SOALAN 1
Bagaimanakah Kehidupan Bermula?
Semasa kecil, pernahkah anda buat ibu bapa anda rasa kekok dengan menanya mereka, “Bayi datang dari mana?” Bagaimanakah mereka menjawab anda? Ada ibu bapa yang cuba mengelak atau ada yang memberi jawapan yang ringkas. Sesetengah ibu bapa pula mereka cerita sendiri untuk memuaskan rasa ingin tahu anak-anak. Tetapi lambat laun, anak-anak harus mengetahui kebenaran kepada soalan itu.
Begitu juga, ahli sains rasa susah untuk menjawab soalan yang sangat asas ini: “Bagaimanakah kehidupan bermula?” Sebenarnya, jawapan yang betul kepada soalan ini sangat penting kerana dapat mempengaruhi pandangan seseorang terhadap kehidupan.
Apakah yang banyak ahli sains kata? Banyak orang yang percaya teori evolusi kata bahawa kehidupan mula wujud dari kolam pasang surut atau lautan berbilion-bilion tahun dahulu. Mereka berpendapat bahawa di tempat sebegitu, bahan-bahan kimia secara spontan menghasilkan struktur-struktur yang menyerupai gelembung. Kemudian, molekul kompleks yang terhasil daripada struktur-struktur itu mula membahagi diri lalu menjadi lebih banyak. Maka mereka percaya bahawa semua kehidupan di bumi bermula secara kebetulan daripada satu atau beberapa sel “ringkas” itu.
Tetapi, ahli sains terkemuka lain yang juga menyokong teori evolusi tidak setuju dengan penjelasan ini. Mereka percaya bahawa sel-sel pertama ataupun komponen utama sel-sel itu datang dari angkasa lepas. Mengapakah mereka mencapai kesimpulan itu? Hal ini kerana ahli sains gagal membuktikan bahawa kehidupan dapat muncul daripada campuran molekul yang tidak bernyawa. Pada tahun 2008, profesor biologi Alexandre Meinesz kata bahawa 1
sepanjang 50 tahun yang lalu, “tidak ada bukti kukuh untuk menyokong hipotesis bahawa kehidupan muncul secara spontan di Bumi daripada campuran ‘sup’ molekul. Sampai hari ini, tiada perkembangan penting dalam bidang sains untuk menyokong pandangan ini.”Bukti-bukti menyingkapkan apa? Jawapan kepada soalan tentang asal usul bayi memang jelas dan tidak dapat dipertikaikan. Kita tahu bahawa kehidupan hanya dapat wujud daripada benda hidup yang lain. Namun, adakah hakikat ini berubah jika kita kembali ke berbilion-bilion tahun dahulu? Mungkinkah semua kehidupan datang daripada benda yang tidak bernyawa? Apakah kebarangkalian hal ini dapat berlaku?
Para penyelidik mendapati bahawa agar sel dapat terus hidup, sekurang-kurangnya tiga jenis molekul kompleks harus bekerjasama. Tiga jenis molekul yang dimaksudkan ialah DNA (asid deoksiribonukleik), RNA (asid ribonukleik), dan protein-protein. Hari ini, ahli sains jarang kata bahawa suatu sel hidup yang lengkap telah wujud secara kebetulan daripada campuran bahan kimia yang tidak bernyawa. Apakah kebarangkalian bagi RNA atau protein untuk terhasil secara rawak? *
Ramai ahli sains rasa bahawa kehidupan dapat muncul secara kebetulan kerana eksperimen yang dijalankan oleh Stanley L. Miller pada tahun 1953. Dalam eksperimennya, dia mengalirkan arus elektrik ke dalam campuran gas yang dipercayai wujud dalam atmosfera bumi pada zaman purba. Dia berjaya menghasilkan sesetengah asid amino, iaitu komponen kimia yang utama bagi protein. Pada kemudian hari, para pakar mendapati bahawa asid amino juga ditemui dalam satu meteorit. Adakah ini menunjukkan bahawa semua komponen asas kehidupan dapat dihasilkan secara kebetulan dengan mudah?
Robert Shapiro, seorang profesor emeritus kimia di New York University kata, “Sesetengah pakar sangka bahawa semua komponen asas kehidupan dapat dihasilkan dengan mudah melalui eksperimen seperti yang dijalankan oleh Miller. Mereka juga sangka bahawa semua komponen itu wujud dalam meteorit. Namun hal ini tidak benar sama sekali.”2 *
Mari kita lihat molekul RNA. RNA dibentuk daripada molekul-molekul kecil yang dipanggil nukleotida. Molekul nukleotida berbeza dan hanya sedikit lebih kompleks berbanding molekul asid amino. Shapiro kata bahawa “belum ada nukleotida yang pernah dihasilkan melalui eksperimen [seperti yang dilakukan Miller] atau ditemui dalam meteorit.”3 Dia juga kata bahawa kebarangkalian satu molekul RNA terbentuk daripada bahan kimia secara rawak dan dapat mereplikakan diri “adalah sangat kecil. Jika hal itu dapat berlaku sekali pun, itu sudah kira sangat nasib baik.”4
Bagaimana pula dengan molekul protein? Jumlah asid amino yang diperlukan untuk membentuk molekul protein adalah antara 50 hingga beribu-ribu banyaknya. Semua asid amino ini disambungkan dalam urutan yang sangat spesifik. Secara am, satu sel “ringkas” dalam protein mengandungi 200 asid amino. Tapi dalam sel yang kononnya ringkas itu
pun terdapat ribuan jenis protein yang berbeza. Kebarangkalian bagi satu protein yang mengandungi hanya 100 asid amino untuk wujud secara kebetulan ialah satu dalam sejuta bilion.Jika molekul kompleks yang dibina di dalam makmal memerlukan kemahiran seorang ahli sains, dapatkah molekul lain dalam sel yang jauh lebih kompleks betul-betul wujud secara kebetulan?
Seorang penyelidik yang bernama Hubert P. Yockey yang menyokong teori evolusi menegaskan bahawa hal ini mustahil berlaku. Dia berkata, “Tidak mungkin kehidupan bermula dengan ‘protein dahulu.’”5 Mengapa? RNA diperlukan untuk menghasilkan protein tapi protein juga diperlukan untuk menghasilkan RNA. Sekarang, katakan RNA dan protein dapat wujud secara kebetulan pada tempat dan masa yang sama, walaupun kebarangkaliannya tipis sekali. Apakah kebarangkalian kedua-dua jenis molekul ini bekerjasama, mereplikakan diri, lalu terus hidup? Dr. Carol Cleland *, anggota Institut Astrobiologi bagi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan, berkata, “Kebarangkalian hal ini berlaku (melalui campuran protein dan RNA yang berlaku secara rawak) adalah hampir mustahil.” Dia menambah, “Namun, banyak penyelidik buat andaian bahawa jika mereka boleh memahami bagaimana protein dan RNA terhasil secara berasingan di bawah keadaan alam zaman purba, kerjasama antara molekul-molekul akan berlaku secara semula jadi.” Mengenai teori terkini tentang bagaimana komponen asas kehidupan dapat muncul secara kebetulan, dia kata, “Tiada orang dapat memberikan penjelasan yang memuaskan tentang bagaimana hal ini dapat berlaku.”6
Mengapakah fakta-fakta ini penting? Apakah yang kita belajar daripada para penyelidik yang percaya bahawa kehidupan muncul secara rawak? Mereka telah menemui sesetengah asid amino dalam meteorit yang juga terdapat dalam sel-sel hidup. Selain itu, mereka berjaya menghasilkan molekul yang lebih kompleks melalui eksperimen yang dijalankan dengan teliti. Matlamat mereka adalah untuk menghasilkan semua bahagian yang diperlukan untuk membentuk satu sel yang kononnya ringkas. Tetapi melalui usaha ini, apakah yang dibuktikan oleh mereka? Fikirkan contoh ini: Seorang ahli sains mahu cipta satu robot yang dapat mereplikakan diri. Untuk melakukannya, dia harus mengambil unsur-unsur semula jadi lalu menghasilkan besi, plastik, silikon, dan dawai. Kemudian, dia menggunakan semua bahan itu untuk membina sebuah robot. Akhirnya, dia memprogramkan robot itu supaya robot itu dapat menghasilkan robot-robot lain dengan sendiri. Tidakkah anda setuju bahawa ahli sains ini sebenarnya membuktikan bahawa untuk menghasilkan ciptaan yang hebat, apa yang diperlukan ialah individu yang bijaksana?
Begitu juga, jika ahli sains akhirnya berjaya menghasilkan satu sel hidup, itu memang pencapaian yang luar biasa. Tetapi, adakah semua usaha mereka membuktikan bahawa sel hidup dapat wujud secara kebetulan? Atau adakah hal yang sebaliknya dibuktikan benar?
Apakah pandangan anda? Setakat ini, semua bukti sains menunjukkan bahawa kehidupan hanya dapat wujud daripada benda hidup yang lain. Untuk percaya bahawa satu sel hidup seringkas mana pun dapat muncul daripada bahan kimia yang tidak bernyawa memerlukan iman yang sangat besar.
Setelah meneliti semua fakta ini, apakah yang akan anda percaya? Sebelum menjawab soalan ini, mari kita kaji pembinaan sel dengan lebih mendalam. Dengan demikian anda dapat menentukan sama ada teori ahli sains masuk akal atau sekadar cerita yang direka.
^ per. 8 Kebarangkalian DNA terbentuk secara rawak akan dibincangkan dalam bahagian 3, “Arahan-Arahannya Datang dari Mana?”
^ per. 10 Profesor Shapiro tidak percaya bahawa kehidupan diciptakan. Dia percaya bahawa kehidupan wujud secara kebetulan dalam cara yang belum difahami manusia. Pada tahun 2009, ahli sains di University of Manchester, England, menyatakan bahawa mereka dapat menghasilkan sesetengah nukleotida dalam makmal. Namun, Shapiro berpendapat bahawa eksperimen mereka “tidak dapat memberi penjelasan yang masuk akal tentang bagaimana RNA dapat wujud.”
^ per. 13 Dr. Cleland tidak mempercayai ajaran penciptaan. Dia percaya bahawa kehidupan wujud secara kebetulan dalam cara yang belum difahami manusia.