BAB 14
‘Kami Memutuskan dengan Sebulat Suara’
Cara badan pimpinan mencapai suatu keputusan dan kesannya terhadap perpaduan sidang
Berdasarkan Kisah 15:13-35
1, 2. (a) Apakah persoalan penting yang perlu ditangani oleh badan pimpinan bagi sidang Kristian abad pertama? (b) Apakah yang membantu para saudara untuk membuat kesimpulan yang betul?
SUASANA amat tegang di sebuah bilik di Yerusalem. Para rasul dan para penatua memandang satu sama lain dan sedar bahawa saat yang penting sudah tiba. Isu sunat telah menimbulkan banyak persoalan penting. Adakah orang Kristian perlu mentaati Hukum Musa? Adakah terdapat perbezaan antara orang Kristian Yahudi dan bukan Yahudi?
2 Para saudara yang mengambil pimpinan telah mempertimbangkan banyak bukti. Mereka ingat akan nubuat Tuhan dan juga mendengar kesaksian peribadi yang menunjukkan adanya perkenan Yehuwa. Mereka telah meluahkan pendapat dan perasaan mereka mengenai isu itu. Semua bukti yang ada jelas menunjukkan bahawa kuasa suci Yehuwa sedang membimbing mereka. Adakah saudara-saudara ini akan mengikut bimbingan itu?
3. Apakah yang akan kita pelajari daripada Kisah bab 15?
3 Iman yang sejati dan keberanian diperlukan untuk menerima bimbingan kuasa suci Tuhan mengenai isu ini. Hal ini kerana mereka mungkin membuat para pemimpin agama Yahudi semakin membenci mereka. Mereka juga menghadapi tentangan daripada ahli sidang yang bertekad untuk membuat umat Tuhan mengikut semula Hukum Musa. Apakah yang akan dilakukan oleh badan pimpinan? Mari kita lihat. Semasa mengkaji kisah ini, kita akan melihat bagaimana para saudara itu menetapkan teladan yang diikuti oleh Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa hari ini. Kita juga perlu meniru teladan mereka semasa membuat keputusan dan menghadapi cabaran dalam kehidupan Kristian kita.
Kis. 15:13-21)
‘Sesuai dengan Ajaran Para Nabi’ (4, 5. Semasa perbincangan itu, kata-kata nubuat manakah yang dipetik oleh Yakobus?
4 Yakobus, yang merupakan adik tiri Yesus, mula bercakap. a Barangkali, dia ialah pengerusi mesyuarat tersebut. Nampaknya, kata-katanya menyimpulkan apa yang telah disetujui oleh badan pimpinan. Yakobus berkata kepada saudara-saudara itu, “Simeon telah menghuraikan bagaimana Tuhan mula memperhatikan bangsa-bangsa lain untuk memilih orang daripada kalangan mereka supaya menjadi umat yang menyandang nama-Nya. Hal ini sesuai dengan apa yang tertulis dalam Ajaran Para Nabi.”—Kis. 15:14, 15.
5 Yakobus telah mendengar ucapan Simeon, atau Simon Petrus, dan bukti yang dikemukakan oleh Barnabas dan Paulus. Hal ini mungkin mengingatkannya tentang Ayat-Ayat Suci yang membantu para saudara memahami bimbingan Yehuwa. (Yoh. 14:26) Selepas Yakobus berkata “sesuai dengan apa yang tertulis dalam Ajaran Para Nabi,” dia memetik kata-kata di Amos 9:11, 12. Buku Amos tergolong dalam bahagian Kitab Ibrani yang dipanggil “Ajaran Para Nabi.” (Mat. 22:40; Kis. 15:16-18) Terdapat perbezaan dalam ayat yang dipetik Yakobus dengan apa yang tercatat di buku Amos hari ini. Kemungkinan besar, Yakobus memetik daripada Septuagint, iaitu terjemahan Yunani bagi Kitab Ibrani.
6. Bagaimanakah Ayat-Ayat Suci memberikan penjelasan lanjut tentang isu itu?
6 Menerusi Nabi Amos, Yehuwa menubuatkan bahawa akan tiba masanya Dia mendirikan semula “rumah Daud.” Maksudnya, Yehuwa akan memberikan kuasa pemerintahan kepada keturunan Daud dan menubuhkan Kerajaan Mesias. (Yeh. 21:26, 27) Adakah Yehuwa sekali lagi memberikan layanan yang istimewa kepada orang Yahudi sebagai suatu bangsa? Tidak. Nubuat itu selanjutnya menyatakan bahawa “orang dari segala bangsa” akan disatukan menjadi ‘orang yang menyandang nama Tuhan.’ Ingatlah, Petrus baru sahaja memberikan kesaksian bahawa Tuhan “langsung tidak membeza-bezakan kita [orang Kristian Yahudi] dengan mereka [orang Kristian bukan Yahudi]. Sebaliknya, Dia telah memurnikan hati mereka kerana mereka beriman.” (Kis. 15:9) Maksudnya, kehendak Tuhan adalah agar orang Yahudi dan bukan Yahudi mewarisi Kerajaan-Nya. (Rm. 8:17; Ef. 2:17-19) Nubuat Bible tidak pernah menyatakan bahawa orang Kristian bukan Yahudi harus disunat secara fizikal terlebih dahulu atau menjadi pemeluk agama Yahudi sebelum dapat mewarisi Kerajaan Tuhan.
7, 8. (a) Apakah cadangan Yakobus? (b) Adakah Yakobus berkeras dengan pandangannya? Jelaskan.
7 Setelah melihat bukti daripada Ayat-Ayat Suci dan mendengar kesaksian yang meyakinkan, Yakobus memberikan cadangan berikut: “Oleh yang demikian, menurut pandanganku, janganlah kita menyusahkan orang daripada bangsa lain yang berpaling kepada Tuhan. Sebaliknya, kita perlu menulis surat untuk memberitahu mereka supaya menjauhi apa sahaja yang dicemari oleh berhala, menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral, menjauhi daging binatang yang mati dicekik, dan menjauhi darah. Sejak dahulu lagi, apa yang ditulis oleh Musa telah disebarkan dari kota ke kota, kerana kitabnya dibacakan di dalam rumah ibadat setiap hari Sabat.”—Kis. 15:19-21.
8 Adakah Yakobus melampaui batas kekuasaannya, barangkali sebagai pengerusi mesyuarat itu, untuk membuat keputusan sewenang-wenangnya? Sama sekali tidak! Semasa Yakobus berkata “menurut pandanganku,” dia menunjukkan bahawa dia bukannya ingin menguasai seluruh badan pimpinan. Sebaliknya, dia hanya memberikan cadangan supaya mereka mempertimbangkan apa yang dapat dilakukan berdasarkan bukti-bukti yang didengar dan apa yang dikatakan Ayat-Ayat Suci tentang isu itu.
9. Apakah manfaat yang diraih daripada cadangan Yakobus?
9 Adakah cadangan Yakobus baik? Ya, kerana cadangannya telah diterapkan oleh para rasul dan para penatua. Apakah manfaatnya? Cadangan itu tidak “menyusahkan” orang Kristian bukan Yahudi kerana mereka tidak dipaksa mentaati Hukum Musa. (Kis. 15:19) Selain itu, keputusan itu menunjukkan hormat kepada hati nurani orang Kristian Yahudi, yang selama bertahun-tahun mendengar ‘kitab Musa dibacakan di dalam rumah ibadat setiap hari Sabat.’ b (Kis. 15:21) Cadangan itu sememangnya akan menguatkan hubungan antara orang Kristian Yahudi dan bukan Yahudi. Yang terpenting, hal itu menyenangkan hati Tuhan Yehuwa dan selaras dengan tujuan-Nya. Bukankah ini cara yang sangat baik untuk menangani masalah yang mengancam perpaduan dan kesejahteraan sidang Tuhan? Sememangnya, satu contoh yang patut diteladani oleh sidang Kristian hari ini!
10. Bagaimanakah Badan Pimpinan hari ini meniru teladan badan pimpinan abad pertama?
10 Seperti yang dinyatakan dalam bab sebelumnya, Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa hari ini meniru badan pimpinan abad pertama. Mereka juga mendapatkan bimbingan daripada Yehuwa, Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat, dan Yesus Kristus, Kepala sidang, semasa menangani semua perkara. c (1 Kor. 11:3) Bagaimana? Albert D. Schroeder, yang berkhidmat sebagai Badan Pimpinan sejak tahun 1974 sehingga akhir hayatnya di bumi pada Mac 2006, menjelaskan, “Badan Pimpinan akan mengadakan mesyuarat pada hari Rabu. Sebelum bermula, kami akan berdoa untuk meminta bimbingan daripada kuasa suci Yehuwa. Kami berusaha keras untuk menggunakan Firman Tuhan, iaitu Bible, semasa menangani semua hal dan membuat setiap keputusan.” Milton G. Henschel, yang sudah lama berkhidmat sebagai Badan Pimpinan dan setia sepanjang hayatnya di bumi sehingga Mac 2003, mengajukan soalan yang penting kepada para lulusan Sekolah Latihan Gilead, kelas yang ke-101. Dia bertanya, “Adakah mana-mana pemimpin dalam organisasi lain di bumi yang mendapatkan bimbingan daripada Firman Tuhan, iaitu Bible, sebelum membuat keputusan yang penting?” Jawapannya sangat jelas.
‘Memilih Dua Orang untuk Diutus’ (Kis. 15:22-29)
11. Bagaimanakah keputusan badan pimpinan disampaikan kepada sidang-sidang?
11 Badan pimpinan di Yerusalem telah membuat keputusan sebulat suara berkenaan isu sunat. Namun, untuk membantu ahli sidang bertindak dengan bersatu padu, keputusan itu perlu disampaikan kepada mereka dalam cara yang jelas, positif, dan menggalakkan. Apakah cara terbaik untuk melakukannya? Bible menjelaskan, “Para rasul dan penatua serta seluruh sidang membuat keputusan untuk memilih dua orang antara mereka dan mengutus mereka ke Antiokhia bersama Paulus dan Barnabas. Oleh itu, Yudas yang dipanggil Barsabas, dan Silas telah dipilih. Merekalah yang mengambil pimpinan dalam kalangan saudara-saudara.” Selain itu, sepucuk surat disediakan dan diberikan kepada para saudara itu untuk dibacakan kepada semua sidang di Antiokhia, Siria, dan Kilikia.—Kis. 15:22-26.
12, 13. Apakah hasil yang diraih kerana (a) mengutus Yudas dan Silas? (b) mengirim sepucuk surat daripada badan pimpinan?
12 Sebagai orang yang “mengambil pimpinan dalam kalangan saudara-saudara,” Yudas dan Silas memang layak mewakili badan pimpinan. Kedatangan empat wakil itu menunjukkan bahawa mesej yang dibawa oleh mereka bukan sekadar menjawab isu sunat, sebaliknya mengandungi arahan baharu daripada badan pimpinan. Kehadiran ‘dua orang yang dipilih’ ini juga akan mengukuhkan hubungan antara badan pimpinan dan orang Kristian Yahudi di Yerusalem dengan orang Kristian bukan Yahudi di sidang-sidang. Bukankah ini aturan yang pengasih dan bijak? Sememangnya, aturan ini akan membawa kedamaian dan perpaduan dalam kalangan umat Tuhan!
13 Surat itu memberikan arahan yang jelas bagi orang Kristian bukan Yahudi. Arahannya bukan sahaja berkenaan isu sunat, tetapi juga apa yang mereka harus lakukan untuk menerima perkenan dan berkat Yehuwa. Bahagian utama surat itu menyatakan, “Kuasa suci Tuhan dan kami berpendapat bahawa saudara-saudara tidak perlu dibebani dengan hal-hal lain kecuali yang mustahak sahaja, iaitu menjauhi apa sahaja yang dipersembahkan kepada berhala, menjauhi darah, menjauhi daging binatang yang mati dicekik, dan menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral. Jika saudara sekalian sentiasa berwaspada dan menjauhkan diri daripada hal-hal ini, saudara-saudara akan sejahtera. Semoga saudara sekalian sihat selalu!”—Kis. 15:28, 29.
14. Bagaimanakah umat Yehuwa dapat bersatu padu dalam dunia yang berpecah belah hari ini?
14 Hari ini, walaupun Saksi-Saksi Yehuwa berjumlah lebih daripada 8,000,000 orang di lebih daripada 100,000 sidang, mereka bersatu padu dan mempunyai kepercayaan yang sama. Bagaimanakah perpaduan ini dapat dicapai sedangkan pergolakan dan perpecahan yang berlaku di dunia ini begitu meluas? Sumber utama perpaduan kita adalah kerana Yesus Kristus, Kepala sidang kita, memberikan arahan yang jelas dan tepat pada masanya. Dia menyampaikan arahan itu melalui “hamba yang setia dan bijaksana,” iaitu Badan Pimpinan. (Mat. 24:45-47) Selain itu, perpaduan kita terhasil kerana saudara saudari di serata dunia rela bekerjasama untuk mentaati arahan Badan Pimpinan.
‘Mereka Digalakkan dan Bersukacita’ (Kis. 15:30-35)
15, 16. Apakah reaksi ahli sidang terhadap arahan daripada badan pimpinan, dan apakah kunci yang menyumbang kepada hal itu?
15 Catatan di Kisah selanjutnya memberitahu kita bahawa apabila wakil-wakil dari Yerusalem tiba di Antiokhia, “mereka mengumpulkan semua murid Yesus di situ dan menyerahkan surat tersebut kepada mereka.” Apakah reaksi ahli sidang terhadap arahan daripada badan pimpinan? “Setelah membaca surat yang menggalakkan itu, mereka bersukacita.” (Kis. 15:30, 31) Tambahan lagi, Yudas dan Silas “mengucapkan banyak kata-kata yang menggalakkan untuk meneguhkan saudara-saudara di situ.” Mereka berdua juga dipanggil “nabi” kerana seperti Barnabas, Paulus, dan sesetengah orang, mereka menyampaikan kehendak Tuhan.—Kis. 13:1; 15:32; Kel. 7:1, 2.
16 Yehuwa memang memberkati seluruh aturan itu kerana isu ini telah diselesaikan dengan baik. Apakah kunci utama yang menyumbang kepada hasil ini? Sudah pasti kerana adanya arahan yang jelas yang diberikan tepat pada masanya daripada badan pimpinan. Arahan mereka berdasarkan Firman Tuhan dan bimbingan kuasa suci Tuhan. Selain itu, hasil ini dapat diraih kerana badan pimpinan dengan penuh kasih mengutus para saudara untuk menyampaikan keputusan itu.
17. Bagaimanakah aturan penyelia litar hari ini serupa dengan aturan pada abad pertama?
17 Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa hari ini juga mengikut aturan yang ditetapkan pada abad pertama, iaitu dengan memberikan arahan yang tepat pada masanya kepada saudara saudari di serata dunia. Setelah keputusan dibuat, mereka akan menyampaikannya kepada sidang dengan jelas dan terus terang. Satu cara adalah melalui kunjungan penyelia litar. Para saudara yang rela berkorban ini melawat dari satu sidang ke sidang yang lain untuk menyampaikan arahan yang jelas dan memberikan galakan. Seperti Paulus dan Barnabas, mereka menghabiskan banyak masa dalam kerja menginjil. Mereka ‘mengajar dan mengumumkan berita baik tentang firman Yehuwa bersama-sama banyak orang lain.’ (Kis. 15:35) Seperti Yudas dan Silas, mereka juga “mengucapkan banyak kata-kata yang menggalakkan” untuk meneguhkan saudara saudari.
18. Bagaimanakah umat Tuhan dapat memastikan mereka terus menerima berkat Yehuwa?
18 Bagaimana pula dengan sidang-sidang? Apakah yang akan membolehkan sidang di seluruh dunia terus menikmati kedamaian dan perpaduan dalam dunia yang berpecah belah? Ingatlah apa yang ditulis oleh Yakobus pada kemudian hari: “Kebijaksanaan yang datang dari syurga pertama-tamanya murni, lalu suka akan kedamaian, munasabah, sedia mematuhi . . . Lagipun, buah kebaikan ditanam dalam suasana yang damai untuk orang yang berusaha mewujudkan kedamaian.” (Yak. 3:17, 18) Kita tidak pasti sama ada Yakobus sedang merujuk kepada mesyuarat di Yerusalem atau tidak. Tetapi, setelah mengkaji Kisah bab 15, kita yakin bahawa berkat Yehuwa hanya dapat diperoleh jika adanya perpaduan dan kerjasama.
19, 20. (a) Apakah bukti yang menunjukkan bahawa kedamaian dan perpaduan wujud dalam sidang Antiokhia? (b) Apakah yang dapat dilakukan oleh Paulus dan Barnabas selepas itu?
19 Perpaduan dan kedamaian yang wujud dalam sidang Antiokhia kini jelas kelihatan. Daripada mempersoalkan keputusan para saudara dari Yerusalem, rakan seiman di Antiokhia menghargai kunjungan Yudas dan Silas. Bible berkata, “Setelah mereka berdua menghabiskan beberapa waktu di sana, saudara-saudara di Antiokhia mengucapkan selamat jalan, lalu mereka kembali kepada orang yang mengutus mereka,” iaitu ke Yerusalem. d (Kis. 15:33) Kita dapat yakin bahawa para saudara di Yerusalem juga bersukacita selepas mendengar laporan yang dibawa oleh dua utusan itu. Sememangnya, mereka berjaya menyelesaikan tugasan mereka kerana kebaikan hati Yehuwa yang unggul!
20 Paulus dan Barnabas, yang tetap tinggal di Antiokhia, kini dapat bertumpu untuk memimpin kerja penyebaran, sama seperti yang dilakukan oleh penyelia litar hari ini semasa mereka mengunjungi sidang-sidang. (Kis. 13:2, 3) Sememangnya, ini berkat bagi umat Yehuwa! Namun, bagaimanakah Yehuwa terus menggunakan dan memberkati dua penginjil yang bersemangat ini? Kita akan melihat hal itu dalam bab seterusnya.
a Lihat kotak “ Yakobus—‘Adik Tuan Kita.’”
b Yakobus dengan bijak merujuk kepada tulisan Musa yang bukan sahaja mengandungi Hukum, tetapi juga kisah-kisah yang menunjukkan kehendak Tuhan sebelum adanya Hukum. Misalnya, pandangan Tuhan tentang darah, perzinaan, dan berhala jelas dinyatakan dalam buku Kejadian. (Kej. 9:3, 4; 20:2-9; 35:2, 4) Dengan itu, Yehuwa menunjukkan prinsip-prinsip yang harus dipatuhi oleh semua orang, tidak kira orang Yahudi atau bukan Yahudi.
c Lihat kotak “ Cara Badan Pimpinan Diorganisasikan Hari Ini.”
d Dalam ayat 34, sesetengah terjemahan Bible memasukkan ayat yang menunjukkan Silas memilih untuk tetap tinggal di Antiokhia. (Alkitab Berita Baik) Namun, nampaknya ayat itu telah ditambahkan dalam sesetengah naskhah kuno pada kemudian hari.