Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 25

“Aku Minta Diadili oleh Kaisar!”

“Aku Minta Diadili oleh Kaisar!”

Paulus menetapkan teladan dalam membela berita baik

Berdasarkan Kisah 25:1–26:32

1, 2. (a) Apakah situasi yang dialami Paulus? (b) Apakah soalan yang muncul mengenai rayuan Paulus untuk diadili oleh Kaisar?

 PAULUS dipenjarakan di bawah kawalan ketat di Kaisarea. Dua tahun sebelumnya, dia telah kembali ke Yudea. Namun hanya dalam beberapa hari, orang Yahudi telah cuba untuk membunuhnya sekurang-kurangnya tiga kali. (Kis. 21:27-36; 23:10, 12-15, 27) Sehingga kini, musuh-musuhnya tidak berjaya, namun mereka tidak putus asa. Apabila Paulus sedar bahawa dia mungkin diserahkan ke dalam tangan mereka, dia memberitahu Festus, iaitu gabenor Roma, “Aku minta diadili oleh Kaisar!”​—Kis. 25:11.

2 Adakah Yehuwa menyokong keputusan Paulus untuk membuat rayuan kepada maharaja Roma? Jawapannya penting bagi kita kerana kita juga memberikan kesaksian menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan pada akhir zaman ini. Kita perlu tahu jika kita harus meniru cara Paulus ‘mempertahankan dan memperoleh hak yang sah di sisi undang-undang untuk menyebarkan berita baik.’​—Flp. 1:7.

“Berdiri Di Hadapan Tempat Pengadilan” (Kis. 25:1-12)

3, 4. (a) Apakah niat orang Yahudi semasa mereka memohon agar Paulus dibawa ke Yerusalem? Bagaimanakah Paulus terselamat? (b) Bagaimanakah Yehuwa menyokong hamba-Nya pada zaman moden, seperti yang dilakukan-Nya untuk Paulus?

3 Tiga hari selepas dilantik sebagai gabenor Roma bagi Yudea, Festus pergi ke Yerusalem. a Di situ, dia mendengar tuduhan serius yang dilontarkan para ketua imam dan para pemimpin orang Yahudi terhadap Paulus. Mereka tahu bahawa pihak atasan Festus mendesak agar dia mengekalkan hubungan damai dengan mereka dan semua orang Yahudi. Maka, mereka merayu kepada Festus agar membawa Paulus ke Yerusalem untuk diadili di sana. Namun, mereka secara rahsia membuat rancangan jahat untuk membunuh Paulus semasa dalam perjalanan dari Kaisarea ke Yerusalem. Festus menolak permohonan mereka dengan berkata, “Biarlah mereka yang mempunyai kuasa dalam kalangan kamu pergi bersama aku [ke Kaisarea] untuk menuduh dia jika dia memang telah berbuat salah.” (Kis. 25:5) Maka sekali lagi, Paulus terselamat daripada maut.

4 Dalam semua cubaan Paulus, Yehuwa menyokongnya melalui Tuan Yesus Kristus. Ingatlah, Yesus memberitahu rasul ini dalam sebuah penglihatan, “Tabahkanlah hatimu!” (Kis. 23:11) Hari ini, hamba Tuhan juga menghadapi cabaran dan ancaman. Yehuwa tidak melindungi kita daripada setiap cabaran. Tetapi Dia memberi kita kebijaksanaan dan kekuatan untuk bertabah. Kita selalu dapat bergantung pada “kuasa luar biasa” yang dikurniakan oleh Tuhan kita yang pengasih.​—2 Kor. 4:7.

5. Bagaimanakah Festus menangani situasi Paulus?

5 Beberapa hari kemudian, Festus “duduk di tempat pengadilan” di Kaisarea. b Paulus dan orang yang menuduhnya berdiri di hadapan Festus. Sebagai jawapan kepada tuduhan mereka yang tidak berasas, Paulus berkata, “Aku tidak melakukan apa-apa dosa terhadap Hukum orang Yahudi, terhadap Rumah Tuhan, ataupun terhadap Kaisar.” Rasul ini tidak bersalah dan patut dibebaskan. Apakah yang akan dilakukan oleh Festus? Dia mahu mengambil hati orang Yahudi, maka dia bertanya kepada Paulus, “Mahukah kamu pergi ke Yerusalem dan dihakimi di hadapanku mengenai perkara-perkara ini?” (Kis. 25:6-9) Cadangan ini langsung tidak masuk akal! Jika Paulus dibawa ke Yerusalem, orang yang menuduhnya akan menjadi hakimnya dan dia pasti dihukum mati. Dalam situasi ini, Festus lebih mengutamakan manfaat dari segi politik berbanding keadilan sejati. Gabenor sebelumnya, Pontius Pilatus, juga melakukan hal yang sama dalam kes yang melibatkan seorang banduan yang lebih penting. (Yoh. 19:12-16) Hari ini, para hakim juga mungkin menyerah kepada tekanan politik. Maka, kita tidak harus berasa hairan semasa mahkamah membuat keputusan yang tidak adil dalam kes yang melibatkan umat Tuhan.

6, 7. Mengapakah Paulus membuat rayuan agar diadili oleh Kaisar? Bagaimanakah dia menjadi contoh bagi orang Kristian sejati hari ini?

6 Keinginan Festus untuk mendapatkan perkenan orang Yahudi dapat membahayakan nyawa Paulus. Maka, Paulus menggunakan haknya sebagai warganegara Roma. Dia memberitahu Festus, “Aku sedang berdiri di hadapan tempat pengadilan Kaisar, dan di sinilah aku seharusnya dihakimi. Tuan sendiri tahu bahawa aku tidak bersalah terhadap orang Yahudi. . . . Aku minta diadili oleh Kaisar!” Rayuan sedemikian biasanya tidak boleh ditarik balik. Festus menekankan hal ini dengan berkata, “Kamu minta diadili oleh Kaisar, maka kamu akan pergi kepada Kaisar.” (Kis. 25:10-12) Dengan membuat rayuan kepada pemerintah yang lebih berkuasa, Paulus menjadi contoh bagi orang Kristian sejati hari ini. Apabila musuh cuba “menimbulkan masalah dengan menggunakan undang-undang,” Saksi-Saksi Yehuwa memanfaatkan perlindungan dari segi undang-undang untuk membela berita baik. c​—Mzm. 94:20.

7 Maka, selepas dipenjarakan lebih daripada dua tahun kerana jenayah yang tidak dilakukannya, Paulus diberi peluang untuk mempertahankan dirinya di Roma. Namun sebelum dia bertolak, seorang lagi pemerintah ingin berjumpa dengannya.

Kita membuat rayuan apabila menerima keputusan mahkamah yang tidak adil

“Hamba Tidak Mengingkari Perintah” (Kis. 25:13–26:23)

8, 9. Mengapakah Raja Agripa melawat Kaisarea?

8 Beberapa hari selepas Festus mendengar rayuan Paulus untuk diadili oleh Kaisar, Raja Agripa dan adik perempuannya Berniki ‘melawat untuk mengucapkan tahniah’ kepada gabenor baharu itu. d Pada zaman Roma, para pegawai biasanya membuat lawatan sebegitu untuk berjumpa dengan gabenor baharu. Dengan mengucapkan tahniah kepada Festus atas pelantikannya, Agripa sudah pasti ingin menjalin hubungan politik yang baik dan persahabatan yang mungkin berguna pada masa depan.​—Kis. 25:13.

9 Festus memberitahu Agripa tentang Paulus, dan Agripa ingin tahu lebih lanjut. Pada keesokan harinya, kedua-dua pemerintah ini duduk di tempat pengadilan. Walaupun mereka datang dengan penuh kemegahan, kata-kata banduan di hadapan mereka bakal meninggalkan kesan yang lebih mendalam.​—Kis. 25:22-27.

10, 11. Bagaimanakah Paulus menunjukkan hormat kepada Agripa? Apakah butiran yang diberitahu oleh Paulus kepada raja tentang kisah lampaunya?

10 Paulus dengan hormat mengucapkan terima kasih kepada Raja Agripa kerana diberi peluang untuk membela diri di hadapannya. Paulus mengakui bahawa Agripa sangat arif dalam segala adat dan pertikaian orang Yahudi. Kemudian, Paulus menceritakan kisah lampaunya: “Hamba pernah hidup sebagai orang Farisi, iaitu golongan yang paling kuat berpegang pada agama kita.” (Kis. 26:5) Sebagai seorang Farisi, Paulus berharap pada kedatangan Mesias. Sekarang, sebagai seorang Kristian, dia dengan berani memberitahu bahawa Yesus Kristus ialah Mesias yang dinantikan. Maka, Paulus dan orang yang menuduhnya mempunyai persamaan, iaitu mereka berharap agar janji Tuhan kepada nenek moyang mereka akan menjadi kenyataan. Namun, atas harapan inilah Paulus dibicarakan pada hari itu. Penjelasan Paulus menyebabkan Agripa lebih berminat untuk mendengar pembelaannya. e

11 Semasa mengenang kembali betapa kejamnya cara dia melayan orang Kristian, Paulus berkata, “Dahulu hamba pun percaya bahawa hamba harus melakukan semua yang terdaya untuk menentang nama Yesus, orang Nasaret itu. . . . Hamba begitu berang terhadap mereka [pengikut Kristus] sehingga sanggup pergi ke kota-kota lain untuk menganiaya mereka.” (Kis. 26:9-11) Kata-kata Paulus ini tidak melebih-lebih. Banyak orang tahu bahawa dia telah menganiaya orang Kristian dengan kejam. (Gal. 1:13, 23) Maka Agripa mungkin tertanya-tanya, “Mengapakah lelaki ini berubah?”

12, 13. (a) Bagaimanakah Paulus menjelaskan sebab dia menjadi pengikut Yesus? (b) Bagaimanakah Paulus seperti “seekor lembu yang menendang kayu tajam yang digunakan untuk menggiringnya”?

12 Kata-kata Paulus yang seterusnya menjawab soalan itu: “Setelah hamba menerima kuasa dan perintah daripada ketua-ketua imam untuk melakukan hal-hal yang sama di Damsyik, hamba membuat perjalanan ke situ. Tuanku, pada waktu tengah hari, ada cahaya dari langit yang memancar di sekeliling hamba dan di sekeliling mereka yang berjalan bersama hamba. Cahaya itu lebih terang daripada sinaran matahari, lalu kami semua rebah ke tanah. Kemudian ada suara yang bercakap kepada hamba dalam bahasa Ibrani, ‘Saulus, Saulus, mengapakah kamu menganiaya aku? Jika kamu terus melawan, kamu hanya menyakiti dirimu sendiri. Kamu seperti seekor lembu yang menendang kayu tajam yang digunakan untuk menggiringnya.’ Lalu hamba bertanya, ‘Tuan, siapakah kamu?’ Maka Tuan Yesus berkata, ‘Akulah Yesus, yang kamu aniaya.’” f​—Kis. 26:12-15.

13 Sebelum peristiwa yang menakjubkan ini, Paulus secara kiasan seperti “seekor lembu yang menendang kayu tajam yang digunakan untuk menggiringnya.” Sama seperti seekor binatang yang memikul beban akan melukakan dirinya dengan menendang tongkat tajam itu, Paulus sedang menyakiti dirinya secara rohani dengan menentang kehendak Tuhan. Tetapi apabila Yesus yang dibangkitkan muncul kepada Paulus dalam perjalanannya ke Damsyik, Yesus membantu lelaki yang tulus ini untuk mengubah pemikirannya yang salah.​—Yoh. 16:1, 2.

14, 15. Apakah yang dikatakan oleh Paulus tentang perubahan yang dibuat dalam hidupnya?

14 Paulus sememangnya telah membuat perubahan besar dalam hidupnya. Dia berkata kepada Agripa, “Hamba tidak mengingkari perintah yang hamba terima menerusi penglihatan dari syurga. Bermula di Damsyik, kemudian di Yerusalem, dan di seluruh negeri Yudea, serta kepada bangsa-bangsa lain, hamba menyampaikan berita kepada orang bahawa mereka harus bertaubat dan berpaling kepada Tuhan, serta menunjukkan melalui perbuatan bahawa mereka sudah bertaubat.” (Kis. 26:19, 20) Selama bertahun-tahun, Paulus telah menjalankan amanah yang diberikan oleh Yesus Kristus melalui penglihatan pada waktu tengah hari itu. Apakah hasilnya? Orang yang menerima berita baik yang dikhabarkan oleh Paulus telah bertaubat daripada perbuatan yang tidak bermoral dan tidak jujur, kemudian berpaling kepada Tuhan. Orang sedemikian menjadi rakyat yang baik, iaitu mereka menghormati undang-undang dan menyumbang kepada keamanan.

15 Namun bagi para penentang Paulus, manfaat-manfaat itu langsung tidak bernilai. Paulus menyambung, “Disebabkan hal ini, orang Yahudi menangkap hamba semasa hamba berada di Rumah Tuhan, dan mereka mencuba untuk membunuh hamba. Namun, dengan adanya bantuan daripada Tuhan, sampai hari ini hamba terus memberikan kesaksian kepada semua orang, baik yang berkedudukan tinggi mahupun yang berkedudukan rendah.”​—Kis. 26:21, 22.

16. Bagaimanakah kita dapat mencontohi Paulus semasa bercakap kepada para hakim dan pemerintah mengenai kepercayaan kita?

16 Sebagai orang Kristian sejati, kita mesti “sentiasa bersedia untuk membela diri” demi iman kita. (1 Ptr. 3:15) Apabila bercakap kepada para hakim dan pemerintah mengenai kepercayaan kita, kita dapat mencontohi cara Paulus bercakap kepada Agripa dan Festus. Kita mungkin dapat menyentuh hati pihak berkuasa dengan memberitahu mereka secara hormat bagaimana kebenaran Bible telah mengubah hidup orang menjadi lebih baik. Kita boleh kongsikan pengalaman kita sendiri atau pengalaman orang yang telah menerima mesej kita.

“Kamu Akan Meyakinkan Beta untuk Menjadi Orang Kristian” (Kis. 26:24-32)

17. Apakah reaksi Festus semasa mendengar pembelaan Paulus? Bagaimanakah sikap yang serupa ditunjukkan oleh orang pada hari ini?

17 Seraya mereka mendengar kesaksian Paulus yang meyakinkan, kedua-dua pemerintah itu mula mempunyai pendapat yang kuat mengenainya. Perhatikan apa yang berlaku: “Setelah Paulus mengatakan hal-hal ini untuk membela diri, Festus berkata dengan suara yang lantang, ‘Paulus, kamu sudah gila! Ilmu kamu yang banyak itu sudah membuat kamu gila!’” (Kis. 26:24) Reaksi Festus menggambarkan sikap orang pada hari ini. Kebanyakan orang berpendapat bahawa orang yang mengajarkan kebenaran Bible ialah orang fanatik. Orang yang dianggap bijak oleh dunia sering kali berasa susah untuk menerima ajaran Bible mengenai harapan pembangkitan.

18. Bagaimanakah Paulus membalas kata-kata Festus? Apakah pula reaksi Agripa?

18 Paulus membalas kata-kata gabenor itu dengan berkata, “Tuan Festus Yang Terutama, aku tidak gila. Kata-kata yang aku ucapkan itu benar dan berasal daripada fikiran yang waras. Sebenarnya, aku dapat bercakap dengan terus terang mengenai hal-hal ini kepada Raja Agripa, kerana baginda sudah mengetahui perkara ini. . . . Tuanku Raja Agripa, adakah tuanku percaya akan apa yang tercatat dalam Ajaran Para Nabi? Hamba tahu tuanku memang percaya.” Agripa pula berkata, “Dalam masa yang singkat, kamu akan meyakinkan beta untuk menjadi orang Kristian.” (Kis. 26:25-28) Sama ada kata-kata itu ikhlas atau tidak, kesaksian Paulus telah memberikan kesan yang besar terhadap raja itu.

19. Apakah kesimpulan yang dibuat oleh Festus dan Agripa mengenai Paulus?

19 Kemudian Agripa dan Festus berdiri. Hal ini menandakan berakhirnya perbicaraan itu. “Sambil beredar, mereka berkata kepada satu sama lain, ‘Orang ini tidak melakukan apa-apa yang menyebabkannya harus dihukum mati atau dipenjarakan.’ Raja Agripa kemudiannya berkata kepada Festus, ‘Orang ini sebenarnya boleh dibebaskan jika dia tidak minta diadili oleh Kaisar.’” (Kis. 26:31, 32) Mereka tahu bahawa lelaki yang telah membela diri di hadapan mereka sebenarnya tidak bersalah. Kemungkinan, mereka kini mempunyai pandangan yang lebih positif dan memberikan layanan yang baik terhadap orang Kristian.

20. Kesaksian Paulus kepada pihak berkuasa membuahkan hasil apa?

20 Kedua-dua pemerintah yang berkuasa dalam kisah ini nampaknya tidak menerima berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Maka, adakah kesaksian yang diberikan Paulus kepada mereka membawa manfaat? Ya. Apabila Paulus “dihadapkan kepada raja-raja dan gabenor” di Yudea, dia dapat memberikan kesaksian kepada pegawai Roma yang biasanya susah untuk dicapai. (Luk. 21:12, 13) Selain itu, pengalaman dan iman Paulus semasa menghadapi cubaan pasti menggalakkan rakan seimannya.​—Flp. 1:12-14.

21. Jika kita terus menginjil dengan tekun, apakah hasil baik yang akan kita raih?

21 Begitu juga dengan hari ini. Jika kita terus menginjil dengan tekun walaupun menghadapi cabaran dan tentangan, kita mungkin mendapat hasil yang baik. Kita dapat memberikan kesaksian kepada para pegawai yang biasanya susah untuk dicapai. Ketabahan dan iman kita dapat menjadi sumber galakan bagi saudara saudari Kristian kita. Maka, mereka akan terdorong untuk lebih berani dalam memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan.

a Lihat kotak “ Perkius Festus—Gabenor Yudea.”

b “Tempat pengadilan” ini merupakan sebuah kerusi yang diletakkan di atas sebuah pentas untuk hakim. Kedudukannya yang tinggi menunjukkan bahawa keputusan hakim adalah muktamad dan harus dihormati. Pilatus duduk di tempat pengadilan semasa dia mengadili tuduhan terhadap Yesus.

d Lihat kotak “ Raja Herodes Agripa II.”

e Sebagai orang Kristian, Paulus menerima Yesus sebagai Mesias. Orang Yahudi yang menolak Yesus memandang Paulus sebagai orang murtad.​—Kis. 21:21, 27, 28.

f Mengenai kata-kata Paulus bahawa dia sedang membuat perjalanan “pada waktu tengah hari,” seorang cendekiawan Bible menyatakan, “Seorang pengembara biasanya akan berehat pada waktu tengah hari, kecuali dia tergesa-gesa untuk sampai ke suatu tempat. Maka, kita dapat lihat bahawa Paulus sangat bersemangat dalam misinya untuk menganiaya pengikut Yesus.”