BAB 9
“Tuhan Tidak Berat Sebelah”
Orang Kristian mula menginjil kepada orang bukan Yahudi yang tidak bersunat
Berdasarkan Kisah 10:1–11:30
1-3. Apakah penglihatan yang diterima oleh Petrus? Mengapakah kita perlu memahami maksudnya?
PADA musim luruh tahun 36 M, Petrus sedang berada di atas bumbung sebuah rumah untuk berdoa. Rumah itu terletak di kota pelabuhan di Yope. Dia telah menjadi tetamu di rumah itu untuk beberapa hari. Sebenarnya, kesudiannya untuk tinggal di situ sedikit sebanyak mencerminkan sikapnya yang tidak berprasangka. Pemilik rumah itu yang bernama Simon ialah seorang penyamak kulit, dan bukan semua orang Yahudi akan sudi tinggal dengan orang yang melakukan kerja seperti itu. a Meskipun demikian, Petrus akan belajar satu pengajaran penting berkenaan sikap Yehuwa yang tidak berat sebelah.
2 Semasa Petrus berdoa, dia mendapat satu penglihatan. Mana-mana orang Yahudi yang melihat penglihatan sebegitu pasti akan rasa terganggu. Petrus nampak sesuatu seperti kain linen yang besar turun ke bumi, dan di dalamnya mengandungi pelbagai jenis binatang yang najis menurut Hukum. Petrus disuruh menyembelih dan memakan binatang tersebut. Kemudian, dia menjawab, “Aku tidak pernah makan apa-apa yang kotor atau najis.” Tetapi, sebanyak tiga kali dia diberitahu, “Jangan lagi anggap najis apa yang sudah disucikan oleh Tuhan.” (Kis. 10:14-16) Selepas menerima penglihatan itu, Petrus berasa sangat bingung.
3 Apakah maksud penglihatan Petrus? Kita perlu memahami maksudnya kerana penglihatan ini menyingkapkan kebenaran penting tentang pandangan Yehuwa terhadap manusia. Sebagai orang Kristian sejati, kita tidak dapat memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan jika kita tidak memupuk pandangan Yehuwa terhadap orang. Jadi, untuk memahami maksud penglihatan Petrus, mari kita kaji peristiwa yang berlaku sekitar masa itu.
“Sentiasa Berdoa dengan Bersungguh-Sungguh” (Kis. 10:1-8)
4, 5. Siapakah Kornelius? Apakah yang berlaku kepadanya semasa dia berdoa?
4 Tanpa diketahui Petrus, pada hari yang sebelumnya, seorang lelaki yang bernama Kornelius juga menerima penglihatan daripada Tuhan. Dia tinggal di Kaisarea yang terletak kira-kira 50 km di sebelah utara Yope. Walaupun Kornelius seorang pegawai tentera Roma yang berpangkat centurion, dia “menyembah Tuhan.” b Dia menetapkan teladan yang baik dalam menjaga keperluan keluarganya. Dia dan seluruh keluarganya “takut akan Tuhan.” Kornelius bukan pemeluk agama Yahudi, sebaliknya dia ialah orang bukan Yahudi yang tidak bersunat. Namun, dia selalu menunjukkan belas kasihan dan membantu orang Yahudi yang susah. Lelaki yang tulus ini juga “sentiasa berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan.”—Kis. 10:2.
5 Kira-kira pada pukul tiga petang, semasa Kornelius sedang berdoa, dia mendapat satu penglihatan. Malaikat berkata kepadanya, “Tuhan telah mendengar doamu dan Dia berkenan kepadamu. Dia sudah melihat bagaimana kamu membantu orang miskin.” (Kis. 10:4) Kemudian seperti yang diarahkan oleh malaikat itu, Kornelius mengutus orang untuk memanggil Rasul Petrus. Sebagai orang bukan Yahudi yang tidak bersunat, Kornelius bakal memasuki sebuah pintu yang tidak pernah dibuka baginya. Dia akan menerima mesej penyelamatan.
6, 7. (a) Ceritakan pengalaman yang menunjukkan bahawa Tuhan menjawab doa orang yang tulus yang ingin mengetahui kebenaran tentang-Nya. (b) Apakah yang dapat kita simpulkan daripada pengalaman sebegitu?
6 Hari ini, adakah Tuhan menjawab doa-doa orang yang tulus hati yang ingin mengetahui kebenaran tentang-Nya? Perhatikan pengalaman berikut: Seorang wanita di Albania menerima salinan Menara Pengawal yang mengandungi rencana tentang cara membesarkan anak. c Dia memberitahu Saksi yang mengunjunginya, “Kamu tahukah saya telah berdoa memohon bantuan Tuhan tentang cara membesarkan anak saya? Dia mengutus kamu! Kamu telah memberi saya apa yang saya perlukan!” Selepas itu, wanita itu dan anak-anak perempuannya mula belajar Bible. Suaminya juga menyertai pembelajaran Bible pada kemudian hari.
7 Adakah ini saja satu-satunya pengalaman yang berlaku? Sudah pasti tidak! Sebenarnya ada begitu banyak pengalaman yang berlaku di serata dunia, yang menunjukkan ini bukan suatu kebetulan. Jadi, apakah yang dapat kita simpulkan? Pertama, Yehuwa menjawab doa orang yang tulus hati yang mencari-Nya. (1 Raj. 8:41-43; Mzm. 65:2) Kedua, para malaikat menyokong kerja penyebaran kita.—Why. 14:6, 7.
‘Petrus Berasa Sangat Bingung’ (Kis. 10:9-23a)
8, 9. Apakah yang Tuhan singkapkan kepada Petrus melalui kuasa suci-Nya? Apakah reaksi Petrus?
8 Semasa Petrus masih “berasa sangat bingung” di atas bumbung rumah tentang maksud penglihatan yang diterimanya, utusan daripada Kornelius pun tiba. (Kis. 10:17) Sebelum itu, Petrus telah menolak sebanyak tiga kali semasa dia disuruh untuk makan makanan yang tidak suci berdasarkan Hukum. Jadi, adakah dia akan sudi ikut utusan itu dan masuk ke rumah seorang bukan Yahudi? Melalui cara tertentu, Yehuwa menggunakan kuasa suci-Nya untuk menyingkapkan kehendak-Nya kepada Petrus. Dia diberitahu, “Lihatlah! Ada tiga orang yang sedang mencari kamu. Jadi bangunlah, turunlah ke bawah dan ikutlah mereka tanpa sebarang keraguan, kerana akulah yang mengutus mereka.” (Kis. 10:19, 20) Penglihatan yang diterima oleh Petrus telah mempersiapkannya untuk mentaati bimbingan kuasa suci Tuhan.
9 Apabila Petrus mendapat tahu bahawa Kornelius menghantar utusan kerana dibimbing oleh Yehuwa, dia menjemput utusan bukan Yahudi itu untuk masuk “dan menginap di situ.” (Kis. 10:23a) Jelaslah, rasul yang taat ini sudah mula membuat penyesuaian berdasarkan kehendak Tuhan yang disingkapkan.
10. Bagaimanakah Yehuwa membimbing umat-Nya? Apakah soalan-soalan yang boleh kita tanya diri?
10 Sehingga hari ini, Yehuwa menyingkapkan kehendak-Nya kepada umat-Nya secara bertahap-tahap. (Ams. 4:18) Melalui kuasa suci-Nya, Dia sedang membimbing “hamba yang setia dan bijaksana.” (Mat. 24:45) Ada kalanya, kita mungkin menerima pemahaman Firman Tuhan yang dikemaskinikan atau perubahan dalam aturan organisasi. Maka tanyalah diri, “Apakah reaksi saya terhadap perubahan ini? Adakah saya patuh kepada bimbingan kuasa suci Tuhan?”
Petrus “Menyuruh Mereka Dibaptis” (Kis. 10:23b-48)
11, 12. Apakah yang Petrus lakukan apabila dia tiba di Kaisarea? Apakah yang dipelajarinya?
11 Keesokan harinya, Petrus dan sembilan orang yang lain, iaitu tiga utusan Kornelius dan “enam orang saudara [Yahudi]” dari Yope, membuat perjalanan ke Kaisarea. (Kis. 11:12) Kornelius sedang menunggu Petrus bersama “sanak saudara dan sahabat-sahabat karib” yang telah dijemputnya. (Kis. 10:24) Nampaknya, semua orang di situ ialah orang bukan Yahudi. Setibanya di sana, Petrus melakukan sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya. Dia masuk ke dalam rumah seorang bukan Yahudi yang tidak bersunat! Petrus menjelaskan, “Kamu tahu benar bahawa orang Yahudi yang melawat atau bergaul dengan orang daripada bangsa lain melanggar hukum. Tetapi Tuhan sudah menunjukkan bahawa aku tidak boleh menganggap sesiapa pun kotor atau najis.” (Kis. 10:28) Sekarang, Petrus faham bahawa pengajaran daripada penglihatan itu tidak hanya terhad kepada jenis makanan yang boleh dimakan. Dia “tidak boleh menganggap sesiapa pun [bahkan orang bukan Yahudi] kotor.”
12 Semua orang yang berkumpul di situ sangat berminat untuk mendengar kata-kata Petrus. Kornelius menjelaskan, “Kami semua berkumpul di hadapan Tuhan untuk mendengar apa sahaja yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadamu untuk dikatakan.” (Kis. 10:33) Bayangkan perasaan anda jika anda berjumpa dengan seseorang yang berminat seperti itu! Pada masa itu, Petrus mengucapkan kata-kata penting berikut: “Sekarang barulah aku benar-benar faham bahawa Tuhan tidak berat sebelah. Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.” (Kis. 10:34, 35) Petrus belajar bahawa pandangan Tuhan terhadap manusia tidak dipengaruhi oleh bangsa, kewarganegaraan, atau faktor luaran yang lain. Kemudian, Petrus memberikan kesaksian tentang kerja penyebaran, kematian, dan pembangkitan Yesus.
13, 14. (a) Apakah peristiwa penting yang berlaku apabila Kornelius dan orang bukan Yahudi yang lain memeluk agama Kristian pada 36 M? (b) Mengapakah kita tidak harus menghakimi orang berdasarkan faktor luaran?
13 Sesuatu yang tidak dijangka berlaku. “Semasa Petrus masih bercakap,” kuasa suci Tuhan dicurahkan ke atas “orang daripada bangsa lain” di situ. (Kis. 10:44, 45) Inilah satu-satunya peristiwa dalam Bible semasa kuasa suci Tuhan dicurahkan sebelum seseorang dibaptis. Petrus sedar bahawa mereka telah menerima perkenan Tuhan, maka dia “menyuruh mereka [kumpulan orang bukan Yahudi itu] dibaptis.” (Kis. 10:48) Peristiwa orang bukan Yahudi memeluk agama Kristian pada 36 M menandakan berakhirnya perkenan istimewa yang ditunjukkan kepada orang Yahudi. (Dan. 9:24-27) Semasa Petrus mengambil pimpinan untuk memberikan kesaksian pada waktu itu, dia menggunakan ‘kunci Kerajaan’ ketiga, iaitu yang terakhir. (Mat. 16:19) Kunci ini membuka peluang bagi orang bukan Yahudi yang tidak bersunat untuk menjadi orang Kristian terurap.
14 Sebagai penginjil Kerajaan Tuhan, kita sedar bahawa “Tuhan tidak berat sebelah.” (Rm. 2:11) Dia menghendaki “segala macam orang diselamatkan.” (1 Tim. 2:4) Jadi, kita tidak harus menghakimi orang berdasarkan faktor luaran. Tugas kita adalah untuk memberikan kesaksian menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan kepada semua orang, tanpa mengira bangsa, kewarganegaraan, penampilan, atau latar belakang agama mereka.
‘Mereka Tidak Membantah Lagi, dan Memuliakan Tuhan’ (Kis. 11:1-18)
15, 16. Mengapakah beberapa orang Kristian berbangsa Yahudi mencela Petrus? Bagaimanakah dia menjelaskan tindakannya?
15 Sudah pasti Petrus bersemangat untuk pergi ke Yerusalem dan melaporkan apa yang sudah berlaku. Nampaknya, berita bahawa orang bukan Yahudi yang tidak bersunat telah “menerima firman Tuhan” sampai ke Yerusalem sebelum Petrus. Tidak lama setelah Petrus tiba di situ, “orang yang berpegang pada hukum bersunat mula mencela Petrus.” Mereka tersinggung kerana dia masuk “ke dalam rumah orang yang tidak bersunat dan makan bersama mereka.” (Kis. 11:1-3) Isunya bukanlah sama ada orang bukan Yahudi boleh menjadi pengikut Kristus atau tidak. Sebaliknya, murid-murid berbangsa Yahudi berkeras bahawa orang bukan Yahudi perlu mematuhi Hukum Musa, termasuk bersunat, supaya ibadat mereka diterima oleh Yehuwa. Jelaslah, beberapa murid berbangsa Yahudi tidak dapat meninggalkan Hukum Musa.
16 Bagaimanakah Petrus menjelaskan tindakannya? Menurut Kisah 11:4-16, dia menunjukkan empat bukti bimbingan Yehuwa: (1) penglihatan yang diterimanya (Ayat 4-10); (2) arahan kuasa suci Tuhan (Ayat 11, 12); (3) malaikat yang mengunjungi Kornelius (Ayat 13, 14); dan (4) kuasa suci Tuhan yang dicurahkan ke atas orang bukan Yahudi. (Ayat 15, 16) Petrus mengakhiri hujahnya dengan soalan penting ini: “Oleh sebab Tuhan memberikan kurniaan-Nya yang percuma [kuasa suci] kepada mereka [orang bukan Yahudi yang beriman] sama seperti yang diberikan-Nya kepada kita [orang Yahudi] yang percaya kepada Tuan Yesus Kristus, siapakah aku sehingga aku boleh menghalang Tuhan?”—Kis. 11:17.
17, 18. (a) Setelah mendengar bukti daripada Petrus, bagaimanakah hal itu menguji orang Kristian berbangsa Yahudi? (b) Mengapakah memelihara perpaduan dalam sidang mungkin mencabar? Apakah soalan yang patut kita tanya diri?
17 Bukti yang dikemukakan oleh Petrus menguji orang Kristian berbangsa Yahudi. Adakah mereka akan menyingkirkan sikap prasangka dari hati dan menerima orang bukan Yahudi yang baru dibaptis itu sebagai rakan seiman? Bible memberitahu kita, “Selepas mendengar hal-hal itu, mereka [para rasul dan orang Kristian berbangsa Yahudi] tidak membantah lagi. Mereka memuliakan Tuhan dengan berkata, ‘Jelaslah bahawa Tuhan juga memberikan peluang kepada orang daripada bangsa-bangsa lain untuk bertaubat dan memperoleh hidup.’” (Kis. 11:18) Sikap positif itu telah memelihara perpaduan dalam sidang.
18 Hari ini, memelihara perpaduan mungkin mencabar kerana penyembah ibadat sejati datang “daripada semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa.” (Why. 7:9) Di banyak sidang, kita berjumpa dengan saudara saudari daripada pelbagai bangsa, budaya, dan latar belakang. Oleh itu, kita patut tanya diri, “Adakah saya sudah menyingkirkan sikap prasangka dengan sepenuhnya? Adakah saya bertekad untuk tidak membenarkan semangat dunia ini, termasuk semangat kebangsaan atau perasaan bangga akan budaya, bahasa, dan kaum, mempengaruhi cara saya melayan rakan seiman?” Ingatlah apa yang berlaku kepada Petrus (Kefas) beberapa tahun selepas orang bukan Yahudi mula memeluk agama Kristian. Dia dipengaruhi oleh sikap prasangka orang lain. Petrus “mengasingkan dirinya” daripada orang Kristian bukan Yahudi sehingga perlu ditegur oleh Paulus. (Gal. 2:11-14) Maka, marilah kita terus berjaga-jaga agar tidak dijerat oleh sikap prasangka.
“Banyak Orang Percaya” (Kis. 11:19-26a)
19. Orang Kristian berbangsa Yahudi di Antiokhia mula menginjil kepada siapa, dan apakah hasilnya?
19 Adakah pengikut Yesus mula menginjil kepada orang bukan Yahudi yang tidak bersunat? Perhatikan apa yang berlaku di Antiokhia di Siria. d Kota ini mempunyai komuniti Yahudi yang besar, dan orang Yahudi dan bukan Yahudi hidup aman di sini. Maka, Antiokhia ialah kawasan yang baik untuk menginjil kepada orang bukan Yahudi. Di sinilah beberapa murid berbangsa Yahudi mula menyampaikan berita baik “kepada orang yang bertutur dalam bahasa Yunani.” (Kis. 11:20) Mereka yang berbahasa Yunani termasuklah orang Yahudi dan orang bukan Yahudi yang tidak bersunat. Ya, Yehuwa memberkati usaha para pengikut Kristus, dan “banyak orang percaya.”—Kis. 11:21.
20, 21. Bagaimanakah Barnabas menunjukkan kerendahan hati? Bagaimanakah kita dapat meniru kerendahan hati Barnabas semasa menginjil?
20 Memandangkan banyak orang nampaknya ingin mendengar berita baik, sidang Yerusalem menghantar Barnabas ke Antiokhia. Namun, tugas ini terlalu berat bagi Barnabas seorang diri. Siapakah yang sesuai untuk membantu Barnabas? Bukankah Saulus yang akan menjadi rasul kepada bangsa-bangsa? (Kis. 9:15; Rm. 1:5) Adakah Barnabas akan memandang Saulus sebagai pesaingnya? Tidak. Sebaliknya, Barnabas menunjukkan kerendahan hati. Dia mengambil inisiatif untuk pergi ke Tarsus, mencari Saulus, dan membawa Saulus ke Antiokhia untuk membantunya. Mereka bekerjasama selama setahun untuk menggalakkan murid-murid di sidang itu.—Kis. 11:22-26a.
21 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kerendahan hati semasa menginjil? Kita menunjukkan sifat ini apabila kita menyedari keterbatasan diri. Kita semua ada kekuatan dan kebolehan yang berbeza. Contohnya, ada yang mungkin mahir menginjil secara tidak formal atau dari rumah ke rumah, tetapi berasa susah untuk membuat kunjungan kembali atau memulakan pembelajaran Bible. Jika anda ingin meningkatkan aspek tertentu dalam kerja penyebaran, mintalah bantuan orang lain. Dengan mengambil inisiatif, anda dapat menjadi lebih mahir dan meraih sukacita yang lebih besar dalam kerja penyebaran.—1 Kor. 9:26.
Mengirim “Bantuan kepada Saudara-Saudara” (Kis. 11:26b-30)
22, 23. Bagaimanakah saudara saudari di Antiokhia menunjukkan kasih persaudaraan? Bagaimanakah umat Tuhan hari ini melakukan hal yang serupa?
22 Di Antiokhia, untuk kali pertama “murid-murid Yesus disebut orang Kristian seperti yang dikehendaki oleh Tuhan.” (Kis. 11:26b) Nama ini diperkenankan Tuhan dan sangat sesuai kerana mereka meniru haluan hidup Yesus. Seraya orang daripada bangsa-bangsa lain menjadi orang Kristian, adakah ikatan persaudaraan terjalin antara orang Yahudi dan orang bukan Yahudi? Fikirkan apa yang terjadi semasa kebuluran yang teruk kira-kira pada tahun 46 M. e Pada zaman dahulu, kebuluran menyebabkan orang yang miskin menderita kerana mereka tidak mempunyai wang simpanan atau bekalan makanan. Nampaknya, banyak orang Kristian berbangsa Yahudi yang tinggal di Yudea ialah orang miskin, dan mereka memerlukan bantuan. Apabila mengetahui tentang hal ini, rakan seiman di Antiokhia, termasuk orang Kristian bukan Yahudi, mengirim “bantuan kepada saudara-saudara yang tinggal di Yudea.” (Kis. 11:29) Mereka memang menunjukkan kasih persaudaraan yang sejati!
23 Hari ini, umat Tuhan juga menunjukkan kasih yang sama. Apabila kita mendapat tahu bahawa saudara saudari di negara lain atau di kawasan sendiri memerlukan bantuan, kita akan mencari cara untuk menyokong mereka. Jawatankuasa Cawangan dengan segera mengatur Jawatankuasa Bantuan Bencana untuk membantu saudara saudari yang mengalami musibah, seperti taufan, gempa bumi, dan tsunami. Semua bantuan ini menunjukkan bahawa kasih sejati wujud dalam persaudaraan Kristian kita.—Yoh. 13:34, 35; 1 Yoh. 3:17.
24. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita memandang serius maksud penglihatan yang diterima oleh Petrus?
24 Sebagai orang Kristian sejati, kita memandang serius maksud penglihatan yang diterima oleh Petrus di Yope pada abad pertama. Kita menyembah Tuhan yang tidak berat sebelah. Dia mahu kita memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kerajaan-Nya dengan menginjil kepada orang tanpa mengira bangsa, negara, atau kedudukan sosial mereka. Maka, marilah kita bertekad untuk menginjil kepada semua orang yang sudi dengar agar mereka dapat menerima berita baik.—Rm. 10:11-13.
a Sesetengah orang Yahudi memandang rendah kepada penyamak kulit. Hal ini kerana pekerjaan sebegitu menyebabkan mereka sering menyentuh kulit dan bangkai binatang, atau benda-benda najis lain yang diperlukan untuk kerjanya. Penyamak kulit juga dianggap tidak layak untuk masuk ke Rumah Tuhan. Selain itu, jarak tempat perniagaan mereka tidak boleh kurang daripada 50 hasta, atau kira-kira 22 m, dari sebuah pekan. Hal ini menjelaskan mengapa rumah Simon “terletak di tepi laut.”—Kis. 10:6.
b Lihat kotak “ Kornelius dan Askar Roma.”
c Rencana itu bertajuk, “Nasihat yang Andal untuk Membesarkan Anak,” terbitan 1 November 2006, ms. 4-7, dalam bahasa Indonesia.
d Lihat kotak “ Antiokhia di Siria.”
e Sejarawan Yahudi bernama Josephus menyebut bahawa “kebuluran yang teruk” ini berlaku semasa pemerintahan Maharaja Klaudius (41-54 M).