Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

LAMPIRAN

Nubuat Daniel tentang Ketibaan Mesias

Nubuat Daniel tentang Ketibaan Mesias

PENUBUAT Daniel hidup lebih daripada 500 tahun sebelum kelahiran Yesus. Namun demikian, Yehuwa memberi maklumat kepada Daniel yang menyingkapkan secara tepat bila Yesus akan dilantik sebagai Mesias atau Kristus. Daniel diberitahu, “Hendaklah engkau tahu dan memiliki pemahaman bahawa sejak keluarnya firman untuk memulihkan dan membangun kembali Yerusalem sampai ketibaan Mesias, yang merupakan Pemimpin, akan ada tujuh minggu, juga enam puluh dua minggu.”​—Daniel 9:25, NW.

Untuk menentukan bila Mesias akan datang, kita perlu mengetahui bila nubuat Daniel tentang ketibaan Mesias mula digenapi. Menurut nubuat ini, titik mulanya ialah “sejak keluarnya firman untuk memulihkan dan membangun kembali Yerusalem.” Bilakah firman ini dikeluarkan? Menurut penulis Bible yang bernama Nehemia, perintah untuk membina semula tembok Yerusalem dikeluarkan pada “tahun kedua puluh pemerintahan Artahsasta sebagai raja Persia.” (Nehemia 1:1; 2:1, 5-8) Para sejarawan mengesahkan bahawa Artahsasta mula memerintah pada tahun 475 SM. Maka, tahun ke-20 pemerintahan Artahsasta ialah tahun 455 SM. Sekarang, kita tahu bahawa titik mula bagi nubuat Daniel tentang Mesias ialah tahun 455 SM.

Daniel menyebut tentang jangka masa yang akan berlalu sebelum ketibaan “Mesias,” iaitu pemimpin yang dipilih oleh Tuhan. Nubuat Daniel menyatakan tentang “tujuh minggu” dan “enam puluh dua minggu”​—jumlahnya 69 minggu. Berapa panjangkah jangka masa ini? Sebilangan terjemahan Bible menyatakan bahawa minggu ini bukanlah minggu harfiah yang panjangnya tujuh hari, tetapi panjang setiap minggu ialah tujuh tahun. Konsep unit tujuh tahun ini merupakan konsep yang biasa bagi orang Yahudi kuno. Sebagai contoh, mereka menyambut tahun Sabat sekali setiap tujuh tahun. (Keluaran 23:10, 11) Maka, 69 minggu yang dinubuatkan bersamaan dengan 69 kali 7 tahun, iaitu 483 tahun.

Sekarang, kita mesti membuat pengiraan. Jika kita mengira 483 tahun dari tahun 455 SM, kita akan sampai ke tahun 29 M. Tepat pada tahun itu, Yesus dibaptiskan dan menjadi Mesias! * (Lukas 3:1, 2, 21, 22) Tidakkah nubuat Bible ini yang telah digenapi dengan begitu terperinci menguatkan kepercayaan anda?

^ per. 3 Dari tahun 455 SM hingga tahun 1 SM ialah 454 tahun. Dari tahun 1 SM hingga tahun 1 M ialah satu tahun (tahun sifar tidak wujud). Dan dari tahun 1 M hingga tahun 29 M ialah 28 tahun. Jumlah ketiga-tiga angka ini (454+1+28) ialah 483 tahun. Yesus dibunuh pada tahun 33 M, iaitu semasa minggu ke-70. (Daniel 9:24, 26) Sila lihat buku “Nubuat Daniel” (Pay Attention to Daniel’s Prophecy!) bab 11, dan buku “Pemahaman” (Insight on the Scriptures), Jilid 2, muka surat 899-901. Kedua-dua buku ini diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.