tahun selepas Bible siap ditulis, seorang penulis yang menyokong ajaran Tritunggal telah mengubah kata-kata di 1 Yohanes 5:7. Dia menambah ayat ini: “Di syurga, Bapa, Firman, dan Roh Kudus: mereka bertiga adalah satu.” Sebenarnya kata-kata itu tidak muncul dalam teks asal. Seorang pakar Bible yang bernama Bruce Metzger berkata, “Mulai dari abad keenam, kata-kata ini lebih sering ditemui dalam manuskrip Latin Lama dan Vulgate [bahasa Latin].”

  • Nama Tuhan: Banyak penterjemah menggunakan adat Yahudi sebagai alasan untuk mengeluarkan nama Tuhan daripada Bible. Mereka menggantikan nama Tuhan dengan gelaran seperti “Tuhan” atau “Tuan.” Namun gelaran-gelaran itu juga dapat digunakan untuk merujuk kepada manusia, tuhan-tuhan palsu, dan bahkan si Iblis.​—Yohanes 10:34, 35; 1 Korintus 8:5, 6; 2 Korintus 4:4. *

BAGAIMANA BIBLE TERPELIHARA: Pertama, biarpun ada penyalin Bible yang lalai atau tidak jujur, banyak penyalin Bible sangat mahir dan teliti. Antara abad keenam dan kesepuluh M, golongan Masoret menyalin Kitab Ibrani dan menghasilkan apa yang dikenali sebagai manuskrip Masoret. Untuk memastikan tiada kesilapan, mereka bahkan mengira jumlah perkataan dan huruf yang disalin. Jika mereka mengesyaki bahawa terdapat kesilapan dalam naskhah utama, mereka akan mencatatkannya di tepi muka surat. Mereka mencurahkan banyak usaha agar tidak mengubah mana-mana bahagian Bible. Professor Moshe Goshen-Gottstein berkata, “Mereka menganggap perbuatan mengubah teks dengan sengaja sebagai jenayah yang paling teruk.”

Kedua, memandangkan terdapat banyak manuskrip, pakar Bible dapat membandingkan untuk mencari kesilapan. Sebagai contoh selama berabad-abad, pemimpin agama mengajar bahawa Bible bahasa Latin mengandungi teks yang paling tepat. Namun seperti yang disebutkan di atas, di 1 Yohanes 5:7, mereka telah menambahkan kata-kata sendiri. Bahkan Bible King James Version yang sangat terkenal juga mengandungi kesilapan yang sama. Tetapi apakah yang didapati semasa membandingkannya dengan manuskrip-manuskrip lain? Bruce Metzger menulis, “Ayat tambahan [di 1 Yohanes 5:7] hanya wujud dalam versi bahasa Latin, tetapi tidak terkandung dalam manuskrip kuno yang lain (bahasa Arab, Armenia, Ge’ez, Qibti, Slavik, Suryani).” Maka King James Version yang dikemaskinikan dan Bible-Bible lain telah mengeluarkan ayat tambahan itu.

Chester Beatty P46; salah satu papirus manuskrip Bible dari sekitar 200 M

Adakah manuskrip yang lebih tua membuktikan bahawa mesej Bible tidak diubah? Semasa Gulungan Laut Mati dijumpai pada tahun 1947, pakar dapat membandingkan manuskrip Masoret Ibrani dengan gulungan itu. Salah seorang pakar yang mengkaji Gulungan Laut Mati berkata, “Satu gulungan saja sudah cukup untuk membuktikan bahawa orang Yahudi yang menyalin Bible sangat setia dan teliti. Biarpun 1,000 tahun sudah berlalu, mesej dalam teks asal Bible tetap terpelihara.”

Perpustakaan Chester Beatty di Dublin, Ireland, mempunyai koleksi papirus untuk hampir setiap buku dalam Kitab Yunani Kristian. Sesetengah manuskrip ditulis pada abad kedua M, iaitu kira-kira 100 tahun selepas Bible disiapkan. Sebuah kamus Bible menyatakan, “Walaupun papirus-papirus itu mengandungi sesetengah perincian baru, tetapi secara keseluruhan kami mendapati bahawa teks disalin dengan tepat.”

“Tidak ada karya kuno lain yang terpelihara dengan begitu tepat dan saksama”

HASILNYA: Manuskrip yang lama dan bilangan manuskrip yang banyak membuktikan kesahihan Bible. Mengenai Kitab Yunani Kristian, Frederic Kenyon menulis, “Tidak ada buku kuno lain yang mempunyai begitu banyak teks asal dan teks yang lama untuk menyokong ketepatannya. Pakar yang mengkajinya tanpa dipengaruhi oleh pandangan sendiri akan mendapati bahawa teks Bible yang ada sekarang adalah tepat dan tidak banyak berubah daripada manuskrip asal.” Mengenai Kitab Ibrani pula William Henry Green berkata, “Tidak ada karya kuno lain yang terpelihara dengan begitu tepat dan saksama.”

^ per. 6 Untuk maklumat lanjut, lihat Lampiran A4 dan A5 dalam Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu di www.pr418.com.