BAB 20
Firman Yehuwa ‘Tersebar dan Semakin Berkuasa’ meskipun Ditentang
Bagaimana Apolos dan Paulus menyumbang kepada kemajuan berita baik
Berdasarkan Kisah 18:23–19:41
1, 2. (a) Apakah bahaya yang dihadapi oleh Paulus dan rakan-rakannya semasa di Efesus? (b) Apakah yang akan kita bincang dalam bab ini?
JALAN-JALAN di Efesus digemparkan dengan suara orang berteriak dan berseru serta orang ramai yang sedang berlari. Kumpulan perusuh sedang menimbulkan kekecohan! Dua orang rakan Paulus telah ditangkap dan diheret. Jalan yang luas di sepanjang kedai-kedai segera kosong apabila orang ramai yang semakin berang merempuh masuk sebuah teater yang besar di kota itu. Teater itu dapat menampung sebanyak 25,000 penonton. Sebenarnya, kebanyakan orang tidak tahu apa yang menyebabkan kekecohan itu, tetapi mereka mungkin berfikir bahawa kuil dan Dewi Artemis kesayangan mereka sedang diancam. Jadi mereka mula berteriak tanpa henti-henti, “Agunglah Artemis, dewi orang Efesus!”—Kis. 19:34.
2 Sekali lagi, kita lihat bahawa Syaitan cuba menggunakan perusuh yang ganas untuk menghalang berita baik tentang Kerajaan Tuhan daripada disebarkan. Sudah tentu, ancaman keganasan bukanlah satu-satunya taktik Syaitan. Dalam bab ini, kita akan membincangkan beberapa muslihat yang digunakan Syaitan untuk mengganggu kerja dan perpaduan orang Kristian abad pertama. Yang terpenting, kita akan melihat bahawa semua helahnya telah gagal kerana “dengan cara yang luar biasa, firman Yehuwa terus tersebar dan menjadi semakin berkuasa.” (Kis. 19:20) Mengapakah orang Kristian pada masa itu berjaya menentang Syaitan? Mereka mempunyai sebab yang sama seperti kita hari ini. Memang, kejayaan itu datang daripada Yehuwa, bukan kita. Namun, seperti orang Kristian abad pertama, kita juga perlu memainkan peranan masing-masing. Dengan bantuan kuasa suci Yehuwa, kita dapat memupuk sifat-sifat yang akan membantu kita melaksanakan kerja penyebaran dengan berjaya. Mari kita bincang teladan Apolos terlebih dahulu.
Kis. 18:24-28)
‘Dia Sangat Memahami Ayat-Ayat Suci’ (3, 4. Apakah kekurangan Apolos yang diperhatikan oleh Akwila dan Priskila? Apakah yang dilakukan mereka?
3 Semasa Paulus pergi ke Efesus dalam perjalanan mubalighnya yang ketiga, seorang lelaki Yahudi bernama Apolos tiba di kota itu. Dia berasal dari Aleksandria, sebuah kota yang terkemuka di Mesir. Apolos memiliki sifat dan kebolehan yang sangat baik. Dia pandai berkata-kata dan “sangat memahami Ayat-Ayat Suci.” Tambahan lagi, dia memiliki “semangat membara yang diberikan oleh kuasa suci Tuhan.” Dengan berani, Apolos bercakap kepada orang Yahudi di rumah ibadat.—Kis. 18:24, 25.
4 Akwila dan Priskila mendengar ucapan Apolos. Sudah tentu mereka berasa sangat teruja semasa mendengar dia “mengajar tentang Yesus dengan tepat.” Walaupun apa yang dikatakan Apolos memang betul, pasangan ini mendapati bahawa dia tidak mengetahui sesuatu yang sangat penting. Dia “hanya mempunyai pengetahuan tentang pembaptisan Yohanes.” Meskipun Akwila dan Priskila ialah pasangan yang hidup sederhana dan merupakan pembuat khemah, mereka tidak berasa takut dengan kebolehan Apolos yang pandai berkata-kata dan berpendidikan. Sebaliknya, “mereka mengajaknya untuk menyertai mereka lalu menjelaskan jalan Tuhan dengan lebih tepat lagi kepadanya.” (Kis. 18:25, 26) Apakah reaksi Apolos? Nampaknya, dia menunjukkan salah satu sifat Kristian yang paling penting, iaitu kerendahan hati.
5, 6. Apakah yang membolehkan Apolos menjadi lebih berguna bagi Yehuwa? Apakah yang kita pelajari daripada teladan Apolos?
5 Oleh sebab Apolos menerima bantuan daripada Akwila dan Priskila, dia menjadi hamba Yehuwa yang lebih efektif. Dia pergi ke Akhaya dan di sana dia “banyak membantu” rakan seiman. Dia juga memberikan kesaksian yang baik kepada orang Yahudi di kawasan itu yang berkeras bahawa Yesus bukan Mesias yang dijanjikan. Lukas melaporkan, “Dengan penuh semangat, dia mengemukakan bukti yang amat kukuh kepada orang ramai bahawa ajaran orang Yahudi salah. Dia menunjukkan Ayat-Ayat Suci kepada mereka untuk membuktikan bahawa Yesus ialah Kristus.” (Kis. 18:27, 28) Ya, Apolos merupakan berkat bagi sidang-sidang di sana! Seperti Paulus, kerja penyebarannya juga menyebabkan “firman Yehuwa” menjadi semakin berkuasa. Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan Apolos?
6 Semua orang Kristian harus memupuk sifat kerendahan hati. Tuhan telah memberi setiap seorang daripada kita kurniaan yang berbeza, seperti kebolehan, pengalaman, atau pengetahuan yang kita timba. Namun, kerendahan hati kita haruslah lebih menonjol berbanding kurniaan yang kita miliki. Jika tidak, kebolehan dapat berubah menjadi kelemahan. Bakat kita mungkin dapat menjadi tanah subur bagi keangkuhan yang bagaikan tumbuhan beracun. (1 Kor. 4:7; Yak. 4:6) Jika kita benar-benar rendah hati, kita akan berusaha menganggap orang lain lebih baik daripada diri sendiri. (Flp. 2:3) Kita tidak akan menolak nasihat dan tunjuk ajar daripada orang lain. Selain itu, kita tidak akan terus berpaut pada pandangan sendiri apabila kita sedar bahawa hal itu tidak selaras dengan bimbingan kuasa suci Tuhan. Selagi kita rendah hati, kita akan menjadi berguna bagi Yehuwa dan Anak-Nya.—Luk. 1:51, 52.
7. Bagaimanakah Paulus dan Apolos menetapkan teladan dalam menunjukkan sifat rendah hati?
7 Sifat rendah hati dapat mengelakkan persaingan. Dapatkah anda bayangkan betapa kuatnya keinginan Syaitan untuk menyebabkan perpecahan dalam kalangan orang Kristian abad pertama? Dia pasti sangat gembira jika Apolos dan Rasul Paulus, dua individu yang bersemangat ini, bersaing untuk menjadi orang yang paling berpengaruh dalam sidang-sidang! Sebenarnya, hal itu boleh berlaku. Di Korintus, sesetengah orang Kristian mula berkata, “Aku milik Paulus,” yang lain pula berkata, “Aku milik Apolos.” Adakah Paulus dan Apolos menggalakkan semangat perpecahan itu? Tidak! Paulus dengan rendah hati mengakui peranan Apolos dalam kerja penyebaran, dan memberinya peluang khidmat tambahan. Apolos pula mengikut arahan Paulus. (1 Kor. 1:10-12; 3:6, 9; Tit. 3:12, 13) Sememangnya, mereka menetapkan teladan baik bagi kita hari ini dalam menunjukkan kerendahan hati dan bekerjasama.
‘Meyakinkan Mereka tentang Kerajaan Tuhan’ (Kis. 18:23; 19:1-10)
8. Laluan manakah yang digunakan Paulus untuk kembali ke Efesus, dan mengapa?
8 Paulus telah berjanji untuk kembali ke Efesus, dan dia menepati janjinya. a (Kis. 18:20, 21) Namun, perhatikan laluan yang diambilnya. Kali terakhir kita menyebut tentang Paulus, dia berada di Antiokhia, Siria. Untuk sampai ke Efesus, dia boleh membuat perjalanan yang pendek ke Seleukia, menaiki kapal, dan terus berlayar ke destinasinya. Sebaliknya, dia mengadakan perjalanan “melalui kawasan pedalaman.” Perjalanan Paulus yang tercatat di Kisah 18:23 dan 19:1 dianggarkan sekitar 1,600 km! Mengapakah Paulus memilih laluan yang susah ini? Kerana dia mempunyai matlamat, iaitu “meneguhkan semua murid Yesus.” (Kis. 18:23) Seperti perjalanan mubalighnya yang pertama dan kedua, perjalanannya yang ketiga juga memerlukan banyak pengorbanan. Namun, dia menganggap semua itu berbaloi. Hari ini, penyelia litar dan isteri mereka juga menunjukkan semangat yang sama. Tidakkah kita menghargai kasih mereka yang rela berkorban?
9. Mengapakah sekumpulan murid perlu dibaptis sekali lagi? Apakah yang kita pelajari daripada mereka?
9 Setibanya di Efesus, Paulus bertemu dengan kira-kira 12 orang murid Yohanes Pembaptis. Mereka telah dibaptis di bawah aturan pembaptisan Yohanes yang tidak lagi sah. Selain itu, mereka nampaknya kurang atau langsung tiada pengetahuan tentang kuasa suci Tuhan. Jadi, Paulus menjelaskan pentingnya dibaptis atas nama Yesus, dan seperti Apolos, mereka ternyata orang yang rendah hati dan bersemangat untuk belajar. Selepas dibaptis atas nama Yesus, mereka menerima kuasa suci Tuhan dan kurniaan tertentu. Sememangnya, Yehuwa memberkati mereka yang rela mengikut aturan terkini daripada organisasi-Nya.—Kis. 19:1-7.
10. Mengapakah Paulus berpindah dari rumah ibadat ke dewan? Bagaimanakah kita menirunya dalam kerja penyebaran?
10 Tidak lama kemudian, terdapat satu lagi kemajuan. Selama tiga bulan, Paulus telah menginjil dengan berani di rumah ibadat. Walaupun dia berusaha ‘berbincang dengan orang untuk meyakinkan mereka tentang Kerajaan Tuhan,’ sesetengah orang bersikap degil dan menentang Paulus. Dia tidak mahu membuang masa dengan orang yang “bercakap buruk tentang Haluan Tuan.” Maka, dia membuat aturan untuk menyampaikan ceramah di dewan sekolah. (Kis. 19:8, 9) Orang yang ingin membuat kemajuan rohani perlu mengikut Paulus dengan berpindah dari rumah ibadat ke dewan itu. Seperti Paulus, kita mungkin perlu mengakhiri perbualan apabila kita sedar bahawa penghuni rumah tidak sudi mendengar atau hanya ingin bertengkar. Masih ada banyak lagi orang yang bersifat seperti biri-biri yang ingin mendengar mesej kita yang menggalakkan!
11, 12. (a) Bagaimanakah Paulus menetapkan teladan dalam menunjukkan sikap rajin dan sudi membuat penyesuaian? (b) Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa berusaha untuk bersikap rajin dan membuat penyesuaian dalam kerja penyebaran?
11 Paulus mungkin telah memberikan ceramah di dewan sekolah setiap hari, kira-kira dari jam 11:00 pagi hingga sekitar 4:00 petang. (Kis. 19:9) Masa itu mungkin paling sunyi tetapi sangat panas, dan banyak orang berhenti bekerja untuk berehat dan makan. Bayangkan, jika Paulus mengikut jadual yang padat itu selama dua tahun, dia pasti telah meluangkan lebih daripada 3,000 jam untuk mengajar, iaitu kira-kira 125 jam sebulan. b Maka, satu lagi sebab mengapa firman Yehuwa terus tersebar dan semakin berkuasa adalah kerana Paulus seorang yang rajin dan tahu membuat penyesuaian. Dia menyesuaikan jadual menginjilnya mengikut keadaan orang di sana. Apakah hasilnya? “Semua penduduk di daerah Asia, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, telah mendengar firman Tuhan.” (Kis. 19:10) Ya, dia telah memberikan kesaksian yang menyeluruh!
12 Saksi-Saksi Yehuwa hari ini juga menunjukkan sikap rajin dan sudi membuat penyesuaian. Kita berusaha mencari orang pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada. Kita memberikan kesaksian di jalanan, pasar, dan tempat letak kereta. Selain itu, kita menghubungi orang menerusi telefon atau surat. Semasa menginjil dari rumah ke rumah, kita juga berusaha mencari orang pada masa mereka biasanya ada di rumah.
Firman Yehuwa ‘Tersebar dan Semakin Berkuasa’ meskipun Ditentang Roh Jahat (Kis. 19:11-22)
13, 14. (a) Yehuwa membolehkan Paulus melakukan apa? (b) Apakah kesilapan yang dilakukan oleh anak-anak lelaki Skewa? Bagaimanakah kebanyakan orang dalam gereja Kristian hari ini melakukan hal yang sama?
13 Lukas menyatakan bahawa kerja penyebaran Paulus membawa hasil yang menakjubkan, terutamanya kerana Yehuwa memberi Paulus kuasa untuk melakukan “mukjizat-mukjizat yang hebat.” Bahkan sapu tangan dan kain yang pernah digunakan oleh Paulus juga dibawa kepada orang yang sakit, lalu mereka disembuhkan. Cara yang sama juga digunakan untuk mengusir roh-roh jahat. c (Kis. 19:11, 12) Bukankah ini kemenangan yang hebat atas konco-konco Syaitan? Hal ini telah menarik banyak perhatian orang. Namun, bukan semuanya bersikap positif.
14 Sesetengah “orang Yahudi yang mengembara ke merata tempat untuk mengusir roh-roh jahat” cuba meniru mukjizat Paulus. Ada antara orang Yahudi itu cuba berbuat demikian dengan menyebut nama Yesus dan Paulus. Lukas memberikan contoh tentang tujuh orang anak lelaki Skewa, daripada keluarga imam, yang cuba melakukan hal itu. Tetapi roh jahat itu berkata kepada mereka, “Yesus aku kenal, Paulus pun aku kenal, tetapi siapakah kamu?” Orang yang dirasuk itu pun menyerang penyamar-penyamar itu. Dia menerkam mereka seperti binatang liar sehingga mereka melarikan diri dalam keadaan telanjang dan luka-luka. (Kis. 19:13-16) Ya, ini kemenangan yang besar bagi “firman Yehuwa”! Hal ini kerana orang dapat melihat dengan jelas bahawa Yehuwa telah memberi Paulus kuasa yang besar, manakala orang yang mengamalkan agama palsu itu langsung tidak berkuasa. Hari ini, jutaan orang beranggapan bahawa sekadar memanggil nama Yesus atau mengaku diri “Kristian” sudah cukup. Namun, seperti yang Yesus tunjukkan, hanya orang yang melakukan kehendak Bapanya dapat memiliki harapan sejati bagi masa depan.—Mat. 7:21-23.
15. Berkenaan spiritisme dan objek yang berkaitan dengannya, bagaimanakah kita dapat meniru teladan orang Efesus?
15 Peristiwa yang memalukan yang dihadapi oleh anak-anak lelaki Skewa telah membuat lebih banyak orang takut akan Tuhan. Hasilnya, ramai telah menjadi orang Kristian dan meninggalkan amalan-amalan spiritisme. Sebenarnya, budaya Efesus banyak dipengaruhi dengan ilmu sihir. Jampi-jampi dan azimat terdapat di merata tempat. Begitu juga dengan mantera yang biasanya dalam bentuk bertulis. Tetapi kini, banyak orang Efesus terdorong untuk mengumpulkan buku-buku sihir mereka dan membakarnya di hadapan semua orang, walaupun semua itu nampaknya bernilai puluhan ribu dolar berdasarkan nilai mata wang hari ini. d Lukas melaporkan, “Maka, dengan cara yang luar biasa, firman Yehuwa terus tersebar dan menjadi semakin berkuasa.” (Kis. 19:17-20) Bukti jelas menunjukkan bahawa kebenaran telah berjaya memerangi ajaran palsu dan roh-roh jahat! Orang di Efesus yang setia itu juga telah menetapkan teladan yang baik bagi kita. Hari ini, amalan spiritisme sangat berleluasa. Maka, jika kita sedar bahawa kita mempunyai sesuatu yang berkaitan dengan spiritisme, kita patut menyingkirkannya dengan segera, seperti yang dilakukan oleh orang Efesus. Semoga kita terus menjauhi amalan jijik itu, tidak kira apa pun pengorbanan yang kita perlu buat.
“Timbullah Kekacauan yang Besar” (Kis. 19:23-41)
16, 17. (a) Ceritakan bagaimana Demetrius memulakan rusuhan di Efesus. (b) Bagaimanakah orang Efesus menunjukkan sikap fanatik?
16 Kemudian, kita melihat bagaimana Syaitan menggunakan perusuh yang bengis. Lukas menulis, “Timbullah kekacauan yang besar sehubungan dengan Haluan Tuan.” Semasa Lukas mengatakan hal itu, dia bukannya sedang melebih-lebih. e (Kis. 19:23) Seorang tukang perak yang bernama Demetrius telah mencetuskan masalah. Dia mengumpulkan rakan-rakan sekerjanya dan mengingatkan mereka bahawa kekayaan mereka datang daripada perniagaan menjual berhala. Dia menyatakan bahawa mesej yang disebarkan oleh Paulus akan merosakkan perniagaan mereka kerana orang Kristian tidak menyembah berhala. Kemudian, dia membangkitkan perasaan bangga akan kota dan bangsa pendengarnya. Dia memberi mereka amaran bahawa jika orang mendengar mesej Paulus, Dewi Artemis dan kuil dewi mereka yang terkenal di dunia akan diancam dan “dipandang hina.”—Kis. 19:24-27.
17 Kata-kata Demetrius membawa hasil yang diingininya. Tukang-tukang perak mula menjerit, “Agunglah Artemis, dewi orang Efesus!” Keadaan kota itu menjadi kacau-bilau sehingga berlakulah rusuhan seperti yang disebut di awal bab ini. f Memandangkan Paulus seorang yang rela berkorban, dia mahu pergi ke teater itu untuk menghadap orang ramai, tetapi murid-murid mendesak agar dia tidak membahayakan diri. Kemudian, seorang lelaki yang bernama Aleksander berdiri di hadapan orang ramai dan cuba untuk bercakap. Sebagai seorang Yahudi, dia pasti sangat ingin menjelaskan perbezaan antara orang Yahudi dengan orang Kristian. Tetapi apabila orang ramai sedar bahawa dia ialah orang Yahudi, mereka tidak berminat untuk mendengar penjelasannya, dan mereka berteriak selama kira-kira dua jam, “Agunglah Artemis, dewi orang Efesus!” Sikap fanatik penganut agama masih sama hari ini. Hal itu membuat mereka bertindak secara tidak munasabah.—Kis. 19:28-34.
18, 19. (a) Bagaimanakah pentadbir kota menenteramkan para perusuh di Efesus? (b) Bagaimanakah umat Yehuwa ada kalanya dilindungi oleh pihak berkuasa? Apakah yang dapat kita lakukan untuk mendapat perlindungan sebegitu?
18 Akhirnya, pentadbir kota berjaya menenteramkan orang ramai. Pegawai yang munasabah itu meyakinkan para perusuh bahawa orang Kristian tidak mendatangkan bahaya kepada kuil dan dewi mereka. Dia juga berkata bahawa Paulus dan rakan-rakannya tidak melakukan apa-apa jenayah terhadap kuil Artemis, dan sebenarnya terdapat cara yang sah untuk mengutarakan isu tersebut. Yang paling penting, dia mengingatkan para perusuh itu bahawa mereka boleh didakwa menurut undang-undang Roma kerana mengadakan perhimpunan tanpa kebenaran dan yang mencetuskan kekacauan. Selepas itu, dia menyuruh mereka pulang. Kata-kata pegawai itu yang masuk akal telah meredakan kemarahan mereka dengan cepat.—Kis. 19:35-41.
19 Ini bukan kali pertama pihak berkuasa yang tenang dan munasabah telah bertindak untuk melindungi pengikut Yesus, dan ini bukanlah kali terakhir. Rasul Yohanes nampak sebuah penglihatan tentang hari-hari terakhir. Dia melihat “bumi,” iaitu sesetengah kerajaan atau sistem perundangan yang lebih stabil, menelan “air sungai,” iaitu penganiayaan Syaitan yang melanda pengikut Kristus. (Why. 12:15, 16) Itulah yang berlaku. Dalam banyak kes, hakim yang adil telah melindungi hak Saksi-Saksi Yehuwa untuk beribadat dan menyebarkan berita baik. Sudah tentu, kelakuan kita juga dapat memainkan peranan yang penting. Nampaknya, kelakuan Paulus telah membolehkannya bersahabat dengan sesetengah pegawai kerajaan di Efesus dan dihormati oleh mereka. Jadi mereka sangat ingin melindunginya. (Kis. 19:31) Semoga kelakuan kita yang jujur dan hormat juga meninggalkan kesan yang baik terhadap orang yang kita temui. Ingatlah, kita mungkin tidak menjangkakan hasilnya.
20. (a) Apakah perasaan anda setelah mengetahui bahawa firman Yehuwa telah menjadi semakin berkuasa pada abad pertama dan juga masa sekarang? (b) Apabila melihat kemenangan Yehuwa pada zaman sekarang, apakah tekad anda?
20 Tidakkah kita sangat teruja apabila merenungkan bagaimana ‘firman Yehuwa tersebar dan semakin berkuasa’ pada abad pertama? Pada zaman kita, kita juga sangat gembira melihat bagaimana Yehuwa membawa kemenangan yang sama. Adakah anda ingin memiliki penghormatan untuk menyumbang kepada kemenangan itu, walaupun dalam cara yang kecil? Jika ya, belajarlah daripada teladan yang telah kita bincangkan. Tunjukkan sikap rendah hati, maju bersama organisasi Yehuwa, bekerja dengan rajin, menolak spiritisme, dan berusaha sedaya upaya untuk memberikan kesaksian yang baik menerusi kelakuan anda yang jujur dan hormat.
a Lihat kotak “ Efesus—Ibu Kota Asia.”
b Paulus juga menulis 1 Korintus semasa di Efesus.
c Paulus mungkin mengikat sapu tangan itu di dahi supaya peluh tidak menitis ke matanya. Kain yang disebut di ayat itu pula sebenarnya merujuk kepada apron. Apron yang dipakai oleh Paulus menunjukkan bahawa dia mungkin telah membuat khemah pada masa lapangnya, kemungkinan pada awal pagi.—Kis. 20:34, 35.
d Lukas menyebut nilai buku-buku itu ialah 50,000 keping wang perak. Jika dia merujuk kepada denari, seorang pekerja pada masa itu perlu bekerja selama 50,000 hari untuk dapatkan wang itu. Jika dia bekerja tujuh hari seminggu, maksudnya dia perlu bekerja selama kira-kira 137 tahun.
e Sesetengah orang berkata bahawa Paulus sedang merujuk kepada peristiwa ini semasa dia memberitahu orang di Korintus, “Kami tidak pasti sama ada kami dapat terus hidup atau tidak.” (2 Kor. 1:8) Namun, dia mungkin sedang memikirkan peristiwa yang lebih bahaya. Semasa Paulus menulis bahawa dia “melawan binatang buas di Efesus,” dia mungkin sedang menyebut tentang pengalamannya melawan binatang buas secara harfiah di arena. Ayat itu juga boleh membawa maksud kiasan, iaitu semasa dia menghadapi tentangan manusia.—1 Kor. 15:32.
f Persatuan tukang sebegitu mungkin agak berpengaruh. Contohnya, kira-kira satu abad kemudian, persatuan pembuat roti telah memulakan rusuhan yang serupa di Efesus.