Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 42

Yonatan ialah Lelaki yang Setia dan Berani

Yonatan ialah Lelaki yang Setia dan Berani

Yonatan, anak sulung Raja Saul, ialah pahlawan yang berani. Daud berkata bahawa Yonatan lebih pantas daripada helang dan lebih kuat daripada singa. Pada suatu hari, Yonatan melihat beberapa askar Filistin di sebuah bukit. Dia pun berkata kepada hamba yang membawa senjatanya, “Jika orang Filistin suruh kita naik, itulah tanda daripada Yehuwa. Kita harus serang mereka.” Selepas itu, orang Filistin menjerit, “Naiklah ke sini dan lawan dengan kami!” Mereka segera naik dan mengalahkan 20 askar itu.

Sebagai anak sulung Saul, Yonatanlah yang patut menjadi raja. Tetapi, dia tahu bahawa Yehuwa telah memilih Daud. Walaupun begitu, Yonatan tidak berasa iri hati. Daud dan Yonatan menjadi sahabat karib. Mereka juga berjanji untuk melindungi dan menjaga satu sama lain. Sebagai tanda persahabatan, Yonatan memberi Daud pakaiannya, pedangnya, busurnya, dan tali pinggangnya.

Semasa Daud melarikan diri daripada Saul, Yonatan mencari Daud dan berkata, “Kuatkanlah hatimu dan janganlah takut. Yehuwa telah memilih kamu sebagai raja, bahkan ayah saya juga sedar akan hal ini.” Inginkah adik mempunyai kawan yang baik seperti Yonatan?

Berkali-kali Yonatan membahayakan nyawanya untuk membantu Daud. Dia tahu bahawa ayahnya ingin membunuh Daud. Jadi dia memujuk ayahnya, “Ayah tidak patut berdosa terhadap Daud. Dia tidak buat salah terhadap ayah.” Tetapi, Saul sangat marah dengan Yonatan.

Beberapa tahun kemudian, Yonatan dan Saul terbunuh dalam peperangan. Jadi Daud mencari anak Yonatan yang bernama Mefiboset. Dia berkata, “Ayah kamu ialah kawan baik beta. Jadi, beta akan menjaga kamu. Kamu akan tinggal di istana dan makan di meja beta.” Daud tidak pernah melupakan sahabatnya Yonatan.

“Kamu harus saling mengasihi, sebagaimana aku sudah mengasihi kamu. Tidak ada kasih yang lebih besar daripada ini, iaitu kasih yang diperlihatkan oleh seseorang yang rela menyerahkan nyawanya demi sahabat-sahabatnya.”​—Yohanes 15:12, 13