SOALAN 3
Arahan-Arahannya Datang dari Mana?
Pernahkah anda fikir, “Apakah yang menentukan warna rambut, mata, dan kulit seseorang? Bagaimana pula dengan ketinggiannya? Mengapakah kita mirip dengan ibu atau bapa? Apakah yang menyebabkan sebelah hujung jari kita lembut, tetapi di sebelahnya terdapat kuku yang kuat?”
Ramai orang pada zaman Charles Darwin tidak tahu jawapan kepada soalan-soalan itu. Bahkan Darwin sendiri pun tidak tahu tentang hukum genetik dan mekanisme dalam sel yang menentukan ciri-ciri yang diwariskan. Namun kini, ahli sains lebih memahaminya. Ahli biologi telah menghabiskan puluhan tahun untuk mengkaji genetik manusia dan arahan terperinci yang terkandung dalam molekul DNA (asid deoksiribonukleik). Tapi persoalannya, “Dari manakah datangnya semua arahan ini?”
Apakah yang banyak ahli sains kata? Banyak ahli sains rasa bahawa DNA berserta arahan, atau kod-kodnya, terhasil secara beransur-ansur dan rawak dalam jangka masa jutaan tahun. Mereka kata tiada bukti yang menunjukkan bahawa struktur, maklumat yang terkandung, dan cara DNA berfungsi telah direka.17
Apakah yang Bible kata? Raja Daud berkata, “Semasa aku dalam kandungan ibuku, Engkau sudah melihat aku. Sebelum bahagian-bahagian tubuhku wujud, sebelum anggota tubuhku dibentuk, hari-hari pertumbuhannya sudah tercatat dalam kitab-Mu.” (Mazmur 139:16) Bible menunjukkan bahawa arahan yang menentukan masa dan pembentukan setiap bahagian tubuh terkandung dalam sebuah “kitab,” atau buku kiasan yang datang daripada Tuhan.
Bukti-bukti menyingkapkan apa? Jika teori evolusi adalah betul, kita sekurang-kurangnya akan melihat bukti bahawa DNA dapat wujud secara rawak. Sebaliknya, jika Bible adalah betul, reka bentuk DNA akan membuktikan bahawa pencipta yang bijak dan teratur memang wujud.
Sememangnya, topik tentang DNA sangat menarik dan menakjubkan. Sekarang, mari kita melawat salah satu sel manusia yang dibesarkan kira-kira 13,000,000 kali. Cuba bayangkan sel ini ialah sebuah muzium. Saiznya sebesar stadium yang dapat menampung sekitar 70,000 penonton.
Dalam muzium ini, anda melihat banyak struktur dan bentuk yang pelik. Dekat tengah-tengahnya terdapat nukleus, atau sebuah sfera, yang tingginya kira-kira 20 tingkat. Anda sangat tertarik lalu mendekatinya.
Untuk memasuki nukleus, anda harus melalui sebuah pintu, iaitu membran nukleus. Di dalamnya, anda melihat 46 kromosom yang merupakan pasangan yang seiras. Ketinggian setiap pasangan berbeza. Tinggi kromosom yang terdekat dengan anda adalah kira-kira 12 tingkat (1). Setiap kromosom menipis dekat bahagian tengah dan kelihatan seolah-olah diikat. Diameter kromosom adalah seperti batang pokok yang besar. Pada kromosom terdapat banyak jalur yang melingkarinya secara mendatar. Kemudian pada setiap jalur itu, anda lihat ada garis-garis yang menegak. Di antara garis-garis menegak itu pula, ada garis mendatar yang lebih pendek (2) yang kelihatan seperti buku yang tersusun rapi. Apakah itu sebenarnya? Itu ialah lingkaran-lingkaran yang sangat padat. Apabila anda menarik lingkaran itu, anda melihat lingkaran itu sebenarnya terdiri daripada gegelung kecil (3) yang juga tersusun rapi. Apakah yang ada dalam lingkaran panjang yang seperti tali ini?
STRUKTUR MOLEKUL YANG MENAKJUBKAN
Mari kita kaji lebih tentang “tali” ini. Tebal tali ini kira-kira 2.6 cm. Tali ini dililit dengan padat pada gelendong-gelendong (4). Semua ini membentuk lingkaran dalam lingkaran. Terdapat penyokong yang memastikan lingkaran-lingkaran ini berada di tempatnya. Sememangnya, anda kagum melihat tali ini dililit dengan sangat efisien. Jika anda menarik tali ini dan merentangkannya, panjangnya kira-kira separuh lilitan bumi. *
Sebuah buku sains menyebut rekaan ini sebagai “produk kejuruteraan yang menakjubkan.”18 Adakah masuk akal untuk menyimpulkan bahawa semua ini muncul tanpa seorang jurutera? Pasti tidak! Bayangkan jika muzium ini ada sebuah kedai. Kedai itu ada jutaan barangan yang disusun rapi dan anda dapat mencari barang yang diperlukan dengan mudah. Anda pasti tidak akan berfikir bahawa barang-barang itu tersusun dengan sendiri. Demikian juga, tidak mungkin struktur molekul yang jauh lebih kompleks dan teratur dapat muncul sendiri.
Sekarang, anda mengambil tali ini dan melihatnya dengan lebih dekat (5). Semasa menyentuhnya, anda sedar tali ini sebenarnya terdiri daripada dua utas benang yang dipintal bersama dan kelihatan seperti tangga yang berputar (6). Sebagaimana tangga mempunyai anak tangga, tali ini juga mempunyai sambungan-sambungan dan setiap sambungan itu sama panjang. Rupa-rupanya “tali” yang anda sedang pegang ini mewakili satu model molekul DNA!
Satu molekul DNA yang dipintal dengan kemas sekali membentuk satu kromosom. Anak-anak tangganya pula dikenali sebagai pasangan asas, atau pasangan bes (7). Apakah fungsinya? Mari kita belajar lebih tentangnya.
SISTEM PENYIMPANAN DATA YANG TERHEBAT
Untuk memahami DNA dengan lebih baik, kita perlu meneliti anak-anak tangga pada tangga ini. Bayangkan tangga ini dibelah dua dan sebahagian anak tangga terpacak pada kedua-dua sisinya. Terdapat empat jenis bahan yang membentuk anak tangga. Ahli sains memanggilnya A, T, G, dan C. Mereka sangat kagum apabila mengetahui bahawa turutan huruf-huruf itu ialah maklumat dalam bentuk kod.
Anda mungkin pernah dengar tentang kod Morse yang diciptakan pada abad ke-19. Kod itu hanya ada dua “huruf,” iaitu titik dan sengkang, dan digunakan untuk menghantar pesanan telegraf. Biarpun ringkas, kod itu dapat membentuk banyak perkataan dan ayat. Kod dalam DNA pula terdiri daripada empat huruf, iaitu A, T, G, dan C. Apabila huruf-huruf ini disusun mengikut turutan tertentu, ini membentuk “perkataan” yang dipanggil kodon. Kodon-kodon yang disusun menjadi “perenggan” pula dipanggil gen. Secara purata, setiap gen ada 27,000 huruf. Gen-gen ini dan ruang panjang di antaranya digabungkan untuk menjadi “bab” dalam buku. Setiap bab mewakili satu kromosom. Untuk mempunyai “buku” yang lengkap, kita memerlukan 23 kromosom. Inilah yang dipanggil genom, atau maklumat genetik lengkap dalam suatu organisma.Genom boleh disamakan dengan sebuah buku yang sangat tebal. Berapa banyakkah maklumat yang terkandung di dalamnya? Genom manusia mengandungi kira-kira tiga bilion pasangan asas, atau anak tangga, pada tangga DNA.19 Bayangkan ensiklopedia yang setiap jilidnya mempunyai lebih daripada 1,000 muka surat. Genom manusia akan memenuhi 428 jilid sedemikian. Tetapi, oleh sebab setiap sel mempunyai salinannya, 856 jilid diperlukan. Jika anda perlu menaip semua maklumat dalam genom, anda harus taip selama lapan jam sehari, lima hari seminggu, untuk kira-kira 80 tahun!
Selepas menaip ratusan jilid itu, anda harus memuatkan semua maklumat itu ke dalam setiap sel tubuh anda yang sangat kecil. Dapatkah anda melakukannya? Pasti tidak. Jika anda tidak dapat berbuat demikian untuk satu sel, apatah lagi untuk kira-kira 100 trilion sel tubuh anda!
Seorang profesor bidang biologi molekul dan sains komputer kata, “Isi padu bagi satu gram DNA yang dikeringkan ialah sekitar satu sentimeter padu. Tetapi, satu gram ini boleh memuatkan maklumat yang terkandung dalam kira-kira satu trilion cakera padat (CD).”20 Kita sudah belajar bahawa DNA mengandungi gen, iaitu arahan-arahan untuk membina tubuh manusia yang unik. Setiap sel pula mempunyai set arahan yang lengkap. Untuk memahami berapa padatnya DNA kita, bayangkan contoh ini: Satu lapisan yang sangat nipis pada sudu teh mengandungi maklumat DNA yang cukup untuk mencipta tujuh bilion orang.21 Arahan yang terkandung dalam satu sudu teh penuh DNA pula cukup untuk mencipta kira-kira 350 kali ganda jumlah penduduk bumi!
BUKU TANPA PENGARANG?
Manusia mempunyai teknologi yang canggih. Tetapi kita masih belum dapat menciptakan alat penyimpanan data yang sehebat DNA kita. Walaupun begitu, mari kita lihat satu contoh alat buatan manusia yang dapat menyimpan maklumat, iaitu CD. CD bukan hanya nipis, tetapi rekaannya
juga cantik dan efisien. Tidakkah anda setuju rekaan yang hebat ini memerlukan seorang pereka cipta? Sekarang, bayangkan CD ini mengandungi maklumat yang sangat penting dan terperinci untuk membina, menyelenggarakan, dan membaiki mesin yang rumit. Pasti nilai CD ini sangat tinggi, bukan kerana rekaannya tetapi kerana maklumat yang terkandung di dalamnya. Adakah anda akan menyimpulkan bahawa semua maklumat ini datang dengan sendiri? Atau adakah seorang pengarang telah memasukkan maklumat itu ke dalamnya?Sebenarnya, memang munasabah untuk membandingkan DNA dengan sekeping CD atau sebuah buku. Mengapa? Sebuah rujukan kata, “Buku ialah satu alat untuk menyimpan maklumat . . . Begitu juga dengan genom.” Penulis rujukan itu juga kata, “Tetapi genom ialah buku yang sangat pandai kerana di bawah keadaan yang sesuai, genom dapat membaca dan menyalin diri sendiri.”22 Sekarang, mari kita perhatikan satu lagi aspek DNA yang menarik.
MESIN YANG BERGERAK
Semasa anda berdiri di dalam muzium yang senyap ini, anda tertanya-tanya, “Adakah nukleus sel pun begitu sunyi dan tiada pergerakan?” Kemudian, anda nampak ada peti kaca yang mengandungi sebahagian model DNA dan tanda yang berbunyi, “Tekan Butang untuk Lihat Demonstrasi.” Anda pun tekan butang itu lalu ada suara yang berkata, “DNA ada sekurang-kurangnya dua kerja yang sangat penting. Yang pertama dipanggil replikasi. DNA harus disalin agar setiap sel baharu mempunyai salinan maklumat genetik yang lengkap. Sila perhatikan simulasi berikut.”
Kemudian, anda nampak suatu pameran dengan mesin yang sangat rumit. Sebenarnya, itu adalah beberapa robot yang dihubungkan bersama. Mesin ini menghampiri DNA, melekat padanya, dan mula bergerak sepanjang DNA seperti sebuah kereta api yang bergerak di atas landasan. Mesin itu bergerak dengan sangat laju. Jadi anda tidak dapat melihat apa yang sedang berlaku.
Apa yang anda lihat di belakangnya kini bukan satu tali DNA sahaja tetapi ada dua tali DNA yang lengkap.Anda mendengar penjelasan berikut: “Inilah proses replikasi DNA yang dipermudahkan. Sekumpulan mesin molekul yang dipanggil enzim akan bergerak sepanjang DNA. Mula-mula, DNA akan dibelah menjadi dua. Kemudian, setiap satu daripadanya digunakan sebagai templat atau pola untuk menghasilkan bebenang pelengkap yang baharu. Tetapi, pameran ini tidak dapat menunjukkan semua proses yang terlibat dengan teliti. Contohnya, terdapat peralatan kecil yang bergerak di hadapan mesin replikasi yang memotong sebahagian DNA agar DNA dapat berputar dengan bebas dan tidak memilin dengan terlalu ketat. Anda juga tidak dapat melihat bagaimana DNA ‘disemak’ berulang kali agar semua kesilapan dapat dikesan dan dibetulkan.”—Lihat gambar pada muka surat 16 dan 17.
Kemudian anda mendengar lagi, “Perhatikanlah kelajuan mesin ini. Mesin enzim yang sebenar bergerak di atas ‘landasan’ DNA pada kelajuan sekitar 100 anak tangga, atau pasangan asas, dalam satu saat.23 Jika ‘landasan’ DNA dibesarkan menjadi seperti landasan kereta api, mesin enzim adalah seperti kereta api yang bergerak dengan kelajuan lebih daripada 80 kilometer sejam. Dalam bakteria, mesin replikasi ini dapat bergerak 10 kali lebih laju daripada itu! Dalam sel manusia, ratusan mesin replikasi ini akan bekerja pada bahagian-bahagian berbeza sepanjang ‘landasan’ DNA. Mesin-mesin ini dapat menyalin seluruh genom dalam hanya lapan jam.”24 (Lihat kotak “ Molekul yang Dapat Dibaca dan Disalin,” pada muka surat 20.)
“MEMBACA” DNA
Setelah mesin-mesin replikasi meninggalkan tempat itu, mesin lain muncul. Mesin ini juga bergerak atas sebahagian model DNA, tetapi dengan lebih perlahan. Anda nampak DNA masuk melalui satu hujung mesin itu dan keluar dari hujung yang lain. Nampaknya tiada apa-apa perubahan yang berlaku. Tetapi sebenarnya, terdapat satu bebenang baharu yang keluar melalui bahagian lain mesin itu. Apakah yang sedang berlaku?
Anda mendengar suara itu menjelaskan, “Kerja DNA yang kedua dipanggil transkripsi. DNA tidak pernah meninggalkan nukleus. Jadi bagaimanakah gen, iaitu arahan untuk membuat semua protein dalam tubuh anda, dapat dibaca dan digunakan? Mesin enzim ini akan mencari satu gen yang telah diaktifkan oleh isyarat bahan kimia dari luar nukleus sel. Kemudian, mesin ini membuat salinan gen itu dan menghasilkan molekul yang dipanggil RNA (asid ribonukleik). RNA kelihatan seperti satu belah DNA tetapi fungsinya sangat berbeza. RNA akan mendapatkan kod maklumat dalam gen semasa dalam mesin enzim.
Selepas itu, RNA keluar daripada nukleus dan menuju ke salah satu ribosom supaya maklumat yang dibawanya dapat digunakan untuk menghasilkan satu protein.”Semua proses ini buat anda terpesona. Anda sangat kagum dengan kebijaksanaan orang yang mereka dan membina muzium ini dan mesin-mesinnya. Tetapi, dapatkah anda bayangkan jika seluruh muzium ini dihidupkan untuk menunjukkan ribuan fungsi yang berlaku secara serentak dalam sel manusia? Anda pasti terbungkam dengan kehebatannya!
Sebenarnya, semua proses yang dijalankan oleh mesin-mesin rumit itu sedang berlaku dalam 100 trilion sel dalam tubuh anda! DNA anda sedang dibaca dan arahan diberikan untuk membina ratusan ribu protein berbeza yang diperlukan oleh tubuh anda, termasuk enzim, tisu, organ, dan sebagainya. Sekarang pun, DNA anda sedang disalin dan disemak dengan teliti agar arahan baharu dapat dibaca dalam setiap sel baharu.
MENGAPAKAH FAKTA-FAKTA INI PENTING?
Mari kita fikirkan semula soalan ini: “Dari manakah datangnya semua arahan ini?” Bible kata terdapat “buku kiasan”
yang mengandungi semua arahan itu dan berasal daripada Pengarang yang jauh lebih bijak daripada manusia. Adakah penjelasan ini ketinggalan zaman atau tidak selaras dengan sains?Pertimbangkan hal ini: Dapatkah manusia membina muzium yang menggambarkan fungsi sel manusia? Tidak, kerana kita tidak ada maklumat yang lengkap tentang genom manusia dan cara genom berfungsi. Ahli sains masih tidak tahu di mana semua gen terletak dan apa fungsinya. Lagipun gen hanyalah sebahagian kecil daripada DNA. Bagaimana pula dengan bahagian lain yang tidak mengandungi gen? Dulu, ahli sains memanggil bahagian sebegitu DNA sampah. Tetapi kini mereka mengubah pandangan tersebut. Mereka kata bahawa bahagian-bahagian itu mungkin mengawal bagaimana dan sejauh mana gen-gen digunakan. Selain itu, andai kata ahli sains berjaya menghasilkan model DNA yang lengkap dan mesin-mesin yang dapat menyalin dan menyemak diri sendiri, dapatkah mereka memastikan
model itu berfungsi seperti DNA yang sebenar?Richard Feynman ialah seorang ahli sains yang terkenal. Sebelum meninggal, dia telah menulis kata-kata ini pada sebuah papan hitam: “Saya tidak dapat menciptakan hal-hal yang tidak dapat saya fahami.”25 Kejujurannya dan kerendahan hatinya memang patut dipuji. Kata-katanya terbukti benar dalam soal DNA. Memandangkan ahli sains tidak dapat memahami sepenuhnya bagaimana DNA, mesin replikasi, dan mesin transkripsi berfungsi, mana mungkin mereka dapat menciptakannya? Namun, sesetengah orang mendakwa bahawa mereka tahu semua itu berlaku secara kebetulan dan tanpa dirancang. Adakah bukti-bukti yang telah kita bincangkan menyokong kesimpulan sebegitu?
Beberapa orang yang terpelajar membuat kesimpulan yang berbeza, termasuk Francis Crick, iaitu seorang ahli sains yang telah membantu menemui struktur DNA heliks ganda dua. Dia mengatakan bahawa molekul DNA sangat teratur dan mustahil wujud secara kebetulan. Dia mengemukakan teori bahawa makhluk yang bijak dari angkasa lepas telah membawa DNA ke bumi agar kehidupan dapat wujud.26
Antony Flew, seorang ahli falsafah yang menyokong ajaran ateisme selama 50 tahun telah mengubah pandangannya sama sekali. Semasa berumur 81 tahun, dia berkata dengan yakin sekali bahawa kehidupan wujud kerana adanya pereka yang bijak. Mengapakah dia mengubah fikirannya dan membuat kesimpulan ini? Kerana kajian tentang DNA. Adakah dia risau jika pandangannya tidak diterima oleh ahli sains? Tidak. Dia jawab, “Seumur hidup saya, saya berpegang pada prinsip . . . [untuk] mengikut bukti yang nyata.”27
Apakah pandangan anda? Apakah kesimpulan yang dapat kita buat? Bayangkan anda menjumpai bilik komputer di dalam sebuah kilang. Komputer itu ada program canggih yang mengawal semua kerja di dalam kilang itu. Program komputer itu memberikan arahan tentang cara membina dan menyelenggarakan setiap mesin di situ. Selain itu, program itu dapat mereplikakan diri dan memastikan tiada kesilapan berlaku. Adakah anda akan berfikir bahawa komputer itu dan programnya wujud sendiri secara kebetulan atau direka oleh individu yang bijak? Sememangnya, jawapannya jelas sekali!
^ per. 12 Buku teks Molecular Biology of the Cell menggunakan contoh yang berbeza. Buku ini kata bahawa usaha untuk memasukkan tali panjang ini ke dalam nukleus sel adalah seperti memasukkan 40 kilometer benang yang sangat halus ke dalam sebiji bola tenis. Walaupun begitu padat, benang diatur dengan kemas dan setiap bahagian benangnya senang ditarik.
^ per. 18 Setiap sel mengandungi dua salinan genom yang lengkap. Maka jumlahnya ialah 46 kromosom.