Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 22

“Biarlah Kehendak Yehuwa Terjadi”

“Biarlah Kehendak Yehuwa Terjadi”

Paulus bertekad untuk melakukan kehendak Tuhan dan pergi ke Yerusalem

Berdasarkan Kisah 21:1-17

1-4. Mengapakah Paulus pergi ke Yerusalem, dan apakah yang menantikannya di sana?

 SEMUA orang berasa sedih apabila Paulus dan Lukas meninggalkan Miletus. Paulus dan Lukas pasti sangat berat hati untuk meninggalkan para penatua dari Efesus yang dikasihi mereka! Dua mubaligh itu berdiri di atas kapal berserta bekalan-bekalan yang diperlukan mereka sepanjang perjalanan itu. Mereka juga membawa sumbangan untuk orang Kristian di Yudea dan ingin memastikan bahawa sumbangan itu diserahkan.

2 Angin sepoi-sepoi meniup kapal, lalu mereka mula berlayar dan meninggalkan pelabuhan yang riuh-rendah itu. Dua mubaligh ini berserta tujuh rakan perjalanan mereka menatap wajah saudara-saudara yang sedih itu. (Kis. 20:4, 14, 15) Mereka terus melambaikan tangan sehingga sahabat-sahabat mereka tidak lagi kelihatan.

3 Selama lebih kurang tiga tahun, Paulus telah bekerja rapat dengan para penatua di Efesus. Namun sekarang, atas bimbingan kuasa suci Tuhan, dia mengadakan perjalanan ke Yerusalem. Paulus sedikit sebanyak tahu tentang apa yang akan berlaku kepadanya. Sebelum ini, dia berkata kepada para penatua itu, “Walaupun aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku di Yerusalem, aku akan pergi ke situ kerana didorong oleh kuasa suci Tuhan. Aku hanya tahu bahawa di setiap kota, kuasa suci Tuhan berulang kali memberi aku amaran bahawa aku bakal dipenjarakan dan mengalami kesengsaraan.” (Kis. 20:22, 23) Meskipun berdepan dengan bahaya, Paulus berasa “didorong oleh kuasa suci Tuhan.” Maksudnya, dia merasakan kewajipan untuk pergi ke Yerusalem, dan dia rela untuk mengikut arahan itu. Paulus menghargai nyawanya, tetapi melakukan kehendak Tuhan adalah yang terpenting baginya.

4 Adakah anda juga berasa begitu? Semasa kita membaktikan diri kepada Yehuwa, kita berikrar bahawa melakukan kehendak-Nya adalah yang terpenting dalam hidup kita. Maka, kita dapat meraih manfaat dengan membincangkan teladan Rasul Paulus yang setia.

Berlayar Melintasi “Pulau Siprus” (Kis. 21:1-3)

5. Laluan manakah yang digunakan oleh Paulus dan rakan-rakannya untuk pergi ke Tirus?

5 Kapal yang dinaiki oleh Paulus dan rakan-rakannya belayar mengikut tiupan angin sehingga mereka dapat “berlayar terus” dan tiba di Kos pada hari yang sama. (Kis. 21:1) Nampaknya, kapal itu berlabuh untuk satu malam di sana sebelum berlayar ke Rodes dan Patara. Di Patara, yang terletak di persisiran pantai selatan Asia Kecil, saudara-saudara ini menaiki kapal kargo yang besar. Kapal itu membawa mereka terus ke Tirus di Fenisia. Semasa dalam perjalanan, mereka melihat “Pulau Siprus di sebelah kiri.” (Kis. 21:3) Mengapakah Lukas, penulis buku Kisah, mencatatkan perincian ini?

6. (a) Mengapakah Paulus mungkin berasa digalakkan semasa melihat Siprus? (b) Apabila anda merenungkan cara Yehuwa telah memberkati dan membantu anda, apakah yang dapat anda simpulkan?

6 Barangkali, Paulus sedang menunjuk ke arah pulau tersebut dan menceritakan pengalamannya di sana. Semasa perjalanan mubalighnya yang pertama kira-kira sembilan tahun yang lalu, dia berserta Barnabas dan Markus telah berjumpa dengan ahli sihir bernama Elimas yang menentang kerja penyebaran mereka. (Kis. 13:4-12) Maka, apabila Paulus nampak pulau itu dan merenungkan apa yang pernah berlaku, dia mungkin digalakkan dan dikuatkan untuk menghadapi apa yang bakal menimpanya. Kita juga meraih manfaat dengan merenungkan bagaimana Tuhan telah memberkati kita dan membantu kita untuk menghadapi cabaran. Perenungan sebegini dapat mendorong kita untuk membuat kesimpulan yang sama seperti Daud yang menulis, “Orang yang melakukan apa yang benar mengalami banyak kesusahan, tetapi Yehuwa menyelamatkannya daripada semua itu.”​—Mzm. 34:19.

‘Kami Mencari dan Menjumpai Murid-Murid’ (Kis. 21:4-9)

7. Apakah yang dilakukan Paulus dan rakan-rakannya apabila tiba di Tirus?

7 Paulus sedar betapa pentingnya pergaulan Kristian dan dia ingin sekali bersama dengan rakan seimannya. Setibanya di Tirus, Lukas menulis, ‘Kami mencari murid-murid dan menjumpai mereka.’ (Kis. 21:4) Setelah mengetahui bahawa terdapat rakan seiman yang tinggal di Tirus, Paulus dan rakan-rakannya mencari mereka dan barangkali tinggal bersama mereka. Salah satu berkat terbesar yang kita nikmati kerana menyembah Yehuwa ialah kita dapat mencari rakan seiman yang sudi mengalu-alukan kita, tidak kira di mana kita berada. Ya, orang yang mengasihi Tuhan dan mengamalkan ibadat sejati mempunyai kawan di serata dunia.

8. Apakah maksud Kisah 21:4?

8 Semasa menggambarkan apa yang berlaku selama tujuh hari mereka tinggal di Tirus, Lukas mencatatkan sesuatu yang pada mulanya mungkin membingungkan. Dia menulis, “Di bawah pimpinan kuasa suci Tuhan, [para saudara di Tirus] berulang kali memberitahu Paulus supaya tidak menjejakkan kaki di Yerusalem.” (Kis. 21:4) Adakah Yehuwa mengubah fikiran-Nya? Adakah Dia sekarang menyuruh Paulus untuk tidak pergi ke Yerusalem? Tidak. Kuasa suci Tuhan menunjukkan bahawa Paulus akan dilayan dengan buruk di Yerusalem dan bukan menyuruhnya menjauhi kota itu. Nampaknya, menerusi kuasa suci Tuhan, para saudara di Tirus dengan tepat menyimpulkan bahawa Paulus akan menghadapi masalah di Yerusalem. Sudah tentu, mereka risau tentang Paulus dan ingin melindunginya daripada bahaya. Maka tidaklah menghairankan bahawa mereka menggesanya untuk tidak pergi ke kota itu. Meskipun demikian, Paulus bertekad untuk melakukan kehendak Yehuwa, dan dia meneruskan perjalanannya ke Yerusalem.​—Kis. 21:12.

9, 10. (a) Semasa mendengar kerisauan saudara-saudara di Tirus, apakah situasi serupa yang mungkin difikirkan Paulus? (b) Apakah fikiran yang dimiliki oleh banyak orang hari ini? Mengapakah fikiran sebegitu bercanggahan dengan kata-kata Yesus?

9 Paulus mungkin terfikir tentang Yesus semasa mendengar kerisauan saudara-saudara itu. Yesus juga menghadapi bantahan serupa semasa dia memberitahu murid-muridnya bahawa dia akan pergi ke Yerusalem, menderita, lalu dibunuh. Petrus yang terikut-ikut dengan perasaan berkata kepada Yesus, “Tuan, janganlah cakap begitu. Perkara sebegini tidak akan sekali-kali menimpamu.” Yesus menjawab, “Jauhkanlah dirimu daripadaku, Syaitan! Kamu ialah batu sandungan bagiku, kerana fikiranmu ialah fikiran manusia, bukan fikiran Tuhan.” (Mat. 16:21-23) Ya, Yesus bertekad untuk menunjukkan sikap rela berkorban dengan mengikut haluan yang ditetapkan Tuhan baginya. Itulah juga perasaan Paulus. Saudara-saudara di Tirus sama seperti Petrus yang mempunyai niat yang baik, tetapi mereka tidak memahami kehendak Tuhan.

Mengikut Yesus memerlukan semangat rela berkorban

10 Hari ini, banyak orang memilih haluan yang paling mudah biarpun pilihan itu bukanlah yang terbaik. Secara umumnya, orang cenderung memilih agama yang senang bagi mereka dan yang tidak mempunyai banyak syarat. Sebaliknya, Yesus mengajarkan cara berfikir yang jauh berbeza. Dia memberitahu para pengikutnya, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya, dan terus mengikut aku.” (Mat. 16:24) Mengikut Yesus ialah haluan yang bijak dan benar, namun haluan ini tidaklah mudah.

11. Bagaimanakah murid-murid di Tirus menunjukkan kasih dan sokongan kepada Paulus?

11 Tibalah masanya bagi Paulus, Lukas, dan rakan-rakan yang lain untuk meneruskan perjalanan mereka. Apa yang berlaku semasa mereka meninggalkan tempat itu sangat menyentuh hati. Saudara-saudara di Tirus sangat mengasihi Paulus dan memberikan sokongan yang padu kepada kerja penyebarannya. Banyak lelaki, wanita, dan kanak-kanak menemani Paulus dan rakan-rakannya ke pantai. Mereka semua berlutut dan berdoa lalu mengucapkan selamat tinggal. Kemudian Paulus, Lukas, dan rakan-rakan yang lain menaiki sebuah kapal dan meneruskan perjalanan ke Ptolemais. Mereka berjumpa dengan rakan seiman di situ dan tinggal dengan mereka selama sehari.​—Kis. 21:5-7.

12, 13. (a) Apakah yang menunjukkan bahawa Filipus berkhidmat dengan setia? (b) Bagaimanakah Filipus menjadi teladan bagi para bapa Kristian hari ini?

12 Seterusnya, Lukas menyatakan bahawa Paulus dan rakan-rakannya pergi ke Kaisarea. Setibanya di sana, mereka “masuk ke dalam rumah Filipus dan tinggal bersamanya. Dia seorang penginjil.” a (Kis. 21:8) Mereka tentu berasa gembira dapat berjumpa dengan Filipus. Sekitar 20 tahun yang lalu di Yerusalem, Filipus dilantik oleh para rasul untuk membantu dalam pengagihan makanan kepada sidang Kristian yang baru ditubuhkan. Filipus juga telah lama menginjil dengan bersemangat. Semasa pengikut Kristus tercerai-berai akibat penganiayaan, Filipus pergi ke Samaria dan mula menginjil. Kemudian, dia menginjil kepada sida-sida dari Etiopia dan membaptisnya. (Kis. 6:2-6; 8:4-13, 26-38) Ya, dia menjalankan khidmatnya dengan setia!

13 Semangat Filipus dalam kerja penyebaran tetap membara. Kini, dia menetap di Kaisarea dan masih sibuk melakukan kerja penyebaran. Tidak hairanlah Lukas memanggil Filipus sebagai “seorang penginjil.” Filipus juga mempunyai empat orang anak perempuan yang dapat bernubuat. b Nampaknya, mereka meniru jejak ayah mereka. (Kis. 21:9) Filipus tentu telah mencurahkan banyak usaha untuk membina kerohanian keluarganya. Hari ini, para bapa Kristian juga patut meniru Filipus dengan menetapkan teladan dalam melakukan kerja penyebaran dan membantu anak-anak mengasihi kerja menginjil.

14. Apakah hasil yang diraih apabila Paulus melawat rakan seimannya? Apakah peluang yang sama terbuka hari ini?

14 Semasa Paulus melawat dari satu kawasan ke kawasan yang lain, dia mencari rakan seimannya dan meluangkan masa bersama mereka. Sudah tentu, saudara saudari tempatan ingin menunjukkan kemurahan hati kepada mubaligh ini dan rakan-rakannya. Lawatan seperti itu pasti membantu mereka untuk saling “menggalakkan.” (Rm. 1:11, 12) Peluang yang sama juga terbuka hari ini. Kita meraih manfaat yang besar jika kita membuka rumah kita untuk penyelia litar dan isteri mereka biarpun rumah kita sederhana sahaja.​—Rm. 12:13.

“Aku Sudah Bersedia . . . untuk Mati” (Kis. 21:10-14)

15, 16. Apakah mesej yang dibawa oleh Agabus? Apakah kesan mesej itu terhadap orang yang mendengarnya?

15 Semasa Paulus tinggal dengan Filipus, seorang lagi tetamu yang dihormati datang, iaitu Agabus. Orang yang berkumpul di rumah Filipus tahu bahawa Agabus ialah seorang nabi. Dia pernah bernubuat tentang kebuluran teruk yang berlaku semasa pemerintahan Klaudius. (Kis. 11:27, 28) Mereka mungkin tertanya-tanya, “Kenapa Agabus datang? Apa mesej yang dia bawa?” Mereka memerhatikan Agabus dengan teliti seraya dia mengambil tali pinggang Paulus, iaitu sehelai kain panjang yang diikat pada pinggang dan digunakan untuk menyimpan wang atau barang-barang lain. Kemudian, Agabus mengikat kaki dan tangannya sendiri dengan tali pinggang itu, lalu menyampaikan mesej yang serius. Menurutnya, “Kuasa suci Tuhan berkata, ‘Orang yang memiliki tali pinggang ini akan diikat seperti ini oleh orang Yahudi di Yerusalem, dan mereka akan menyerahkannya ke dalam tangan orang bangsa asing.’”​—Kis. 21:11.

16 Nubuat itu mengesahkan bahawa Paulus akan pergi ke Yerusalem. Nubuat itu juga menunjukkan bahawa kerja penyebarannya kepada orang Yahudi akan menyebabkannya diserahkan “ke dalam tangan orang bangsa asing.” Hal ini memberikan kesan yang mendalam terhadap orang yang berkumpul di rumah Filipus. Lukas menulis, “Apabila kami mendengar kata-katanya, kami dan semua orang di situ merayu Paulus supaya tidak pergi ke Yerusalem. Tetapi Paulus berkata, ‘Mengapakah kamu semua menangis dan mencuba melemahkan azamku? Percayalah, aku sudah bersedia bukan sahaja untuk diikat, tetapi juga untuk mati di Yerusalem demi nama Tuan Yesus.’”​—Kis. 21:12, 13.

17, 18. Bagaimanakah Paulus menunjukkan bahawa dia bertekad untuk melakukan kehendak Tuhan? Apakah reaksi saudara-saudara itu?

17 Bayangkan keadaan di situ. Para saudara, termasuk Lukas, merayu agar Paulus tidak meneruskan rancangannya. Ada juga yang menangis. Paulus tersentuh dengan kasih dan keprihatinan mereka. Maka, dia dengan lembut berkata bahawa mereka sedang ‘mencuba melemahkan azamnya,’ atau menurut sesetengah terjemahan, mereka ‘menyedihkan hatinya.’ Meskipun demikian, sepertimana tekadnya tidak goyah semasa dia berjumpa dengan para saudara di Tirus, dia juga tidak akan membiarkan rayuan atau tangisan mereka mempengaruhinya. Sebaliknya, dia menjelaskan sebabnya dia perlu meneruskan perjalanan itu. Sememangnya, Paulus menunjukkan keberanian dan tekad yang teguh! Seperti Yesus, Paulus berpegang pada keputusannya untuk pergi ke Yerusalem. (Ibr. 12:2) Paulus bukannya sengaja ingin dibunuh demi imannya, namun jika hal itu berlaku, dia akan menganggapnya sebagai suatu penghormatan untuk mati sebagai seorang pengikut Kristus Yesus.

18 Apakah reaksi para saudara itu? Mereka menunjukkan hormat kepada Paulus. Mereka berkata, “Oleh sebab Paulus enggan mendengarkan kami, kami tidak memaksanya lagi lalu berkata, ‘Biarlah kehendak Yehuwa terjadi.’” (Kis. 21:14) Mereka yang memujuk Paulus untuk tidak pergi ke Yerusalem berhenti memaksa Paulus untuk mengikut keinginan mereka. Mereka mendengar dan menerima keputusannya. Mereka juga menyedari dan menerima kehendak Yehuwa meskipun hal itu susah bagi mereka. Paulus telah memulakan haluan yang akhirnya akan menyebabkannya dibunuh. Maka, lebih mudah bagi Paulus untuk menempuh haluan itu jika orang yang mengasihinya tidak cuba untuk melemahkan semangatnya.

19. Apakah pengajaran penting yang kita peroleh daripada keadaan yang dihadapi oleh Paulus?

19 Kita peroleh pengajaran yang penting daripada apa yang dihadapi Paulus: Kita tidak mahu melemahkan semangat mereka yang rela membuat pengorbanan untuk berkhidmat kepada Tuhan. Kita boleh menerapkan pengajaran ini dalam pelbagai situasi dan bukan hanya dalam soal hidup dan mati. Misalnya, banyak ibu bapa Kristian berasa susah apabila melihat anak mereka meninggalkan rumah untuk berkhidmat kepada Yehuwa di tempat yang jauh. Meskipun demikian, mereka bertekad untuk tidak melemahkan semangat anak-anak. Phyllis, yang tinggal di England, mengingat semula perasaannya semasa satu-satunya anak perempuannya menceburi khidmat mubaligh di Afrika. Phyllis berkata, “Masa itu perasaan saya bercampur baur. Saya susah untuk terima bahawa dia akan pergi ke tempat yang jauh. Saya sedih, tetapi juga bangga. Saya banyak berdoa tentang hal ini. Tetapi itu ialah keputusannya, dan saya tidak akan cuba mengubahnya. Lagipun, saya selalu mengajarnya untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan! Dia telah berkhidmat di negara lain selama 30 tahun, dan saya bersyukur kepada Yehuwa setiap hari kerana dia tetap setia.” Betapa baiknya jika kita menggalakkan saudara saudari yang sudi membuat pengorbanan!

Sungguh baik untuk menggalakkan rakan seiman yang rela berkorban

“Saudara-Saudara Menyambut Kami dengan Gembira” (Kis. 21:15-17)

20, 21. Apakah yang menunjukkan bahawa Paulus ingin bersama dengan rakan seimannya, dan mengapa?

20 Persediaan sudah dibuat dan Paulus meneruskan perjalanannya. Dia ditemani oleh para saudara yang menyokongnya dengan sepenuh hati. Di sepanjang perjalanan ke Yerusalem, Paulus dan rakan-rakannya mencari saudara saudari untuk bergaul bersama-sama. Di Tirus, mereka bertemu dengan para pengikut Kristus dan meluangkan masa selama tujuh hari. Di Ptolemais, mereka melawat rakan seiman dan tinggal selama sehari. Di Kaisarea, mereka tinggal selama beberapa hari di rumah Filipus. Kemudian, sesetengah murid dari Kaisarea mengikut Paulus dan rakan-rakannya ke Yerusalem. Setibanya di sana, mereka menumpang di rumah Manason, salah seorang murid Yesus masa awal. Lukas melaporkan bahawa saudara-saudara di Yerusalem “menyambut kami dengan gembira.”​—Kis. 21:17.

21 Jelaslah, Paulus mahu bersama dengan rakan seimannya. Seperti kita hari ini, Paulus mendapat galakan daripada saudara saudarinya. Sudah pasti, galakan itu menguatkan Paulus untuk berhadapan dengan para penentang yang bengis dan yang berusaha untuk membunuhnya.

b Lihat kotak “ Bolehkah Wanita Mengajar?