Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB LIMA

Tebusan​—Kurniaan Terunggul daripada Tuhan

Tebusan​—Kurniaan Terunggul daripada Tuhan
  • Apakah itu tebusan?

  • Bagaimanakah tebusan disediakan?

  • Apakah manfaat tebusan bagi anda?

  • Bagaimanakah anda boleh menunjukkan penghargaan bagi tebusan?

1, 2. (a) Bilakah sebuah hadiah boleh dianggap sebagai hadiah yang sangat bernilai? (b) Mengapakah boleh dikatakan bahawa tebusan merupakan hadiah paling bernilai yang dapat anda terima?

APAKAH hadiah paling berharga yang pernah anda terima? Sebuah hadiah tidak semestinya mahal untuk dianggap sebagai pemberian yang berharga. Hal ini adalah kerana nilai sebenar sebuah hadiah tidak dihitung dengan menggunakan wang ringgit. Sebaliknya, jika sebuah hadiah membawa kebahagiaan atau memenuhi keperluan hidup anda, anda tentu menganggap hadiah itu sebagai hadiah yang sangat bernilai.

2 Terdapat sebuah hadiah yang nilainya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana hadiah yang mungkin anda terima. Hadiah ini merupakan hadiah daripada Tuhan untuk manusia. Yehuwa telah memberi kita banyak kurniaan, tetapi hadiah terunggul yang diberikan oleh-Nya ialah korban tebusan Anak-Nya, Yesus Kristus. (Matius 20:28) Seperti apa yang akan kita pelajari dalam bab ini, tebusan merupakan hadiah yang paling bernilai yang dapat anda terima. Tebusan boleh membuka jalan kepada anda untuk menikmati kebahagiaan yang tidak terhingga dan memenuhi keperluan anda yang terpenting. Tebusan ialah bukti terbesar bahawa Yehuwa mengasihi anda.

APAKAH ITU TEBUSAN?

3. Apakah itu tebusan, dan apakah yang perlu kita faham untuk menghargai pemberian yang bernilai ini?

3 Secara ringkas, tebusan ialah pemberian Yehuwa untuk membebaskan atau menyelamatkan manusia daripada dosa dan kematian. (Efesus 1:7) Untuk memahami ajaran Bible ini, kita perlu merenung kembali apa yang telah berlaku di Taman Eden. Kita hanya dapat menghayati mengapa tebusan merupakan pemberian yang begitu bernilai jika kita memahami apa yang telah dihilangkan oleh Adam semasa dia berdosa.

4. Apakah yang dapat dinikmati oleh Adam dengan kehidupannya yang sempurna?

4 Semasa menciptakan Adam, Yehuwa telah memberikannya sesuatu yang benar-benar berharga, iaitu kehidupan yang sempurna. Apakah yang dapat dinikmati oleh Adam dengan tubuh dan mindanya yang sempurna? Dia tidak akan jatuh sakit, menjadi tua, atau mati. Sebagai manusia yang sempurna, dia mempunyai hubungan yang istimewa dengan Yehuwa. Bible menyatakan bahawa Adam ialah ‘anak Tuhan.’ (Lukas 3:38) Oleh itu, Adam menikmati hubungan yang akrab dengan Tuhan Yehuwa. Hubungan mereka bagaikan hubungan seorang anak dengan bapanya yang penyayang. Yehuwa berkomunikasi dengan Adam yang berada di bumi, dan memberi anak-Nya ini kerja-kerja yang memuaskan hati. Yehuwa juga memberitahu Adam apa yang dikehendaki-Nya daripada Adam.​—Kejadian 1:28-30; 2:16, 17.

5. Apakah yang dimaksudkan apabila Bible menyatakan bahawa Yehuwa telah menciptakan Adam “seperti diri-Nya sendiri”?

5 Yehuwa telah menciptakan Adam “seperti diri-Nya sendiri.” (Kejadian 1:27) Hal ini tidak bermaksud bahawa rupa Adam adalah sama dengan rupa Tuhan. Seperti yang telah kita pelajari dalam Bab 1, kita tidak dapat melihat Yehuwa kerana dia merupakan individu roh. (Yohanes 4:24) Yehuwa tidak berdarah daging seperti manusia. Apabila Bible menyatakan bahawa Yehuwa telah menciptakan Adam seperti diri-Nya sendiri, apa yang dimaksudkan ialah Adam diciptakan dengan sifat-sifat yang dimiliki oleh Tuhan. Antara sifat-sifat yang dimaksudkan ialah kasih, kebijaksanaan, keadilan, dan kuasa. Adam juga mirip dengan Bapanya dalam satu lagi cara yang penting, iaitu dia mempunyai kebebasan untuk memilih. Maka, Adam tidak diciptakan seperti robot yang tidak berakal yang hanya boleh melakukan apa yang diarahkan. Sebaliknya, dia boleh membuat keputusan sendiri. Dia boleh memilih untuk melakukan apa yang betul atau salah. Jikalau dia memilih untuk mematuhi Tuhan, dia dapat hidup selama-lamanya di bumi Firdaus.

6. Semasa Adam mengingkari Tuhan, dia kehilangan apa, dan bagaimanakah hal ini melibatkan keturunannya juga?

6 Adam telah membayar harga yang tinggi untuk dosanya. Oleh sebab dia mengingkari Tuhan, Adam dijatuhkan hukuman mati dan kehilangan nyawanya yang sempurna serta semua berkat yang datang seiringan. (Kejadian 3:17-19) Malangnya, bukan Adam sahaja yang kehilangan kehidupan yang sempurna. Semua keturunannya juga kehilangan kehidupan yang sempurna. Firman Tuhan menyatakan, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang [Adam], dan dosa orang itu membawa kematian. Akibatnya maut menjangkiti segenap umat manusia, kerana semua orang berdosa.” (Roma 5:12, ABB) Ya, kita semua telah mewarisi dosa daripada Adam. Oleh itu, Bible menyatakan bahawa Adam dan keturunannya telah “dijual sebagai hamba kepada dosa” dan kematian. (Roma 7:14) Adam dan Hawa telah kehilangan harapan untuk hidup selama-lamanya kerana mereka sengaja mengingkari Tuhan. Tetapi bagaimana pula dengan keturunan mereka, termasuk kita?

7, 8. Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan “tebusan”?

7 Yehuwa menyelamatkan manusia dengan menyediakan tebusan. Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan “tebusan”? Tebusan melibatkan dua perkara. Pertama, tebusan ialah harga yang dibayar untuk membebaskan seseorang atau membeli sesuatu kembali. Hal ini adalah seperti harga yang dibayar untuk membebaskan tawanan perang atau mangsa penculikan. Kedua, tebusan merujuk kepada harga untuk membayar kos sesuatu, seperti wang yang dibayar sebagai ganti rugi kerana melukai seseorang atau merosakkan sesuatu. Sebagai contoh, jika seseorang bertanggungjawab atas suatu kemalangan, dia harus membayar pampasan yang setimpal atau yang sama nilainya dengan apa yang telah dirosakkan olehnya.

8 Tetapi, apakah yang dapat menggantikan kerugian besar yang telah didatangkan oleh Adam kepada kita semua? Dan bagaimanakah kita dapat dibebaskan daripada cengkaman dosa dan kematian? Marilah kita bincangkan tentang tebusan yang telah disediakan oleh Yehuwa dan manfaat yang dibawa oleh tebusan ini untuk anda.

BAGAIMANA YEHUWA MENYEDIAKAN TEBUSAN

9. Apakah yang dapat menebus kembali nyawa sempurna yang telah dihilangkan oleh Adam?

9 Apa yang telah dihilangkan oleh Adam ialah nyawa yang sempurna. Oleh itu, tiada seorang insan pun di bumi yang dapat menebus kembali apa yang dihilangkan kerana kita semua tidak sempurna. (Mazmur 49:8, 9) Apa yang diperlukan ialah tebusan yang sama nilai dengan apa yang telah dihilangkan. Hal ini adalah selaras dengan prinsip keadilan sempurna yang terdapat dalam Firman Tuhan: “Nyawa ganti nyawa.” (Ulangan 19:21) Apakah yang dapat menggantikan nyawa sempurna yang telah dihilangkan oleh Adam? Nyawa seorang lagi manusia yang sempurna diperlukan.​—1 Timotius 2:6.

10. Bagaimanakah Yehuwa menyediakan tebusan?

10 Bagaimanakah Yehuwa menyediakan tebusan? Dia mengutus salah seorang anak-Nya yang sempurna dari syurga ke bumi. Tetapi, Yehuwa tidak mengutus mana-mana makhluk roh di syurga secara rawak. Dia mengutus Anak Tunggal-Nya, iaitu Anak-Nya yang paling disayangi. (1 Yohanes 4:9, 10) Anak ini telah meninggalkan kediamannya di syurga dengan rela hati. (Filipi 2:7) Seperti yang telah kita pelajari dalam bab sebelum ini, Yehuwa telah melakukan mukjizat dengan memindahkan nyawa Anak-Nya ke dalam rahim Maria. Melalui daya aktif Tuhan, Yesus dilahirkan sebagai seorang manusia yang sempurna. Dia tidak tertakluk pada hukuman mati akibat dosa.​—Lukas 1:35.

Yehuwa memberi kita Anak Tunggal-Nya sebagai tebusan

11. Bagaimanakah seorang manusia dapat menjadi tebusan untuk jutaan orang?

11 Bagaimanakah seorang manusia dapat menjadi tebusan untuk jutaan orang? Tanyalah diri anda, pada mulanya bagaimanakah manusia menjadi pendosa? Jika anda masih ingat, Adam telah kehilangan nyawanya yang sempurna semasa dia berdosa. Oleh itu, dia tidak dapat mewariskan kesempurnaan kepada keturunannya. Sebaliknya, dia hanya dapat mewariskan dosa dan kematian. Tetapi, Yesus memiliki nyawa yang sempurna dan dia tidak pernah berdosa. Dalam Bible, Yesus dikenali sebagai “Adam yang terakhir.” (1 Korintus 15:45) Mengapa? Hal ini adalah kerana Yesus telah menggantikan tempat Adam untuk menyelamatkan kita. Dia patuh kepada Tuhan dan telah mengorbankan nyawanya yang sempurna untuk dijadikan tebusan bagi membayar dosa Adam. Dengan demikian, Yesus telah menawarkan harapan kepada keturunan Adam.​—Roma 5:19; 1 Korintus 15:21, 22.

12. Penderitaan Yesus membuktikan apa?

12 Bible menjelaskan dengan terperinci tentang penderitaan yang telah dialami oleh Yesus sebelum dia mati. Dia disebat dengan teruk, digantung pada tiang seksaan, dan menderita sehingga mati. (Yohanes 19:1, 16-18, 30; Lampiran yang bertajuk “Mengapakah Orang Kristian Sejati Tidak Menggunakan Salib dalam Penyembahan?”) Mengapakah Yesus perlu mengalami begitu banyak penderitaan? Dalam bab yang lain di buku ini, kita akan mempelajari bahawa Syaitan telah mempersoalkan sama ada hamba-hamba Yehuwa di bumi akan tetap setia kepada-Nya walaupun menghadapi cubaan. Yesus memberikan jawapan yang terbaik kepada cabaran yang dilontarkan oleh Syaitan. Dia telah memperlihatkan kesetiaan kepada Yehuwa meskipun mengalami penderitaan yang teruk. Maka, Yesus telah membuktikan bahawa seorang manusia sempurna, yang memiliki kebebasan untuk memilih, dapat mengekalkan integritinya secara sempurna tidak kira apa sahaja yang dilakukan oleh Si Iblis. Yehuwa tentu berasa sangat gembira dengan kesetiaan yang diperlihatkan oleh Anak kesayangan-Nya!​—Amsal 27:11.

13. Bagaimanakah tebusan dibayar?

13 Bagaimanakah tebusan dibayar? Tuhan membenarkan Anak-Nya yang sempurna dan tidak berdosa untuk dihukum mati pada hari ke-14, bulan Nisan, tahun 33 M, menurut kalendar orang Yahudi. Dengan itu, Yesus telah mengorbankan nyawanya yang sempurna “satu kali sahaja untuk selama-lamanya.” (Ibrani 10:10) Pada hari ketiga selepas kematian Yesus, Yehuwa membangkitkannya sebagai makhluk roh. Di syurga, Yesus mempersembahkan nilai nyawanya yang sempurna kepada Tuhan sebagai korban tebusan bagi membeli kembali kehidupan sempurna untuk keturunan Adam. (Ibrani 9:24) Yehuwa menerima nilai korban Yesus sebagai tebusan yang diperlukan untuk membebaskan manusia daripada cengkaman dosa dan kematian.​—Roma 3:23, 24.

APAKAH MANFAAT TEBUSAN BAGI ANDA?

14, 15. Jika kita mahu Yehuwa “mengampunkan dosa kita,” apakah yang mesti kita lakukan?

14 Walaupun kita semua pendosa, kita dapat menikmati berkat-berkat yang tidak ternilai kerana Tuhan telah menyediakan tebusan untuk kita. Marilah kita bincangkan beberapa manfaat yang dibawa oleh kurniaan yang terunggul ini. Manfaat-manfaat ini dapat dinikmati sekarang dan juga pada masa hadapan.

15 Pengampunan dosa. Oleh sebab kita mewarisi ketidaksempurnaan, kita sering bergelut untuk melakukan apa yang betul. Kita semua pernah berdosa, baik dari segi pertuturan mahupun perbuatan. Tetapi dengan adanya korban tebusan Yesus, Yehuwa akan “mengampunkan dosa kita.” (Kolose 1:13, 14) Namun, untuk mendapat pengampunan, kita mesti benar-benar insaf dan bertaubat. Kita juga mesti merayu kepada Yehuwa dengan rendah hati untuk meminta pengampunan atas dasar kepercayaan dalam korban tebusan Anak-Nya.​—1 Yohanes 1:8, 9.

16. Apakah yang membantu kita untuk menyembah Tuhan dengan hati nurani yang murni, dan apakah manfaatnya untuk mempunyai hati nurani sedemikian?

16 Hati nurani yang murni dari pandangan Tuhan. Hati nurani yang dibelenggu rasa bersalah boleh menyebabkan kita putus asa dan berasa tidak berguna. Melalui tebusan, kita mendapat pengampunan, dan Yehuwa membolehkan kita untuk menyembah-Nya dengan hati nurani yang murni walaupun kita tidak sempurna. (Ibrani 9:13, 14) Hal ini membolehkan kita meluahkan isi hati kepada Yehuwa dengan bebas. Maka, kita boleh mendekati-Nya melalui doa pada bila-bila masa. (Ibrani 4:14-16) Jika kita mengekalkan hati nurani yang murni, kita akan mempunyai ketenangan hati dan fikiran, meningkatkan harga diri, dan memperoleh kebahagiaan hidup.

17. Apakah berkat-berkat yang dapat kita nikmati kerana Yesus telah mati untuk kita?

17 Harapan untuk hidup selama-lamanya di firdaus di bumi. Roma 6:23 menyatakan, “Kematian adalah upah dosa.” Tetapi, melalui korban tebusan Yesus Kristus, Yehuwa telah menawarkan peluang kepada kita untuk menikmati kehidupan kekal. Dalam Bab 3, kita telah membincangkan berkat-berkat yang bakal dinikmati di Firdaus di bumi. (Penyingkapan 21:3, 4) Oleh sebab Yesus telah mati untuk kita, kita dapat menikmati semua berkat itu, termasuklah kesihatan yang sempurna dan kehidupan yang kekal. Untuk menerima berkat-berkat tersebut, kita perlu menunjukkan bahawa kita menghargai kurniaan tebusan ini.

BAGAIMANAKAH ANDA BOLEH MENUNJUKKAN PENGHARGAAN?

18. Mengapakah kita perlu bersyukur kepada Yehuwa atas pemberian tebusan?

18 Mengapakah kita perlu bersyukur kepada Yehuwa atas pemberian tebusan? Jika seseorang telah mengorbankan masa, tenaga, dan wang untuk memberi anda sebuah hadiah, hadiah tersebut tentu sangat bernilai. Sesebuah hadiah yang mencerminkan kasih sejati pemberinya menyebabkan kita berasa terharu. Tebusan merupakan hadiah yang paling bernilai kerana Tuhan telah membuat pengorbanan yang terbesar untuk menyediakan hadiah atau kurniaan ini. Yohanes 3:16 menyatakan, ‘Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya Yang Tunggal.’ Tebusan merupakan bukti yang paling nyata akan kasih Yehuwa untuk kita. Hal ini juga membuktikan kasih Yesus kerana dia telah mengorbankan nyawanya untuk kita dengan rela hati. (Yohanes 15:13) Maka, kurniaan tebusan patut meyakinkan kita bahawa Yehuwa dan Anak-Nya mengasihi setiap seorang daripada kita.​—Galatia 2:20.

Salah satu cara untuk menunjukkan bahawa anda menghargai tebusan yang telah disediakan oleh Yehuwa adalah dengan mengenali-Nya dengan lebih dekat

19, 20. Bagaimanakah anda boleh memperlihatkan kesyukuran atas kurniaan tebusan yang diberikan oleh Tuhan?

19 Bagaimanakah anda boleh memperlihatkan kesyukuran untuk kurniaan tebusan yang diberikan oleh Tuhan? Mula-mula, berusahalah untuk belajar tentang Pengurnia Yang Agung, iaitu Yehuwa. (Yohanes 17:3) Pembelajaran Bible dengan bantuan buku ini dapat membantu anda berbuat demikian. Seraya pengetahuan anda tentang Yehuwa bertambah, kasih anda untuk Dia akan bertambah juga. Selanjutnya, anda akan tergerak untuk melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.​—1 Yohanes 5:3.

20 Perlihatkan kepercayaan dalam korban tebusan Yesus. Bible menyatakan tentang Yesus, “Sesiapa yang percaya kepada Anak itu beroleh hidup sejati dan kekal.” (Yohanes 3:36) Bagaimanakah kita boleh memperlihatkan kepercayaan pada Yesus? Kepercayaan sebegini tidak diperlihatkan melalui kata-kata sahaja. ‘Kepercayaan tanpa perbuatan adalah kepercayaan yang sia-sia!’ kata Yakobus 2:26. Ya, kepercayaan yang sejati dibuktikan melalui perbuatan kita. Salah satu cara kita boleh memperlihatkan kepercayaan pada Yesus adalah dengan mencuba sedaya upaya untuk meniru teladannya, bukan sahaja melalui tutur kata kita, tetapi melalui tingkah laku kita juga.​—Yohanes 13:15.

21, 22. (a) Mengapakah kita perlu menghadiri Perjamuan Malam Tuan setiap tahun? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam Bab 6 dan 7?

21 Hadiri Perjamuan Malam Tuan setiap tahun. Pada malam 14 Nisan 33 M, Yesus telah memperkenalkan satu sambutan istimewa yang dikenali sebagai Perjamuan Malam Tuan. (Matius 26:26-28) Sambutan ini juga dipanggil Peringatan kematian Kristus. Yesus memperkenalkan sambutan ini bagi membantu hawari-hawarinya dan semua orang Kristian sejati untuk mengingati bahawa dia telah mengorbankan nyawanya yang sempurna sebagai tebusan. Mengenai sambutan ini, Yesus memberi perintah, ‘Berbuatlah demikian untuk mengenang aku.’ (Lukas 22:19) Sambutan Peringatan mengingatkan kita akan kasih agung yang ditunjukkan oleh Yehuwa dan Yesus melalui pemberian tebusan. Kita boleh menunjukkan kesyukuran untuk pemberian tebusan dengan menghadiri Peringatan setiap tahun. *

22 Tebusan yang disediakan oleh Yehuwa merupakan kurniaan yang paling bernilai. (2 Korintus 9:14, 15) Malah, kurniaan ini boleh membawa manfaat kepada mereka yang telah mati. Bab 6 dan 7 akan menjelaskan bagaimana hal ini boleh berlaku.

^ per. 21 Untuk maklumat lanjut tentang Perjamuan Malam Tuan, sila rujuk bahagian Lampiran yang bertajuk “Perjamuan Malam Tuan​—Sambutan yang Memuliakan Tuhan.”