Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

LAMPIRAN

Mengenal Pasti Identiti Babilon Besar

Mengenal Pasti Identiti Babilon Besar

BUKU Penyingkapan mengandungi ungkapan-ungkapan yang membawa maksud kiasan. Sebagai contoh, buku Penyingkapan menyebut tentang seorang pelacur wanita dengan nama “Babel yang besar” atau “Babilon Besar” tertulis pada dahinya. Wanita ini sedang duduk di atas ‘pelbagai negara, rakyat, dan bangsa.’ (Penyingkapan 17:1, 5, 15) Oleh sebab seorang wanita harfiah tidak dapat melakukan hal ini, Babilon Besar tentunya merujuk kepada seorang wanita simbolik. Jadi, apakah yang dilambangkan oleh pelacur yang simbolik ini?

Di Penyingkapan 17:18, wanita simbolik ini digambarkan sebagai “kota besar yang rajanya memerintah raja-raja di bumi.” Perkataan “kota” merujuk kepada sekumpulan orang, atau sebuah organisasi. Oleh sebab “kota besar” ini menguasai “raja-raja di bumi,” wanita yang bernama Babilon Besar tentunya merupakan sebuah organisasi antarabangsa yang sangat berpengaruh. Babilon Besar dengan tepatnya dipanggil empayar agama sedunia. Perhatikan bagaimana beberapa ayat di dalam buku Penyingkapan membantu kita untuk membuat kesimpulan ini.

Sebuah empayar boleh berupa empayar politik, perdagangan, atau keagamaan. Wanita yang bernama Babilon Besar bukanlah sebuah empayar politik kerana Firman Tuhan menyatakan bahawa dia “melakukan perbuatan cabul” dengan “raja-raja dunia” atau unsur-unsur politik dunia ini. Perbuatan cabul yang dimaksudkan ialah perikatan wanita ini dengan pemerintah-pemerintah di bumi. Itulah sebabnya dia dipanggil “pelacur yang termasyhur.”​—Penyingkapan 17:1, 2; Yakobus 4:4.

Babilon Besar tidak mungkin merujuk kepada sebuah empayar perdagangan kerana “saudagar-saudagar di bumi,” yang melambangkan unsur-unsur perdagangan, akan berkabung semasa wanita ini dibinasakan. Bible menyatakan bahawa raja-raja dan saudagar-saudagar ini akan “berdiri dari jauh” sambil melihat Babilon Besar. (Penyingkapan 18:3, 9, 10, 15-17) Jadi, wajarlah kita menyimpulkan bahawa Babilon Besar bukan sebuah empayar politik mahupun sebuah empayar perdagangan tetapi merupakan sebuah empayar keagamaan.

Identiti Babilon Besar sebagai empayar keagamaan juga disahkan oleh pernyataan di dalam Bible yang menunjukkan bahawa dia menipu semua orang di dunia dengan menggunakan “ilmu sihir” atau spiritisme. (Penyingkapan 18:23) Oleh sebab semua bentuk spiritisme mempunyai unsur keagamaan dan dipengaruhi oleh roh-roh jahat, tidak hairanlah Bible menyatakan bahawa “roh-roh jahat tinggal” di Babilon Besar. (Penyingkapan 18:2; Ulangan 18:10-12) Empayar ini juga giat menentang agama benar dan menganiaya para penubuat dan umat Tuhan. (Penyingkapan 18:24) Sebenarnya, Babilon Besar begitu membenci agama benar sehinggakan dia sanggup menganiaya dan membunuh mereka yang “setia kepada Yesus” dengan kejam sekali. (Penyingkapan 17:6) Maka, jelaslah bahawa wanita ini yang bernama Babilon Besar melambangkan empayar agama palsu sedunia yang merangkumi semua agama yang menentang Tuhan Yehuwa.