Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimanakah Saya Dapat Mencari Sahabat yang Baik?

Bagaimanakah Saya Dapat Mencari Sahabat yang Baik?

BAB 8

Bagaimanakah Saya Dapat Mencari Sahabat yang Baik?

“Bila saya marah, saya perlukan tempat untuk mengadu. Bila saya sedih, saya perlukan seseorang untuk melegakan saya. Bila saya gembira, saya ingin kongsi perasaan saya dengan seseorang. Bagi saya, kawan memang penting!”​—Brittany.

ADA orang kata, kanak-kanak perlukan teman bermain, tetapi orang dewasa perlukan sahabat. Apakah bezanya?

Teman bermain ialah orang yang menemani kamu.

Sahabat pula ialah orang yang mempunyai nilai-nilai yang sama dengan kamu.

Selain itu, Bible kata, “Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.” (Amsal 17:17) Sudah pasti persahabatan sebegini jauh berbeza daripada kawan-kawan kamu semasa kecil.

Fakta: Apabila kamu menjadi dewasa, kamu perlukan kawan yang

1. Mempunyai sifat yang baik

2. Mempunyai nilai moral yang tinggi

3. Memberi pengaruh yang positif terhadap kamu

Soalan: Bagaimanakah kamu dapat cari kawan sebegitu? Mari kita kaji hal-hal berikut satu demi satu.

#1 Sifat yang Baik

Apa yang perlu kamu ketahui. Bukan semua orang dapat jadi sahabat yang baik. Bible pun kata, “Ada sahabat-sahabat yang cenderung menghancurkan satu sama lain.” (Amsal 18:24) Cuba fikirkan, “Pernahkah kamu ada ‘kawan’ yang mengambil kesempatan atas kamu? Pernahkah kamu ada ‘kawan’ yang mengumpat tentang kamu atau menyebarkan hal-hal yang tidak benar tentang kamu?” Pengalaman sebegitu tentu menghancurkan kepercayaan kamu terhadap orang. * Ingatlah, jumlah sahabat tidak penting. Yang penting ialah mempunyai sahabat sejati.

Apa yang dapat kamu lakukan. Pilihlah kawan yang mempunyai sifat-sifat baik yang ingin kamu tiru.

“Semua orang selalu puji sifat-sifat kawan saya yang bernama Fiona. Saya juga mahu menjadi seperti dia. Bagi saya, dia memang sahabat yang baik.”—Yvette, 17 tahun.

Cubalah langkah berikut:

1. Baca Galatia 5:22, 23.

2. Tanyalah diri, “Adakah kawan saya mempunyai sifat yang disenaraikan dalam ‘buah kuasa suci Tuhan’?”

3. Tulis nama kawan-kawan rapat kamu. Di sebelah namanya, catatkan sifat utamanya.

Nama

․․․․․

Sifatnya

․․․․․

Tip: Jika kamu hanya dapat fikirkan sifat-sifat buruknya, kamu mungkin perlu cari sahabat yang lebih baik!

#2 Nilai Moral yang Tinggi

Apa yang perlu kamu ketahui. Jika kamu terdesak untuk mencari kawan, kamu mungkin akan salah pilih kawan. Tapi ingatlah, Bible kata, “Orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.” (Amsal 13:20) “Orang bodoh” di sini bukan merujuk kepada orang yang kurang pandai dan dapat markah rendah, sebaliknya merujuk kepada orang yang enggan terima nasihat. Orang sebegini lebih suka melakukan hal-hal yang buruk. Janganlah mencari sahabat begitu!

Apa yang dapat kamu lakukan. Pilihlah kawan kamu secara teliti dan bukannya terima sesiapa sahaja sebagai kawan. (Mazmur 26:4) Ini tidak bermaksud kamu perlu bersikap prasangka. Sebaliknya, kamu perlu belajar untuk ‘melihat perbezaan antara orang baik dengan orang jahat.’​—Maleakhi 3:18.

“Saya bersyukur ibu bapa saya bantu saya cari kawan yang sebaya dengan saya dan yang kuat secara rohani.”​—Christopher, 13 tahun.

Jawab soalan berikut:

Apabila saya bersama kawan, adakah saya rasa takut mereka akan memaksa saya untuk buat sesuatu yang salah?

□ Ya

□ Tidak

Adakah saya teragak-agak untuk memperkenalkan kawan saya kepada ibu bapa sebab saya risau mereka akan anggap dia sebagai pergaulan yang buruk?

□ Ya

□ Tidak

Tip: Jika kamu menjawab “ya,” carilah kawan yang mempunyai nilai moral yang tinggi agar kamu dapat tiru sifat baiknya.

#3 Pengaruh yang Positif

Apa yang perlu kamu ketahui. Bible kata, “Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.” (1 Korintus 15:33) Seorang gadis muda yang bernama Lauren berkata, “Kawan-kawan sekolah saya hanya akan terima saya jika saya buat apa yang mereka suruh. Oleh sebab saya selalu rasa sunyi, saya sanggup ikut gaya mereka agar diterima.” Akhirnya Lauren sedar bahawa dia diperalatkan oleh kawan-kawannya. Dia kata bahawa jika kita menuruti setiap kehendak orang, kita akan menjadi seperti bidak dalam permainan catur yang diatur sesuka hati mereka. Sebenarnya, kamu layak dilayan jauh lebih baik!

Apa yang dapat kamu lakukan. Jangan berkawan dengan mereka yang mendesak kamu untuk ubah cara hidup semata-mata untuk senangkan hati mereka. Kamu mungkin akan mempunyai sedikit kawan, tapi kamu akan lebih yakin terhadap pilihan diri sendiri. Selain itu, kamu berpeluang menjalin persahabatan yang lebih baik dan mempunyai sahabat yang memberikan pengaruh yang positif.—Roma 12:2.

“Kawan rapat saya Clint sangat stabil dan memahami perasaan orang lain. Dia banyak menggalakkan saya.”​—Jason, 21 tahun.

Tanyalah diri soalan berikut:

Adakah saya mengubah cara berpakaian dan bercakap, atau melakukan hal-hal yang buruk demi menyenangkan sahabat saya?

□ Ya

□ Tidak

Adakah saya pergi ke tempat yang tidak bagus kerana diajak oleh kawan-kawan saya?

□ Ya

□ Tidak

Tip: Jika kamu menjawab “ya,” mintalah nasihat daripada ibu bapa atau orang dewasa lain. Jika kamu salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa, kamu boleh dapatkan nasihat daripada para penatua tentang cara untuk memilih sahabat yang baik.

[Nota kaki]

^ per. 14 Memang semua orang akan buat kesilapan. (Roma 3:23) Jadi, apabila orang yang menyakiti kamu meminta maaf, ingatlah bahawa “kasih dapat menutup banyak dosa.”​—1 Petrus 4:8.

AYAT KUNCI

“Ada sahabat yang lebih karib daripada saudara kandung.”​—Amsal 18:24.

TIP

Jika kamu hidup mengikut piawaian Yehuwa, orang lain yang berusaha untuk berbuat demikian juga akan pilih kamu sebagai sahabat. Maka kamu dapat mencari sahabat sejati.

TAHUKAH KAMU . . . ?

Tuhan tidak berat sebelah. Tetapi Dia memilih siapa yang akan Dia terima sebagai ‘tetamu di khemah-Nya.’​—Mazmur 15:1-5.

RANCANGANKU

Untuk cari kawan yang baik, saya akan ․․․․․

Orang yang lebih tua yang ingin saya lebih kenali ialah ․․․․․

Tentang topik ini, saya ingin tanya ibu bapa saya ․․․․․

APAKAH PENDAPAT KAMU?

● Apakah sifat-sifat yang paling kamu hargai dalam kawan kamu? Mengapa?

● Apakah sifat-sifat yang perlu kamu pupuk untuk menjadi sahabat yang lebih baik?

[Petikan]

“Apabila ibu bapa menasihati saya untuk tidak bergaul dengan sesetengah sahabat saya, pada mulanya saya enggan mendengar cakap mereka. Namun pada kemudian hari, saya sedar nasihat mereka demi kebaikan saya. Selepas saya dengar cakap mereka, saya mula mendapat banyak kawan yang lebih baik.”​—Cole

[Kotak]

Cubalah Cadangan yang Berikut

Tanya ibu bapa kamu tentang persahabatan. Tanyalah mereka jenis sahabat yang mereka pilih semasa mereka sebaya dengan kamu. Adakah mereka menyesal dengan pilihan mereka? Jika ya, mengapa? Tanyalah mereka bagaimana kamu dapat elak daripada membuat kesilapan yang sama.

Perkenalkan kawan-kawan kamu kepada ibu bapa. Jika kamu teragak-agak untuk berbuat demikian, tanyalah diri, “Mengapakah saya tidak mahu ibu bapa jumpa kawan-kawan saya? Adakah kerana saya tahu bahawa ibu bapa saya akan anggap mereka sebagai pergaulan buruk?” Jika ya, kamu perlu memilih kawan kamu dengan lebih bijak.

Jadilah pendengar yang baik. Tunjukkan minat dan ambil berat terhadap kawan kamu.​—Filipi 2:4.

Sudi memaafkan. Jangan mengharapkan kesempurnaan. Bible kata, “Kita semua sering berbuat silap.”​—Yakobus 3:2.

Beri kawan kamu ruang. Jangan terlalu melekat pada kawan kamu. Sahabat sejati akan berada di sisi kamu bila kamu perlukan mereka.​—Pengkhutbah 4:9, 10.

[Gambar]

Jika kita menuruti setiap kehendak orang, kita menjadi seperti bidak dalam permainan catur yang diatur sesuka hati