SOALAN 2
Adakah Bentuk Hidup yang Betul-Betul Ringkas Wujud?
Tubuh anda ialah salah satu struktur yang paling kompleks di alam semesta. Tubuh anda terdiri daripada sekitar 100 trilion sel yang kecil, contohnya sel tulang, sel darah, sel otak, dan banyak lagi.7 Sebenarnya, terdapat lebih daripada 200 jenis sel yang berbeza dalam tubuh anda.8
Sel dalam tubuh bukan sahaja mempunyai beraneka bentuk dan fungsi, tetapi sel-sel itu juga membentuk rangkaian yang sangat rumit, padat, dan saling bekerjasama. Bahkan rangkaian Internet dengan kabel berkelajuan tinggi dan jutaan komputer yang canggih tidak dapat menandingi sel yang paling asas. Bagaimanakah sel-sel dalam tubuh manusia dapat wujud?
Apakah yang banyak ahli sains kata? Semua sel hidup boleh digolongkan dalam dua kategori besar, iaitu sel yang ada nukleus dan yang tiada nukleus. Sel manusia, binatang, dan tumbuhan ada nukleus. Sel bakteria pula tiada nukleus. Sel yang bernukleus dipanggil eukariotik, dan yang tiada nukleus dipanggil prokariotik. Memandangkan sel prokariotik lebih ringkas berbanding sel eukariotik, banyak ahli sains percaya bahawa sel binatang dan tumbuhan berevolusi (atau berkembang secara perlahan-lahan) daripada sel bakteria.
Banyak ahli sains mengajarkan teori bahawa selama jutaan tahun, sesetengah sel prokariotik yang “ringkas” memakan sel-sel lain tetapi tidak menghadamkannya. Kemudian, fungsi sel-sel yang dimakan itu berubah secara mendadak dengan sendiri. Semasa “sel perumah” mereplikakan diri, “sel perumah” juga akan mengekalkan semua fungsi baharu sel yang dimakannya.Apakah yang Bible kata? Bible menjelaskan bahawa kehidupan di bumi ialah hasil kerja pencipta yang bijak. Ibrani 3:4 kata, “Sudah tentu setiap rumah dibina oleh seseorang, tetapi Tuhanlah yang membina segala sesuatu.” Satu lagi ayat Bible kata, ‘Betapa banyaknya perbuatan-Mu, ya Yehuwa! Engkau telah menciptakan semuanya dengan bijaksana. Bumi penuh dengan hasil karya-Mu. Laut sarat dengan makhluk hidup yang tidak terkira, baik kecil mahupun besar.’—Mazmur 104:24, 25.
Bukti-bukti menyingkapkan apa? Kemajuan bidang mikrobiologi membolehkan manusia melihat ke dalam sel prokariotik paling ringkas yang diketahui. Ahli sains yang percaya teori evolusi menyatakan bahawa sel-sel hidup yang pertama mungkin mirip dengan sel prokariotik itu.10
Jika teori mereka betul, sepatutnya akan ada penjelasan yang masuk akal tentang bagaimana sel “ringkas” pertama wujud secara kebetulan. Sebaliknya, jika kehidupan diciptakan, kita akan melihat bukti bahawa bahkan makhluk yang paling kecil harus mempunyai reka bentuk yang menakjubkan dan luar biasa. Untuk melihat penjelasan mana yang masuk akal, mari kita melawat bahagian dalam sel prokariotik.
TEMBOK LUAR SEL
Bayangkan anda dikecilkan sehingga dapat masuk ke dalam sel prokariotik yang saiznya ratusan kali lebih kecil daripada tanda noktah di hujung ayat ini. Sebelum memasuki sel, anda akan lihat membran yang kuat dan mudah lentur. Fungsi membran ini boleh diumpamakan seperti tembok luar sebuah kilang. Tetapi membran sel sangat nipis dan adalah sekitar 1/10,000 tebal sehelai kertas. Biarpun begitu, membran sel jauh lebih canggih daripada tembok binaan manusia. Mengapakah kita dapat berkata demikian?
“Tembok” atau membran melindungi sel daripada persekitaran yang memudaratkan. Walaupun molekul-molekul kecil seperti oksigen masih dapat keluar masuk, molekul yang lebih kompleks yang mungkin memudaratkan sel tidak dibenarkan untuk masuk tanpa izin. Pada masa yang sama, membran juga menghalang molekul yang berguna daripada meninggalkan sel. Bagaimanakah semua ini dapat berlaku?
Sepertimana kilang mempunyai para pengawal dan pintu yang membenarkan sesetengah barang keluar masuk, membran sel juga mempunyai molekul-molekul protein di dalamnya yang memainkan fungsi yang sama.
Sesetengah protein ini (1) mempunyai lubang di tengah yang hanya mengizinkan molekul-molekul tertentu untuk keluar
masuk sel. Bagi protein lain pula, satu hujung membran sel terbuka (2) manakala satu hujung yang lain tertutup. Terdapat “pelabuhan” (3) yang bentuknya sesuai untuk bahan-bahan tertentu. Apabila bahan tersebut tiba di situ, bahagian hujung lain yang tertutup akan dibuka lalu mengizinkan bahan itu melintasi membran (4). Semua ini berlaku pada permukaan sel yang bahkan sangat ringkas.DALAM KILANG SEL
Sekarang, anda sudah berjaya menembusi membran dan masuk ke dalam sel. Anda lihat sel prokariotik dipenuhi bendalir yang mengandungi nutrien, garam, dan bahan-bahan lain. Sel ini akan menggunakan bahan-bahan mentah ini untuk menghasilkan apa yang diperlukannya. Proses ini sangat teratur seperti proses kilang yang lancar. Sel memastikan ribuan tindak balas kimia berlaku dalam turutan yang tertentu dan pada masa yang ditetapkan.
Biasanya, sel menghabiskan banyak masa untuk menghasilkan protein-protein. Bagaimana? Mula-mula, sel akan membuat kira-kira 20 jenis komponen asas yang dipanggil asid amino. Komponen asas ini akan dihantar ke ribosom (5). Ribosom adalah seperti mesin-mesin automatik yang menyambungkan asid amino mengikut turutan tertentu untuk menghasilkan protein yang spesifik. Sepertimana mesin-mesin kilang dikawal oleh program komputer di sebuah pusat kawalan, kebanyakan fungsi dalam sel dikawal oleh “program komputer,” atau kod, yang dikenali sebagai DNA (6). Kemudian, ribosom menerima arahan terperinci daripada DNA tentang protein mana yang harus dibina dan cara untuk membinanya (7).
Apa yang berlaku seterusnya sangat menakjubkan! Untuk menghasilkan protein yang dapat berfungsi dengan baik, setiap protein harus dilipat menjadi bentuk 3D yang unik (8). Bentuknya menentukan fungsi protein yang dihasilkan. * Mengapakah hal ini penting? Fikirkan contoh berikut: Semasa proses pemasangan enjin dilakukan dalam kilang, setiap bahagian enjin mesti dihasilkan dengan tepat. Barulah enjin itu dapat berfungsi. Begitu juga, setiap protein harus dibina dan dilipat menjadi bentuk yang tepat. Jika tidak, protein itu tidak akan berfungsi dan bahkan dapat merosakkan sel.
Selepas dihasilkan, bagaimanakah protein tahu destinasinya? Setiap protein yang dihasilkan dilengkapi dengan “label alamat” agar protein dihantar ke tempat yang betul. Walaupun ribuan protein dihasilkan dan dihantar setiap minit, tidak ada satu protein pun yang sesat.
Mengapakah fakta-fakta ini penting? Molekul-molekul kompleks dalam benda hidup yang paling ringkas pun tidak dapat mereplikakan diri tanpa bantuan. Jika molekul itu keluar dari sel, molekul itu akan terurai. Di dalam sel, molekul memerlukan bantuan daripada molekul kompleks yang lain untuk mereplikakan diri. Contohnya, enzim diperlukan untuk menghasilkan molekul tenaga khas yang dipanggil adenosina trifosfat (ATP), tetapi tenaga daripada ATP diperlukan untuk menghasilkan enzim. Begitu juga, DNA (bahagian 3 akan membincangkan ini) diperlukan untuk membuat enzim, tetapi enzim diperlukan untuk membuat DNA. Selain itu, protein lain hanya boleh dihasilkan oleh sel, tetapi sel hanya dapat dihasilkan dengan adanya protein. *
Radu Popa, seorang ahli mikrobiologi, tidak bersetuju dengan ajaran penciptaan dalam Bible. Namun pada 2004, dia kata, “Jika kita gagal menghasilkan kehidupan melalui eksperimen yang terkawal, mana mungkin proses ini berlaku dengan sendiri secara kebetulan?”13 Dia juga kata, “Setiap komponen yang diperlukan agar sel dapat berfungsi adalah sangat rumit. Hampir mustahil bagi sel untuk muncul dengan tiba-tiba secara rawak.”14
Apakah pandangan anda? Menurut orang yang sokong ajaran evolusi, kehidupan di bumi wujud tanpa pencipta. Namun hakikatnya ialah semakin banyak ahli sains belajar tentang kehidupan, semakin mereka sedar bahawa kehidupan mustahil muncul secara kebetulan. Untuk mengelakkan dilema ini, sesetengah ahli sains kata teori evolusi tidak berkaitan dengan asal usul kehidupan. Adakah hal itu munasabah bagi anda?
Sebenarnya, teori evolusi adalah berdasarkan kepercayaan bahawa banyak peristiwa rawak berlaku secara berturut-turut sehingga kehidupan wujud. Kemudian, banyak hal lain yang di luar kawalan berlaku secara kebetulan, lalu terhasillah beraneka jenis makhluk hidup yang kompleks. Tetapi, jika teori ini tidak mempunyai asas yang kukuh, bagaimana pula dengan teori-teori lain yang dibina pada asas ini? Fikirkan contoh ini: Pencakar langit yang tidak mempunyai asas yang kuat akan roboh. Begitu juga, teori evolusi yang tidak dapat menjelaskan asal usul kehidupan pasti “roboh.”
Setelah memeriksa struktur dan fungsi sel, apakah pendapat anda? Mungkinkah semua ini dapat berlaku secara kebetulan atau adakah pereka cipta yang bijak diperlukan? Untuk bukti lanjut, mari kita kaji “program komputer” yang mengawal fungsi semua sel.
^ per. 6 Tiada bukti daripada eksperimen yang menunjukkan bahawa hal ini dapat berlaku.
^ per. 18 Salah satu protein yang dihasilkan oleh sel ialah enzim. Setiap enzim dilipat dalam cara yang istimewa untuk mempercepat tindak balas kimia tertentu. Ratusan enzim harus bekerjasama untuk mengawal aktiviti dalam sel.