Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 13

‘Berlakulah Perbalahan yang Agak Besar’

‘Berlakulah Perbalahan yang Agak Besar’

Isu sunat dibawa kepada badan pimpinan

Berdasarkan Kisah 15:1-12

1-3. (a) Apakah perkembangan yang mengancam perpaduan sidang Kristian masa awal? (b) Apakah manfaat yang kita peroleh dengan mengkaji peristiwa ini yang tercatat dalam buku Kisah?

 PAULUS dan Barnabas baru kembali ke Antiokhia di Siria selepas perjalanan mubaligh mereka yang pertama. Mereka sangat teruja kerana Yehuwa telah “membuka jalan supaya orang daripada bangsa lain pun dapat beriman kepada Yesus.” (Kis. 14:26, 27) Sememangnya, berita baik sedang tersebar luas di Antiokhia, dan “banyak” orang bukan Yahudi telah menyertai sidang Kristian di sana.​—Kis. 11:20-26.

2 Berita tentang perkembangan ini sampai ke Yudea dengan cepat. Namun, hal ini tidak membawa sukacita kepada sesetengah orang, sebaliknya menyebabkan isu sunat menjadi lebih hangat. Bagaimanakah sepatutnya hubungan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi? Apakah seharusnya pandangan orang bukan Yahudi terhadap Hukum Musa? Isu sunat telah menjadi begitu serius sehingga dapat mengakibatkan perpecahan dalam sidang Kristian. Bagaimanakah masalah ini akan ditangani?

3 Semasa kita mengkaji peristiwa ini dalam buku Kisah, kita akan mendapat banyak pengajaran yang bernilai. Hal ini akan membantu kita untuk bertindak dengan bijak jika terdapat isu yang mengancam perpaduan pada zaman kita.

“Selagi Kamu Tidak Disunat” (Kis. 15:1)

4. Apakah pandangan salah yang disebarkan oleh sesetengah orang Kristian? Apakah soalan yang timbul?

4 Lukas menulis, “Beberapa orang yang datang dari Yudea mula mengajar saudara-saudara di Antiokhia. Mereka berkata, ‘Kamu tidak dapat diselamatkan selagi kamu tidak disunat mengikut Hukum Musa.’” (Kis. 15:1) Kita tidak pasti sama ada ‘orang dari Yudea’ ini dahulunya merupakan orang Farisi atau tidak. Namun, nampaknya mereka telah dipengaruhi dengan pemikiran fanatik golongan Farisi. Bukan itu sahaja, mereka kononnya mendakwa bahawa mereka bercakap bagi pihak para rasul dan para penatua di Yerusalem. (Kis. 15:23, 24) Sebenarnya, kira-kira 13 tahun sudah berlalu sejak Petrus, yang dibimbing oleh Tuhan, menyambut orang bukan Yahudi yang tidak bersunat ke dalam sidang Kristian. Jadi, mengapakah orang Kristian Yahudi itu masih mendesak orang untuk disunat? a​—Kis. 10:24-29, 44-48.

5, 6. (a) Mengapakah sesetengah orang Kristian Yahudi masih berpaut pada amalan sunat? (b) Adakah perjanjian sunat sebahagian daripada perjanjian Abraham? Jelaskan. (Lihat nota kaki.)

5 Terdapat beberapa sebab. Salah satunya, perjanjian sunat telah diasaskan oleh Yehuwa sendiri, dan itu merupakan tanda hubungan istimewa dengan-Nya. Perintah bersunat dimulakan dengan Abraham dan rumah tangganya. b Kemudian, perintah itu menjadi sebahagian daripada perjanjian Hukum Musa. (Im. 12:2, 3) Di bawah Hukum Musa, bahkan orang asing harus disunat supaya mereka dapat menikmati peluang tertentu, seperti makan jamuan Paska. (Kel. 12:43, 44, 48, 49) Ya, bagi orang Yahudi, orang yang tidak bersunat dianggap sebagai najis dan tidak suci.​—Yes. 52:1.

6 Maka, orang Kristian Yahudi memerlukan iman dan kerendahan hati untuk membuat perubahan berdasarkan kebenaran yang telah disingkapkan. Perjanjian Hukum Musa telah digantikan dengan perjanjian baharu. Oleh itu, mereka yang dilahirkan sebagai orang Yahudi tidak lagi menjadi sebahagian daripada umat Tuhan secara automatik. Tidak kira di Yudea atau dalam komuniti Yahudi yang lain, orang Kristian Yahudi memerlukan keberanian untuk mengakui Kristus dan menerima orang bukan Yahudi yang tidak bersunat.​—Yer. 31:31-33; Luk. 22:20.

7. Apakah kebenaran-kebenaran yang gagal difahami oleh ‘orang dari Yudea’ itu?

7 Sudah tentu, piawaian Tuhan tidak berubah. Kita dapat lihat buktinya kerana perjanjian baharu mencerminkan prinsip yang tersirat dalam Hukum Musa. (Mat. 22:36-40) Mengenai sunat, Paulus kemudiannya menulis, “Orang Yahudi yang sebenar ialah orang yang berjiwa Yahudi, dan sunat yang diterimanya ialah sunat di hati, yang dibimbing oleh kuasa suci Tuhan dan bukannya berdasarkan hukum bertulis.” (Rm. 2:29; Ul. 10:16) Ya, ‘orang dari Yudea’ itu tidak memahami kebenaran ini. Sebaliknya, mereka berkeras dengan pendapat sendiri bahawa Tuhan tidak pernah membatalkan hukum sunat. Adakah mereka akan sudi mendengar penjelasan baharu?

“Perbalahan dan Pertikaian” (Kis. 15:2)

8. Mengapakah isu sunat dibawa kepada badan pimpinan di Yerusalem?

8 Lukas menulis lagi, “Berlakulah perbalahan dan pertikaian yang agak besar antara Paulus dan Barnabas dengan mereka [orang yang “datang dari Yudea” itu]. Selepas itu, saudara-saudara mengaturkan agar Paulus, Barnabas, dan beberapa orang daripada kalangan mereka, berjumpa dengan para rasul dan penatua di Yerusalem mengenai pertikaian itu.” c (Kis. 15:2) Ungkapan “perbalahan dan pertikaian” menunjukkan bahawa kedua-dua pihak berkeras dengan pendapat masing-masing, dan sidang di Antiokhia tidak dapat menyelesaikan isu tersebut. Maka, demi keamanan dan perpaduan sidang, mereka telah mengaturkan agar isu itu dibawa kepada badan pimpinan yang terdiri daripada “para rasul dan penatua di Yerusalem.” Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan penatua di Antiokhia?

Sesetengah orang berkeras dengan berkata, ‘Orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus diwajibkan mematuhi Hukum Musa’

9, 10. Bagaimanakah para saudara di Antiokhia serta Paulus dan Barnabas menetapkan teladan yang baik bagi kita hari ini?

9 Salah satu pengajaran berharga yang kita peroleh ialah kita perlu mempercayai organisasi Tuhan. Fikirkan: Para saudara di Antiokhia tahu bahawa semua ahli badan pimpinan terdiri daripada orang Kristian berbangsa Yahudi. Namun, mereka percaya bahawa badan pimpinan akan menyelesaikan isu sunat selaras dengan Ayat-Ayat Suci. Mengapa? Sidang yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa memberikan bimbingan menerusi kuasa suci-Nya dan melalui Kepala sidang Kristian, iaitu Yesus Kristus. (Mat. 28:18, 20; Ef. 1:22, 23) Hari ini, apabila timbulnya isu yang serius, marilah kita meniru teladan baik orang Kristian di Antiokhia dengan mempercayai organisasi Tuhan dan Badan Pimpinan yang terdiri daripada orang Kristian terurap.

10 Kita juga diingatkan tentang pentingnya sikap kerendahan hati dan kesabaran. Bayangkan, Paulus dan Barnabas telah dilantik oleh kuasa suci Tuhan untuk pergi kepada bangsa-bangsa. Namun, mereka tidak menggunakan kuasa mereka untuk menyelesaikan isu sunat pada masa itu juga. (Kis. 13:2, 3) Tambahan lagi, Paulus kemudiannya menulis, “Aku kembali ke situ [Yerusalem] kerana Tuan menyingkapkan bahawa aku harus berbuat demikian.” Hal ini menunjukkan dia mendapat bimbingan Tuhan. (Gal. 2:2) Hari ini, para penatua juga berusaha untuk menunjukkan kerendahan hati dan kesabaran semasa timbulnya isu yang boleh menyebabkan perpecahan. Daripada bertengkar antara sesama sendiri, mereka akan bergantung pada Yehuwa dengan merujuk kepada Bible serta arahan dan bimbingan daripada hamba yang setia.​—Flp. 2:2, 3.

11, 12. Mengapakah penting untuk menantikan Yehuwa?

11 Ada kalanya, kita mungkin perlu menantikan sehingga Yehuwa menyingkapkan sesetengah hal. Ingatlah, Kornelius diurapi kuasa suci Tuhan pada 36 M. Namun, orang Kristian pada zaman Paulus perlu menunggu sehingga sekitar 49 M sebelum Yehuwa menunjukkan dengan jelas bahawa orang bukan Yahudi tidak perlu disunat. Mengapakah isu ini mengambil masa kira-kira 13 tahun untuk diselesaikan? Mungkin Tuhan mahu memberikan masa yang secukupnya kepada orang Yahudi yang tulus untuk membuat perubahan yang begitu besar. Lagipun, perjanjian sunat yang dibuat dengan Abraham, yang mereka hormati dan kasihi, sudah berlangsung selama 1,900 tahun. Maka, untuk menamatkan perjanjian itu bukanlah hal yang kecil!​—Yoh. 16:12.

12 Betapa bersyukurnya kita kerana dapat diajar dan dibentuk oleh Bapa kita yang pengasih dan sabar! Semua yang dilakukan-Nya adalah demi kebaikan dan manfaat kita. (Yes. 48:17, 18; 64:8) Maka, janganlah kita berkeras dengan pendapat sendiri atau bersikap negatif semasa terdapat perubahan dalam organisasi Tuhan atau semasa pemahaman Bible dikemaskinikan. (Pkh. 7:8) Jika anda mendapati anda ada kecenderungan sebegitu, berdoalah dan renungkanlah prinsip yang terdapat dalam Kisah bab 15. d

13. Bagaimanakah kita dapat meniru kesabaran Yehuwa dalam kerja penyebaran?

13 Pelajar Bible kita mungkin berasa sangat susah untuk meninggalkan sesetengah kepercayaan atau adat yang tidak berdasarkan Bible. Dalam keadaan sebegitu, kita perlu bersabar dan memberikan masa yang mencukupi agar kuasa suci Tuhan bekerja dalam diri pelajar Bible kita. (1 Kor. 3:6, 7) Selain itu, kita perlu berdoa tentang hal itu. Pada masa yang sesuai, Yehuwa akan menunjukkan kepada kita cara yang terbaik untuk membantu mereka.​—1 Yoh. 5:14.

Mereka Menceritakan Pengalaman Menggalakkan “Secara Terperinci” (Kis. 15:3-5)

14, 15. Bagaimanakah sidang di Antiokhia menunjukkan hormat kepada Paulus, Barnabas, dan utusan lain? Bagaimanakah kehadiran rombongan itu menjadi berkat bagi rakan seiman yang lain?

14 Kemudian, Lukas menulis lagi, “Setelah mereka ditemani oleh ahli-ahli sidang untuk sebahagian perjalanan, mereka meneruskan perjalanan melalui Fenisia dan Samaria. Di sana, mereka menceritakan secara terperinci bagaimana orang daripada bangsa-bangsa lain telah berpaling kepada Tuhan. Oleh itu, semua saudara di situ sangat bersukacita.” (Kis. 15:3) Ahli sidang menunjukkan kasih dan hormat kepada Paulus, Barnabas, dan utusan lain dengan menemani mereka untuk sebahagian perjalanan. Tindakan mereka menunjukkan bahawa sidang berharap Tuhan akan memberkati rombongan itu. Bukankah saudara-saudara di Antiokhia menetapkan teladan yang sangat baik untuk kita? Adakah anda juga menunjukkan hormat kepada rakan seiman “terutamanya mereka [penatua] yang bekerja keras untuk mengajar dan menyampaikan firman Tuhan”?​—1 Tim. 5:17.

15 Semasa dalam perjalanan, rombongan itu menjadi berkat kepada rakan seiman di Fenisia dan Samaria. Mereka telah mengongsi “secara terperinci” hasil yang diraih dalam kawasan penyebaran orang bukan Yahudi. Pendengar mereka mungkin merangkumi orang Kristian Yahudi yang telah melarikan diri ke kawasan itu selepas Stefanus dibunuh. Hari ini, laporan tentang berkat Yehuwa dalam kerja penyebaran juga telah menjadi sumber galakan kepada rakan seiman kita, terutamanya mereka yang menghadapi cabaran. Anda dapat mendengar laporan sebegitu semasa perjumpaan Kristian, perhimpunan, dan konvensyen. Anda juga boleh membaca pengalaman dan kisah hidup yang diterbitkan dalam bahan bacaan kita secara bercetak atau di jw.org. Adakah anda memanfaatkan semua ini dengan sepenuhnya?

16. Apakah yang menunjukkan bahawa sunat telah menjadi isu yang besar?

16 Selepas mengadakan perjalanan kira-kira 550 km ke arah selatan, rombongan dari Antiokhia itu akhirnya tiba di destinasi. Lukas menulis, “Apabila mereka tiba di Yerusalem, ahli-ahli sidang dan para rasul serta para penatua menyambut mereka dengan ramah, lalu mereka menceritakan perkara-perkara yang dilakukan oleh Tuhan melalui mereka.” (Kis. 15:4) Namun, “beberapa orang daripada golongan Farisi yang sudah menjadi murid Yesus berdiri dan berkata, ‘Orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus perlu disunat dan diwajibkan mematuhi Hukum Musa.’” (Kis. 15:5) Jelaslah, isu sama ada orang Kristian bukan Yahudi perlu disunat atau tidak telah menjadi masalah besar dan harus diselesaikan.

“Para Rasul dan Para Penatua Berkumpul” (Kis. 15:6-12)

17. Badan pimpinan di Yerusalem terdiri daripada siapa, dan mengapakah “para penatua” juga terlibat?

17 Amsal 13:10 berkata, “Kebijaksanaan milik orang yang meminta nasihat.” Selaras dengan prinsip itu, “para rasul dan para penatua berkumpul untuk membincangkan [isu sunat].” (Kis. 15:6) Seperti peranan Badan Pimpinan hari ini, “para rasul dan para penatua” membuat keputusan bagi seluruh sidang Kristian pada masa itu. Mengapakah “para penatua” juga berkhidmat bersama para rasul? Ingatlah, Rasul Yakobus telah dibunuh dan Rasul Petrus telah dipenjarakan untuk suatu jangka waktu. Mungkinkah hal yang sama menimpa rasul yang lain? Jika hal itu terjadi, sidang dapat terus dijaga dengan adanya saudara terurap lain yang layak menyelia.

18, 19. Apakah yang dikatakan Petrus secara terus terang? Apakah kesimpulan yang sepatutnya dicapai oleh pendengarnya?

18 Lukas menyambung, “Setelah lama berbincang, Petrus berdiri dan berkata, ‘Saudara-saudara, kamu semua tahu bahawa sebelum ini, Tuhan telah memilih aku daripada kalangan kamu supaya melalui aku, orang daripada bangsa-bangsa lain dapat mendengar ajaran tentang berita baik lalu percaya. Tuhan yang mengetahui isi hati sudah membuktikan bahawa Dia berkenan kepada mereka dengan mengurniai mereka kuasa suci-Nya sebagaimana Dia memberikannya kepada kita. Dia langsung tidak membeza-bezakan kita dengan mereka. Sebaliknya, Dia telah memurnikan hati mereka kerana mereka beriman.’” (Kis. 15:7-9) Menurut sebuah rujukan, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “berbincang” di ayat 7 juga bermaksud “mencari” atau “menanyakan soalan.” Nampaknya, para saudara mempunyai pandangan yang berbeza dan mereka meluahkannya secara terbuka.

19 Kata-kata Petrus yang terus terang mengingatkan semua orang bahawa dia sendiri hadir semasa Kornelius dan keluarganya, iaitu orang bukan Yahudi yang tidak bersunat, mula diurapi kuasa suci Tuhan pada tahun 36 M. Maka, jika Yehuwa tidak membezakan orang Yahudi dan orang bukan Yahudi, apakah hak manusia untuk menentang kehendak-Nya? Tambahan lagi, iman kepada Kristuslah yang memurnikan hati seseorang, dan bukannya kepatuhan kepada Hukum Musa.​—Gal. 2:16.

20. Bagaimanakah orang yang berpaut pada amalan sunat sedang “menguji Tuhan”?

20 Berdasarkan bukti firman Tuhan dan kuasa suci-Nya yang tidak dapat disangkal, Petrus menyimpulkan, “Jadi, mengapakah kamu menguji Tuhan dengan mewajibkan murid-murid ini memikul beban berat, padahal kita sendiri dan nenek moyang kita pun tidak mampu memikulnya? Kita percaya bahawa kita diselamatkan kerana kebaikan hati Tuan Yesus yang unggul. Mereka juga percaya akan hal yang sama.” (Kis. 15:10, 11) Orang yang berpaut pada amalan sunat sebenarnya sedang “menguji Tuhan,” atau sedang menguji kesabaran-Nya. Mereka cuba memaksa orang bukan Yahudi mematuhi Hukum Musa. Namun, mereka sendiri tidak dapat mematuhi Hukum itu dengan sepenuhnya dan patut dihukum mati. (Gal. 3:10) Bukankah pendengar Petrus yang berbangsa Yahudi seharusnya bersyukur kerana Tuhan menunjukkan kebaikan hati yang unggul melalui Yesus?

21. Apakah yang dikongsikan oleh Barnabas dan Paulus semasa perbincangan itu?

21 Nampaknya, kata-kata Petrus membawa kesan yang mendalam kerana “semua orang di situ terdiam.” Kemudian, Barnabas dan Paulus menceritakan “segala mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Tuhan melalui mereka dalam kalangan bangsa-bangsa lain.” (Kis. 15:12) Sekarang, para rasul dan para penatua dapat menilai semua bukti dan membuat keputusan yang mencerminkan kehendak Tuhan mengenai isu sunat.

22-24. (a) Bagaimanakah Badan Pimpinan hari ini meniru teladan badan pimpinan abad pertama? (b) Bagaimanakah semua penatua dapat menunjukkan hormat kepada aturan teokratik?

22 Hari ini, apabila Badan Pimpinan mengadakan mesyuarat, mereka juga mencari bimbingan daripada Firman Tuhan dan berdoa dengan bersungguh-sungguh memohon kuasa suci-Nya. (Mzm. 119:105; Mat. 7:7-11) Oleh itu, setiap ahli Badan Pimpinan menerima agenda mesyuarat terlebih dahulu supaya mereka dapat berdoa dan memikirkannya. (Ams. 15:28) Semasa mesyuarat, saudara-saudara terurap ini meluahkan pandangan secara terbuka dan hormat. Mereka juga kerap menggunakan Bible semasa perbincangan.

23 Penatua sidang harus meniru teladan mereka. Selain itu, jika suatu isu tidak dapat diselesaikan semasa mesyuarat penatua, badan penatua boleh merujuk hal itu kepada pejabat cawangan tempatan atau wakilnya, seperti penyelia litar. Jika perlu, pejabat cawangan pula akan menulis kepada Badan Pimpinan.

24 Ya, Yehuwa memberkati semua orang yang menghormati aturan teokratik dan yang menunjukkan kerendahan hati, kesetiaan, dan kesabaran. Seperti yang kita akan lihat dalam bab seterusnya, Tuhan akan memberkati kita dengan kedamaian sejati, kemakmuran rohani, dan perpaduan Kristian.

a Lihat kotak “ Ajaran ‘Saudara-Saudara Palsu.’”

b Perjanjian sunat bukan sebahagian daripada perjanjian Abraham yang masih kekal sampai hari ini. Perjanjian Abraham mula berkuat kuasa pada 1943 SM apabila Abraham, dahulunya Abram, menyeberangi Sungai Efrat semasa dalam perjalanan ke Kanaan. Pada masa itu, dia berumur 75 tahun. Perjanjian sunat pula diasaskan pada 1919 SM, apabila Abraham berumur 99 tahun.​—Kej. 12:1-8; 17:1, 9-14; Gal. 3:17.

c Nampaknya Titus, seorang Kristian berbangsa Yunani, merupakan salah seorang wakil yang dihantar oleh para penatua ke Yerusalem. Pada kemudian hari, dia telah menemani Paulus dan menjadi utusannya. (Gal. 2:1; Tit. 1:4) Lelaki ini merupakan contoh yang jelas menunjukkan bahawa orang bukan Yahudi yang tidak bersunat juga dapat diurapi oleh kuasa suci Tuhan.​—Gal. 2:3.