Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB TUJUH

Adakah Anak Anda Seorang Pemberontak?

Adakah Anak Anda Seorang Pemberontak?

1, 2. (a) Apakah perumpamaan Yesus yang menggambarkan para pemimpin Yahudi yang tidak taat? (b) Melalui perumpamaan Yesus, apakah yang dapat kita belajar tentang anak remaja?

BEBERAPA hari sebelum Yesus mati, dia menanyakan soalan yang merangsang fikiran para pemimpin Yahudi. “Sekarang bagaimana pendapat kamu?” katanya, “Ada seorang bapa yang mempunyai dua orang anak lelaki. Dia pergi kepada anaknya yang sulung dan berkata, ‘Pergilah bekerja di ladang anggur hari ini.’ Anaknya menjawab, ‘Saya tidak mahu,’ tetapi kemudian anak itu mengubah fikirannya lalu pergi ke ladang anggur itu. Kemudian bapa itu pergi kepada anaknya yang kedua, dan mengatakan hal yang sama. ‘Baiklah ayah,’ jawab anaknya yang kedua. Tetapi dia tidak pergi. Yang manakah antara kedua-dua orang anak itu melakukan kehendak bapanya?” Pemimpin Yahudi menjawab, “Anak yang sulung.”​—Matius 21:28-31, ABB.

2 Perumpamaan Yesus menggambarkan para pemimpin Yahudi yang tidak taat. Seperti anak kedua, mereka berjanji untuk melakukan kehendak Tuhan tetapi kemudian memungkiri janji. Namun, ramai ibu bapa sedar bahawa Yesus telah memberikan gambaran yang tepat tentang kehidupan keluarga. Dia menunjukkan bahawa sukar untuk mengetahui fikiran remaja atau menduga tindak-tanduk mereka. Seorang remaja yang mencetuskan banyak masalah mungkin menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab dan disegani. Hal ini harus diambil kira semasa kita membincangkan masalah pemberontakan remaja.

APAKAH ERTINYA PEMBERONTAK?

3. Mengapakah ibu bapa tidak patut terburu-buru menyimpulkan bahawa anak mereka seorang pemberontak?

3 Anda mungkin pernah mendengar tentang remaja yang melawan ibu bapa mereka. Anda bahkan mengenali keluarga yang mempunyai remaja yang susah dikawal. Tetapi sukar untuk menentukan sama ada remaja sebegini sebenarnya seorang pemberontak. Selain itu, sukar juga untuk memahami mengapa ada anak yang memberontak sedangkan yang lain tidak, meskipun mereka dibesarkan dalam keluarga yang sama. Apakah yang harus dilakukan jika ibu bapa mendapati bahawa anak mereka menunjukkan ciri-ciri seorang pemberontak? Sebelum menjawab soalan ini, marilah kita lihat apa yang dimaksudkan dengan seorang pemberontak.

4-6. (a) Apakah ertinya seorang pemberontak? (b) Apakah yang harus diingati ibu bapa jika remaja mereka tidak mendengar cakap sekali-sekala?

4 Secara ringkasnya, seorang pemberontak ialah orang yang selalu mengingkari atau sengaja melawan kekuasaan. Sudah pasti, “kanak-kanak biasa membuat perkara yang bukan-bukan.” (Amsal 22:15) Jadi, semua anak pernah melawan kekuasaan ibu bapa atau orang lain, terutamanya semasa mereka mengharungi zaman remaja. Perubahan besar dari segi jasmani dan emosi yang berlaku sepanjang masa ini membawa tekanan kepada seorang remaja. Anak lelaki atau perempuan anda sedang beralih dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa. Oleh itu, sesetengah ibu bapa sentiasa tidak bersependapat dengan anak remaja mereka. Tanpa disedari, kebanyakan ibu bapa mencuba memperlahankan peralihan ini, manakala remaja mereka pula ingin mempercepatnya.

5 Seorang pemberontak menolak nilai-nilai baik yang diajar oleh ibu bapanya. Namun, ibu bapa haruslah ingat bahawa anak yang kadangkala tidak mendengar cakap tidak semestinya seorang pemberontak. Dan anak yang pada mulanya kurang berminat pada ajaran Bible tidak semestinya sedang memberontak. Jadi, janganlah terburu-buru menyimpulkan bahawa anak anda seorang pemberontak.

6 Adakah semua remaja akan memberontak terhadap kekuasaan ibu bapa? Tidak. Sebenarnya, ada bukti yang menunjukkan bahawa hanya sebilangan kecil remaja yang kuat memberontak. Namun, apakah yang harus dilakukan dengan anak yang keras kepala dan asyik memberontak? Apakah yang mungkin mencetuskan sikap ini?

MENGAPA REMAJA MEMBERONTAK

7. Bagaimanakah persekitaran dunia yang sarat dengan pengaruh Syaitan mencetuskan pemberontakan remaja?

7 Punca utama pemberontakan ialah persekitaran dunia yang sarat dengan pengaruh Syaitan. Bible berkata, “Seluruh dunia ini di bawah kuasa Iblis.” (1 Yohanes 5:19) Dunia Syaitan telah melahirkan budaya yang tidak sihat dan orang Kristian harus melawannya. (Yohanes 17:15) Berbanding dahulu, budaya dunia hari ini semakin bahaya dan tidak berakhlak, serta sarat dengan pengaruh jahat. (2 Timotius 3:1-5, 13) Jika ibu bapa tidak mendidik, melindungi, dan mengingatkan anak remaja tentang budaya ini, dia akan mudah terpengaruh dengan sikap yang ditunjukkan oleh ‘orang yang tidak taat kepada Tuhan.’ (Efesus 2:2) Sehubungan ini, remaja juga menghadapi tekanan rakan sebaya. Bible berkata, “Orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.” (Amsal 13:20) Begitu juga, remaja yang bersahabat dengan orang yang dikuasai sikap dunia ini boleh terpengaruh. Oleh itu, ibu bapa perlu terus membantu anak muda untuk memahami bahawa kepatuhan kepada prinsip Tuhan dapat menjamin cara hidup yang terbaik.​—Yesaya 48:17, 18.

8. Apakah punca-punca lain yang mungkin menyebabkan pemberontakan remaja?

8 Satu lagi punca pemberontakan ialah persekitaran di rumah. Misalnya, ibu atau bapa yang kuat minum, menyalahgunakan dadah, atau ganas terhadap pasangannya, mungkin akan merosakkan pandangan anak remaja terhadap kehidupan. Bahkan dalam rumah tangga yang agak tenang, remaja mungkin memberontak apabila dia berasa bahawa ibu bapa tidak mengambil berat tentangnya. Namun, pemberontakan remaja tidak semestinya disebabkan oleh pengaruh luaran. Sesetengah anak sengaja memberontak, meskipun ibu bapa telah berusaha menerapkan prinsip Bible dan melindungi mereka daripada dunia ini. Mengapa? Barangkali, puncanya ialah ketidaksempurnaan manusia. Paulus berkata, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang [Adam], dan dosa orang itu membawa kematian. Akibatnya maut menjangkiti segenap umat manusia, kerana semua orang berdosa.” (Roma 5:12, ABB) Adam mementingkan diri; dia telah memberontak dan mewariskan dosa kepada keturunannya. Seperti Adam, ada remaja yang memilih untuk memberontak.

BERSIKAP SEIMBANG SEMASA MENDISIPLINKAN ANAK

9. Bagaimanakah sikap tidak seimbang boleh menyebabkan pemberontakan remaja?

9 Satu lagi punca pemberontakan remaja ialah ibu bapa yang tidak bersikap seimbang semasa membesarkan anak. (Kolose 3:21) Sesetengah ibu bapa yang berusaha menyempurnakan tanggungjawab mereka terlalu tegas dan memberikan disiplin yang ketat. Yang lain pula terlalu memanjakan anak dan tidak menetapkan peraturan yang dapat melindungi anak remaja yang tidak berpengalaman. Memang tidak mudah untuk bersikap seimbang dalam kedua-dua aspek ini. Setiap orang anak mempunyai keperluan yang berbeza; ada yang memerlukan lebih banyak jagaan dan bimbingan. Namun begitu, kita boleh mengambil pengajaran daripada dua contoh Bible​—Eli yang terlalu memanjakan anak-anaknya, dan Rehabeam yang terlalu tegas. Contoh mereka akan menunjukkan bahawa sikap tidak seimbang membawa padah.

10. Meskipun Eli ialah imam agung yang setia, mengapakah dia bukan seorang bapa yang baik?

10 Eli bertugas sebagai imam agung Israel selama 40 tahun. Dia sangat arif tentang Hukum Tuhan. Barangkali, Eli setia menjalankan tugasnya sebagai imam dan juga mengajar anak lelakinya, Hofni dan Pinehas, tentang semua Hukum Tuhan. Tetapi dia terlalu memanjakan mereka. Biarpun Hofni dan Pinehas bertugas sebagai imam, kedua-duanya “sangat jahat.” Mereka hanya berminat memenuhi hawa nafsu sendiri. Sewaktu mereka melakukan dosa di tempat suci, Eli tidak berani memecat mereka. Dia sekadar memberikan nasihat yang ringan. Tindakan Eli menunjukkan bahawa dia lebih menghormati anak-anaknya daripada Tuhan. Akibatnya, anak-anaknya memberontak terhadap penyembahan suci Yehuwa dan seisi rumah Eli ditimpa malapetaka.​—1 Samuel 2:12-17, 22-25, 29; 3:13, 14; 4:11-22.

11. Apakah yang boleh dipelajari oleh ibu bapa daripada contoh buruk Eli?

11 Anak-anak Eli sudah dewasa apabila perkara ini terjadi. Namun, kisah benar ini menekankan akibat buruk jika ibu bapa enggan mendisiplinkan anak mereka. (Bandingkan Amsal 29:21; nota kaki.) Ada ibu bapa yang beranggapan bahawa mengasihi anak bererti memanjakan mereka. Maka, mereka gagal menetapkan peraturan yang jelas dan munasabah, serta memastikan bahawa anak-anak mematuhinya. Meskipun anak melanggar prinsip Tuhan, mereka tidak mendisiplinkannya. Mereka terlalu memanjakan anak sehingga dia memijak kepala mereka dan tidak menghormati kekuasaan.​—Bandingkan Pengkhutbah 8:11.

12. Apakah kesilapan yang dilakukan oleh Rehabeam semasa dia menjadi raja?

12 Tidak seperti Eli, Rehabeam pula terlalu tegas. Dia ialah raja terakhir kerajaan Israel sebelum mereka berpecah. Pada masa itu, rakyat Israel tidak puas hati dengan beban yang dikenakan oleh ayahandanya, Salomo. Apabila Rehabeam menjadi raja, adakah dia menunjukkan belas kasihan? Tidak. Semasa rakyat memintanya untuk meringankan beban mereka, dia tidak mempedulikan nasihat para orang tua. Sebaliknya, dia menambahkan beban rakyat. Sikap angkuhnya menyebabkan penduduk Israel di bahagian utara memberontak. Akibatnya, kerajaan Israel berpecah menjadi dua.​—1 Raja-Raja 12:1-21; 2 Tawarikh 10:19.

13. Apakah iktibar yang boleh diambil oleh ibu bapa daripada kesilapan Rehabeam?

13 Ibu bapa boleh mengambil iktibar daripada kisah Rehabeam. Mereka perlu berdoa ‘meminta pertolongan Yehuwa’ dan memastikan bahawa mereka sedang membesarkan anak berdasarkan prinsip Bible. (Mazmur 105:4) “Penderitaan akan menyebabkan [anak] kamu hilang akal,” kata Ulangan 28:34. Peraturan yang munasabah memberikan ruang kepada remaja untuk membesar di samping melindungi mereka daripada bahaya. Tetapi ibu bapa tidak patut terlalu tegas dan mengongkong anak sehingga dia tidak dapat hidup berdikari dan membina keyakinan diri. Jika ibu bapa berusaha menunjukkan sikap seimbang dengan memberikan kelonggaran kepada anak, dan pada masa yang sama mengenakan batasan yang munasabah, kebanyakan remaja tidak akan terdorong untuk memberontak.

ELAKKAN PEMBERONTAKAN DENGAN MEMENUHI KEPERLUAN ASAS

Anak boleh menjadi orang dewasa yang stabil jika ibu bapa membantu mereka menghadapi masalah pada zaman remaja

14, 15. Apakah sepatutnya pandangan ibu bapa terhadap anak mereka yang mula berdikari?

14 Ibu bapa bergembira melihat bayi mereka meningkat dewasa. Tetapi mereka juga terkilan apabila anak remaja tidak lagi bergantung pada mereka dan mula berdikari. Pada masa ini, janganlah hairan jika ada masanya remaja anda degil atau enggan mendengar nasihat. Ingatlah, matlamat ibu bapa Kristian adalah untuk membesarkan anak menjadi orang Kristian yang matang, stabil, dan bertanggungjawab.​—Bandingkan 1 Korintus 13:11; Efesus 4:13, 14.

15 Biarpun ibu bapa keberatan untuk memberikan lebih banyak kebebasan kepada anak, mereka harus melawan kecenderungan ini. Anak mereka perlu membesar menjadi insan yang berdikari. Pada hakikatnya, ada remaja yang berfikiran matang pada usia yang muda. Contohnya, Bible berkata, ‘Ketika Raja Yosia masih muda [kira-kira 15 tahun], baginda mula menyembah Tuhan nenek moyangnya, Raja Daud.’ Remaja yang cemerlang ini sememangnya seorang yang bertanggungjawab.​—2 Tawarikh 34:1-3.

16. Anak yang diberikan lebih banyak kebebasan harus menyedari apa?

16 Akan tetapi, anak yang diberikan lebih banyak kebebasan juga harus lebih bertanggungjawab. Ertinya, dia perlu menanggung akibat keputusan atau tindakannya. Prinsip “seseorang akan menuai apa yang ditanamnya,” sesuai bagi orang dewasa mahupun anak remaja. (Galatia 6:7) Anak tidak boleh berlindung di bawah payung ibu bapa buat selama-lamanya. Bagaimana pula jika anak anda ingin melakukan sesuatu yang salah? Sebagai ibu atau bapa yang bertanggungjawab, anda harus berkata, “Tidak boleh.” Biarpun anda boleh menjelaskan sebabnya, jangan sekali-kali ubah keputusan anda. (Bandingkan Matius 5:37.) Tetapi, cubalah tolak permintaannya dalam nada yang tenang dan munasabah kerana “jawapan yang lembut meredakan kemarahan.”​—Amsal 15:1.

17. Apakah keperluan remaja yang harus dipenuhi oleh ibu bapa?

17 Remaja akan tawar hati dan keliru jika ibu bapa selalu mengubah peraturan sesuka hati. Jadi, mereka memerlukan disiplin yang tetap meskipun mereka tidak bersetuju dengan batasan dan peraturan yang diberikan. Selain itu, remaja memerlukan galakan dan bantuan untuk menangani rasa takut, membina keyakinan diri, dan menjadi orang dewasa yang stabil. Remaja yang bertanggungjawab juga perlu tahu bahawa ibu bapa mempercayainya.​—Bandingkan Yesaya 35:3, 4; Lukas 16:10; 19:17.

18. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu remaja mereka menjadi orang dewasa yang baik?

18 Biasanya, suasana yang aman, stabil, dan penuh kasih di rumah akan membantu anak untuk berjaya dalam hidupnya. (Efesus 4:31, 32; Yakobus 3:17, 18) Sebenarnya, ramai remaja yang membesar dalam rumah tangga yang bermasalah (contohnya, ahli keluarga yang kuat minum atau ganas) pun dapat menjadi orang dewasa yang baik. Maka, pastikan remaja anda berasa selamat dan yakin bahawa anda akan memberikan kasih sayang dan perhatian kepadanya. Di samping itu, tetapkan peraturan yang munasabah dan berikan disiplin yang selaras dengan prinsip Bible. Dengan ini, remaja anda boleh menjadi orang dewasa yang menggembirakan anda.​—Bandingkan Amsal 27:11.

APABILA ANAK MENGHADAPI MASALAH

19. Meskipun ibu bapa perlu mengajar anak cara hidup yang betul, anak pula wajib melakukan apa?

19 Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting. Amsal 22:6 (ABB) berkata, “Ajarilah anak cara hidup yang betul, maka sampai tua pun dia akan hidup demikian.” Tetapi, ada juga anak yang terlibat dalam masalah yang serius meskipun dia dididik dengan baik. Itulah sebabnya Bible turut menekankan bahawa anak wajib ‘memperhatikan’ dan mematuhi kata-kata ibu bapa. (Amsal 1:8) Ibu bapa dan anak perlu menerapkan prinsip Bible agar seluruh keluarga aman bahagia. Masalah akan timbul jika ibu bapa dan anak tidak bekerjasama.

20. Apakah yang harus dilakukan oleh ibu bapa apabila anak mereka bertindak secara melulu dan berbuat salah?

20 Apakah yang harus dilakukan oleh ibu bapa apabila remaja mereka berbuat salah lalu menghadapi masalah? Pada masa inilah anak mereka memerlukan bantuan. Ibu bapa dapat mengawal perasaan marah sekiranya mereka ingat bahawa anak mereka masih mentah. Paulus menasihati ahli sidang yang matang, ‘Jika seseorang didapati melakukan sesuatu yang salah, hendaklah kamu membimbing orang itu kembali kepada jalan benar. Kamu harus melakukannya dengan lemah lembut.’ (Galatia 6:1) Ibu bapa boleh mengikut prinsip ini apabila anak bertindak secara melulu dan berbuat salah. Mereka boleh menjelaskan mengapa tindakannya adalah salah dan bagaimana dia boleh mengelak daripada mengulangi kesalahan itu. Anak harus faham bahawa ibu bapa tidak membencinya, tetapi mereka hanya tidak menyetujui tindakannya yang salah.​—Bandingkan Yudas 22, 23.

21. Bagaimanakah ibu bapa dapat mencontohi sidang Kristian semasa anak mereka melakukan dosa serius?

21 Apakah yang harus dilakukan oleh ibu bapa semasa remaja mereka melakukan kesalahan yang amat serius? Jika hal ini terjadi, anak mereka memerlukan bimbingan dan bantuan khusus. Di sidang, seseorang yang melakukan dosa serius patut bertaubat dan meminta bantuan para penatua. (Yakobus 5:14-16) Apabila dia bertaubat, para penatua dapat menyembuhkannya dari segi rohani. Di dalam keluarga pula, ibu bapalah yang bertanggungjawab membantu remaja yang berdosa. Namun, mereka boleh meminta bantuan para penatua. Sudah pasti, dosa-dosa serius yang dilakukan oleh anak tidak patut disembunyikan daripada badan penatua.

22. Bagaimanakah ibu bapa dapat mencontohi sikap Yehuwa semasa anak mereka melakukan dosa serius?

22 Anak yang terlibat dalam dosa serius pasti menguji kesabaran ibu bapanya. Ibu bapa yang tertekan mungkin ingin memarahi dan menggertak anak derhaka ini, tetapi tindakan sebegini hanya menambahkan keperitannya. Ingatlah bahawa masa hadapannya mungkin bergantung pada cara anda melayannya semasa saat genting ini. Ingat juga bahawa Yehuwa bersedia memaafkan umat-Nya jika mereka bertaubat. Dia berkata dengan penuh kasih, “Marilah kita selesaikan perkara ini. Walaupun kamu merah marak kerana dosa kamu, Aku akan mencuci kamu sehingga menjadi putih seperti salji. Walaupun dosa kamu banyak dan berat, kamu akan Aku ampuni sepenuhnya.” (Yesaya 1:18) Betapa baiknya teladan Yehuwa bagi ibu bapa!

23. Apabila anak melakukan dosa serius, apakah yang harus dilakukan ibu bapa? Apakah yang patut mereka hindari?

23 Oleh itu, galakkanlah anak yang berdosa agar bertaubat. Dapatkan nasihat yang bijak daripada penatua sidang dan ibu bapa yang berpengalaman. (Amsal 11:14) Jangan terburu-buru melakukan atau mengatakan sesuatu yang mungkin menghalangnya daripada kembali ke pangkuan anda. Cuba kawal perasaan marah dan hindari kata-kata yang pedas. (Kolose 3:8) Jangan cepat berputus asa. (1 Korintus 13:4, 7) Meskipun anda membenci kesalahannya, jangan berhati batu dan berdendam terhadapnya. Yang terpenting, ibu bapa patut berusaha menetapkan teladan yang baik dan terus mengukuhkan iman mereka terhadap Tuhan.

JIKA ANAK ENGGAN BERTAUBAT

24. Apakah perkara sedih yang mungkin terjadi dalam keluarga Kristian? Apakah yang harus dilakukan oleh ibu bapa?

24 Ada masanya, seorang remaja yang memberontak enggan bertaubat dan bulat-bulat menolak nilai Kristian. Jika hal ini terjadi, ibu bapa harus menumpukan usaha untuk membantu dan menguatkan anak-anak lain dalam keluarga. Berhati-hati agar anda tidak terlalu bertumpu pada anak yang memberontak sehingga anak-anak lain terabai. Janganlah sembunyikan masalah ini daripada ahli keluarga yang lain. Sebaliknya, bincangkan apa yang patut dengan mereka dan cuba tenangkan hati mereka.​—Bandingkan Amsal 20:18.

25. (a) Jika seorang anak enggan bertaubat, ibu bapa mungkin terpaksa melakukan apa? (b) Apakah yang harus diingati jika salah seorang anak memberontak?

25 Berkenaan seorang ahli sidang yang enggan bertaubat, rasul Yohanes berkata, ‘Janganlah sambut dia ke dalam rumah. Janganlah berkata kepadanya, “Salam sejahtera.”’ (2 Yohanes 10) Ibu bapa mungkin perlu mengambil tindakan ini jika anak mereka telah mencapai umur layak dan memilih untuk memberontak. Tindakan ini memang menusuk hati, tetapi anda mungkin perlu berbuat demikian untuk melindungi ahli keluarga yang lain. Mereka masih memerlukan jagaan dan bimbingan anda. Maka, teruslah menetapkan peraturan moral yang jelas dan munasabah. Berkomunikasi dengan anak-anak lain. Ambil berat tentang aktiviti mereka di sekolah dan di sidang. Selain itu, jelaskan bahawa anda tidak membenci anak yang memberontak. Anda membenci perbuatannya, bukannya anak itu. Apabila tindakan kejam dua orang anak lelaki Yakub menyebabkan seisi keluarganya dipulaukan, Yakub telah mengutuk kemarahan mereka, dan bukan anak-anaknya.​—Kejadian 34:1-31; 49:5-7.

26. Mengapakah ibu bapa tidak perlu menyalahkan diri jika salah seorang anak enggan bertaubat?

26 Anda mungkin menyalahkan diri atas apa yang terjadi dalam keluarga anda. Tetapi jika anda telah berdoa meminta bimbingan Yehuwa dan mencuba sedaya upaya untuk mematuhi nasihat-Nya, anda tidak perlu terlalu menyalahkan diri. Ingatlah bahawa tiada ibu bapa yang sempurna di dunia ini. Namun, anda telah berusaha menjadi ibu atau bapa yang baik. (Bandingkan Kisah 20:26.) Jika anak anda langsung enggan bertaubat, anda pasti sakit hati. Tetapi yakinlah bahawa Tuhan memahami keadaan anda dan Dia tidak akan sekali-kali meninggalkan umat-Nya yang setia. (Mazmur 27:10) Oleh itu, bertekadlah untuk menjadikan rumah anda tempat naungan rohani bagi anak-anak yang lain.

27. Menurut Lukas 15:​11-32, mengapakah ibu bapa tidak harus putus harapan?

27 Seterusnya, janganlah putus harapan. Ajaran yang telah anda sampaikan sebelum ini mungkin akan menggerakkan hati anak anda untuk pulang ke pangkal jalan yang benar. (Pengkhutbah 11:6) Ada keluarga Kristian yang pernah mengharungi pengalaman yang serupa, dan sesetengah daripada mereka berpeluang melihat anak mereka kembali, seperti anak yang sesat dalam perumpamaan Yesus. (Lukas 15:11-32) Perkara yang sama mungkin terjadi kepada anda.