Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 50

Yehuwa Membantu Yehosafat

Yehuwa Membantu Yehosafat

Raja Yehuda, iaitu Yehosafat, telah memusnahkan patung berhala dan mazbah Baal di Israel. Selain itu, dia juga menghantar para pegawainya dan orang Lewi ke seluruh Yehuda untuk mengajar orang tentang hukum-hukum Yehuwa.

Bangsa-bangsa lain takut akan Yehuda kerana mereka tahu bahawa Yehuwa menyertai umat-Nya. Mereka juga membawa hadiah untuk Raja Yehosafat. Tetapi, orang Moab, orang Ammon, dan orang dari kawasan Seir, ingin menyerang Yehuda. Yehosafat sedar bahawa dia memerlukan bantuan Yehuwa. Maka, dia menyuruh para lelaki, wanita, dan kanak-kanak, untuk berkumpul di Yerusalem. Di hadapan rakyat, Yehosafat berdoa, “Yehuwa, kami tidak dapat menang tanpa-Mu. Beritahulah apa yang harus kami lakukan.”

Kemudian, Yehuwa menjawab, “Janganlah takut. Aku akan bantumu. Ambillah tempat kamu masing-masing, berdirilah dengan tegak, dan lihatlah bagaimana Aku akan selamatkan kamu.” Bagaimanakah Yehuwa menyelamatkan mereka?

Pada keesokan paginya, Yehosafat memilih beberapa orang penyanyi dan mengarahkan mereka untuk berkawat di hadapan para askar. Mereka berkawat dari Yerusalem sampai ke Tekoa.

Semasa para penyanyi memuji Yehuwa dengan lagu, Yehuwa berperang demi umat-Nya. Dia mengelirukan tentera Ammon dan Moab sehingga mereka mula menyerang satu sama lain. Akhirnya, tiada seorang pun terselamat. Tetapi, orang Yehuda, termasuk para askar dan imam, telah dilindungi oleh Yehuwa. Apabila orang dari negeri-negeri lain mendengar tentang hal ini, mereka sedar bahawa Yehuwalah yang membantu umat-Nya. Bagaimanakah Yehuwa menyelamatkan umat-Nya? Dia dapat berbuat demikian melalui banyak cara, dan Dia tidak memerlukan bantuan daripada sesiapa pun.

“Kamu tidak perlu bertempur. Ambillah tempat kamu masing-masing, berdirilah dengan tegak, dan lihatlah bagaimana Yehuwa menyelamatkan kamu.”​—2 Tawarikh 20:17