BAB 21
“Aku Bersih daripada Darah Semua Orang”
Semangat Paulus untuk kerja penyebaran dan nasihatnya kepada para penatua
Berdasarkan Kisah 20:1-38
1-3. (a) Gambarkan apa yang berlaku pada malam Eutikhus mati. (b) Apakah yang dilakukan Paulus, dan apakah yang kita pelajari tentangnya?
SEMASA di Troas, Paulus berada di sebuah bilik di tingkat atas yang penuh dengan saudara saudari. Dia bercakap panjang lebar kepada mereka kerana ini merupakan malam terakhir dia bersama mereka. Waktunya sudah tengah malam. Ada banyak pelita dinyalakan di bilik itu, jadi udaranya hangat dan suasananya sesak. Seorang pemuda bernama Eutikhus duduk di tingkap. Seraya Paulus berucap, Eutikhus terlelap lalu terjatuh dari tingkat tiga!
2 Sebagai seorang doktor, Lukas kemungkinan antara orang pertama yang bergegas keluar dan memeriksa pemuda itu. Keadaannya sangat jelas. Apabila Eutikhus diangkat, “dia sudah mati.” (Kis. 20:9) Namun, suatu mukjizat berlaku. Paulus merebahkan diri ke atas pemuda itu dan berkata kepada orang ramai, “Janganlah bersedih lagi. Dia sudah hidup semula.” Ya, Paulus telah membangkitkan Eutikhus!—Kis. 20:10.
3 Peristiwa ini menunjukkan betapa hebatnya kuasa suci Tuhan. Kematian Eutikhus bukanlah salah Paulus. Namun, dia tidak mahu kematian pemuda ini menjejaskan perjumpaan yang penting itu atau membuat sesiapa tersandung secara rohani. Dengan membangkitkan Eutikhus, Paulus telah melegakan sidang dan memberi mereka semangat untuk meneruskan kerja menginjil. Jelaslah, Paulus berasa bahawa dia bertanggungjawab atas nyawa orang lain. Ini mengingatkan kita akan kata-katanya, “Aku bersih daripada darah semua orang.” (Kis. 20:26) Mari kita lihat bagaimana kita dapat meniru teladan Paulus.
“Dia Memulakan Perjalanannya ke Makedonia” (Kis. 20:1, 2)
4. Apakah situasi mencemaskan yang telah dialami oleh Paulus?
4 Seperti yang dibincangkan dalam bab sebelumnya, Paulus telah mengalami situasi yang mencemaskan. Kerja penyebarannya di Efesus telah menyebabkan kacau-bilau. Tukang-tukang perak, yang bergantung pada penyembahan Artemis sebagai sumber pendapatan mereka, telah membuat rusuhan! Kisah 20:1 menyatakan bahawa “setelah keadaan yang huru-hara di situ reda, Paulus memanggil murid-murid Yesus. Dia menggalakkan mereka dan mengucapkan selamat tinggal. Kemudian, dia memulakan perjalanannya ke Makedonia.”
5, 6. (a) Berapa lamakah Paulus berada di Makedonia, dan apakah yang dilakukannya untuk saudara saudari di sana? (b) Apakah sikap yang ditunjukkan oleh Paulus terhadap rakan seimannya?
5 Dalam perjalanan ke Makedonia, Paulus berhenti di pelabuhan Troas dan meluangkan masa di sana. Paulus berharap agar Titus, yang telah diutus ke Korintus, akan menyertainya di sana. (2 Kor. 2:12, 13) Namun, apabila Paulus pasti bahawa Titus tidak akan datang, dia pergi ke Makedonia. Dia mungkin meluangkan masa sekitar setahun di situ dan “mengucapkan kata-kata galakan kepada murid-murid Yesus.” a (Kis. 20:2) Akhirnya, Titus menyertai Paulus di Makedonia. Dia membawa berita baik tentang reaksi orang Korintus terhadap surat Paulus yang pertama. (2 Kor. 7:5-7) Hal ini menggerakkan Paulus untuk menulis sepucuk surat lagi kepada mereka, iaitu surat yang dikenali sebagai 2 Korintus.
6 Perhatikan bahawa Lukas menggunakan perkataan “galakan” untuk menggambarkan lawatan Paulus ke Efesus dan Makedonia. Kata-kata itu jelas menunjukkan sikap Paulus terhadap rakan seimannya. Orang Farisi memandang hina orang biasa. Namun, Paulus jauh berbeza. Dia memandang kawanan Tuhan sebagai rakan sekerjanya. (Yoh. 7:47-49; 1 Kor. 3:9) Paulus tetap menunjukkan sikap yang sama bahkan semasa dia perlu memberikan teguran tegas kepada mereka.—2 Kor. 2:4.
7. Bagaimanakah penyelia Kristian hari ini dapat mencontohi Paulus?
7 Hari ini, penatua sidang dan penyelia litar berusaha untuk mencontohi Paulus. Bahkan semasa memberikan teguran, matlamat mereka adalah untuk menguatkan orang yang lemah. Para penyelia yang menunjukkan empati akan berusaha untuk menggalakkan saudara saudari dan bukannya mengecam mereka. Seorang penyelia litar yang berpengalaman berkata, “Kebanyakan saudara saudari kita ingin lakukan apa yang betul, namun mereka sering bergelut dengan perasaan tawar hati, ketakutan, dan rasa tidak berdaya untuk mengatasi cabaran.” Para penyelia dapat menjadi sumber kekuatan bagi rakan seiman sebegitu.—Ibr. 12:12, 13.
‘Komplot untuk Membunuhnya’ (Kis. 20:3, 4)
8, 9. (a) Mengapakah Paulus membatalkan rancangannya untuk berlayar ke Siria? (b) Mengapakah orang Yahudi mungkin membenci Paulus?
8 Dari Makedonia, Paulus pergi ke Korintus. b Selepas meluangkan masa tiga bulan di sana, dia sangat ingin meneruskan perjalanannya ke Kenkrea supaya dapat menaiki kapal dan berlayar ke Siria. Dari sana, dia dapat pergi ke Yerusalem dan menyerahkan sumbangan kepada saudara saudari yang memerlukan bantuan di sana. c (Kis. 24:17; Rm. 15:25, 26) Namun, peristiwa yang tidak terduga telah mengubah rancangan Paulus. Kisah 20:3 melaporkan bahawa “orang Yahudi berkomplot untuk membunuhnya”!
9 Perasaan benci orang Yahudi terhadap Paulus tidaklah menghairankan kerana mereka menganggapnya sebagai orang murtad. Sebelum ini, Paulus telah membantu Krispus, seorang lelaki terkenal di rumah ibadat Korintus, untuk menjadi pengikut Yesus. (Kis. 18:7, 8; 1 Kor. 1:14) Pada peristiwa yang lain, orang Yahudi di Korintus membuat tuduhan terhadap Paulus di hadapan Galio, gabenor daerah Akhaya. Namun, Galio menggugurkan kes itu kerana berpendapat bahawa tuduhan itu tidak berasas. Hal itu telah membuat musuh-musuh Paulus naik berang. (Kis. 18:12-17) Orang Yahudi di Korintus mungkin tahu atau menjangka bahawa tidak lama lagi Paulus akan berlayar dari Kenkrea yang berdekatan. Maka, mereka merancang untuk menyerangnya di sana. Apakah yang akan dilakukan oleh Paulus?
10. Adakah Paulus seorang yang pengecut kerana tidak mahu pergi ke Kenkrea? Jelaskan.
10 Demi menjaga keselamatan diri dan melindungi sumbangan yang diamanahkan kepadanya, Paulus tidak mahu pergi Kenkrea. Sebaliknya, dia kembali melalui Makedonia. Memang, perjalanan darat juga ada bahayanya. Di sepanjang jalan, ada perompak yang sering bersembunyi dan tempat penginapan juga tidak selamat. Walau bagaimanapun, Paulus memilih untuk mengambil risiko perjalanan darat daripada pergi ke Kenkrea. Syukurlah, dia tidak membuat perjalanan seorang diri. Kali ini, dia ditemani oleh Aristarkhus, Gayus, Sekundus, Sopater, Tikhikus, Timotius, dan Trofimus.—Kis. 20:3, 4.
11. Bagaimanakah orang Kristian hari ini berusaha melindungi diri? Bagaimanakah Yesus menetapkan teladan yang baik dalam hal ini?
11 Seperti Paulus, orang Kristian hari ini berusaha untuk melindungi diri semasa dalam kerja penyebaran. Di beberapa kawasan, mereka membuat perjalanan dalam kumpulan atau sekurang-kurangnya secara berpasangan dan bukannya bersendirian. Bagaimana pula dengan penganiayaan? Orang Kristian sedar bahawa mereka akan dianiaya. (Yoh. 15:20; 2 Tim. 3:12) Namun, mereka tidak akan sengaja mendedahkan diri kepada bahaya. Fikirkan contoh Yesus. Pernah sekali, apabila penentang di Yerusalem memungut batu untuk merejamnya, “Yesus menyembunyikan diri. Kemudian dia meninggalkan Rumah Tuhan.” (Yoh. 8:59) Pada kemudian hari, apabila orang Yahudi merancang untuk membunuhnya, ‘Yesus tidak lagi berjalan secara terbuka dalam kalangan orang Yahudi. Dia bertolak dari situ dan pergi ke sebuah kawasan dekat padang belantara.’ (Yoh. 11:54) Ya, Yesus melakukan apa yang terdaya untuk melindungi dirinya selagi tindakannya tidak bercanggah dengan kehendak Tuhan. Orang Kristian hari ini juga melakukan hal yang sama.—Mat. 10:16.
“Mereka Berasa Sangat Lega” (Kis. 20:5-12)
12, 13. (a) Apakah kesan pembangkitan Eutikhus terhadap sidang? (b) Semasa orang tersayang meninggal, apakah harapan Bible yang dapat membawa kelegaan?
12 Paulus dan rakan-rakannya mengadakan perjalanan ke Makedonia dan kemudiannya mereka berpisah. Nampaknya, mereka belakangan bersatu semula di Troas. d Bible berkata, “Dalam masa lima hari kami sampai ke Troas dan bertemu dengan mereka.” e (Kis. 20:6) Di sinilah Eutikhus dibangkitkan, seperti yang telah disebutkan di awal bab ini. Bayangkan perasaan saudara saudari semasa melihat rakan mereka, Eutikhus, dibangkitkan semula! Bible berkata, “Mereka berasa sangat lega.”—Kis. 20:12.
13 Sudah tentu, mukjizat-mukjizat seperti itu tidak lagi berlaku hari ini. Namun, mereka yang kehilangan orang tersayang dalam kematian dapat “berasa sangat lega” kerana Bible memberikan harapan pembangkitan. (Yoh. 5:28, 29) Fikirkan hal ini: Eutikhus tidak sempurna dan akhirnya dia pun mati. (Rm. 6:23) Namun, mereka yang dibangkitkan di dunia baharu Tuhan memiliki harapan untuk hidup kekal! Selain itu, mereka yang dibangkitkan untuk memerintah bersama Yesus di syurga akan diberi tubuh yang tidak dapat mati. (1 Kor. 15:51-53) Hari ini, tidak kira kaum terurap atau “biri-biri lain,” orang Kristian mempunyai sebab yang baik untuk “berasa sangat lega.”—Yoh. 10:16.
“Di Depan Umum dan dari Rumah ke Rumah” (Kis. 20:13-24)
14. Apakah yang Paulus katakan kepada para penatua dari Efesus semasa berjumpa dengan mereka di Miletus?
14 Paulus dan rakan-rakannya mengadakan perjalanan dari Troas ke Asos, kemudian ke Metilene, Khios, Samos, dan Miletus. Matlamat Paulus adalah untuk tiba di Yerusalem pada hari Perayaan Pentakosta. Oleh sebab dia ingin sampai di Yerusalem dengan secepat mungkin, dia menaiki kapal yang tidak berhenti di Efesus. Memandangkan dia ingin bercakap dengan para penatua dari Efesus, dia meminta mereka berjumpa dengannya di Miletus. (Kis. 20:13-17) Semasa mereka tiba, Paulus berkata kepada mereka, “Kamu semua tahu cara hidupku selama aku bersama kamu. Sejak hari pertama aku menjejakkan kaki ke daerah Asia, aku sentiasa mengabdikan diri kepada Tuan dengan rendah hati. Aku mencucurkan air mata dan mengalami cubaan disebabkan rancangan jahat orang Yahudi. Aku tidak teragak-agak untuk memberitahu kamu tentang semua perkara yang bermanfaat untuk kamu. Aku selalu mengajar kamu di depan umum dan dari rumah ke rumah. Aku memberikan kesaksian yang menyeluruh, baik kepada orang Yahudi mahupun orang Yunani, bahawa mereka harus bertaubat, berpaling kepada Tuhan, dan beriman kepada Tuan kita, Yesus.”—Kis. 20:18-21.
15. Apakah beberapa manfaat menginjil dari rumah ke rumah?
15 Hari ini, kita menggunakan banyak cara untuk mencapai orang. Seperti Paulus, kita berusaha menginjil di mana sahaja orang berada, tidak kira di perhentian bas, jalan yang sibuk, atau pasar. Namun, menginjil dari rumah ke rumah masih merupakan kaedah utama yang digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Mengapa? Salah satu sebab adalah kerana menginjil dari rumah ke rumah memberi semua orang peluang yang mencukupi untuk mendengar berita tentang Kerajaan Tuhan secara tetap. Hal ini menunjukkan bahawa Tuhan tidak berat sebelah. Selain itu, kaedah ini membolehkan setiap orang yang berhati jujur menerima bantuan mengikut keperluan sendiri. Tambahan lagi, para penyiar yang menyertai kerja menginjil dari rumah ke rumah dapat memupuk ketabahan dan menguatkan iman mereka. Ya, salah satu ciri utama orang Kristian sejati hari ini ialah semangat mereka dalam memberikan kesaksian “di depan umum dan dari rumah ke rumah.”
16, 17. Bagaimanakah Paulus menunjukkan keberanian? Bagaimanakah orang Kristian hari ini meniru teladannya?
16 Paulus memberitahu para penatua dari Efesus bahawa dia tidak tahu bahaya yang bakal menimpanya apabila dia kembali ke Yerusalem. Namun begitu, Paulus berkata, “Aku tidak menganggap nyawaku penting, asalkan aku dapat berlari dalam perlumbaan ini sampai ke akhir dan menyelesaikan kerja suci yang aku terima daripada Tuan Yesus, iaitu untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang berita baik mengenai kebaikan hati Tuhan yang unggul.” (Kis. 20:24) Tidak kira masalah kesihatan atau penganiayaan, Paulus menunjukkan keberanian dengan tidak membiarkan apa-apa pun menghalangnya daripada menyelesaikan tugasnya.
17 Hari ini, orang Kristian juga menghadapi pelbagai cabaran dengan tabah. Sesetengah orang berdepan dengan larangan daripada kerajaan atau menghadapi penganiayaan. Yang lain pula bertarung dengan penyakit yang serius atau masalah emosi. Kaum muda Kristian juga menghadapi tekanan rakan sebaya di sekolah. Tidak kira apa pun keadaan mereka, Saksi-Saksi Yehuwa tetap teguh seperti Paulus. Mereka bertekad untuk “memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang berita baik.”
“Berikanlah Perhatian kepada Diri Kamu dan Seluruh Kawanan” (Kis. 20:25-38)
18. Bagaimanakah Paulus memastikan dia tidak berhutang darah? Bagaimanakah para penatua dari Efesus dapat menirunya?
18 Seterusnya, Paulus memberikan nasihat yang terus terang kepada para penatua dari Efesus dengan menggunakan haluan hidupnya sebagai contoh. Pertama-tama, dia memberitahu mereka bahawa ini mungkin kali terakhir dia berjumpa dengan mereka. Selepas itu, Paulus berkata, “Aku bersih daripada darah semua orang. Aku tidak pernah teragak-agak untuk memberitahu kamu tentang segala tujuan Tuhan.” Bagaimanakah para penatua dari Efesus dapat meniru Paulus supaya mereka juga tidak berhutang darah? Paulus memberitahu mereka, “Berikanlah perhatian kepada diri kamu dan seluruh kawanan, kerana kuasa suci Tuhan telah melantik kamu sebagai penyelia untuk menggembala sidang Tuhan, yang telah dibeli oleh-Nya dengan darah Anak-Nya sendiri.” (Kis. 20:26-28) Paulus memberikan amaran bahawa “serigala buas” akan menyelinap masuk ke dalam kawanan dan “memutarbelitkan kebenaran untuk menyesatkan murid-murid Yesus agar mengikut mereka.” Apakah yang patut dilakukan oleh para penatua itu? Paulus menggesa mereka, “Teruslah berjaga-jaga. Ingatlah bahawa selama tiga tahun, siang malam, aku tidak berhenti menasihati setiap orang daripada kamu sambil mencucurkan air mata.”—Kis. 20:29-31.
19. Bagaimanakah kemurtadan mula berkembang pada akhir abad pertama, dan apakah yang berlaku berabad-abad kemudian?
19 “Serigala buas” mula muncul pada akhir abad pertama. Kira-kira pada 98 M, Rasul Yohanes menulis, “Banyak musuh Kristus sudah pun muncul . . . Mereka sudah meninggalkan kita kerana mereka tidak termasuk dalam golongan kita. Jika mereka termasuk dalam golongan kita, tentu mereka akan tetap bersama-sama kita.” (1 Yoh. 2:18, 19) Pada abad ketiga, kemurtadan telah menyebabkan terbentuknya golongan pemimpin gereja. Pada abad keempat, Maharaja Konstantin telah mengiktiraf agama Kristian yang murtad ini. Dengan menerima upacara kafir dan menjadikannya sebagai “upacara Kristian,” para pemimpin agama telah “memutarbelitkan kebenaran.” Kesan kemurtadan itu masih dapat dilihat dalam ajaran dan kebiasaan yang diamalkan oleh gereja Kristian palsu.
20, 21. Bagaimanakah Paulus menunjukkan semangat rela berkorban? Bagaimanakah para penatua Kristian hari ini menunjukkan semangat yang sama?
20 Haluan hidup Paulus jauh berbeza daripada pemimpin agama yang belakangan mengambil kesempatan atas kawanan biri-biri. Dia bekerja untuk menampung dirinya supaya tidak membebankan ahli sidang. Usaha yang dicurahkannya bagi rakan seiman tidak bertujuan untuk mendapatkan keuntungan bagi dirinya. Paulus menggesa para penatua dari Efesus untuk menunjukkan semangat rela berkorban dengan berkata, ‘Kamu mesti membantu mereka yang lemah. Kamu mesti ingat bahawa Tuan Yesus sendiri berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”’—Kis. 20:35.
21 Para penatua Kristian hari ini meniru Paulus dengan menunjukkan semangat rela berkorban. Tidak seperti para pemimpin gereja yang memeras pengikut mereka demi keuntungan diri, para penyelia yang bertanggungjawab untuk “menggembala sidang Tuhan” melaksanakan tugas mereka tanpa mengejar kepentingan sendiri. Orang yang sombong dan mempunyai niat yang mementingkan diri tidak boleh berada dalam sidang Kristian, kerana orang yang mencari “kemuliaan sendiri” akhirnya akan gagal. (Ams. 25:27) Ya, keangkuhan hanya akan membawa kehinaan.—Ams. 11:2.
22. Mengapakah Paulus sangat dikasihi oleh para penatua dari Efesus?
22 Kasih Paulus yang tulus kepada rakan seiman membuatnya sangat dikasihi. Apabila tiba masanya untuk Paulus bertolak, “mereka menangis tersedu-sedu lalu memeluk dan mencium Paulus.” (Kis. 20:37, 38) Sememangnya, orang Kristian sangat menghargai dan mengasihi mereka yang meniru Paulus, iaitu yang rela mengorbankan masa, tenaga, dan kebendaan demi saudara saudari. Selepas membincangkan teladan Paulus yang sangat baik, kita pasti setuju bahawa dia tidak bersikap angkuh atau keterlaluan semasa berkata, “Aku bersih daripada darah semua orang.”—Kis. 20:26.
a Lihat kotak “ Surat-Surat Paulus dari Makedonia.”
b Semasa Paulus melawat Korintus kali ini, dia mungkin telah menulis surat kepada sidang Roma.
c Lihat kotak “ Paulus Menghantar Bantuan Kewangan.”
d Sebelum ini, Paulus telah meninggalkan Lukas di Filipi untuk suatu jangka waktu. Namun di Kisah 20:5, 6, Lukas menggunakan perkataan “kami.” Nampaknya, Lukas telah menyertai Paulus semula.—Kis. 16:10-17, 40.
e Perjalanan dari Filipi ke Troas kali ini memerlukan masa selama lima hari kerana mereka mungkin berhadapan dengan angin yang melambatkan perjalanan mereka. Perjalanan yang sebelumnya hanya mengambil masa dua hari.—Kis. 16:11.