Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB EMPAT BELAS

Cara Menikmati Kehidupan Keluarga yang Bahagia

Cara Menikmati Kehidupan Keluarga yang Bahagia
  • Bagaimanakah seorang lelaki boleh menjadi suami yang baik?

  • Bagaimanakah seorang wanita boleh menjadi isteri yang baik?

  • Apakah yang perlu dilakukan untuk menjadi ibu bapa yang baik?

  • Bagaimanakah anak-anak boleh menyumbang kepada kehidupan keluarga yang bahagia?

1. Apakah kunci kebahagiaan keluarga?

TUHAN YEHUWA mahu anda menikmati kehidupan keluarga yang bahagia. Firman-Nya, Bible, menetapkan garis panduan serta menyatakan peranan yang perlu dimainkan oleh setiap ahli keluarga. Jika setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing selaras dengan nasihat Tuhan, hasilnya sangat memuaskan. Yesus berkata, ‘Bahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan melakukannya!’​—Lukas 11:28.

2. Kita mesti mengakui apa jika kita ingin menikmati kehidupan keluarga yang bahagia?

2 Jika kita ingin menikmati kehidupan keluarga yang bahagia, kita mesti mengakui bahawa institusi keluarga diasaskan oleh Yehuwa, iaitu individu yang disebut oleh Yesus sebagai “Bapa kami.” (Matius 6:9) Oleh sebab Bapa kita yang berada di syurga merupakan Pengasas institusi keluarga, Dia tentu tahu bagaimana kita dapat menikmati kehidupan keluarga yang bahagia. (Efesus 3:14, 15) Maka, apakah yang diajarkan di dalam Bible tentang peranan setiap ahli keluarga?

TUHAN​—PENGASAS INSTITUSI KELUARGA

3. Apakah yang tercatat dalam Bible mengenai permulaan keluarga manusia, dan bagaimanakah kita tahu bahawa apa yang dicatatkan itu adalah benar?

3 Yehuwa menciptakan pasangan manusia yang pertama, iaitu Adam dan Hawa. Kemudian, Dia menyatukan mereka sebagai suami dan isteri dan menempatkan mereka di sebuah kediaman indah di bumi yang dipanggil Taman Eden. Yehuwa memberitahu mereka, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak, supaya keturunan kamu menduduki seluruh muka bumi.” (Kejadian 1:26-28; 2:18, 21-24) Hal ini bukanlah cerita dongeng. Yesus sendiri menunjukkan bahawa apa yang tercatat dalam buku Kejadian tentang permulaan kehidupan keluarga adalah benar. (Matius 19:4, 5) Meskipun kita sekarang menghadapi banyak masalah dan kehidupan kita bukan seperti apa yang dikehendaki oleh Tuhan, namun kita dapat menikmati kehidupan keluarga yang bahagia. Marilah kita lihat mengapa.

4. (a) Bagaimanakah setiap ahli keluarga boleh menyumbang kepada kebahagiaan keluarga mereka? (b) Mengapakah kita perlu belajar tentang kisah hidup Yesus untuk menikmati kehidupan keluarga yang bahagia?

4 Setiap ahli keluarga boleh menyumbang kepada kebahagiaan keluarga dengan meniru Tuhan dan menunjukkan kasih. (Efesus 5:1, 2) Namun, bagaimanakah kita dapat meniru Tuhan memandangkan kita tidak dapat melihat-Nya? Kita dapat berbuat demikian dengan meniru Yesus Kristus, iaitu Anak Sulung Yehuwa yang diutus-Nya dari syurga ke bumi. (Yohanes 1:14, 18) Semasa di bumi, Anak ini meniru Bapanya dengan baik. Bahkan sesiapa yang melihat dan mendengar Yesus seolah-olah sedang berada bersama-sama Yehuwa dan mendengar kata-kata-Nya. (Yohanes 14:9) Oleh itu, jika kita belajar tentang kasih yang diperlihatkan oleh Yesus dan meniru teladannya, setiap seorang daripada kita boleh menikmati kehidupan keluarga yang lebih bahagia.

TELADAN BAGI PARA SUAMI

5, 6. (a) Bagaimanakah cara Yesus melayani sidang jemaah menetapkan teladan yang baik bagi para suami? (b) Apakah yang mesti dilakukan untuk mendapat pengampunan dosa?

5 Bible menyatakan bahawa para suami harus melayani isteri mereka sepertimana Yesus melayani murid-muridnya. Pertimbangkan arahan Bible yang berikut, ‘Hai suami, kasihilah isteri kamu, sebagaimana Kristus mengasihi jemaah, dan mengorbankan nyawanya untuk jemaah. Suami harus mengasihi isteri seperti mengasihi tubuh sendiri. Orang yang mengasihi isteri bererti mengasihi diri sendiri. Tidak seorang pun pernah membenci tubuhnya sendiri. Sebaliknya, dia memelihara dan menjaganya, seperti Kristus juga memelihara dan menjaga jemaah.’​Efesus 5:23, 25-29, ABB.

6 Cara Yesus memperlihatkan kasih kepada murid-muridnya menetapkan teladan yang baik bagi para suami. Walaupun mereka tidak sempurna, dia telah mengorbankan nyawanya untuk mereka. Bible menyatakan bahawa Yesus “mengasihi mereka sampai akhir.” (Yohanes 13:1; 15:13) Dalam cara yang sama, para suami digalakkan, “Kasihilah isteri dan janganlah berlaku kasar terhadap mereka.” (Kolose 3:19, ABB) Apakah yang akan membantu seorang suami untuk mengamalkan nasihat ini, terutamanya jika isterinya kadangkala gagal untuk bertindak dalam cara yang bijak? Dia patut ingat bahawa dia juga melakukan kesilapan. Lagipun, untuk mendapatkan pengampunan dosa daripada Tuhan, dia mesti memaafkan kesilapan orang lain, termasuklah isterinya. Sudah tentu, isterinya juga harus berbuat demikian. (Matius 6:12, 14, 15) Itulah sebabnya sesetengah orang berkata bahawa penyatuan dua insan yang sudi bermaaf-maafan menghasilkan perkahwinan yang bahagia.

7. Yesus tidak pernah melupakan apa, dan bagaimanakah hal ini menetapkan teladan yang baik bagi para suami?

7 Para suami juga harus ingat bahawa Yesus selalu melayani murid-muridnya dengan penuh timbang rasa. Dia tidak melupakan keperluan fizikal serta batas keupayaan mereka. Sebagai contoh, semasa mereka letih, dia berkata, “Marilah kita pergi ke tempat yang sunyi supaya kita dapat sendirian dan kamu pun boleh berehat sekejap.” (Markus 6:30-32) Isteri-isteri juga patut dilayani dengan penuh timbang rasa. Bible menggambarkan isteri sebagai “kaum yang lebih lemah” dan para suami diarahkan untuk melayani mereka “dengan hormat.” Mengapa? Kerana seperti mereka, isteri mereka “akan menerima anugerah hidup sejati dan kekal.” (1 Petrus 3:7) Para suami harus ingat bahawa seseorang diperkenankan Tuhan kerana kesetiaannya dan bukan kerana jantinanya.​—Mazmur 101:6.

8. (a) Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa suami ‘yang mengasihi isterinya mengasihi diri sendiri’? (b) Apakah erti ungkapan “bukan lagi dua orang, tetapi satu”?

8 Bible menyatakan bahawa suami ‘yang mengasihi isterinya mengasihi diri sendiri.’ Seperti yang telah dinyatakan oleh Yesus, hal ini sedemikian kerana suami isteri “bukan lagi dua orang, tetapi satu.” (Matius 19:6) Maka, hubungan seks mesti dihadkan antara suami isteri sahaja. (Amsal 5:15-21; Ibrani 13:4) Hal ini dapat dilakukan jika suami isteri tidak mementingkan diri sendiri tetapi mengambil kira keperluan pasangan mereka. (1 Korintus 7:3-5) Peringatan ini patut diberi perhatian, “Tidak seorang pun pernah membenci tubuhnya sendiri. Sebaliknya, dia memelihara dan menjaganya.” Para suami perlu mengasihi isteri mereka seperti mengasihi tubuh sendiri kerana mereka bertanggungjawab kepada kepala mereka, iaitu Yesus Kristus.​—Efesus 5:29; 1 Korintus 11:3.

9. Apakah sifat Yesus yang dinyatakan di Filipi 1:8, dan mengapakah para suami patut memperlihatkan sifat ini terhadap isteri mereka?

9 Hawari Paulus bercakap tentang “kasih yang berasal daripada Kristus Yesus.” (Filipi 1:8) Sifat Yesus yang lembut dan penuh kasih sayang menyegarkan dan menyentuh hati murid-murid wanitanya. (Yohanes 20:1, 11-13, 16) Sudah tentu para isteri menginginkan kasih sayang suami mereka.

TELADAN BAGI PARA ISTERI

10. Bagaimanakah Yesus menetapkan teladan bagi para isteri?

10 Keluarga ialah sebuah institusi yang memerlukan kepala untuk berfungsi dengan lancar. Bahkan Yesus harus tunduk kepada Kepalanya, iaitu Tuhan. Bible menyatakan, ‘Tuhan ialah kepala Kristus,’ sama seperti “suami ialah kepala isteri.” (1 Korintus 11:3) Memandangkan kita masing-masing mesti tunduk kepada kepala kita, kita dapat meniru teladan baik Yesus yang menunduk kepada kepalanya, iaitu Tuhan.

11. Apakah sikap yang harus ditunjukkan oleh seorang isteri terhadap suaminya, dan apakah hasil yang mungkin dibawa oleh kelakuannya yang baik?

11 Semua manusia adalah tidak sempurna. Oleh itu, lelaki yang menjadi kepala keluarga sering kali melakukan kesilapan dan gagal menyempurnakan tanggungjawab mereka. Maka, apakah yang harus dilakukan oleh seorang isteri? Dia tidak patut mengecil-ngecilkan usaha suaminya atau mencuba mengambil alih tanggungjawab suaminya sebagai kepala keluarga. Seorang isteri patut ingat bahawa budi pekerti yang lembut dan tenang sangat berharga di sisi Tuhan. (1 Petrus 3:4) Walaupun keadaan di rumah amat mencabar, dia akan mendapati bahawa arahan Tuhan untuk mentaati suami lebih senang dipatuhi jika dia memperlihatkan sifat-sifat ini. Tambahan lagi, Bible menyatakan, “Setiap isteri harus menghormati suaminya.” (Efesus 5:33) Tetapi, bagaimana pula jika seorang suami tidak mahu menerima Kristus sebagai Kepalanya? Bible menggalakkan para isteri, ‘Taat kepada suami, supaya jika ada antara suami kamu yang tidak percaya kepada firman Tuhan, kelakuan kamu akan menyebabkan mereka menjadi percaya. Kamu tidak perlu mengatakan apa-apa kepada mereka, kerana mereka boleh melihat kelakuan kamu yang murni dan penuh hormat.’​1 Petrus 3:1, 2, ABB.

12. Mengapakah tidak salah bagi seorang isteri untuk menyuarakan pendapatnya dengan hormat?

12 Tidak kira sama ada suaminya menyembah Yehuwa atau tidak, adalah tidak salah untuk seorang isteri meluahkan pandangan yang berbeza dengan suaminya jika dia berbuat demikian dengan hormat. Pandangannya mungkin betul, dan seluruh keluarga boleh mendapat manfaat jika suami mendengarkan isterinya. Sebagai contoh, Abraham tidak bersetuju dengan cadangan yang diberikan oleh isterinya bagi suatu masalah rumah tangga mereka. Tetapi, Tuhan memberitahu Abraham, “Buatlah apa yang disuruh oleh Sara.” (Kejadian 21:9-12) Sudah tentu, jika seorang suami membuat keputusan muktamad dalam hal yang tidak bercanggahan dengan hukum Tuhan, isterinya patut tunduk kepada keputusan yang dibuat oleh suaminya.​—Kisah 5:29; Efesus 5:24.

Apakah teladan baik yang diberikan oleh Sara kepada para isteri?

13. (a) Seperti yang dicatatkan di Titus 2:4, 5, wanita yang sudah berkahwin digalakkan untuk membuat apa? (b) Apakah yang dinyatakan di dalam Bible mengenai pemisahan dan perceraian?

13 Seorang isteri yang bertanggungjawab memainkan pelbagai peranan dalam menjaga keluarganya. Sebagai contoh, Bible menunjukkan bahawa seorang wanita yang telah berkahwin perlu “mengasihi suami dan anak-anak, tahu mengawal diri, suci dan menjadi suri rumah yang baik, serta taat kepada suami.” (Titus 2:4, 5) Seorang isteri dan ibu yang berbuat demikian akan terus dikasihi dan dihormati oleh keluarganya. (Amsal 31:10, 28) Namun demikian, oleh sebab perkahwinan merupakan penyatuan dua insan yang tidak sempurna, sesetengah masalah yang serius boleh membawa kepada pemisahan atau perceraian. Di bawah keadaan tertentu, Bible mengizinkan seseorang untuk berpisah dengan pasangan hidupnya. Namun, pemisahan suami isteri tidak boleh dipandang remeh kerana Bible menasihati kita, “Seorang isteri tidak boleh meninggalkan suaminya.” Seorang suami juga tidak boleh meninggalkan isterinya. (1 Korintus 7:10, 11) Hubungan seks yang haram (Yunani, por·neiʹa) merupakan satu-satunya dasar di dalam Bible yang mengizinkan perceraian.​—Matius 19:9.

TELADAN SEMPURNA BAGI IBU BAPA

14. Bagaimanakah Yesus melayani kanak-kanak, dan apakah yang diperlukan oleh anak-anak daripada ibu bapa mereka?

14 Yesus telah menetapkan teladan yang sempurna bagi ibu bapa tentang cara untuk melayani anak-anak. Semasa orang lain mencuba menghalang kanak-kanak daripada mendekati Yesus, dia berkata, ‘Biarlah kanak-kanak itu datang kepadaku! Jangan larang mereka.’ Bible menyatakan bahawa ‘Yesus memeluk semua kanak-kanak di situ, kemudian dia meletakkan tangannya pada tiap-tiap anak, dan memberkati mereka.’ (Markus 10:13-16) Memandangkan Yesus telah meluangkan masa dengan kanak-kanak, tidakkah anda patut melakukan hal yang sama untuk anak-anak anda? Anak-anak memerlukan banyak masa dan perhatian. Anda perlu meluangkan masa untuk mengajar anak-anak anda kerana inilah arahan Yehuwa kepada ibu bapa.​—Ulangan 6:4-9.

15. Apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk melindungi anak-anak mereka?

15 Dunia kita semakin fasiq. Maka, anak-anak memerlukan ibu bapa yang akan melindungi mereka daripada orang yang berusaha untuk mengancam mereka, contohnya orang yang melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak. Perhatikan teladan Yesus. Dia memanggil murid-muridnya ‘anak-anakku’ dan melindungi mereka. Semasa dia ditahan dan tidak lama sebelum dia dibunuh, Yesus memastikan bahawa murid-muridnya dapat melarikan diri. (Yohanes 13:33; 18:7-9) Sebagai ibu bapa, anda harus peka kepada usaha Si Iblis yang mencuba mengancam keselamatan anak-anak anda. Anda perlu memberi mereka peringatan awal, jauh sebelum apa-apa berlaku. * (1 Petrus 5:8) Sebenarnya, sekaranglah masanya yang mana keselamatan fizikal, rohani, dan moral anak-anak anda paling terancam.

Apakah iktibar yang boleh diambil oleh ibu bapa daripada cara Yesus melayani kanak-kanak?

16. Apakah yang boleh dipelajari oleh ibu bapa daripada cara Yesus menangani ketidaksempurnaan murid-muridnya?

16 Pada malam sebelum Yesus mati, murid-muridnya bertengkar tentang siapa antara mereka yang paling besar. Yesus tidak menjadi marah. Sebaliknya, dia terus mengajar murid-muridnya dengan kasih sayang melalui pertuturan dan kelakuannya. (Lukas 22:24-27; Yohanes 13:3-8) Jika anda seorang ibu atau bapa, bagaimanakah anda dapat mengambil iktibar daripada cara Yesus membetulkan murid-muridnya? Memang, anak-anak memerlukan disiplin. Tetapi anak-anak perlu didisiplinkan secara adil dan sewajarnya. Jangan disiplinkan anak semasa anda sedang marah. Anda tidak patut mengucapkan ‘kata-kata pedas yang melukai hati seperti tikaman pedang.’ (Amsal 12:18; Yeremia 30:11) Disiplin patut diberikan dalam cara yang sesuai agar pada kemudian hari, anak anda dapat melihat faedah disiplin yang diberi kepadanya.​—Efesus 6:4; Ibrani 12:9-11.

TELADAN BAGI ANAK-ANAK

17. Bagaimanakah Yesus menetapkan teladan yang sempurna bagi anak-anak?

17 Dapatkah anak-anak belajar daripada teladan Yesus? Sudah tentu! Melalui teladannya, Yesus sendiri menunjukkan bagaimana anak-anak patut patuh kepada ibu bapa mereka. Dia berkata, ‘Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepadaku.’ Dia berkata lagi, “Aku sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.” (Yohanes 8:28, 29) Yesus patuh kepada Bapanya di syurga dan Bible mengarahkan anak-anak untuk mematuhi ibu bapa mereka. (Efesus 6:1-3) Yesus ialah seorang anak yang sempurna. Walaupun ibu bapanya, iaitu Yusuf dan Maria tidak sempurna, dia tetap mematuhi mereka. Hal ini tentu telah menyumbang kepada kebahagiaan keluarga Yesus!​—Lukas 2:4, 5, 51, 52.

18. Mengapakah Yesus selalu patuh kepada Bapanya, dan siapakah yang berasa gembira jika anak-anak patuh kepada ibu bapa mereka dewasa ini?

18 Jika anda seorang anak, dapatkah anda memikirkan cara untuk meniru Yesus dan menggembirakan hati ibu bapa anda? Memang benar, adakalanya mungkin susah bagi kaum muda untuk mematuhi ibu bapa mereka. Tetapi Tuhan menghendaki anak-anak patuh kepada ibu bapa mereka. (Amsal 1:8; 6:20) Tidak kira susah senang, Yesus selalu mematuhi Bapanya di syurga. Pernah sekali, semasa Tuhan menyuruh Yesus melaksanakan kehendak-Nya, Yesus berkata, ‘Jauhkanlah cawan penderitaan ini daripadaku.’ Walaupun sukar bagi Yesus, dia masih melakukan apa yang disuruh oleh Tuhan kerana dia sedar bahawa Bapanya lebih arif daripadanya. (Lukas 22:42) Jika seorang anak belajar untuk mematuhi ibu bapanya, dia akan menggembirakan hati mereka serta Bapanya di syurga. *​—Amsal 23:22-25.

Semasa menghadapi godaan, apakah yang harus difikirkan oleh kaum muda?

19. (a) Bagaimanakah Syaitan menggoda anak-anak? (b) Apakah kesan buruk ke atas ibu bapa jika anak mereka terjebak dalam perbuatan seksual yang tidak bermoral?

19 Si Iblis telah menggoda Yesus, dan kita boleh berasa pasti bahawa dia juga akan menggoda kaum muda untuk melakukan apa yang salah. (Matius 4:1-10) Syaitan Si Iblis suka menggunakan tekanan rakan sebaya. Memandangkan tekanan ini sukar untuk dilawan, maka anak-anak tidak patut bergaul dengan orang yang melakukan hal-hal yang salah! (1 Korintus 15:33) Anak perempuan Yakub yang bernama Dina telah bergaul dengan mereka yang tidak menyembah Yehuwa, dan hal ini telah mengundang banyak masalah baginya. (Kejadian 34:1, 2) Fikirkanlah penderitaan yang terpaksa dialami oleh sesebuah keluarga jika salah seorang anggotanya terjebak dalam perbuatan seksual yang tidak bermoral!​—Amsal 17:21, 25.

KUNCI KEBAHAGIAAN KELUARGA

20. Untuk menikmati kebahagiaan keluarga, apakah yang mesti dilakukan oleh setiap anggota keluarga?

20 Masalah rumah tangga lebih mudah ditangani jika nasihat di dalam Bible diamalkan. Sebenarnya, pengamalan nasihat Bible merupakan kunci kepada kehidupan keluarga yang bahagia. Maka para suami, kasihilah isteri anda dan layaninya sebagaimana Yesus melayani sidang Kristian. Para isteri, tunduklah kepada kepala anda, iaitu suami anda. Ikutlah teladan isteri yang cekap seperti yang digambarkan di Amsal 31:10-31. Ibu bapa, ajarlah anak-anak anda. (Amsal 22:6) Kaum bapa ‘mesti tahu mengurus rumah tangga dengan baik.’ (1 Timotius 3:4, 5; 5:8) Dan anak-anak, patuhilah ibu bapa anda. (Kolose 3:20) Dalam sebuah keluarga, tidak ada seorang pun yang sempurna. Semua orang melakukan kesilapan. Maka, pupuklah sifat rendah hati dan bermaaf-maafan.

21. Apakah harapan menakjubkan yang menantikan kita, dan bagaimanakah kita dapat menikmati kebahagiaan keluarga sekarang?

21 Memang tidak dapat dinafikan bahawa Bible mengandungi banyak nasihat dan arahan yang bernilai berkenaan kehidupan keluarga. Tambahan lagi, Bible mengajar kita tentang dunia baru Tuhan serta bumi firdaus yang akan dipenuhi dengan penyembah Yehuwa yang gembira. (Penyingkapan 21:3, 4) Ya, kita memang mempunyai harapan masa depan yang menakjubkan! Bahkan sekarang juga, kita dapat menikmati kehidupan keluarga yang bahagia jika kita mengamalkan arahan Tuhan seperti yang termaktub dalam Firman-Nya, Bible.

^ per. 15 Bantuan untuk melindungi anak-anak boleh didapati di bab 32 dalam buku “Guru Agung” (Learn From the Great Teacher) yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

^ per. 18 Seorang anak mesti mematuhi ibu atau bapanya kecuali jika salah seorang daripada mereka menyuruhnya untuk melakukan sesuatu yang melanggar hukum Tuhan.​—Kisah 5:29.