Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 71

Yehuwa Melindungi Yesus

Yehuwa Melindungi Yesus

Penduduk di kawasan timur Israel percaya bahawa bintang dapat membimbing mereka. Pada suatu malam, beberapa ahli nujum dari Timur melihat satu bintang yang terang bergerak di langit. Mereka mengikuti bintang itu ke Yerusalem. Mereka bertanya, “Di manakah budak yang akan menjadi raja orang Yahudi itu? Kami ingin sujud kepadanya.”

Apabila raja Yerusalem, iaitu Herodes, mengetahui tentang raja yang baharu itu, dia sangat risau. Dia menanya semua ketua imam, “Di manakah raja itu akan dilahirkan?” Mereka menjawab, “Para nabi berkata bahawa dia akan lahir di Betlehem.” Maka, Herodes memanggil para ahli nujum itu dan berkata, “Pergi ke Betlehem dan cari budak itu. Beritahu beta di mana dia berada. Beta juga mahu bersujud kepadanya.” Sebenarnya, Herodes sedang berbohong.

Kemudian, bintang itu bergerak lagi. Ahli-ahli nujum itu mengikutinya sehingga Betlehem. Akhirnya, bintang itu berhenti di atas sebuah rumah. Apabila mereka memasuki rumah itu, mereka menjumpai Yesus dan ibunya Maria. Mereka bersujud kepada Yesus lalu memberinya emas, kemenyan, dan mur, sebagai hadiah. Adakah Yehuwa yang mengutus lelaki-lelaki itu untuk mencari Yesus? Tidak.

Pada malam itu, Yehuwa memberitahu Yusuf melalui mimpi, “Herodes ingin membunuh Yesus. Bawalah keluargamu ke Mesir. Tinggal di sana sehingga Aku memberitahumu bahawa keadaan sudah selamat.” Maka, Yusuf sekeluarga segera bertolak ke Mesir.

Yehuwa menyuruh para ahli nujum untuk tidak berjumpa dengan Herodes. Apabila para ahli nujum tidak muncul-muncul, Herodes menjadi sangat marah. Dia tidak dapat mencari Yesus. Jadi, dia memerintahkan agar semua budak lelaki di Betlehem yang sebaya dengan Yesus dibunuh. Tetapi Yesus terselamat kerana dia berada di Mesir.

Selepas Herodes meninggal, Yehuwa memberitahu Yusuf, “Sekarang, sudah selamat bagi kamu untuk kembali.” Oleh itu, Yusuf, Maria, dan Yesus, kembali ke Israel dan tinggal di kota Nasaret.

“Firman yang keluar daripada mulut-Ku . . . pasti berjaya melakukan perkara yang Aku ingini.”​—Yesaya 55:11