Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB EMPAT

Siapakah Yesus Kristus?

Siapakah Yesus Kristus?
  • Apakah peranan penting yang dimainkan oleh Yesus?

  • Dia berasal dari mana?

  • Apakah keperibadiannya?

1, 2. (a) Mengapakah sekadar mengetahui seseorang yang terkenal tidak bermaksud anda benar-benar mengenalinya? (b) Apakah kekeliruan yang wujud tentang Yesus?

DUNIA ini mempunyai ramai orang yang terkenal. Ada yang terkenal di peringkat masyarakat, bandar, atau negara sendiri. Ada pula yang ternama di serata dunia. Namun, sekadar mengetahui nama orang yang terkenal tidak bermakna anda benar-benar mengenalinya kerana anda tidak tahu latar belakang dan keperibadiannya.

2 Walaupun Yesus Kristus hidup di bumi kira-kira 2,000 tahun dahulu, ramai orang di serata dunia pernah mendengar tentangnya. Namun, ramai orang keliru akan identiti Yesus yang sebenar. Ada yang berkata bahawa dia cuma seorang lelaki yang baik. Ada pula yang berpendapat bahawa dia hanya seorang penubuat. Yang lain pula percaya bahawa Yesus ialah Tuhan dan patut disembah. Patutkah dia disembah?

3. Mengapakah penting bagi anda untuk mengetahui kebenaran tentang Yesus?

3 Adalah penting untuk anda mengetahui kebenaran tentang Yesus. Mengapa? Sebab Bible menyatakan, ‘Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal.’ (Yohanes 17:3, ABB) Ya, jika anda mengetahui kebenaran tentang Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus, anda berpeluang untuk menikmati kehidupan yang kekal di firdaus di bumi. (Yohanes 14:6) Tambahan pula, Yesus telah menetapkan teladan yang terbaik tentang cara untuk menjalani kehidupan dan melayan orang lain. (Yohanes 13:34, 35) Di dalam bab pertama, kita telah membincangkan kebenaran tentang Tuhan. Sekarang, marilah kita bincangkan apa sebenarnya yang diajarkan dalam Bible mengenai Yesus Kristus.

MESIAS YANG TELAH DIJANJIKAN

4. Apakah maksud gelaran “Mesias” dan “Kristus”?

4 Lama sebelum Yesus dilahirkan, Bible telah menubuatkan kedatangan seorang individu yang akan diutus oleh Tuhan sebagai Mesias, atau Kristus. Gelaran “Mesias” (daripada perkataan Ibrani) dan “Kristus” (daripada perkataan Yunani) bermaksud “Individu Yang Terurap.” Individu yang telah dijanjikan ini akan diurapi, iaitu dilantik oleh Tuhan untuk menjalankan tugas yang istimewa. Dalam bab-bab yang seterusnya, kita akan belajar dengan lebih lanjut tentang peranan penting yang dimainkan oleh Mesias dalam penunaian janji-janji Tuhan. Kita juga akan belajar tentang berkat-berkat yang dibawa oleh Yesus pada masa sekarang. Sebelum Yesus dilahirkan, ramai orang tentu ingin tahu siapa yang akan menjadi Mesias.

5. Berkenaan Yesus, murid-muridnya penuh yakin tentang apa?

5 Pada abad pertama Masihi, murid-murid Yesus penuh yakin bahawa Yesus yang berasal dari Nasaret merupakan Mesias yang telah dinubuatkan. (Yohanes 1:41) Salah seorang muridnya yang bernama Simon Petrus berkata kepada Yesus secara terang-terangan, “Guru ialah Kristus.” (Matius 16:16, nota kaki) Namun, bagaimanakah murid-murid Yesus​—dan kita​—boleh yakin bahawa Yesus benar-benar ialah Mesias yang telah dijanjikan?

6. Berikan contoh yang menunjukkan bagaimana Yehuwa membantu mereka yang setia untuk mengenal pasti identiti Mesias.

6 Penubuat-penubuat Tuhan yang hidup sebelum zaman Yesus telah menubuatkan banyak butiran tentang Mesias. Butiran-butiran ini boleh membantu orang lain untuk mengenal pasti identitinya. Sebagai contoh, bayangkan bahawa anda diminta untuk menjemput seseorang di perhentian bas yang sibuk, stesen kereta api, atau lapangan terbang. Tetapi anda tidak pernah bertemu dengannya. Tidakkah anda setuju bahawa jika anda diberi butiran tentang orang itu, anda dapat mengecamnya dengan lebih senang? Dalam cara yang sama, seperti yang dicatatkan oleh penubuat-penubuat dalam Bible, Yehuwa telah memberikan gambaran yang terperinci tentang apa yang akan dilakukan oleh Mesias dan apa yang akan dialaminya. Penggenapan nubuat-nubuat ini akan membantu mereka yang setia untuk mengenal pasti identiti Mesias dengan jelas.

7. Apakah dua nubuat berkenaan Yesus yang telah digenapi?

7 Mari kita lihat dua contoh. Pertama, lebih daripada 700 tahun sebelum nubuat ini digenapi, penubuat Mikha telah menubuatkan bahawa Mesias yang dijanjikan itu akan dilahirkan di Betlehem, iaitu sebuah bandar yang kecil di Yehuda. (Mikha 5:1) Jadi, di manakah Yesus dilahirkan? Ya, di bandar Betlehem! (Matius 2:1, 3-10) Nubuat yang kedua dicatatkan di Daniel 9:25 berabad-abad sebelum digenapi. Nubuat ini dengan jelasnya menunjukkan bila Mesias akan muncul, iaitu pada tahun 29 M. * Penggenapan nubuat-nubuat ini dan juga nubuat-nubuat lain membuktikan bahawa Yesus ialah Mesias yang telah dijanjikan.

Semasa pembaptisannya, Yesus menjadi Mesias, atau Kristus

8, 9. Apakah yang menunjukkan bahawa Yesus ialah Mesias semasa dia dibaptiskan?

8 Bukti lanjut yang menunjukkan bahawa Yesus ialah Mesias menjadi jelas pada penghujung tahun 29 M. Pada tahun itu, Yesus telah dibaptiskan oleh Yohanes Pembaptis di Sungai Yordan. Yehuwa telah berjanji kepada Yohanes bahawa Dia akan memberikan satu tanda supaya Yohanes dapat mengenal pasti Mesias. Yohanes nampak tanda itu semasa pembaptisan Yesus. Bible menyatakan apa yang berlaku pada masa itu, ‘Setelah Yesus dibaptis, dia keluar dari air sungai itu. Tiba-tiba langit terbuka dan Yesus nampak roh Tuhan turun seperti burung merpati ke atasnya. Kemudian terdengar suara Tuhan berfirman, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku.”’ (Matius 3:16, 17, ABB) Selepas melihat dan mendengar apa yang telah berlaku, Yohanes tidak meragui bahawa Yesus diutus oleh Tuhan. (Yohanes 1:32-34) Pada masa itu, semasa roh Tuhan, atau daya aktif-Nya, dicurahkan pada Yesus, dia menjadi Mesias, atau Kristus, yang telah dilantik oleh Tuhan untuk menjadi Pemimpin dan Raja.​—Yesaya 55:4.

9 Penggenapan nubuat Bible dan kesaksian yang diberikan oleh Tuhan Yehuwa jelas menunjukkan bahawa Yesus ialah Mesias yang telah dijanjikan. Selain itu, Bible juga menjawab dua lagi soalan penting tentang Yesus Kristus: Dia berasal dari mana? Dan apakah keperibadiannya?

YESUS BERASAL DARI MANA?

10. Apakah yang diajarkan dalam Bible tentang kewujudan Yesus sebelum dia datang ke bumi?

10 Bible mengajar kita bahawa Yesus tinggal di syurga sebelum dia datang ke bumi. Mikha menubuatkan bahawa Mesias akan dilahirkan di Betlehem dan asal usulnya bermula dari zaman purba. (Mikha 5:1) Pada banyak kesempatan, Yesus sendiri telah mengatakan bahawa dia pernah tinggal di syurga sebelum dilahirkan sebagai seorang manusia. (Yohanes 3:13; 6:38, 62; 17:4, 5) Sebagai makhluk roh di syurga, Yesus mempunyai hubungan yang istimewa dengan Yehuwa.

11. Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa Yesus ialah Anak yang paling disayangi oleh Yehuwa?

11 Yesus ialah Anak yang paling disayangi oleh Yehuwa. Dia dipanggil Anak Tuhan yang sulung, kerana dia merupakan ciptaan Tuhan yang pertama. * (Amsal 8:22) Terdapat sebab lain yang menjadikan Anak ini istimewa. Yesus ialah “Anak-Nya yang tunggal.” Hal ini bermaksud Yesus ialah satu-satunya Anak yang diciptakan oleh Tuhan sendiri. (Yohanes 3:16) Yesus juga ialah satu-satunya individu yang digunakan oleh Tuhan untuk menciptakan segala sesuatu. (Kolose 1:16) Selain itu, Yesus dikenali sebagai “Firman.” (Yohanes 1:14) Hal ini memberitahu kita bahawa dia memainkan peranan sebagai jurucakap Bapanya. Dia menyampaikan pesanan dan arahan Tuhan kepada anak-anak-Nya yang lain di syurga dan di bumi.

12. Bagaimanakah kita tahu bahawa Anak Sulung Tuhan tidak setara dengan Tuhan?

12 Sesetengah orang percaya bahawa Anak Sulung Tuhan adalah setara dengan Tuhan. Adakah pernyataan ini benar? Tidak. Pernyataan ini tidak berasaskan Bible. Seperti yang telah kita lihat dalam perenggan sebelum ini, Anak telah diciptakan oleh Tuhan. Maka, dia mempunyai permulaan tetapi Tuhan Yehuwa tidak mempunyai permulaan atau kesudahan. (Mazmur 90:2) Tidak pernah terlintas di hati Anak Tunggal Tuhan untuk menjadi setara dengan Bapanya. Bible dengan jelasnya mengajar kita bahawa Bapa adalah lebih agung daripada Anak. (Yohanes 14:28; 1 Korintus 11:3) Hanya Yehuwa ialah ‘Tuhan Yang Maha Kuasa.’ (Kejadian 17:1) Maka, tiada sesiapa pun yang setara dengan Yehuwa. *

13. Mengenai Anak ini, apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan Bible yang menyatakan bahawa dia ‘merupakan gambaran Tuhan’?

13 Lama sebelum bumi dan langit diciptakan, Yehuwa dan Anak Sulung-Nya telah menikmati perhubungan yang erat selama berbilion-bilion tahun. Sudah tentu, ikatan kasih mereka utuh sekali! (Yohanes 3:35; 14:31) Anak kesayangan ini adalah seperti Bapanya. Itulah sebabnya Bible menyatakan bahawa Anak ini ‘merupakan gambaran Tuhan.’ (2 Korintus 4:4) Ya, bak kata pepatah “bapa borek anak rintik.” Selalunya, seorang anak mempunyai banyak persamaan dengan bapanya. Dalam cara yang sama, Anak ini juga mencerminkan sifat dan keperibadian Bapanya.

14. Bagaimanakah Anak Tunggal Yehuwa dilahirkan sebagai seorang manusia?

14 Anak Tunggal Yehuwa meninggalkan syurga dengan rela hati dan turun ke bumi untuk hidup sebagai seorang manusia. Tetapi, mungkin anda bertanya, “Bagaimanakah makhluk roh dapat dilahirkan sebagai seorang manusia?” Yehuwa telah melakukan satu mukjizat agar hal ini dapat berlaku. Dia telah memindahkan nyawa Anak-Nya yang sulung dari syurga ke dalam rahim seorang dara Yahudi yang bernama Maria. Yesus tidak mempunyai seorang bapa manusia. Oleh itu, Maria melahirkan seorang anak lelaki yang sempurna dan menamakannya Yesus.​—Lukas 1:30-35.

APAKAH KEPERIBADIAN YESUS?

15. Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa jika kita lebih mengenali Yesus, kita akan lebih mengenali Yehuwa juga?

15 Apa yang telah dikatakan dan dilakukan oleh Yesus semasa di bumi membantu kita untuk mengenalinya dengan lebih mendalam. Malahan, kita bukan sahaja akan lebih mengenali Yesus, tetapi kita akan lebih mengenali Yehuwa juga. Mengapa? Hal ini adalah kerana Anak ini mencerminkan Bapanya dengan sempurna. Itulah sebabnya Yesus memberitahu salah seorang muridnya, ‘Orang yang sudah melihat aku, sudah melihat Bapa.’ (Yohanes 14:9) Empat buah buku di dalam Bible, iaitu buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes banyak memberitahu kita tentang kehidupan, sifat-sifat, dan aktiviti yang dilakukan oleh Yesus Kristus.

16. Apakah mesej utama Yesus, dan ajarannya berdasarkan ajaran siapa?

16 Yesus dikenali ramai sebagai “Guru.” (Yohanes 1:38) Apakah yang diajarkan olehnya? Mesej utamanya ialah berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Kerajaan yang terletak di syurga ini akan memerintah seluruh bumi dan membawa berkat yang tiada kesudahan kepada umat manusia yang patuh kepada Tuhan. (Matius 4:23, nota kaki) Mesej ini merupakan mesej siapa? Yesus menjawab, ‘Yang aku ajarkan ini bukan ajaranku, melainkan ajaran Dia yang mengutus aku.’ Ya, Yehuwalah yang mengutus Yesus. (Yohanes 7:16) Yesus tahu bahawa Bapanya ingin umat manusia mendengar berita baik Kerajaan Tuhan. Dalam Bab 8, kita akan belajar dengan lebih lanjut tentang Kerajaan Tuhan dan apa yang akan dilaksanakan oleh kerajaan ini.

17. Di manakah Yesus mengajar, dan mengapakah dia bersusah payah dan meluangkan banyak masa untuk mengajar orang lain?

17 Di manakah Yesus mengajar? Dia mengajar di kawasan luar bandar, kota, kampung, pasar, rumah orang, atau di mana-mana sahaja orang dapat dijumpai. Yesus tidak mengharapkan orang untuk datang kepadanya. Sebaliknya dia pergi mencari orang untuk mengajar mereka. (Markus 6:56; Lukas 19:5, 6) Mengapakah Yesus bersusah payah dan meluangkan banyak masa untuk menjalankan kerja penyebaran dan mengajar orang ramai? Kerana itulah kehendak Tuhan baginya dan Yesus selalu melakukan kehendak Bapanya. (Yohanes 8:28, 29) Selain itu, Yesus menjalankan kerja penyebaran kerana didorong oleh satu lagi sebab: Dia mengasihani orang ramai yang datang kepadanya. (Matius 9:35, 36) Mereka diabaikan oleh pemimpin agama yang sepatutnya mengajarkan kebenaran tentang Tuhan dan tujuan-Nya kepada mereka. Yesus tahu bahawa mereka amat memerlukan berita baik tentang Kerajaan Tuhan.

18. Apakah sifat-sifat Yesus yang paling menarik perhatian anda?

18 Yesus merupakan seorang yang mesra, berhati lembut, penuh perasaan, dan baik hati. Maka ramai orang dapat mendekatinya dengan senang, bahkan kanak-kanak juga berasa selesa dengannya. (Markus 10:13-16) Yesus tidak berat sebelah. Dia benci akan penipuan dan ketidakadilan. (Matius 21:12, 13) Pada masa itu, kaum wanita kurang dihormati dan hak mereka sering dicabuli, tetapi Yesus menghormati mereka. (Yohanes 4:9, 27) Yesus benar-benar rendah hati. Pernah sekali, dia mencuci kaki hawari-hawarinya walaupun tugas itu biasanya dilakukan oleh seorang hamba yang bertaraf rendah.

Yesus menjalankan kerja penyebaran di mana-mana sahaja orang dapat dijumpai

19. Apakah contoh yang menunjukkan bahawa Yesus peka akan keperluan orang lain?

19 Yesus peka terhadap keperluan orang lain. Hal ini terbukti terutamanya semasa dia melakukan mukjizat-mukjizat untuk menyembuhkan orang dengan bantuan daya aktif Tuhan. (Matius 14:14) Sebagai contoh, seorang lelaki yang berpenyakit kusta datang berjumpa Yesus. “Tuan, jika tuan sudi,” katanya, “tuan dapat menyembuhkan saya.” Yesus mengasihaninya. Dia merasai kesakitan dan penderitaan lelaki itu, lalu dia menghulurkan tangannya dan menyentuh lelaki itu sambil berkata, “Aku mahu, sembuhlah!” Maka sembuhlah lelaki itu. (Markus 1:40-42) Dapatkah anda bayangkan betapa gembiranya lelaki itu?

TETAP SETIA HINGGA AKHIR

20, 21. Bagaimanakah Yesus menetapkan teladan dalam menunjukkan ketaatsetiaan dan kepatuhan kepada Tuhan?

20 Yesus menetapkan teladan yang terbaik bagi kita; dia taat setia dan patuh kepada Tuhan. Dia tetap setia kepada Bapanya di syurga walaupun dia terpaksa menempuh pelbagai keadaan dan segala macam tentangan dan penderitaan. Yesus berjaya menolak godaan Syaitan dengan tegas. (Matius 4:1-11) Pada suatu masa dahulu, saudara-mara Yesus tidak menaruh kepercayaan kepadanya. Malah mereka berkata, “Dia sudah gila!” (Markus 3:21) Tetapi, Yesus tidak dipengaruhi oleh mereka; dia tetap melaksanakan kerja Tuhan. Walaupun dihina dan dimaki, Yesus tetap menunjukkan kawalan diri yang terpuji. Dia tidak pernah mencuba untuk mengapa-apakan penentangnya.​—1 Petrus 2:21-23.

21 Walaupun Yesus dibunuh dengan zalim dan kejam oleh musuh-musuhnya, dia tetap setia kepada Yehuwa sehingga mati. (Filipi 2:8) Cuba bayangkan apa yang telah dialaminya pada hari terakhir dalam kehidupannya sebagai seorang manusia. Dia telah ditahan, dituduh oleh saksi-saksi palsu, disabit bersalah oleh hakim-hakim yang tidak adil, dipersendakan oleh ramai orang, dan diseksa oleh askar-askar. Akhirnya, dia dipaku pada sebatang tiang. Dia menghembuskan nafasnya yang terakhir lalu berkata, “Sudah selesai!” (Yohanes 19:30) Tetapi, pada hari ketiga selepas Yesus mati, Bapanya di syurga membangkitkannya. (1 Petrus 3:18) Beberapa minggu kemudian, Yesus kembali ke syurga. Di sana, ‘dia duduk di sebelah kanan Tuhan’ sambil menantikan masanya untuk menerima kuasa sebagai raja.​—Ibrani 10:12, 13.

22. Dengan mengekalkan kesetiaannya sehingga mati, apakah yang dilaksanakan oleh Yesus?

22 Dengan mengekalkan kesetiaannya sehingga mati, apakah yang dilaksanakan oleh Yesus? Kematian Yesus telah membuka peluang kepada kita untuk menikmati kehidupan abadi di firdaus di bumi. Hal ini adalah selaras dengan tujuan asal Yehuwa. Bab yang seterusnya akan membincangkan bagaimana kematian Yesus memungkinkan hal ini.

^ per. 7 Untuk penjelasan bagi nubuat Daniel mengenai Yesus yang telah menjadi kenyataan, sila rujuk bahagian Lampiran yang bertajuk “Nubuat Daniel tentang Ketibaan Mesias.”

^ per. 11 Yehuwa dikenali sebagai seorang Bapa kerana Dia ialah Pencipta. (Yesaya 64:8) Oleh sebab Yesus diciptakan oleh Tuhan, dia dikenali sebagai Anak Tuhan. Dalam cara yang sama, makhluk roh yang lain serta manusia pertama yang bernama Adam juga dipanggil anak-anak Tuhan.​—Lukas 3:38.

^ per. 12 Untuk bukti lanjut yang menunjukkan bahawa Anak Sulung Tuhan tidak setara dengan Tuhan, sila rujuk bahagian Lampiran yang bertajuk “Kebenaran Mengenai Bapa, Anak, dan Roh Kudus.”